Razzi Armansur

Yang amat penting, diabaikan

Pada tahun 80-an, ada 2 majalah yang sangat popular untuk orang yang suka mengabaikan perkara penting tersebut. Yang penting diabaikan, dilangkah, dihindari kerana itu ramai pembaca majalah itu, termasuk aku, akhirnya hanya mendapat ‘angin’ sahaja.

Majalahnya ialah Income Opportunity dan Salesman’s Opportunity. Tak layak disebut majalah sebaliknya, selayaknya disebut ‘antologi iklan’ sebab dari kulit depan ke kulit belakang penuh dengan iklan-iklan yang menjanjikan ‘wang yang banyak sekelip mata’. Keajaiban. Ada juga artikel tetapi artikel sekadar melepaskan batuk di tangga — asalkan ada sebagai pelengkap. Artikelnya pun sama seperti iklan — angin dan tidak berpijak di bumi nyata.

Majalah itu diterbitkan di Amerika dan edarannya sampai ke Malaysia. Seorang kawan yang belajar di Amerika ketika itu memberitahu ada ungkapan istimewa di Pejabat Pos di sana, “Jikalau ia sukar dipercayai, sememangnya ia sukar dipercayai.” Namun, sampai hari ini, ia sentiasa terbalik menjadi — “Yang sukar dipercayai itulah yang dipercayai.” Tak percaya? Senang saja — jikalau hari ini anda menerima e-mel — menjadi ‘jutawan internet’ dalam masa 6 bulan — apa reaksi anda. Ia sukar dipercayai tetapi ia dipercayai dengan iringan penyedap hati, “Eh, mungkin betul…” Hanya berdasarkan dengar-dengar sahaja — bahagian mana di dalam internet yang boleh menjadikan jutawan pun tidak tahu.

Jikalau ia sukar dipercayai, ia memang sukar dipercayai — tetapi gerak hati manusia adalah sebaliknya disebabkan oleh “Eh, mungkin betul.” Sebab itu tidak ada dalam dunia ini ‘menyesal terlebih dahulu’, semuanya ‘menyesal kemudian’. Menyesal kemudian tak berguna — ada orang menyesal terlebih dahulu?

Iklan-iklan di dalam majalah tersebut membelai rasa — mengajak membina istana di atas langit. Iklan ditulis begitu rupa hingga membuatkan kita mengeluarkan duit, beli bank deraf dan mengirinkan ke Amerika, membeli program tersebut. Antara iklan yang pernah tersiar dan diingat — ‘Saya Mendapat $5,000 Sehari Semasa Berada di Atas Katil Kerana Selsema’. Aku yang cetek akal terpedaya dan percaya kerana sikap semulajadi manusia yang tetap ingin tahu dan hendak percaya walaupun telah diberi amaran, “Jikalau ia sukar dipercayai, sememangnya ia sukar dipercayai.” Lebih kurang pemikiran aku pada masa itu sama dengan harimau — selama ini susah sangat hendak cari makan tiba-tiba ada seekor kambing gemuk berdiri diam. Masuklah ke perangkap apabila menerkam kambing tersebut. Sukar dipercayai wujudnya kambing berdiam diri di situ tetapi tetap mempercayai kerana diiringi oleh, “Eh, takkanlah…” atau “Manalah tahu, kot-kot…”

Anda fikir baru sekarang ada orang bergambar di tepi kereta sambil memegang wang atau pun meletakkan gambar duit pada iklan? Ia sudah lama berlaku. Pada tahun-tahun tersebut pasti iklan satu muka atau setengah muka, bahkan suku muka, disertakan dengan bergambar di tepi kereta mahal sambil pegang duit. Rahsia pengiklanan dulu dan sekarang mudah sahaja — jikalau mahukan orang percaya dan membeli, iklan mesti disiarkan bertalu-talu.

Jadi, mana bahagian penting yang ditinggalkan? Dulu dan kini, ada bahagian penting yang selalu ditinggalkan atau ‘skip’:

  1. Berpijak di bumi nyata
  2. L.O.N. (Law of Number)
  3. Kira-kira mudah
  4. Teknikal

Yang tidak pernah ditinggalkan dan dicari-cari ialah bahagian ‘penglipurlara, dongeng dan motivasi-motivasi’. Sebagai contohnya, ada satu penjualan buku melalui pos yang dikatakan paling berjaya iaitu, “Lazy Man Way To Get Rich’. Iklannya, gaya penulisan iklannya memanglah menggiurkan. Ramai yang membeli kerana hendak tahu. Sesudah membeli ramai yang menyesal kerana tidak ada cara untuk menjadi kaya dengan bermalas-malas. Tidak ada berpijak di bumi nyata, tidak ada L.O.N., tidak ada kira-kira mudah, tidak ada teknikal — yang ada hanyalah tulisan-tulisan hype atau semangat (selalunya disebut ‘motivasi’) — berfikir positif boleh menjadi kaya. Kita sangkakan teknikal bagaimana membina kekayaan walaupun bermalas-malas (apatah lagi jikalau rajin) rupa-rupanya ‘motivasi-motivasi’…

Inilah bahagian yang digemari sejak dulu. Hampir tidak ada teknikal atau ‘Bagaimana’ sebaliknya hanya ‘Mengapa’. Segala benda dikaitkan dengan ‘motivasi-motivasi’ dan semangat sahaja.

