Razzi Armansur

Mana Nikmatnya?

Jika itu yang ditanya, nampaknya, terpaksa terima hakikat, “Nikmatnya tidak terasa.” Kita kembali ke zaman beberapa tahun dahulu, sebelum ‘huru-hara’ di Malaysia ini. Zaman dahulu, apabila selesai sahaja kita berbuka puasa, terasa nikmatnya, terasa salah satu kegembiraan yang dijanjikan Allah SWT (ketika berbuka puasa, ketika menghadap Allah kelak). Berbuka pun amat sederhana, tetapi terasa nikmatnya puasa. Apabila sampai penghujung puasa, lebih-lebih lagi terasa puas dan nikmatnya berpuasa selama sebulan. Mungkin boleh disamakan dengan orang yang memperoleh ‘Haji Mabrur’ — menungu-nunggu peluang untuk menunaikan haji sekali lagi. Yang tidak terasa nikmat, hanya merasakan seperti melancong sahaja.

Cuba bandingkan dengan keadaan sekarang. Dengan munculnya Bazar Ramadan yang menjual pelbagai jenis masakan yang pelik-pelik belaka, hingga menyebabkan kesesakan lalu-lintas di sana sini, kita berbuka puasa dengan pelbagai jenis makanan yang berat-berat dan hebat-hebat belaka. Dengan adanya buffet Ramadan di merata tempat sampaikan restoran yang menyediakan makanan tidak halal pun menyediakan buffet Ramadan, kita berbuka puasa dengan hebat, bangga dan kadang-kadang megah. Tapi soal paling utama, adakah terasa nikmat berpuasa? Rasa seperti ‘tidak sampai’. Rasa seperti ada yang terbuku di hati, menyebabkan kita tertanya-tanya, “Mengapa puasa aku ini hanya seperti angin lalu?”

Terasa atau tidak, bahawa puasa kini hanya dikaitkan dengan tekak dan perut. Puasa hanya dikaitkan dengan lapar dan dahaga. Puasa hanya dikaitkan dengan makan minum sahaja. Tak lebih dari itu. Sebab itu muncullah Bazar Ramadan dan Buffet Ramadan demi untuk memenuhi keutamaan iaitu makan dan minum sesudah seharian menahan makan dan minum. Puasa hanya dikaitkan dengan makan dan minum, jadi, sesudah dapat makan dan minum itu, tak perlulah dapat nikmat-nikmat lain. Rasanya itulah salah satu punca mengapa puasa sudah tidak terasa puas dan nikmatnya — hanya bagai “angin lalu”.

Bagaimana mengatasinya? Atasi pada puncanya. Punca yang utama ialah mengaitkan puasa dengan makanan. Hapuskan anggapan dan kaitan tersebut, barulah nanti sedar bahawa puasa itu bukan semata-mata menahan lapar dan dahaga.

Buka buku balik, pelajari “Apa, Mengapa, Bagaimana,” berpuasa sebenarnya, barulah perlahan-lahan dapat merasai balik nikmat berpuasa.

Didikan dari kecil mungkin hanya mengaitkan puasa dengan makanan sahaja. Kita dididik dengan perkara-perkara yang membatalkan puasa sahaja tetapi kita amat jarang dididik dengan perkara yang mengurangkan pahala puasa. Hikmah-hikmah puasa seperti pendidikan menjadi manusia jujur (Kalau kita mahu boleh saja minum air apabila kita keseorangan, tetapi mengapa kita tidak mahu, kemudian berpura-pura puasa?). Pendidikan yang selalu diterapkan hanyalah — sabar, tunggu, sekejap lagi makan dan minum, sedangkan jikalau dikaji balik, terlalu banyak hikmah dan mesej di sebalik puasa itu.

‘Bulan ibadah’ hampir luput dalam kalendar Ramadan, sedikit demi sedikit bermula dari tahun 80-an. Ia digantikan dengan bulan:

1. Bulan berpesta makanan. Sebutlah, apa saja jenis makanan dan minuman — dari tahi itek hinggalah badak yang berendam, semuanya ada. Orang kata, jual apa saja di Bazar Ramadan (tak payah fikirkan kualiti, rasa, nilai dan kebersihan) — pasti ada saja yang membelinya.

