Apa yang diajar di AKADEMI JUTAWAN
Posting pada:  24 Jan 2007 ( 1210 kali di baca )

Razzi Armansur menulis: AHMAD BAKI tersenyum riang. Bukan senyuman yang dibuat-buat tetapi senyuman yang datang dari hatinya yang gembira. Ada perbezaan senyum dari hati yang gembira berbanding senyuman biasa. Bahkan ada orang kata, senyuman orang kaya dengan orang miskin pun berbeza.

Senyuman Ahmad Baki dimasukkan dalam kategori orang kaya kerana Ahmad Baki kini memang orang kaya. Baru tahap kaya, belum lagi tahap jutawan, tetapi sudah begitu hampir ke taraf jutawan. Hanya beberapa langkah lagi.

Suatu masa dulu, Ahmad Baki agak sedih sebab namanya tidak ada nilai-nilai komersial, hanya seperti nama penghulu dalam filem lama. Kini Ahmad Baki berbangga dengan namanya. Nama itu sentiasa mengingatkan beliau akan baki umur yang masih tertinggal dalam hidupnya di muka bumi ini. Hanya pada baki umur itu sajalah masa yang ada untuk mencari bekalan ke akhirat, berbakti kepada masyarakat dan mencipta kekayaan. Fahamlah kini Ahmad Baki akan kata-kata, "Hidup di muka bumi ini hanya ibarat mimpi pada tidur yang lama." Itu salah satu pelajaran penting yang diajar di Akademi Jutawan.

Ahmad Baki menoleh kepada dua orang rakan kongsinya dalam senyum dan membuka senyuman yang lebih lebar lagi kepada dua wakil syarikat besar di depannya. Bangun dan menjabat tangan dengan riangnya, bertukar dokumen perjanjian menandakan persetujuan membekalkan peralatan dan kelengkapan pertanian bernilai RM5 juta. Apa yang lebih menggembirakan Ahmad Baki ialah urus niaga tersebut yang 'bersih'. Itu yang dicari, itu yang dielakkan, maka itulah yang diperolehi.

Ahmad Baki mencari bisnes yang bersih, mengelakkan perkara-perkara paling keji dalam bisnes iaitu rasuah. Bisnes adalah pekerjaan para Nabi, mengapa mesti dicemari dengan pekerjaan para syaitan? Memang 'perangkap syaitan' sentiasa ternganga di depan mana. Ahmad Baki dan rakan kongsinya berpegang teguh kepada salah satu syarat untuk mengelakkan rasuah dan 'perangkap syaitan' iaitu dengan bergantung kepada Allah SWT, jangan sekali-kali bergantung kepada manusia.

Berusaha di kalangan manusia, bergantung sepenuhnya kepada Allah SWT. Itulah salah satu pelajaran yang dipelajari oleh Ahmad Baki bersama rakan kongsinya, 6 tahun lepas di Akademi Jutawan. Enam tahun, Ahmad Baki bersama rakan kongsinya mengharungi dunia bisnes dengan berbekalkan kesungguhan.

Modal kewangan mereka kecil sahaja; yang besar ialah modal 'kemahuan'. Kemahuan mereka amat kuat sekali. Tiga kemahuan dari tiga manusia yang berkemahuan digabungkan menjadi satu kemahuan yang padu, kuat, amat bertenaga. Kemahuan untuk mencapai misi utama perniagaan mereka. Mereka mesti terus sentiasa harmoni menuju matlamat; jika tidak, kemahuan tersebut akan menjadi lemah dan pudar. Hanya kemahuan yang kuat sahaja berupaya mendatangkan kejayaan.

Dan, menjaga keharmonian bukan sesuatu yang mudah. Juga bukan sesuatu yang mustahil. Rakan kongsi bisnes Ahmad Baki hampir sebaya usianya dan perkongsian itu diasaskan di dalam kelas Akademi Jutawan. Salah satu modul pelajaran di dalam Akademi Jutawan ialah membentuk rakan kongsi yang akan berusaha bersama-sama mengusahakan satu bisnes. Arah tujuan, dengan harmoni menuju arah yang sama -- setiap orang dengan peranan masing-masing.

