Razzi Armansur

Tukang kelentong terus bergema

Setelah sekian lama menyepi, kini berkumandang semula. Apa dia? ‘Marketing kelentong’, disebarkan oleh penjualnya dan disensasikan oleh sekutunya.

Bermakna perkara ini akan sentiasa berterusan selagi ada bulan dan bintang. Apatah lagi sekarang ini ada beberapa media sosial (sejak meletup di Malaysia pada tahun 2009).

Kononnya ada harga pasaran untuk ‘pokok keladi emas’ mencecah puluhan ribu. Dan dicari-cari oleh pembeli. Itu khabarnya. Oleh sebab di dunia ini, ‘duit lebih banyak di mulut berbanding di dalam poket’ maka, ia seperti biasa kurang atau tidak dipercayai.

Semata-mata sebagai bahan untuk melakukan benda yang tak laku. Siapa pemulanya? Agak-agak siapa? Tak payah agak-agak, pasti dah tahu. Ayam betina (ayam kampung, bukan ayam bandar) takkan berketuk jikalau tidak bertelur.

Perkara ini sudah berlaku sejak adanya tukang kelentong. Maknanya sejak zaman berzaman.

Tahun 80-an dulu, heboh dengan ‘tarik duit’. Syaratnya bawa benda-benda pelik sebagai ‘platform’ untuk tarik duit, contohnya, seperti duit syiling purba.
Duit syiling purba yang paling dikehendaki pada masa itu gambar manusia berdiri pegang 2 tongkat tangan kanan kiri. Tapi, seperti biasa, dah dapat duit syiling purba katanya tak boleh sebab muka menghadap ke sana, tongkatnya tak jejak tanah, kakinya pendek sebelah, kentutnya tak bunyi.

Siapa pemulanya? Bomoh celaka atau penjual barang antik? Rasanya ada kerjasama kedua-duanya.

Selepas dari itu banyaklah ‘marketing kelentong’ seperti itu. Berterusan. Ingat lagi ‘cicak tokek’ (gecko), siput gondang emas, ikan dragon head, rumput jarum emas, harta Saddam Hussien, harta bunian, daun rerama, daun belalai gajah, daun emas, taik lembu emas…

Kisahnya, seorang sahabat terkena kencing, rasanya oleh kedua-dua penjual dan pembeli cicak tokek. Setelah membeli seekor cicak besar itu dengan harga mahal dan dikatakan nilai semasa mencecah puluhan ribu, dibawanya cicak itu kepada pembeli (mungkin ejen) di Pahang.

Sampai sana diukur dengan teliti, sambil bermuka sedih dan kecewa, pembeli itu memberitahu dalam mintonasi kesal tak sudah, “Kurang 1/2 cm, sayang sekali, kalau tak harganya sekian-sekian puluh ribu. Dah ada yang nak.” Haram jadah!

Hari ini kisah cicak tokek sudah tidak kedengaran lagi. Ia berganti dengan menteri perempuan bebal tembak tahi cicak.

Perkara begini akan sentiasa berterusan. Kini pokok keladi emas pula. Lepas ini taik kucing emas pula.

Akan sentiasa ada tukang kelentong selagi ramai yang rela dikelentong.

Kang Razzi Armansur