Zaman dulu, pernah beli dan membaca buku-buku tentang hartanah dengan harapan menjadi, ‘jutawan hartanah’ tapi apa yang ada? Zaman sekarang pun sama. Semua dikaitkan dengan semangat dan ‘motivasi-motivasi’ — beli hartanah pada masa harga rendah, jual ketika naik harga (ini budak Tadika pun tahu). Beli hartanah yang tidak dikehendaki lagi, baikpulih, jual, untungnya laburkan untuk membeli hartanah yang lebih mahal.

Pusing-pusing begitu sahajalah caranya. Tak ada teknikal — di mana hendak memperoleh ‘forecast’ sektor hartanah, bagaimana hendak mengetahui ‘indicator’ hartanah masih sihat atau perlu berhati-hati tidak ada. Kira-kiranya pun tidak ada. Dia suruh kita pusing-pusing cari sign ‘Rumah untuk dijual’ kemudian bayar deposit, selepas itu iklankan untuk cari pembeli. Di alam nyata, bolehkah begitu? Mungkin boleh jikalau anda terus bertemu dengan pemilik, tetapi pemilik lebih suka berurusan dengan agen hartanah. Hendak menjadi agen hartanah kena ada lesen. Kalau ‘broker kaki lima’ tidak perlu lesen sebab cara mereka bisnes pakai ‘up, up’ bukan S.O.P. (Standard Operational Procedure) — rumah tersebut katalah harganya RM100,000, dia akan fotostat opsyen atau geran (kalau tanah) kemudian dia ‘up’ menjadi RM120,000 dan mengusung fotostat geran ke hulu hilir untuk mencari pembeli. Yang lucunya, ‘pembeli’ adalah rakan-rakan seperjuangan mereka yang turut ‘up’ lagi. Akhirnya pusing-pusing, ‘penjualan’ hanya berlaku di sekeliling mereka.

Ia bukan sahaja berlaku pada zaman dulu. Zaman sekarang masih berlarutan lagi — segala benda dikaitkan dengan ‘motivasi-motivasi’ kecuali pelaburan saham. Pelaburan saham perlukan teknikal dan tidak boleh dikaitkan dengan ‘motivasi-motivasi’ — sebab itulah anda tidak atau amat jarang melihat iklan yang menganjurkan kursus pelaburan saham. Tak ada peluang penceramah yang ‘main bedal’ dan tak tahu teknikal hendak menyelitkan ‘motivasi-motivasi’ dalam seminar pelaburan saham, walaupun asasnya ialah beli masa rendah, simpan dan jual ketika naik harga. Tapi bagaimana hendak mengenali saham ‘Blue Chip’ yang sangat jarang turun dan naik, bagaimana hendak mengenali saham ‘Spekulatif’ yang kadang-kadang begitu drastit turun naik.. Peminat ‘motivasi-motivasi’ tak suka teknikal begitu — mereka yang suka tiba-tiba dapat banyak tanpa melalui teknikal dan perkara-perkara penting. Apabila ditanya “Bagaimana boleh dapat banyak begini? Turun dari langit?” — mereka hanya sengih-sengih. Itulah bahayanya ‘dengar-dengar’ dan suka berfatwa sendiri.

‘Bisnes Internet’ pun sama — dilangkah (skip) perkara yang amat penting tadi. Law of Number amat penting dalam penjualan. Kenapa menganggap seolah-olah ‘bisnes internet’ itu bisnes yang sangat ajaib? Internet hanya platform pengiklanan produk bagi yang menjual produk melalui internet. Tidak lebih dari itu. Ia sama saja dengan platform media bercetak dan media TV, media radio. Memang pengguna internet jumlahnya bilion. Tetapi jangan lupa, laman web, pengguna laman sosial pun berbilion. Kita menjual produk melalui internet memerlukan seramai mungkin melihat, mendengar produk kita yang diiklankan di dalam laman web dan laman sosial. Dengan persaingan yang amat sengit (berbilion laman web), berapa orangkah yang akan menjenguk ke dalam laman web kita, page laman sosial kita?

