Razzi Armansur

Dah Datuk pulak dah….

“Robin Labi? Aik.. Dah jadi Robin? Baru sekejap jadi Haji, sekarang dah jadi Robin pulak…” Kata Haji Bakhil dalam filem “Nasib Si Labu Labi.” Sesudah lambakan Dr. Ayam di Malaysia ini, dalam MLM dan luar MLM, kini menjadi-jadi pula meletakkan ‘Datuk’ di depan nama. Kita namakan juga ‘Datuk Ayam’ atau ‘Datuk Palsu’ atau ‘Datuk Perasan’.

Kalau anda bertanya, “Tak tahu malukah mereka?” Mana mereka tahu apa itu “malu”. Sedangkan lulusan SPM (mungkin) tak pernah ada Diploma, tak pernah ada Ijazah, tak pernah belajar sampai Master (MA), tak pernah pun sampai PhD, bahkan tidak tahu proses untuk belajar sampai MA, dengan selamba dan muka bodoh, tak malu, meletakkan Dr. di depan nama. Tanyalah mereka, “Apa beza Doktor MD dengan Doktor PhD,” pasti mereka ternganga.

Tak pernah pun menjadi pensyarah Universiti yang diiktiraf, tiba-tiba ada ‘Prof’. Tak pernah pun tunduk di depan Queen Elizabeth untuk diletakkan pedang di atas bahu (Knighting), tiba-tiba ada ‘Sir’.

Bahkan, yang lebih kelakar, mereka membuat fatwa sendiri, “Ada dua. Satu doktor perubatan, satu lagi doktor perubatan alternatif.” Entah fatwa dari mana. Dapat dalam mimpi agaknya. Adakah mereka bersalah? Tidak. Yang bersalah adalah kita jikalau kita mempercayai.

Mengenai Datuk pula — Datuk Ayam itu sendiri tidak tahu membezakan antara ‘Datuk’ dengan ‘Dato’ dengan ‘Dato’ Seri’. Seolah-olah sedang memandu kereta tetapi tidak tahu kereta apa yang dipandu. Negeri mana yang memberi anugerah Datuk, Dato’ dan Dato’ Seri pun tidak tahu. Negeri mana yang ada Sultan tetapi tidak dipanggil Sultan, pun mereka tidak tahu. Selamba saja letak Datuk di depan nama tanpa mengetahui asal usulnya.

Apa buktinya seseorang itu ada Datuk? Susah nak buktikan. Majlis Datuk-Datuk pun amat jarang update. Hanya ada 2 cara sahaja — bertanya kepada Datuk Ayam tadi dari mana mendapat Datukship kemudian menelefon kepada pegawai Istana. Katalah dia meletakkan Dato’ Seri di depan nama, kemudian katanya anugerah dari Kedah. Anda hendaklah menelefon Istana Anak Bukit bertanya pegawai Istana wujud atau tidak penama tersebut sebagai penerima anugerah Dato’ Seri. Bimbang nanti, pihak Istana kata, “Kami tidak pernah memberi anugerah Dato’ Seri. Hanya Dato’ sahaja.”

Kedua, lihat pada gambar ketika Sultan atau Yang DiPertuan Negeri menyematkan pingat atau mengalungkan selempang pada penerima anugerah tersebut. Kalau betul ada, gambar itu akan dibesarkan dan digantung di ruang tamu. Selalunya begitu untuk ‘mengumumkan’ pada dunia bahawa dia memperoleh Datuk atau Dato’. Dahulu protokolnya ialah memakai satu sut baju Melayu hitam dan wajib bersongkok. Kini mungkin masih lagi sama, mesti pakai baju melayu hitam.

Gambar itu akan dijaga lebih dari nyawa sendiri. Percayalah, kalau rumah terbakar, bukan anak yang diselamatkan terlebih dahulu tetapi gambar tersebut. Tetapi, gambar tersebut tidak boleh dipercayai kerana penerimaa AMN dan PJK pun ada gambar begitu juga. Bagaimana kalau setakat menerima PJK kemudian kelentong ramai dia menerima Datuk?

Kalau setakat bergambar di depan singgahsana (tempat Sultan bersemayam) memang tidak boleh dipercayai. Anda boleh bergambar di depan singgahsana pada bila-bila masa. Bawa baju Melayu hitam, kemudian pergi ke Muzium Negara, bukan muzium yang besar tetapi sebelah belakang, ada muzium tempat pameran, di situ ada singgahsana, bergambarlah di depan singgahsana, tidak ada siapa yang melarang. Selepas itu war-warkan kepada orang bodoh bahawa anda baru sahaja menerima Datuk. Kalau ada yang pandai bertanya, “Sepatutnya gambar Sultan tengah menyematkan pingat,” pandai-pandailah anda kelentong. Jangan kelentong kata tak sempat sebab memang sudah sedia jurugambar khas pada majlis tersebut.

Kalau hendak mengabui orang bodoh dengan Dr. Ayam lagilah amat mudah. Pergi sahaja ke kedai gambar, mereka sudah menyediakan sut konvo dan skrol. Bergambarlah sebanyak mana tidak ada yang melarang, kemudian beritahu umum bahawa anda baru sahaja menerima anugerah PhD yang membawa gelaran Dr.

