Jangan dibunuh angsa bertelur emas
Posting pada:  16 Jan 2007 ( 1674 kali di baca )

Razzi Armansur menulis: Cerita menarik sepanjang zaman yang penuh dengan pengajaran tetapi telah lama dilupakan. Ataupun membacanya kerana hendak seronok bukan mengambil pengajaran darinya. Cerita "Angsa Bertelur Emas" saya baca semasa kecil lagi, kekal diingati sampai hari ini.

Itulah kekuatan cerita. Manusia suka bercerita dan manusia suka mendengar cerita. Al-Quran adalah cerita tentang dunia dan akhirat. Lukisan-lukisan di dinding gua adalah cerita. Pendek kata, sejak dahulukala, manusia memang suka bercerita dan mendengar cerita.

Kita masih ingat lagi cerita semasa kita di darjah 2. Contohnya cerita "Itek dengan Kura-kura" masih kekal di ingatan kita. Begitu juga cerita "Arnab dan Kura-kura." Nampaknya kura-kura satu haiwan yang glamour dalam cerita-cerita rakyat. Itulah salah satu contoh bagaimana kreatifnya guru-guru dulu -- mendidik kerana Allah. Guru sekarang? Nilai sendiri, apa jenis guru jika berkata, "Taknak belajar kamu yang rugi, gaji saya macam biasa." Saya tak pernah dengar guru berkata begitu dulu.

Baru-baru ini saya bertanya kepada Guru Besar sekolah anak bongsu saya yang melarang murid-murid menggunakan pensel lead (mekanikal). Adakah ia arahan Kementerian yang diterajui oleh Menteri Keris? Bukan, katanya. Ia arahan sekolah. Mengapa? Sebab ia tajam, tulisannya halus. Lalu saya berkata, "Jadi tak payahlah anak saya asah pensel biasa dengan tajam. Kalau nak kira tajam, semua pensel tajam. Cikgu ini ikut perkembangan atau tidak? Pensel mekanikal pun ada yang tebal sehingga 0.7 point. Tebal. Ia lebih jimat." Guru Besar tersebut tak dapat menahan emosi dan berkata dengan marah, "Suka hati anak Enciklah nak gunakan apa pun?" Itulah contoh Guru yang emosi.

Apalah nasib anak murid sekarang. Sudahlah pagi kena pikul batu-bata, ke tingkat yang paling atas, dapat Guru Besar yang emosi, ditambah dengan guru yang menjadikan kerjaya guru sebagai pilihan terakhir, bukan kerana minat. Seorang guru sekolah menengah sesedapnya dia melempang anak saya hanya kerana mengunyah chewing gum, sedangkan boleh dinasihati supaya dibuang. Tidak ada undang-undang bertulis atau lisan yang membolehkan guru melempang anak murid hanya kerana mengunyah chewing gum. Saya lihat tidak ada satu pun perkataan chewing gum atau gula-gula getah, atau gula-gula, tertulis dalam buku peraturan sekolah. Dan murid hanya boleh disebat dari pinggang ke bawah (bahagian belakang) -- itu pun jika kesalahan serius sesudah 3 kali amaran -- bukan melempang.

Saya telah beri peluang agar guru tersebut meminta maaf dari anak saya tetapi dia bangga dengan egonya, enggan meminta maaf. Tindakannya itu disokong oleh pengerusi PIBG sekolah tersebut. Sebagai pengerusi PIBG dia sepatutnya menjadi orang tengah bukan memenangkan mengatakan tindakan guru tersebut adalah betul. Pandai atau bodoh?

------

Masih ingat cerita "Angsa Bertelur Emas"? Setiap dari kita mempunyai angsa bertelur emas. Jangan bunuh ia. Kita tidak sedar adanya angsa bertelur emas di dalam diri kita ini, sebab itu kita selalu mengabaikannya, bukan menggunakannya.

Kisah berlaku suatu masa dulu bila sepasang suami isteri miskin (selalunya begitulah -- miskin menjadi penyeri cerita), tiba-tiba mendapati angsa betina yang dipeliharanya bertelur emas. Esoknya, angsa tersebut juga bertelur emas. Begitu juga dengan hari-hari berikutnya. Saban hari bertelur emas, akhirnya dari miskin, suami isteri tersebut menjadi kaya. Menjadi kaya kerana setiap hari menjual emas sebesar telur angsa.

Sebagaimana biasa, sifat tamak manusia, bila dah ada sikit nak banyak, bila dapat banyak nak lagi banyak. Beristeri satu nak dua, lepas dua nak tiga, lepas tiga nak empat. Kalau dibolehkan tentu nak lima.

Si isteri mula menjadi tamak. "Sikit-sikit, sebiji sehari begini, lambatlah." Kata isteri kepada suami.

"Bersyukurlah. awak ni tak bolehkah bersyukur? Dari susah kita kini dah menjadi senang." Jawab suami.

"Memanglah bersyukur, tapi kalau ada cara yang lebih baik, takkan kita tak nak?" Kata isteri dengan nada tamak.

"Apa cara yang lebih baik?" Tanya suami.

"Sama saja, kalau sehari sebiji selama seratus hari dengan seratus biji dalam sehari." Kata isteri.

"Maksud awak?"

"Dalam perut angsa ini ada seratus biji telur emas. Kita keluarkan serentak?"

"Hmmm..." Suami bergumam dan mula mengakui kebenarannya.

Berbekalkan kebodohan yang disebabkan oleh sifat tamak, dan sebab mereka tidak belajar biologi, angsa tersebut pun disembelih. Perutnya dibedah. Tidak ada 100 biji telur sebaliknya sesalan tak sudah. Apakan daya, angsa sudah mati, esok tidak akan ada angsa bertelur emas, setiap hari sepanjang hayat angsa tersebut.

-----

Setiap dari kita mempunyai angsa bertelur emas. Jangan sekali-kali dibunuh sebaliknya hendaklah dipelihara dengan baik dan ditambah jumlahnya hingga menjadi beberapa ekor angsa. Jangan sekali-kali dibunuh angsa bertelur emas. Sesal kemudian tak berguna. Tapi ada manusia yang sesal dahulu? Tak ada. Tapi ingat akan kata orang tua, "Fikir itu pelita hidup." Fikir dulu sebelum berbuat sesuatu sebab setiap sesuatu ada impaknya sama ada lambat atau cepat.

Contoh angsa bertelur emas dalam diri kita ialah TENAGA kita. Tenaga kita ini Allah bekalkan dengan percuma. Itulah yang dikatakan setiap dari kita mempunyai angsa bertelur emas. Dengan tenaga itu kita boleh memperolehi seekor lagi angsa bertelur emas. Matlamat kita adalah mempunyai seberapa banyak angsa bertelur emas -- mampu menghasilkan sebanyak mungkin telur emas setiap hari. Lebih mudah begini -- dengan berbekalkan angsa bertelur emas di dalam diri kita (tenaga) kita berusaha untuk mendapatkan seekor lagi angsa yang bertelur emas. Dengan mempunyai seekor angsa bertelur emas, telurnya dikumpulkan dan digunakan untuk membeli seekor lagi angsa bertelur emas. Sekarang anda mempunyai dua ekor angsa bertelur emas -- dua biji telur emas setiap hari, dihimpun untuk membeli seekor lagi angsa bertelur emas.

Begitulah seterusnya hingga mempunyai misalnya 10 hingga 100 angsa bertelur emas, yang menelurkan emas (10 hingga 100) setiap hari. Jangan dibunuh angsa bertelur emas. Mengabaikannya, tidak memberi perhatian secukupnya, makan minum dan kesihatannya tidak dijaga dengan betul adalah ibarat membunuh angsa bertelur emas.

Sebelum mengatakan karut, saya bawakan contoh dari buku baru saya yang berjudul JAWA KAYA (macam sambungan Kampung Kaya) yang dijangka terbit pada bulan Jun nanti. Di dalam buku tersebut saya jelaskan dengan terperinci bagaimana kaum saya memperolehi kekayaan hingga mencapai tahap jutawan. Bukan jual air soya tetapi melalui kebun. Apa yang dilaksanakan sejak dahulukala oleh kaum Jawa itu boleh dilaksanakan di mana-mana oleh mana-mana kaum. Tak semestinya melalui kebun. Banyak cara lain. Fikir pelita hidup. Fikirkan caranya. Teknik dan caranya sama saja, cuma landasannya mungkin berbeza. Orang Jawa menggunakan kebun, anda mungkin melalui pemilikan saham, syarikat, hartanah dan sebagainya.

Matlamat kaum Jawa ialah memiliki tanah seekar terlebih dahulu untuk tapak rumah. Itu matlamatnya. Mula-mula hanya buat pondok dahulu bukan rumah besar seperti sekarang ini. Asalkan boleh berteduh dan beramal ibadat di dalamnya. Di sekeliling rumah, setiap inci tanah dijadikan produktif. Berbagai tanaman di tanam, selain tanaman kekal seperti pokok kelapa, kopi, koko. Tanaman sementara seperti sayur-sayuran adalah unrtuk kegunaan sendiri. Selebihnya akan dijual -- dihadap di pasar minggu. Si isteri mungkin pandai membuat kuih-muih atau kraf tangan akan dihadap sama. Konsep Pasar Tani sekarang ini (sepatutnya petani sendiri menghadap hasil tanaman seperti di Jepun) kemungkinan besar diilhamkan dari kaum Jawa -- menjual hasil tanaman sendiri.

Melalui masa, hasil berjimat dan berjualan, wang yang ada dikumpul dengan tabah untuk membeli "seekor lagi angsa bertelur emas". Sekarang sudah ada 2 ekar kebun. Kebun kedua sekali lagi dijadikan produktif. Dulu yang popular ialah tanaman getah dan kopi. Sesudah mengeluarkan hasil, dengan berjimat-cermat, wang dikumpul untuk membeli seekar lagi kebun sama ada yang masih kosong atau yang sudah mengeluarkan hasil. Melalui masa, jumlah kebun yang dimiliki mungkin sudah menjadi 10 ekar. Ia dijaga dengan baik supaya kekal produktif. Melalui masa juga, tanaman berubah. Kalau dulu popular dengan tanaman getah, kopi, koko, kini tanaman yang popular dan simple ialah kelapa sawit. Hasilnya lumayan dan kerjanya mudah, sebab kelapa sawit adalah tanaman tahan lasak. Sekarang nilai sendiri -- kalau seekar tanah sesudah melalui masa bernilai RM100,000.00 jika 10 ekar bukankah nilainya RM1 juta? Itu salah satu cara yang betul untuk menjadi jutawan.

Dan jangan lupa, setiap bulan, kebun yang 10 ekar dan bernilai RM1,000,000.00 itu mengeluarkan hasil berterusan -- ibarat angsa yang menelurkan emas setiap hari. Juga jangan lupa, melalui masa, nilai tanah akan meningkat dari RM1 juta boleh menjadi RM2 juta dan seterusnya.

 
The comments are owned by the poster. We aren't responsible for their content.

Mutiara Kata

Bagaimana anda menguruskan MAT, itulah yang menentukan hidup anda. MAT: Masa, Akal, Tenaga

» Razzi Armansur «

Hubungi

Arkib Artikel

Penaja








Mari Menderma







Web Kegemaran

Tetamu