Di sinilah pentingnya L.O.N. (Law of Number) — semakin ramai yang melihat, mendengar dan percaya, semakin ramailah yang membeli produk kita. Kalau tak ada orang yang menjenguk — bagaimana produk boleh laku dan terpekik terlolong ‘jutawan internet’? Inilah kesilapan utama — ‘bisnes internet’ dianggap ajaib sedangkan ia adalah seperti bisnes lain (menjual) dan menggunakan platform internet untuk menjual produk.

Sama dengan semua bisnes di atas muka bumi ini — perlu ramai yang melihat, mendengar, percaya produk tersebut untuk menghasilkan pembelian yang banyak. Itulah ‘law of number’ yang sama sekali tidak boleh dilangkah diabaikan. Mengabaikannya menyebabkan ‘bisnes melalui internet’ bahkan apa saja bisnes dikaitkan dengan ‘motivasi-motivasi’, penglipurlara, dongeng. Bisnes dan pemasaran (elemen bisnes) memerlukan teknikal ‘how’ bukan ‘why’. Sebab itulah kebanyakan seminar ‘bisnes internet’ dilencongkan kepada ‘motivasi-motivasi’ — amat kurang teknikal seperti teknik SEO (supaya lebih ramai yang melihat produk kita apabila produk kita teratas apabila dicari dalam enjin pencari seperti Google), membina kepercayaan bakal pembeli, dan kira-kira mudah jual beli.

Lencongan untuk mengelakkan teknikal, kira-kira, L.O.N., tidak ada yang lebih banyak dari dalam MLM. Sampai bila-bila, MLM adalah bisnes dan sistem pemasaran bukan bisnes ajaib. Bisnes dan pemasaran memerlukan teknikal, bukan motivasi-motivasi, penglipurlara, dongeng, seminar-seminar angin (bahkan ada nangis-nangis), paluan gong, wayang kulit, buat thumb-up di tepi kereta dan sebagainya. Sejak dari dahulu lagi, seminar bisnes (kononnya), wajib dilencongkan kepada motivasi-motivasi, tidak ada cara-cara, tip-tip, panduan menjual produk, meluaskan pasaran produk, membesarkan bisnes. Setuju? Ingatlah, keuntungan wang diperoleh dari jumlah produk yang terjual atau yang sampai ke tangan pengguna.

L.O.N (Law of Number) amat penting dalam bisnes peruncitan bahkan apa saja bisnes. Ia menentukan jumlah jualan dan sudah tentu menentukan perolehan. Selalunya kita menetapkan 5% hingga 10% sebagai penentu L.O.N. Prinsip penjualan secara mudah ialah — semakin ramai yang melihat, mendengar, percaya dengan produk tersebut, semakin banyaklah yang akan terjual. Sebab itulah kita melihat iklan yang berulang-ulang tanpa henti semata-mata untuk membina kepercayaan bakal pembeli dan memantapkan kepercayaan pelanggan sedia ada supaya menjadi pelanggan tetap.

Di sinilah wujudnya kepentingan L.O.N. — katalah yang melihat (atau yang klik laman web) produk anda 100,000 sebulan, setiap bulan. Kita ambil yang paling tinggi iaitu 10% melihat produk dan percaya = 10,000 orang membeli. Teknikal di sini ialah bagaimana cara yang tepat supaya ada 100,000 orang melihat dan percaya dengan produk kita, setiap bulan. Dengan jumlah 100,000 orang itu barulah ada 5,000 hingga 10,000 orang pembeli.

Ia sama saja di mana-mana. Contohnya, lot-lot kedai di kompleks atau lot-lot kedai makan di Food Court. Jualan bergantung kepada jumlah yang lalu-lalang di depan kedai dan yang masuk ke dalam kedai. Tak semua yang lalu-lalang itu masuk ke dalam kedai dan tak semua yang masuk ke dalam kedai itu membeli. Semakin ramai yang lalu-lalang, semakin ramai yang masuk ke dalam kedai, semakin banyak produk yang terjual. Bisnes peruncitan seperti supermarket, hypermarket, kadai runcit, restoran, pasar malam, menjual di alam nyata, menjual di internet — sama sahaja memerlukan seramai mungkin melihat, mendengar dan mempercayai. Perlu faham L.O.N. dan kira-kira jual beli (wang masuk, wang keluar). Tidak ada yang ajaib.

Ingatlah, jikalau melangkah (skip) yang utama, yang penting dan melencongkan kepada ‘motivasi-motivasi’, semangat, penglipurlara, dongeng, anda yang akan kecewa kerana bisnes dan pemasaran adalah perkara teknikal. Bisnes dan pemasaran mesti ditegakkan dengan menggunakan ilmu pengurusan, L.O.N., kira-kira dan yang terutama di antara terutama ialah ‘berpijak di bumi nyata’.

Razzi Armansur

Razzi Armansur

Once a writer always a writer.