Mengekalkan keharmonian adalah komitmen sepanjang perkongsian -- ibarat belayar kapal -- jika tidak harmoni, kapal akan tenggelam atau terpesong ke arah lain. Itu juga yang diajar di dalam Akademi Jutawan. "Kalau hendakkan kekayaan mestilah bisnes. Itu kata-kata lapuk!" Kata salah seorang pensyarah di Akademi tersebut. "Kerana banyak kesilapan dalam kata-kata yang dah terlalu tua itu, maka tanpa berfikir, berduyun-duyunlah masuk ke dalam perniagaan. Tak lama kemudian, berduyunlah termenung di pinggir kali, sebab bisnes tak jalan, bisnes mengalami kerugian, bahkan tak tahu apa itu bisnes." Pensyarah itu berhenti sejenak di dalam kelas yang dihadiri 20 orang peserta itu. "Bahkan," pensyarah itu menyambung, "ramai yang tidak tahu membezakan antara bisnes, berjualan dan berjaja. Memang malang sekali. Jadi, siapa kata kalau nak kaya, bisnes? Berapa ramai orang yang bisnes tapi tak juga kaya? Rasulullah SAW pun tak pernah bersabda begitu. Baginda hanya bersabda, jika ada 10 pintu, 9 pintu darinya adalah pintu rezeki dari perniagaan." "Dalam sabda baginda yang lain" pensyarah itu meneruskan, "Barang siapa hendakkan dunia, maka hendaklah dia berilmu; barang siapa hendakkan akhirat maka dia hendaklah berilmu; barang siapa hendakkan dunia dan akhirat hendaklah dia berilmu." Ilmu mengatasi segalanya.

Hendak menjadi jutawan mestilah berilmu. Berilmu mengatasi perniagaan jika hendak menjadi jutawan. Oleh kerana matlamat kita adalah jutawan di dunia dan akhirat sudah tentulah kita perlu berilmu. "Akademi Jutawan sedaya-upaya akan membekalkan anda ilmu teori dan praktikal bagaimana anda boleh menjadi jutawan." Tambah pensyarah tersebut lagi. "Ilmu-ilmu fakta yang boleh dilaksanakan segera, bukan motivasi, penglipur lara dan mengarut. Di dalam Akademi Jutawan tak ada penglipur lara, kononnya jual air kacang soya, jual di pasar malam, boleh menjadi jutawan. Itu penglipur lara yang hanya merosakkan manusia. Hendak menjadi miskin ada ilmunya, hendak menjadi kaya, ada ilmunya. Ia mesti ilmu fakta dan bukan penglipur lara!"

"Lagi satu saya nak tambah. Penting sekali. Orang Melayu, bila sebut saja bisnes, apa yang terbayang di fikirannya?" Pensyarah itu bertanya. Tak ada jawapan. "Orang Melayu fokusnya hanya pada restoran dengan kontraktor binaan. Betul tak?" Ahmad Baki dan siswa lain mengangguk. Belum sempat mengangguk sepenuhnya, pensyarah tersebut menyambung, "Kalau tak percaya, keluar sekejap dan tanya kepada sesiapa saja, kalau nak bisnes, apa bisnesnya. Tuan-tuan dan puan-puan akan mendapat jawapan yang hampir sama -- restoran dan kontraktor binaan. Tak semua, tapi peratusannya tinggi." Kata pensyarah tersebut lagi dengan tersenyum.

