Razzi Armansur

Melebih-lebih untuk yang kurang

Inilah realitinya. Selalunya, mereka yang di bawah, yang mempunyai kurang akan sentiasa melebih-lebih supaya dipandang hebat. Orang yang mempunyai kurang sentiasa melebih-lebih supaya kelihatan lebih dari orang lain. Yang benar-benar kaya selamba sahaja. Yang miskin atau yang sedang-sedang berusaha mati-matian supaya dianggap kaya.

Contoh mudah: Carlos Slim, Bill Gates, Warren Buffet adalah usahawan terkaya di dunia. Mereka adalah nombor 1, 2, 3. Mereka senyap sunyi sepi tanpa bising-bising meniup ‘trumpet’ mengumumkan kekayaan dan kehebatan mereka. Tapi lihat yang di bawah, yang nombor 400 atau 500 dalam senarai Forbes — itulah yang memekak seolah-olah dialah paling kaya. Seolah-olah dialah yang teratas bukan Slim, Gates, Buffet. Nampak? Yang mempunyai kurang itulah yang berusaha memekak meniup ‘trumpet’ mencari publisiti murahan seolah-olah dialah yang ‘paling’ kaya. Siapa yang gilakan publisiti? Yang teratas atau yang nombor 400 — 500 dalam senarai Forbes?

Di Malaysia pun begitu. Orang-orang yang tersenarai terkaya di Malaysia senyap dan sunyi. Orang-orang yang perasan kaya melaung-laung tanpa henti mendakwa dan didakwa sebagai jutawan itu, jutawan ini. Kelakar? Memang kelakar. Bagi yang mudah diperdaya akan terus percaya. Bagi yang faham, “Tong berisi tidak berbunyi” akan hanya tersenyum-senyum dan ketawa kerana kelakar.

Mesejnya di sini ialah mudah sahaja — jangan sampai terpedaya. Ingat sampai bila-bila sepanjang hayat bahawa peribahsa lama, “Tong kosong kuat bunyinya” sentiasa benar belaka, selama-lamanya. Kalau terdengar seseorang mendakwa atau didakwa sebagai jutawan, sahlah bahawa dia bukan orang kaya. Buktinya, mereka yang mempunyai wang dan harta ratusan juta bahkan billion, tersenarai dalam senarai terkaya, senyap dan sunyi bahkan enggan dikenali.

Di dalam MLM, lagilah kelakar. Teori “jika terlalu mengiyakan, ada yang tak kena” tepat belaka. Kalau terlalu mengatakan bagus, memang sah ia tak bagus. Jika terlalu mengatakan “luar biasa baik” memang “luar biasa tak baik.” (apa bendalah luar biasa baik itu?) Jika terlalu mengatakan “hebat” memang tidak hebat. Jika terlalu menayangkan kereta memang tidak sukses kerana tidak masuk akal, sukses hanya dikaitkan dengan kereta.

Bergambar sambil menunjuk tanda ‘thumb up’ memang sah menunjukkan ‘thumb down’. Menunjuk ‘thumb up’ itu sebenarnya sedang menutupi ‘thumb down’ berdasarkan teori orang yang kehidupannya ‘thumb up’ tidak pernah menujukkan ‘thumb up’. Bergambar di tepi kereta sambil ‘thumb up’ juga tanda melebih-lebih, terlalu mengiyakan, bukti ‘tong kosong’ atau menutupi kekurangan kerana orang yang benar-benar kaya tidak pernah bergambar begitu, terlalu menonjolkan begitu, terlalu ‘show up’ begitu untuk menunjukkan dirinya kaya dan sukses.

Usahawan syarikat MLM nombor 1 di Malaysia, Amway dan Cosway tidak pernah bergambar di tepi kereta menujukkan tanda ‘thumb up’. Amway dan Cosway sentiasa saing menyanyingi nombor 1 dan nombor 2, syarikat MLM yang jualannya melebihi RM500 juta setiap tahun. Kedua-dua syarikat tersebut adalah syarikat yang disenaraikan di BSKL, jadi tidak boleh kelentong atau memandai asal keluar dari mulut jumlah jualan mereka setiap tahun. Kita pun sudah muak mendengar dendangan, “Syarikat MLM ini jualannya ratusan juta setiap bulan…”

Lagi satu, jualan McDonald tahun 2010 sebanyak RM1.095 billion — pernahkah anda mengenali tauke Golden Archer Sdn Bhd (pemegang francais McDonald)? Jikalau kenal pun tidak, apatah lagi bergambar di tepi kereta sambil tunjuk ‘thumb up’. Itu tauke restoran yang memang berpijak di bumi nyata, bukannya ahli MLM yang sepanjang zaman hanya dipenuhi dengan dongeng dan penglipur lara termasuk kelentong tak henti-henti untuk ‘menarik orang’.

