Razzi Armansur

Bagaimana orang Malaysia boleh sampai ke kutub utara semasa khutbah?

Setiap Jumaat diseru tapi sejak berjuta Jumaat begitu keadaannya — bagai lalat hinggap di hidung pakai ketis saja.

Kenapa? Sebab masa itu dah mula melayang nak lelap. Semasa khutbah Jumaat sekarang, kalau tak semua, hampir semua tengah memejamkan mata, bukan menghayati sebaliknya, lelap atau separa sedar. Kalau ada yang celik, sedang buat ‘senaman jari’ — main phone. Kalau ada yang celik pun, selalunya mata memandang telinga mendengar, tapi otak melayang jauh melepasi dinding dan bumbung masjid, sampai khutub utara.

Kenapa? Tentu ada sebabnya. Orang-orang agama perlu cari sebab dan mengatasinya. Kamu dibayar gaji, jadi janganlah kata, “Mana aku tau…”
Dalam satu ceramah zaman dulu, memang lucu sampai sekarang teringat-ingat, lebih kurang, “Kalau khatib itu tak membaca khutbah, dia pun tidur atas mimbar.”

Setiap minggu diseru — TAKWA. Ada kesan tak? Lihat sendiri, dari sehari ke sehari, adakah orang Islam di sekeliling kita ini makin bertakwa atau sebaliknya. Dari satu Jumaat ke satu Jumaat, adakah takwa menjadi keutamaan? Buktikan sendiri. Takwa terlihat bukan pada mulut tapi pada hasilnya, impak.

Kenapa? Sebab yang paling asas di antara yang paling asas — ramai sangat yang tidak faham makna takwa.

Mamak suka sangat guna nama-nama Islam untuk restoran, termasuk ‘takwa’ ini bagi menunjukkan mereka Islam, halal punya. Tapi bila ditanya, “Apa makna takwa?” Jawapannya, “Saya tak tau la bang…”

Orang Melayu ada guna nama-nama Islam untuk kedai atau bisnes mereka? Seperti tidak ada sebab nama-nama itu seperti ‘hak cipta’ kedai makan kaum India.

Orang Melayu pula ‘hak cipta’nya pangkal nama bisnes ada ‘D’ — D’Gaya, D’Selera, D’Remaja. D’Makan, D’Minum, D’Kaya, D’Miskin…

Oleh sebab tak faham, tak tahu, tak dengar pun apa yang diucap, macam mana nak capai matlamat menjadi lebih takwa dari Jumaat ke Jumaat berikutnya selagi ada bulan dan bintang? Memang tak akan terjadilah.
Dulu ramai yang menyangka takwa itu ‘takut’. Bukan. Itu selalunya penjelasan oleh Ostad tangan cengkok, Ostad Sampul. Mungkin juga Ostad jual topi rajah selipar.

Takwa ialah, “SEDAYA UPAYA menuruti suruhan Allah; SEDAYA UPAYA menjauhi larangan Allah.” Itu saja. Tapi ramai tak faham. Menjadi tugas orang-orang agama untuk memberi kefahaman.

Diibaratkan takwa itu berjalan di atas jalan yang penuh duri dan kita berkaki ayam. Bagaimana? Tentulah sangat berhati-hati supaya tidak terpijak duri.
Dalam kehidupan seharian, kita berjalan di atas jalan berduri — berhati-hati suaya setiap langkah kita adalah dalam lingkungan menuruti suruhan Allah, dan sentiasa menjauhi larangan-Nya.

Kang Razzi Armansur