"Kena ingat, kedua-duanya adalah perniagaan yang agak bahaya!" Kata pensyarah itu dengan tegas. Kata-kata tersebut menyebabkan siswa di dalam kelas lebih menumpukan perhatian. "Restoran kategori perniagaan runcit. Kalau tuan-tuan dan puan-puan tak ada sistem yang baik, mungkin sebaik KFC atau McD, ia bahaya. Sistem pengurusan tunai, itu maksud saya. Nampak duit setiap hari boleh menyebabkan lupa bahawa itu adalah duit bisnes bukan duit untuk berbelanja sesuka hati. Tak percaya? Cuba tuan-tuan dan puan-puan lepas ini keluar dan buat survey sendiri. Dalam seratus peniaga restoran, berapa orangkah yang ada buat kira-kira? Tak payah cakap pasal sistem, cukup dengan book keeping sahaja."

"Bagaimana pula dengan kontraktor binaan? Ini lagi bahaya. Kenapa hanya fokus kepada dua jenis bisnes ini saja sedangkan ada beratus-ratus, bahkan beribu jenis bisnes lain? Kalau kelas F, ibaratnya mudah saja, tuan-tuan dan puan-puan tabur sebiji beras, tengok berapa puluh atau ratus burung merpati berebut sebutir beras itu. Itulah perumpamaan yang paling tepat bila berebut kontrak untuk kelas bawahan. Kalau sudah berebut begitu, ia akan melibatkan apa?" Pensyarah itu bertanya. Tak ada jawapan. Pensyarah itu bertanya sekali lagi, "Melibatkan apa?" "Rasuah?" Kedengaran suara bergumam di kalangan siswa. "Rasuah. Tuan-tuan dan puan-puan yang kata begitu, saya tak kata apa." Kata pensyarah itu diikuti dengan gelak-gelak kecil di kalangan siswa.

Pensyarah itu berhenti seketika, keluar dari dewan kuliah membiarkan siswa berdiam diri. Rupanya itulah teknik yang digunakan supaya siswa mengingati semula apa yang telah dipelajari. Sesudah 10 minit pensyarah itu masuk semula dan menyambung semula kuliahnya sebelum berhenti rehat tengah hari. Waktu rehat, siswa boleh makan minum di restoran berhampiran dan kemudian bersolat di dewan solat yang luas itu. Pensyarah itu menyambung, "Perniagaan hanya landasan dan bukannya kemestian untuk menjadi jutawan. Kita ambil kaum Jawa sebagai contoh," kata pensyarah yang rasanya berketurunan Jawa itu. "Ramai kaum Jawa Malaysia yang menjadi jutawan tidak melalui perniagaan tetapi melalui salah satu ilmu yang akan dipelajari di dalam Akademi Jutawan. Ilmu penggandaan."

Pensyarah itu kemudian pergi ke papan putih dan menuliskan perkataan PENGGANDAAN dengan besar. Di sebelahnya dituliskan perkataan PELAYARAN, juga dengan besar dan jelas. "Dengan menggabungkan ilmu pelayaran dengan penggandaan, siapa pun boleh menjadi jutawan tanpa mengira di mana kedudukan sekarang. Ilmu pelayaran yang diasaskan oleh Ibnu Sina diajar di Akademi Jutawan. Ia menjadi ilmu asas yang penting untuk mencapai taraf jutawan.

Dengan menggunakan ilmu pelayaran -- pasti RM1 boleh menjadi RM10 dan seterusnya. Ilmu pelayaran hanya sebahagian sahaja -- ia diteruskan dengan berbagai-bagai hukum-hukum penting untuk mencapai tahap jutawan. Antaranya ialah Hukum Seimbang, Hukum Inflasi, Hukum Angka, Hukum Magnet, Hukum Pangkal Hujung, Hukum Penggandaan, Hukum Pelaburan dan berbagai-bagai lagi hukum penting untuk dilaksanakan segera. Paling menarik ialah Hukum Memberi. Tanpa memberi, sukar sekali untuk menjadi jutawan. Apa yang diberi itulah yang menjadikan kaya, bukan apa yang diterima.