Apa yang hendak diceritakan di sini — dalam MLM yang sudah caca-marba itu makin hari semakin kelakar, sebab itulah juga makin hari orang makin melarikan diri apabila sebut saja MLM. Melebih-lebih tak payah lagi cerita. Datuk Dr. dalam MLM sudah jadi seperti gula-gula. Terlalu mengiyakan — pernah seorang yang kononnya mendapat ‘Datuk’ memberi ucapan sambil menunjukkan gambar-gambar beliau menerima anugerah ‘Datuk’ tersebut. Sekarang sama-sama kita gunakan akal kita ini — mengapa terlalu mengiyakan begitu? Mengapa perlu menunjukkan gambar-gambar bersama Sultan atau Raja Muda? Kita tahu, gambar sebenar anugerah Datuk atau Dato’ adalah disematkan oleh Sultan, biasanya dirakamkan oleh jurugambar dari tepi.

“Datuk beli agaknya.” Selalunya kedengaran begitu. Kita akan mengatakan itulah kerja paling bodoh. Letak saja Datuk di depan nama, tak payah beli. Di kedai mana ada jual?

Bukan sahaja dalam MLM dipenuhi dengan Dr. Ayam dan Datuk palsu berserta kaki kelentong, bahkan dunia ceramah motivasi, penceramahnya pun kini makin ghairah meletakkan Datuk dan Dr., bahkan ditambah dengan Prof. Kita sebaiknya bertanya mereka — menjadi pensyarah di universiti mana? Kalau tidak pernah menjadi pensyarah mengapa letak Prof.? Hanya Prof. Emeritus, sesudah berhenti menjadi pensyarah atau bertukar universiti, kekal pangkat Prof. itu.

Sebagai tambahan — dunia MLM tidak jauh bezanya dengan dunia artis. Ada Diploma diuar-uarkan bagaikan PhD. Bayangkanlah, kalau Diploma pun diuar-uarkan begitu dahsyat, maknanya yang lain itu apa kelulusannya? SPM? SRP? Tak sekolah? Kalau Diploma diuar-uarkan begitu — seandainya ada seorang yang mempunyai ijazah (hatta dari kolej universiti bukan dari IPTA), menyertai MLM, dendangannya sama seperti orang zaman gua batu berjaya menghidupkan api. Itulah dunia MLM. Kelakar atau tidak?

Kenapa perlu dilainkan, ditambah rempah ratus berupa kelentong dan penglipur lara sedangkan MLM adalah bisnes? Lebih tepat lagi ia ialah ‘Bisnes Pengedaran’.

Soalnya di sini, dengan kelentong meletakkan Datuk, Dr., Prof., adakah jualan produk makin meningkat? Adakah semakin ramai yang datang mendengar ceramah atau seminar? Adakah semakin ramai pembeli buku? Tidakkah berasa bimbang, suatu hari nanti terbongkarlah segala rupa kelentong Datuk, Dr., Prof., tersebut? Tidakkah sedar bahawa di depan kita ini semakin kurang manusia yang bodoh dan boleh diperbodohkan?

Sekali lagi, mesej utama di sini ialah, jangan sekali-kali terpedaya. Mesti alim (berilmu, tahu) supaya tidak boleh diperdaya oleh siapa sahaja. Bagi yang suka memperdaya, ingatlah — ini bukan lagi tahun 80-an, atau 90-an. Ini zaman ‘social network’ — zaman lebih sukar mencari orang yang bodoh berbanding orang yang pandai. Ingatlah, di depan kita lebih ramai yang bijak pandai berbanding yang bodoh dan boleh diperdaya. Apa gunanya memperdaya? Kita mencari rezeki yang halal kerana tidak mahu daging haram tumbuh di dalam tubuh kita dan keluarga kita akibat makan pendapatan yang diperoleh hasil memperdaya.

Razzi Armansur

Razzi Armansur

Once a writer always a writer.