Baru-baru ini terjadi kemalangan maut di tempat saya. Entah apa kaitannya, mungkin kenalan atau saudara, ternampak Kamal Affendi, penganalisis jenayah. Kesempatan saya gunakan untuk bertanya mengenai siasatan beliau tentang Dr. Ayam dan juga Datuk Ayam.

Katanya, “Kalau bertujuan untuk menipu, memang salah.” Contoh untuk menipu — menghulurkan kad perniagaan yang tertera Datuk di pangkal namanya, kemudian memperdaya orang yang mempercayai dia Datuk (kononya Datuk itu banyak duit dan sukses — itu persepsinya), maka Datuk Ayam tadi boleh didakwa. Cuma memang sukar sekali untuk mendakwa dan mensabitkan kesalahan. Tidak pasti di bawah jenayah atau sivil. Patutlah, makin berlambak Datuk Ayam, rupanya memang sukar untuk didakwa dan dibuktikan bersalah. Selepas ini, peniaga pasal malam, penjual cendol pun boleh meletakkan pangkat Datuk kalau mahu.

Kamal Affendi sempat menyebut seorang penyanyi wanita yang popular di tahun 80-an, juga meletakkan gelaran Datuk Ayam.

“Kalau Dr. Ayam pula bagaimana?”

“Dr. palsu lain pula ceritanya. Ia melibatkan profesion.” Kata Kamal Affendi. Diyakini, Kamal Affendi masih meneruskan siasatan Dr. Ayam ini.

Saya ingin bertanya lebih lanjut tetapi tidak sempat. Ingin saya bertanya — jikalau meletakkan Dr Ayam di depan nama, bertujuan untuk memperdayakan orang supaya datang mendengar ceramah penglipurlaranya, mendengar merapu, bolehkah dikategorikan sebagai menggunakan Datuk untuk menipu? Kalau meletakkan Dato’ atau Datuk Ayam pada kulit buku supaya orang percaya dan membeli buku yang penuh dongeng dan tidak berfakta, adakah ia juga satu kesalahan menipu?

Untuk apa sebenarnya beria-ia meletakkan nama Datuk atau Dato’ palsu itu? Ada nilai kah yang dikatakan Datuk atau Dato’ ini? Shah Rukh Khan pun dapat Datuk. Yahya Sulung pelawak itu pun ada Datuk.

Untuk apa? Supaya orang mendengar ceramahnya? Azmin Ali tidak ada Datuk atau Dato’, Lim Kit Siang pun tidak ada, tetapi mengapa puluhan ribu datang ke ceramah mereka? Anthony Robbins tak ada Datuk atau Dato’ tetapi mengapa orang sanggup membayar begitu tinggi untuk cermamahnya? Sebab cermahnya bukan ceramah motivasi, dongeng, gelak-gelak dan penglipurlara. Semua faktanya tepat untuk menambah ilmu yang boleh dilaksanakan.

Supaya kita jangan terpedaya dan untuk membuktikan Dr. Ayam dan Datuk Ayam, mudah sekali — “Jikalau terlalu ‘mendatukkan’ dan ‘mendoktorkan’ dirinya, sah dia adalah Dr. Ayam atau / dan Dartuk Ayam.”

Seorang kawan yang masih menonton TV3 memberitahu kisah kelakar. Ada seorang Dr. Ayam yang berambut pelik sikat ke depan membahasakan dirinya “Doktor” bukan “Saya”. “Doktor rasa doktor ada jawapan untuk perkara ini….” Tidak pasti hendak muntah atau hendak terjun ke sungai. Pergilah ke klinik atau hospital. Pernahkah doktor yang belajar perubatan sehingga 7 tahun itu membahasakankan dirinya, “Doktor”?

Kalau dalam MLM, menjadi streotaip — beri produk pada Sultan, kemudian Sultan sembuh dan diberi anugerah Datuk. Memang dasar penipu! Semudah itu? Atau beri produk pada kerabat, kemudian kerabat itu rekomen pada Sultan untuk beri Datuk. Persepsinya, orang MLM kaki kelentong (kena jamak, walaupun ramai yang jujur) jadi, walaupun perkara itu betul tetap dianggap tipu. Apatah lagi kalau benar-benar tipu. Dapat juga tambahan — kononnya produk mereka begitu berkesan dan ajaib, turun dari langit sehingga boleh menyembuhkan Sultan. Sekarang ini Sultan Kelantan tengah sakit, ada atau tidak yang berani bersuara memberi produk MLM kepada Sultan Kelantan? Kalau yang kelentong pada saya bahawa dia yang membawa pelaburan sebanyak trilion kepada negeri Kelantan memang pernah saya jumpa. Rupanya million, billion sudah tak pandang. Trilion pula. Saya tidak menyalahkan orang itu kerana memang kerjanya kelentong. Saya hanya tertanya-tanya, “Adakah muka saya ini nampak macam orang bodoh?”

Adakah orang yang menggunakan gelaran Datuk Ayam itu orang yang berani? Tidak. Bagi saya mereka pengecut. Kalau berani tentu mereka meletakkan “Dato’ Seri, Tan Sri, Tun”.

Ingatlah “potong Q” pun berdosa kerana mengambil hak orang lain, apatah lagi menipu masyarakat ramai dengan meletakkan Datuk Ayam dan Dr. Ayam.

Razzi Armansur

Razzi Armansur

Once a writer always a writer.