Senyum penjual aiskrim
Posting pada:  29 Dec 2006 ( 1301 kali di baca )

Razzi Armansur menulis: Seorang penjual aiskrim telah mendidik saya sehari dua ini. Betapa pentingnya senyum, bukan saja dalam penjualan, bisnes, urusan dan kehidupan. Senyum percuma sahaja, bahkan tidak memerlukan sebarang usaha untuk membengkokkan bibir ke atas. Kajian menunjukkan bermuram durja lebih memerlukan otot berbanding senyum. Pendek kata, susah hati, marah lebih susah dari gembira dan senyum.


Keterangan gambar: Senyum! Dua bakal usahawan yang bakal meneruskan Armansur.com Berhad


Senyum percuma; sebagaimana biasa, kerana ia percuma, ia tidak dihargai. Muram pun percuma, tetapi ia lebih diberi perhatian dan dihargai. Seorang penjual aiskrim, saya tak tahu bangsa apa dia -- mungkin Kampuchea atau Indon, mungkin juga Melayu sentiasa saja senyum tak kira siapa yang ditemui. Sambil membawa motornya dia akan tersenyum lebar kepada siapa saja, termasuk saya. Mula-mula jumpa di Taman Kiara tempat saya bersenam menjaga awet muda (heheheh).

Ada dua penjual aiskrim di situ. Seorang sentiasa masam muka. Anak saya kata, perangainya macam bekas pemain bola sepak yang glamour sekejap, dia akan masam muka kalau kawan sepasukannya menjaringkan gol. Dia nak dia saja yang menjaringkan gol. Penjual aiskrim yang satu lagi, yang sentiasa masam muka itu akan bertambah masam muka jika orang membeli dari penanding di sebelahnya.

Saya lalu di sebelahnya dan dia senyum dengan mesra. Saya tak membeli aiskrim tetapi dia senyum. Semalam dia lalu di depan rumah, sekali lagi dia senyum. Sesungguhnya dia menggembirakan saya dengan senyumannya.

Apa yang boleh saya pelajari? Saya mesti senyum sentiasa. Semua orang mesti senyum selalu bagi mewujudkan suasana riang. Keriangan membawa produktiviti. Tapi, apa yang kita selalu lihat adalah sebaliknya. Hendak melihat orang yang senyum adalah seperti hendak melihat telur dinasour. Memang sukar! Hendak melihat yang senyum ikhlas lebih sukar, seperti sukarnya melihat Dinasour.

Suatu masa dulu ada satu cerita Cina di TV yang sangat menarik perhatian. Kisahnya tentang tauke kedai yang susah sangat hendak senyum dan tenggelam dalam beberapa masalah berat termasuk masalah hutang. Atau kalau tak silap, hutang itulah yang menyebabkan sukar untuk senyum. Seorang sahabat memberikan nasihat yang sangat mudah: lakukan sebaliknya, jangan tenggelam dalam kesusahan. Sebaliknya bermaksud -- kalau susah, jangan tenggelam dalam kesusahan. Kalau miskin jangan terus bawa imej orang miskin -- pakai pakaian dan bawa imej orang kaya -- jika tidak, pasti akan terus tenggelam dalam kemiskinan. Kalau dah miskin, kemudian bawa imej derita -- bertambah-tambah miskin jadinya. Jika mengalami susah, terus-menerus tenggelam dalam kesusahan, atau imej orang susah, pasti sepanjang hayat akan terus susah.

Tak jauh bezanya dengan orang yang sedang tenggelam dalam air tetapi terus merelakan diri (atau kononnya, "berserah") maka dia akan terus tenggelam dan lemas. Jika melakukan sebaliknya -- berusaha sedaya upaya untuk timbul, InsyaAllah dia akan selamat. Dalam cerita Cina tadi, sahabatnya memberikan penawar sakti -- hanya perlu senyum. Itu saja. Biar bagaimana susah sekalipun -- senyum saja. Ia akan menjadi panawar ajaib. Si tauke tadi pun mula senyum, melupakan dukanya, melakukan sebaliknya. Sahabatnya menegur, "itu senyuman palsu, bukan penawar." "Bagaimana yang dikatakan senyuman penawar?" "Senyum penawar bukan di bibir, tetapi bermula di hati. Hati tersenyum. Senyuman dari hati itu menolak bibir ke atas, jadi senyuman itu adalah ikhlas, datang dari hati yang gembira, memancar bukan hanya di bibir bahkan pada wajah."

Jadi tauke Cina tadi pun menggembirakan hatinya, membuatkan hatinya 'tersenyum' -- kegembiraan dan senyuman di hati itu menyerlah di wajah dan bibir secara natural. Mulai dari hari itu juga terjadi satu perubahan drastik. Tauke tersebut semakin hari semakin riang. Kehidupannya makin berubah. Kedainya makin laris. Wang masuk makin banyak, akhirnya hutang yang bertimbun dapat dilangsaikan sedikit demi sedikit. Bila hutangnya makin lenyap, hatinya makin bertambah-tambah riang, kehidupannya makin bertambah-tambah baik.

Itulah yang dimaksudkan dengan 'Penawar Ajaib'. Andainya tauke tadi tidak menggunakan penawar ajaib itu, anda sendiri dapat meneka di mana berakhirnya kehidupan tauke tadi. Penawar ajaib, ubat segala kesakitan, kesusahan, musibah ialah senyuman. Salah satu penawar 'rezeki yang selalu tersekat-sekat' adalah senyuman. Tak payah susah payah jumpa bomoh celaka. Dengan percuma, tanpa bayaran satu sen pun, kita boleh menggunakan penawar ajaib tersebut, bila-bila masa.

Konsep rezeki adalah begini: Allah turunkan rezeki di mana saja ada manusia dan tidak ada manusia di muka bumi ini. Allah SWT tidak menurunkannya di muka pintu rumah kita sebaliknya dalam bentuk mentah. Allah SWT tidak menurunkan KFC sebaliknya memberikan nyawa kepada anak ayam. Selepas itu rezeki ini berjalan dari tangan ke tangan manusia. Dalam filem Wall Street ada dialog yang sangat menarik, "Wang tidak bertambah atau berkurang, ia hanya bertukar tangan." Tangan-tangan manusia membawa, menyampaikan rezeki hinggalah sampai kepada tangan kita. Semestinya kita adalah orang yang disukai barulah kita mempunyai ramai sahabat, kawan, teman, kenalan di keliling kita. Sekarang, anda perlu berada dalam diri orang lain -- mahukan anda mendekati orang yang masam muka, muka derita, muka macam samseng dan memandang anda sebagaimana anda seorang penjenayah? Mahu? Mana yang akan menarik hati anda? Yang senyum atau yang masam muka? Jadi, senyum saja, maniskan muka -- selain anda sendiri akan berasa riang -- ia adalah 'magnet' penarik rezeki. Lebih dari itu ia adalah 'Penawar Ajaib' yang dicari-cari selama ini. Mengatasi segala-galanya ialah: PERCUMA!

 
The comments are owned by the poster. We aren't responsible for their content.

Mutiara Kata

Bahkan orang yang menyimpan penawar racun tak berani nak cuba minum racun.

» Razzi Armansur «

Hubungi

Arkib Artikel

Penaja








Mari Menderma







Web Kegemaran

Tetamu