Selepas keluar dari Akademi Jutawan, secara rela hati, hampir keseluruhan siswa sentiasa mencari peluang untuk memberi. Bukan sekadar memberi wang, bahkan berbagai jenis pemberian yang disyorkan. Kebanyakan dari mereka menyesal kerana sebelum ini tidak nampak kesenangan dan kekayaan yang tersembunyi di sebalik memberi itu. "Patutlah hidup saya makin susah kerana tidak memberi sebelum ini." Demikian keluhan salah seorang lepasan Akademi Jutawan.

Atas permintaan ramai lepasan Akademi Jutawan, ditubuhkan Tabung Akademi Jutawan atau ringkasnya TAJ. Lepasan Akademi Jutawan menyumbang antara 3 hingga 10 peratus dari perolehan (keuntungan) mereka ke dalam tabung tersebut, setiap bulan, dengan rela hati. Ada yang menyumbang sehingga 20 peratus, bahkan masing-masing berlawan-lawan hendak menyumbang lebih kerana mereka telah mendapat impak dan nikmat dari menyumbang atau melaksanakan Hukum Memberi. Dana yang dihimpun di dalam TAJ diagih-agihkan untuk kebaikan. Sebahagiannya disalurkan kepada pelajar-pelajar termasuk pelajar tahfiz di luar negara yang sangat memerlukan wang pembelajaran. Sebahagian lagi untuk membantu melahirkan usahawan mikro bagi mengatasi kemiskinan. Bukan membasmi tapi mengatasi sebab tak mungkin kemiskinan boleh dibasmi.

Contoh usahawan mikro ialah dengan membekalkan mesin tebu dan ilmu berjualan supaya orang-orang miskin boleh berjualan air tebu bagi memperolehi pendapatan. Itu hanya contoh. TAJ mengelakkan sama-sekali dari memberi bantuan berupa wang kecuali untuk kecemasan. Ada peruntukan khas untuk tabung kecemasan. Pendek kata, TAJ memenuhi konsep --Tanaman? -- benih yang baik akan menghasilkan pokok dan buah yang baik akhirnya akan membawa kebaikan.

Pendek kata, apa yang diajar di Akademi Jutawan adalah berdasarkan modul yang diasaskan dari 'case study'. Diambil dari kisah benar, dari kisah hidup jutawan di Malaysia dan luar negara, diperhalusi, disesuaikan dan dijadikan modul. Tidak ada sama-sekali penglipur lara, berfikir positif, ceramah motivasi dan sebagainya yang hanya merosakkan. Tujuan siswa masuk ke Akademi tersebut adalah untuk menimba ilmu jutawan bukan untuk menyakitkan telinga dengan benda karut-marut tersebut.

Seperti Akademi dan universiti lain, Akademi Jutawan tidak memberi sebarang jaminan. Universiti hanya menyediakan pendidikan bukan jaminan pekerjaan sebaliknya ilmu untuk menangani pekerjaan. Tidak ada jaminan boleh menjadi jutawan selepas keluar dari Akademi Jutawan sebab akademi ini hanya membekalkan ilmu dan fakta untuk menjadi jutawan. Namun peratusan siswa yang menjadi jutawan adalah tinggi setelah mengamalkan ilmu yang diperolehi itu selama sekurang-kurangnya 5 tahun. Tidak ada istilah jutawan segera di dalam Akademi Jutawan. Peruntukan masa selama 5 hingga 10 tahun adalah standard untuk menjadi jutawan.

Namun, mengatasi segalanya, yang paling pasti "Matlamat untuk menjadi kaya" tidak diajar di Akademi Jutawan. "Lihat saja sejarah masa lalu dan sekarang. Mereka yang menjadikan kekayaan, jutawan, kewangan sebagai matlamat telah mengalami kehancuran hidup. Mengejar wang ibarat mengejar dan menangkap angin sahaja. Tak ada orang yang boleh menjadi kaya, sebaliknya ramai yang berakhirnya dengan kemiskinan (miskin segala-galanya) bila menjadikan wang dan kekayaan sebagai matlamat utama. Kaji balik sejarah masa lalu -- kebanyakan yang benar-benar jutawan adalah mereka yang tidak menjadikan jutawan sebagai matlamat. Kita hanya mengulang sejarah!" Tambah pensyarah itu lagi.


