Masuk ke dalam badan James Bond
Posting pada:  17 Dec 2006 ( 1007 kali di baca )

Razzi Armansur menulis: Suatu hari seorang kanak-kanak lengkap dengan 'uniform' Batman pergi ke balkoni dan memanjatnya. Uniformnya sangat mudah: kain emaknya yang diikat di leher. Dari balkoni itu dia akan terbang ke bawah, sama seperti Batman. Dia tidak terbang sebaliknya terhempas dari tingkat 14 dan remuk.



Di suatu tempat lain beberapa orang kanak-kanak yang juga lengkap beruniform Super Hero, menyalakan lilin dan berlari-lari keliling lilin -- salah seorang terlanggar lilin, api menyambar kain yang diikat di leher dan budak itu terbakar, melecur satu badan. cacat seumur hidup.

Ketika Bruce Lee berada di puncak -- gaya, rambut, kung fu, juga kasut, ditiru oleh mereka yang terpengaruh dengan filem-filem Bruce Lee. Sekolah Kungfu tumbuh merata. Pergaduhan ala kungfu pun menjadi-jadi. Masing-masing menyangka dirinya Bruce Lee yang boleh 'flying kick' seperti dalam "Enter The Dragon".

Apa mesejnya? Mesejnya mudah saja. Kita boleh masuk ke dalam diri sesiapa pun dan menjadi seperti dirinya. Kalau tidak 100 peratus, mungkin 50 hingga 90 peratus. Bukan hanya untuk kanak-kanak, bahkan untuk orang dewasa seperti kita. Apa kesempatan yang boleh diambil? Di mana dan bagaimana hendak menggunakannya?

Untuk semangat dan keberanian: Siapa kata semangat, kesungguhan, keberanian kita akan berterusan, berkekalan? Ia sentiasa turun naik dan memerlukan peningkatan sepanjang masa. Ada ketikanya semangat, kemahuan, keberanian kita tinggi. Ada masanya rendah saja. Nama pun manusia. Selagi dinamakan manusia, ia sama dengan makhluk lain -- tidak pernah sempurna. Jika mengalami kemerosotan dari segi semangat, pencapaian dan ingin kembali kepada keadaan di mana semangat dan keberanian anda begitu tinggi, ada 2 cara yang sangat mudah. Oleh kerana mudah mungkin dianggap remeh. Atau mungkin telah berkali-kali menggunakannya tanpa disedari.

Caranya: Ingati kembali pada saat anda menang, ghairah, gembira dan semangat anda berada di puncak. Kecil besar bukan utama. Tak kira, mungkin 10 tahun dulu, mungkin minggu lepas anda mengalaminya. Kenang kembali. Bawa ke hari ini. Lihat apa yang boleh dilihat, dengar apa yang boleh didengar. Dekatkan gambarannya dekat sekali dengan mata, terang jelas berwarna-warni. Dekatkan pendengaran yang anda dengar pada masa itu. Dekatkan hingga menjadi terlalu kuat. Dengan serta-merta perasaan anda akan menjadi sama dengan ketika anda berasa sangat yakin, berani dan bersemangat itu. Jadi, ketiga-tiga visual (gambaran), auditory (pendengaran), kinesthetic (perasaan) adalah menjurus kepada keyakinan diri, keberanaian dan semangat yang tinggi. Yang sangat anda kehendaki dan perlukannya.

Bila telah sampai di satu peringkat yang sangat memuncak dengan segera buat satu 'anchoring'. Anchoring ini lebih kurang seperti sauh yang telah dijatuhkan bila kapal berlabuh. Kompleks membeli-belah sangat pandai melakukan 'Anchoring' bila tiba bulan puasa. Lagu Raya yang telah kita dengar bertahun-tahun, berulang-ulang kali sejak kecil, sebati dalam diri dimainkan -- terjadi kaitan (linking) -- hendak membeli produk yang ada kaitan (dan tak ada kaitan, tetapi dikaitkan) dengan Hari Raya. Tak percaya? Bulan puasa nanti pergilah ke kompleks membeli-belah dan rasakan sendiri perasaan itu. