Hanya gula-gula.... Boleh kaya ke?
Posting pada:  20 Dec 2006 ( 2047 kali di baca )

Razzi Armansur menulis: "Ala gula-gula saja... Boleh kaya ke? Sen-sen saja. Boleh laku ke? Banyak dah gula-gula di pasaran." Itulah jawapannya bila anda mengajukan hendak mencipta dan mengilang gula-gula, katalah gula-gula herba tropika -- mungkin "gula-gula tongkat ali."



Salah siapa sebenarnya? Salah anda sendiri sebab anda mengemukakan idea anda kepada orang yang tak tahu. Kalau dia tahu tentu dia tidak mengeluarkan pendapat bodoh dia secara spontan. Pengajarannya: "Bertanya pada yang tahu, merajuk pada yang kasih, meminta pada yang ada, memberi pada yang sudi menerima." Sepatah kata dari "orang yang tahu sedikit" atau "orang yang memandai (bukan pandai)" atau "orang yang buat-buat tahu" adalah sangat bahaya. Masa depan kita boleh rosak serta-merta jika kita meminta pendapat dari mereka. Jadi, jika anda mempunyai idea -- teruskan. Jika perlu bertanya, tanyalah kepada yang tahu.

Hendak bertanya tentang sesuatu? Lihatlah kaitannya orang itu dengan sesuatu. Jika anda bertanya tentang baja, tanyalah kepada petani. Tanya pasal ikan? Tanyalah dengan kaki pancing. Jika anda bertanya tentang agama, tanyalah kepada yang benar-benar tahu. Jadi, logikkah bertanya tentang bisnes kepada orang yang hanya lepak di kedai kopi?

Suatu masa dulu saya pernah berbincang dengan seseorang. Silap saya, tak sepatutnya berbincang dengannya sebab bukan bidangnya. Saya bercakap tentang perniagaan francais McDonald. Tahu apa jawabnya,"Untung ke burger? Sen sen saja." Pandai ke bodoh? Dari mana dia tahu pasal untung McDonald hanya sen-sen sebab ia burger? Memang sen-sen tapi kalau dah billion sen-sen sehari? Dari mana dia tahu? Hanya berdasarkan sudut pandangan sendiri. Untuk pengetahuan dia pada tahun 1984, kira-kira 20 tahun dulu, pelanggan McDonald sehari adalah sama dengan penduduk Malaysia -- 25 juta orang. Sen-sen? Itu 20 tahun dulu. Hari ini?

Untuk mengesahkan saya bertanya kepada seorang kawan saya yang pernah menjadi pengurus di McDonald. Katanya, McDonald ada standard sendiri. Kurang-kurangnya RM1 juta hungga RM3.5 juta diperlukan untuk membeli francais McDonald. Yang menyedihkan, jika anda mempunyai modal sebanyak itu tak semestinya anda boleh mendapat francais McDonald. Anda mesti sanggup bekerja dari peringkat bawah, meningkat sedikit demi sedikit hinggalah mampu menguruskan kedai barulah dipertimbangkan untuk membeli francais McDonald. Kalau angan-angan anda, selepas jual kebun, beli francais McDonald, kemudia diuruskan oleh orang lain, anda duduk di rumah main-main dengan kucing -- lupakan saja. Cari bisnes lain. Ini kerana McDobald tidak boleh gagal! Kalau gagal bukan anda yang dapat nama sebaliknya McDonald yang dapat nama buruk!

Pada tahun 90'an, McDonald yang paling berjaya ialah di belakang Kota Raya Kuala Lumpur. Pernah melihat McDonald tutup? Tak pernah. McDonald tak boleh tutup sebaliknya dipindahkan ke tempat lain. Sahabat saya tadi telah tersilap langkah mengesyorkan pembukaan McDonald di Chow Kit. Dia sendiri yang mengira jumlah orang yang lalu-lalang di situ. Memang ramai yang lalu lalang. Tak lama kemudian McDonald membuka outlet di situ. Tak lama kemudian terpaksa dipindahkan ke tempat lain sebab yang lalu lalang itu sebahagian besarnya adalah pendatang haram! Mereka tak makan burger. "Apa-apaan ini pak?" Mereka hanya kenal bakso agaknya.

Selang di antaranya, ada seorang usahawan Melayu yang membuka outlet di Kota Bharu. Kejayaan besar menanti beliau. Ramai yang ragu-ragu, termasuk saya. Kelantan? Di Kelantan buka McDonald? Yang pasti saya tersilap besar. Outlet McDonald di Kota Bharu (kini ada 2) adalah antara yang paling berjaya.

Ala gula-gula.... budak-budak saja yang makan... Pendapat siapakah ini? Pendapat orang yang memandai. Ricola (yang khabarnya, "ala... gula-gula...") sudah wujud sejak 1930. Ia adalah gabungan herba-herba dari pergunungan Swiss. Sejak 1930 itu hingga kini Ricola telah berkembang ke seluruh dunia, termasuk Malaysia. Dikatakan sebagai syarikat pembuatan yang kukuh di Swiss.

Jadi, jika sekiranya anda memandang remeh kepada perkara yang dianggap remeh (gula-gula selalunya dipandang remeh), ingati kisah kejayaan Ricola. Jika ada orang yang merendah-rendahkan idea anda, ingati Ricola. Ia tidak mustahil selagi anda mengatakan tidak mustahil. Biar sejuta orang mengatakan mustahil, selagi anda mengatakan tidak mustahil ia pasti akan menjadi tidak mustahil. Mustahil, hanya jika anda mengatakan mustahil.

Ricola sudah melepasi 3 generasi, kekal dan semakin kukuh hingga ke hari ini. Jadi, sebaik sahaja anda memasuki alam bisnes, niatkan di hati, bisnes anda mesti kekal dari satu generasi hingga ke generasi selanjutnya. Boleh? Memang selayaknya begitulah bisnes. "Ala gula-gula... untuk budak-budak saja..." Kata mereka yang tahu sedikit (tahu sedikit adalah merbahaya). Mereka tidak tahu ada penulis terkenal dan kontroversi yang kini mempunyai habit baru menghisap Ricola bila menulis, macam bergantung hayat pulak. Akulah tu...

 
The comments are owned by the poster. We aren't responsible for their content.

Mutiara Kata

Kadang-kadang buku itu 'memilih' orang untuk membacanya

» Dari Filem Hurricane «

Hubungi

Arkib Artikel

Penaja








Mari Menderma







Web Kegemaran

Tetamu