AHMAD BAKI berasa amat bersyukur kerana diterima masuk sebagai siswa Akademi Jutawan, bila mengimbas kembali kenangan lalu. Senarai yang menunggu memang panjang kerana Akademi Jutawan tidak mendahulukan kuantiti sebaliknya mengutamakan kualiti. Kuantiti selepas kualiti, bukan terbalik. Kehidupan Ahmad Baki sesudah menjadi siswa lepasan Akademi Jutawan beransur berubah. Bahkan Ahmad Baki merasakan perubahan yang amat mendadak. Dulu wang menjadi masalah harian. Saban hari Ahmad Baki memikirkan tentang wang -- di mana mesti mendapatkan wang secukupnya untuk menyara kehidupan. Hanya untuk menyara kehidupan yang makin menghimpit sahaja. Mempunyai lebih untuk mencapai cita-cita adalah jauh sekali.

Bahkan Ahmad Baki tidak mempunyai sebarang cita-cita melainkan saban hari tenggelam dalam usahanya mencukupkan wang yang tak pernah cukup bagi menyara kehidupan. Berkata Ahmad Baki dalam hati, "Sekiranya anak saya sakit kronik, nampaknya saya menjadi pembunuh mereka sebab saya tak akan mampu membayar belanja perubatan yang berpuluh ribu. Hanya orang mewah sahaja mampu merawat penyakit. Kalau hendak minta derma pun tak mungkin akan mendapat derma sebab yang kaya lebih bersifat tamak dan kedekut, yang miskin tak ada apa lagi yang tinggal untuk didermakan."

Insurans? Tak payahlah bercakap pasal insurans, sedangkan untuk membeli baju baru setahun sekali pun tak berkemampuan. Itulah kesilapan besar Ahmad Baki. Tetapi bukan kesilapan baginya kerana dia tidak tahu. Ahmad Baki sama-sekali tidak tahu bahawa dia akan mendapat apa yang difokus. Ahmad Baki memfokus masalah kewangan kerana itu hidupnya bergelumang dengan masalah kewangan. Ahmad Baki tidak tahu teknik 'Soalan Adalah Jawapan' -- saban hari menyoal, "Mengapa hidupku miskin?" Itulah jawapannya ? sepanjang masa hanya mencari sebab mengapa boleh terus miskin bukan bagaimana boleh menjadi kaya. Itu yang disoal, itulah jawapannya. Itu yang difokus, itulah yang diperolehi. Kerana itulah sering kedengaran, "Yang miskin bertambah miskin, yang kaya bertambah kaya," -- yang miskin sentiasa memfokus kepada kemiskinan kerana suasananya memang miskin, kerana itu semakin bertambah miskin.

Walaupun miskin dan terhimpit, Ahmad Baki tidak miskin ilmu. Dia akan mengumpulkan wang untuk membeli buku-buku yang berkaitan dengan kekayaan dan kewangan. Cuma Ahmad Baki belum bertemu buku yang betul-betul mengajar cara sebenar untuk mencapai tahap jutawan. Bahkan Ahmad Baki tidak menjadikan jutawan sebagai matlamat -- cukup sekadar keluar dari kepompong kemiskinan. Cukup sekadar mempunyai lebih pendapatan untuk simpanan masa depan dan kecemasan. Sekarang ini bukan saja tak lebih bahkan tak kecukupan. Tapi kebanyakan buku-buku 'kekayaan' yang dibeli oleh Ahmad Baki hanya berkisar kepada berfikir positif -- berfikirlah positif bahawa kemiskinan akan berubah menjadi kekayaan, penglipur lara -- berjualan di kaki lima boleh menjadi jutawan, motivasi -- hanya semangat palsu untuk mencapai tahap jutawan. Tidak ada satu buku pun yang menunjukkan dengan tepat cara sebenar untuk keluar dari dunia kemiskinan dan bergerak ke arah kekayaan.

