Pisang goreng kononnya landasan jutawan
Posting pada:  26 Jan 2007 ( 1979 kali di baca )

Razzi Armansur menulis: Goreng pisang dengan bola sepak mengalami beberapa kali perdebatan dari segi sebutan. Diperdebatkan sama ada goreng pisang atau pisang goreng; bola sepak atau sepak bola -- akhirnya dipersetujui objek di depan perbuatan di belakang -- pisang goreng, bola sepak -- tetapi tertinggal satu -- sepak takraw -- sepatutnya takraw sepak. Apa khabar DPB (Dewan Perosak Bahasa)?

Dalam bola sepak (bukan takraw sepak) ada istilah yang menggelikan hati disuarakan sejak berpuluh tahun oleh pengulas sukan dan wartawan sukan. 'Free Kick' diterjemahkan sebagai "Sepakan Percuma". Bermakna sepakan lain kena bayar, sebab itu ada khas sepakan yang percuma. Free tidak semestinya percuma. Free juga membawa maksud bebas. Bukankah "Sepakan Bebas" lebih tepat sebab yang menyepaknya bebas nak menyepak ke mana saja bola tersebut. Nak sepak ke luar padang pun dia punya pasal. Bebas. Kadang-kadang lucu teringat terjemahan 'subtitles' filem-filem lama. Bukan seperti sekarang di mana terjemahannya agak teliti. Dulu, "Lets get down to the business" diterjemahkan, "Mari turun buat perniagaan." Dan dalam filem Tora! Tora! Tora! -- "Fire! Fire!" diterjemahkan, "Api! Api!" sedangkan ia adalah arahan menembak! Boleh dimaafkan sebab syarat subtitles baru saja dikuat kuasakan.

Ada sepasang suami isteri yang mengoreng pisang menghasikan pisang goreng untuk jualan. Ramailah yang membelinya. Jika menurut pandangan kasar, aktiviti tersebut boleh menjadikan suami isteri tersebut jutawan. Kira sendiri dengan "otak bisnes" berapa perolehannya. Selepas itu mesti tahu berapa margin, berapa perbelanjaan. Jangan fikir duit tunai yang diterima itu adalah keuntungan bersih.

Kalau ikut pandangan kasar -- sehari pendapatan RM500, sebulan RM15,000, 10 bulan = RM150,000.00, 100 bulan = RM1.5 juta -- menjadi jutawan dengan menjual pisang goreng dalam masa 100 bulan. Itu kira-kira orang yang tak belajar. RM500 itu perolehan kasar, berapa perolehan bersih? Dan, berapa kawah pisang goreng perlu dijual untuk mendapat jualan RM500 itu kalau se (sebuah atau sebiji atau seketul?) harganya 10 sen atau 20 sen? Itu asasnya.

Petang tadi selepas mengambil anak saya dari SERAMBI, di Masjid Al Gufran (Balai Islam), yang sepanjang zaman sentiasa diperbaiki dan ditambah -- seperti ada saja yang tak siap -- singgahlah nak beli pisang goreng. Pisang goreng dah habis dan sedang digoreng. Saya terkejut bila si isteri berkata, "Pisang goreng tak ada, ini lambat lagi, tak payah tunggu." Selalunya tak pernah dia berkasar begitu, itu yang menyebabkan saya pelik.

Sepanjang jalan saya berkata kepada anak bongsu saya yang bakal mewarisi Armansur.com Berhad, "Sampai bila pun orang Melayu susah nak maju. Ezik dengar tak tadi apa kesilapannya." Ezika berfikir seketika sebelum menjawab, "Entah..." "Jangan main entah-entah, fikir dulu!" Saya meninggikan suara. "Hmmm... tak tahu." Ini salahnya. Dia tak boleh menghalau pembeli. Kan lebih baik kalau dia cakap, "tengah goreng, boleh ye tunggu kejap?"

Selalunya begitulah yang selalu terjadi pada peniaga Melayu. Penjaja Melayu termasuk juga. Tak konsisten! Mula-mula memanglah layanannya "first class". Lama-kelamaan bila pembeli sudah ramai dan seakan tetap, mulalah buat cincai, lebih kurang saja sebab tahu, pembeli akan tetap juga datang tak kira apa keadaan sekali pun. Sebab itulah dalam berjualan dan bisnes, penanding amat penting sekali. Jika ada penanding kita akan bersungguh-sungguh untuk menambat pembeli! Perhatikan sendiri perniagaan atau berjualan yang tidak ada penanding atau kurang penanding -- pasti lebih kurang saja layanannya. Bahkan adakalanya biadap terhadap pembeli.

Sekali membeli dengan kita, selamanya terus membeli -- anak, cucu, cicit menjadi pelanggan tetap sepanjang zaman. Jika syarikat besar sentiasa menerapkan CRM (Costumer Relationship Management) mengapa penjaja tak mahu meniru? Fikirkan sendiri mengapa Jusco menyediakan J-Card (bukan percuma). Tak kiralah walau kecil saja perniagaan kita, sama ada kedai gunting, jual aiskrim, tadika, kedai tom-yam, cyber cafe, kedai memperbaiki TV, tetap pembeli menjadi keutamaan. Pembeli dijadikan pelanggan kemudian pelanggan dijadikan pelanggan tetap sepanjang zaman.

Bukankah kerana pembeli dan pelanggan kita berusaha mewujudkan perniagaan? Contohnya -- anda membuka Tadika. Mula-mula kerana ada penanding -- pendidikannya 'first class' -- murid seronok nak datang ke sekolah. Murid cepat pandai membaca, menulis (dan mungkin mengira) kerana anda pun begitu teliti memilih guru tadika untuk mengajar. Lama-kelamaan, bila murid makin ramai, kualiti makin diabaikan. Murid ada yang takut nak ke sekolah kerana ada guru yang marah-marah murid. Bahkan sudah setahun murid belajar masih tak boleh membaca. Lebih dari itu ramai murid yang masih tak kenal huruf dan angka. Itulah contoh yang sering terjadi di depan mata kita setiap hari.

Tahu tak mencukupi, melainkan mengambil iktibar darinya. Ramai, memang ramai yang memberitahu kita tentang pentingnya ilmu sebelum dan semasa melakukan sesuatu. Berjualan, bisnes ada ilmunya. Tapi berapa orang yang mahu melengkapkan diri dengan ilmu sebelum dan semasa bisnes?

Jika anda 'one man show' begitu penting sekali ilmu bisnes. Sering saya bawakan kisah berikut ini semasa perbincangan: Seorang sahabat sangat mahir mengambil gambar, dia membuka kedai gambar -- 6 bulan kemudian kedainya tutup. Kenapa? Kerana dia hanya mahir mengambil gambar, tidak mahir dalam pengurusan kedai gambar. Sama dengan tukang masak yang sedap masakannya, buka kedai tomyam, tak sampai setahun tutup. Apa mesejnya? Kemahiran yang dimiliki sekarang tidak menjamin kejayaan perniagaan. Kerana itu penting sekali kemahiran itu digabungkan dengan kemahiran bisnes. Mahir menggunakan kamera belum tentu menjamin kejayaan bisnes jika tidak digabungkan dengan kemahiran menguruskan bisnes.

 
The comments are owned by the poster. We aren't responsible for their content.

Mutiara Kata

FAST membawa kejayaan hidup di dunia dan akhirat. Rasulullah telah mengamalkannya sepanjang hayat. FAST: Fatonah, Amanah, Sidiq, Tabligh. Amalkan ia!

» Razzi Armansur «

Hubungi

Arkib Artikel

Penaja








Mari Menderma







Web Kegemaran

Tetamu