2. Bulan pembaziran. Beli, beli, beli lepas itu buang, buang, buang.

3. Bulan berbelanja lebih. Salah satu hikmah puasa ialah mengurangkan perbelanjaan. Tetapi, perhatikan sendiri, benarkan ia dilaksanakan atau sebaliknya?

4. Bulan keluhan peniaga Bazar Ramadan. Harga bahan mentah melambung-lambung membuatkan berada dalam dilema. Nak dijual mahal, takut tak ada pembeli. Nak jual murah, rugi. Lebih malang lagi, ramai pula ‘peniaga setahun sekali’ yang belum ada ‘flow’ dan belum ada pengalaman. Kira-kira? Tak ada kira-kira sebab kira-kira mudah mereka ialah = beli 50 sen, jual RM1, untung 50 sen. Kerana kira-kira yang silap itulah, ramai peniaga yang termenung pada akhir puasa. Lain kali jangan terpengaruh. Bisnes ada ilmu, teknik dan pengurusannya, bukan berasaskan ‘motivasi, dongeng dan penglipurlara’.

5. Bulan pelik dengan perangai kebanyakan manusia di bumi Malaysia. (Zaman jahiliyah dahulu, aku pun terlibat). Tiang tak ada, dindingnya hendak disandarkan di mana? Bahasa Melayu gagal, seluruh peperiksaan gagal. Puasa boleh buat, tetapi sembahyang mengapa tidak boleh dilaksanakan? Kalau dalam peperiksaan, solat adalah ibarat Bahasa Melayu yang wajib lulus. Gagal Bahasa Melayu, gagallah keseluruhan peperiksaan. Puasa utama tetapi ada yang lebih utama iaitu solat yang menjadi tiang Islam. Seluruh Rukun Islam adalah utama, tidak boleh buat satu, tinggalkan yang lain. Semua mesti diutamakan.

6. Bulan kena kelentong. Setiap tahun kena kelentong dengan diskaun melampau sehingga 70%, tetapi masih lagi membenarkan diri kena kelentong. Gunakan hukum akal — gedung pakaian menerima pakaian secara consignment — tak laku dikembalikan, yang laku dibayar. Pengedar memberikan komisyen dalam lingkungan 25% hingga 35% kepada gedung. Jadi dari langit mana datangnya diskaun sehingga 70%, kalau bukan helah semata-mata.

Dua kompeni Jepun ‘J’ dan ‘S’ memang setiap tahun menggunakan helah diskaun tak kira apa musim pun, tetapi yang peliknya, kita dikurniakan akal, mengapa tidak menggunakan akal. Mengapa sepanjang zaman membiarkan dikelentong dengan diskaun yang tidak masuk akal itu. Helahnya amat mudah — naikkan harga kemudian beri potongan harga. Harga asal RM100, dinaikkan harga menjadi RM200 kemudian beri diskaun 50%, balik kepada RM100. Helah semata-mata. Tak percaya? Lihat kepada tag tanda harga. Ia masih baru sahaja, baru dilekatkan, membuktikan harga tersebut baru sahaja ditukar. Akan kekal ada yang tukang kelentong selagi ada yang rela dan suka dikelentong, bertahun-tahun, sepanjang zaman.

Jadi, bagaimana untuk mengembalikan nikmat berpuasa supaya terasa ‘sampai dan kena’ puasa kita itu? Rasanya, kembali kepada asas — ilmu yang dipelajari dan kemudian dipraktikkan. Apa itu puasa, sejarahnya, hendaklah dipelajari. Mengapa berpuasa, mestilah dipelajari kemudian dipraktikkan. Bagaimana cara sebenar berpuasa mesti diklaksanakan. Akhirnya, jangan kaitkan puasa dengan pesta makanan, InsyaAllah, perlahan-lahan nikmat itu akan datang kembali.

Nikmat bukan boleh dicari dimana-mana. Ia adalah pemberian Allah, atas usaha gigih kita.

Razzi Armansur

Razzi Armansur

Once a writer always a writer.