Kerana terlalu ingin tahu cara sebenar untuk bebas dari kemiskinan, Ahmad Baki menghubungi rakan lamanya. Dari perkhabaran yang diterima, sahabat lama yang sudah lebih 5 tahun tidak ditemui itu kini sudah menjadi kaya. Benar atau tidak diketahui, tidak pula boleh disahkan. Kebenarannya ialah bila bukan dari mulut sahabat itu sendiri yang memberitahu umum bahawa dia orang kaya. Orang yang benar-benar kaya tidak akan memberitahu umum bahawa dia adalah orang kaya. Sama kebenarannnya -- hanya doktor palsu yang beria-ia benar memberitahu dia seorang Doktor berkelulusan PhD.

Sahabat Ahmad Baki itu namanya Mohamad Kamil. Dia berbesar hati untuk bertemu dengan Ahmad Baki. Bahkan dia berasa amat gembira sekali. Bertemulah mereka di sebuah restoran di dalam Jaya Supermarket di Petaling Jaya. Gembira bukan kepalang dua sahabat yang lama tak bertemu itu. Perubahan yang paling jelas pada Mohamad Kamil ialah pada ketawanya. "Ketawa orang kaya, lain dengan ketawa orang miskin," fikir Ahmad Baki.

"Begini Mil," Ahmad Baki memulakan pertanyaannya sesudah puas bergelak ketawa. "Aku ni, kau tahulah hidup aku macam ini. Aku nak tanya kau, macam mana kau boleh jadi kaya macam sekarang? Aku nak belajar. Bukan aku nak duit kau; aku nak ilmu kau." Kata Ahmad Baki dengan merendah diri.

"Kaya? Aku kaya?" Jawab Kamil dengan spontan. "Manalah aku kaya?" Kamil merendah diri. Suasana diam sebentar. Diam Ahmad adalah meminta Mohamad Kamil meneruskan. "Aku tak pandai nak mengajar sebab aku dulu pun belajar. Sekarang pun masih belajar lagi." Mohamad Kamil memecah kesunyian. Sebenarnya tidak memecah kesunyian sebab memang agak bising suasana di dalam dan di luar restoran itu.

Ahmad Baki memandang dengan hampa. "Sikit pun tak ada?" "Tak boleh sikit-sikit. Ingat pesan Sir Isaac Newton -- Little knowledge is dangerous." Mohamad Kamil diam seketika.

"Apa yang kau tahu tentang Akademi Jutawan?" Ahmad Baki hanya menggelengkan kepala. "Apa itu?"

"Akademi untuk kau belajar cara meninggalkan kemiskinan dan menuju hidup sebagai jutawan."

"Aku ini dah muak dengan benda-benda macam itu. Seminar, kursus, berfikir positif?" Kata Ahmad Baki dengan nada agak hampa.

"Oh, bukan begitu Mat," kata Mohamad Kamil, "ini lain. Sama-sekali lain dengan yang pernah kau dengar. Dua tahun lepas aku masuk akademi itu."

Ahmad Baki ternganga. "Kau masuk akademi, akademi, akademi apa tu?"

"Akademi Jutawan. Ya, aku bekas siswa Akademi Jutawan. Sebab itu aku berani mengesyorkan pada kau sahabat baikku. Kalau tak bagus, masakan aku nak syorkan pada kau." Kata Mohamad Kamil dengan tersenyum.

"Eh, di mana Akademi Jutawan tu? Saya nak masuk." Ahmad Baki tak sabar-sabar hendak mempelajari ilmu kekayaan.

"Nanti dulu. Sabar dulu. Biar aku beritahu syarat nak masuk Akademi Jutawan."

"Apa syaratnya?"

"Tak ada syarat apa-apa melainkan kemahuan. Kau dah semak sekuat mana kemahuan kau?" Tanya Kamil.

"Dah. Memang aku sangat berkemahuan." Ahmad Baki menjawab.

"Betul?" Kamil bertanya dengan serius. "Kalau betul, baguslah. Bayarannya RM1,000 sehari."

Ahmad Baki hampir terbeliak. "Ingatkan percuma. Seribu ringgit sehari? Berapa hari?"

"Berapa hari pun tak kisah kan, sebab kau dah kata kau memang berkemahuan. Mahal macam mana sekalipun, kerana kemahuan, mesti kau usahakan juga kan? Kursusnya cuma sehari, lebih kurang 8 jam. Masih berkemahuan?" Ahmad Baki hanya diam.

Kemahuannya kini berbelah bagi disebabkan bayarannya sebanyak RM1,000 itu. Kalau dia mempunyai lebihan RM1,000.00, esok pagi dia akan mendaftar di Akademi Jutawan. Tak mengapa, dia sanggup menunggu walau setahun, asalkan diterima masuk ke dalam Akademi Jutawan yang sejak lama melahirkan jutawan-jutawan atau bakal jutawan. Esok dia akan mendaftar dan dimasukkan ke dalam senarai menunggu. Dia bersedia, berkemahuan kalau ada RM1,000.00. "Tapi mengapa mesti ada kalau?" Ahmad Baki bertanya kepada diri sendiri. Tak ada jawapan. Kemahuannya makin luntur.

Ahmad Baki mahu membuka mulut untuk meminjam wang dari Mohamad Kamil tapi serasa mulutnya melekat, kena gam. "Saya boleh beri kau pinjam wang untuk masuk Akademi Jutawan." Kamil seakan dapat membaca riak muka Ahmad Baki. Hati Ahmad Baki melonjak. "Tapi," Kamil berkata sambil memandang dengan tepat. Perkataan 'Tapi' itu membuat hati Ahmad Baki kuncup kembali. "Tapi," Mohamad Kamil menyambung kembali, "bukan itu caranya. Kau kena cari duit sendiri baru kau menghargai setiap patah perkataan, tiap inci ilmu dari Akademi Jutawan. Kalau aku beri kau pinjam, bermakna aku menyudukan, menyuapkan. Kau tak akan menghargai. Jangan bimbang Mat, kau dah kata kau berkemahuan, pasti kau akan dapat cara untuk masuk ke Akademi Jutawan."

Ahmad Baki diam, mengakui kata-kata sahabatnya itu. Dia berkemahuan, pastinya dia akan mencari apa saja cara untuk masuk ke Akademi Jutawan. Baginya, dengan berkemahuan, tidak ada yang sukar. Menjadi sukar kerana kurang atau tidak berkemahuan. Menjadi sukar kerana menganggapnya sukar.

Sebulan dari tarikh dia bertemu sahabat karibnya itu, Ahmad Baki menghulurkan wang RM1,000 kepada pendaftar Akademi Jutawan. Jangan tanya di mana Ahmad Baki mendapat wang itu. Tanyalah bagaimana Ahmad Baki mendapatnya. Jawapannya telah anda ketahui -- dengan kemahuan yang amat kuat. Ahmad Baki sangat bernasib baik. Dia diterima masuk ke dalam Akademi Jutawan dengan hanya menunggu dalam masa 2 bulan sahaja.

Dengan berbekalkan kemahuan dan semangat yang agak luar biasa, Ahmad Baki masuk ke dewan kuliah Akademi Jutawan menimba satu per satu ilmu kekayaan yang bakal dipraktikkan untuk membawanya ke alam jutawan.

 
The comments are owned by the poster. We aren't responsible for their content.

Mutiara Kata

Paku yang menonjol akan diketuk

» Peribahasa Jepun «

Hubungi

Arkib Artikel

Penaja








Mari Menderma







Web Kegemaran

Tetamu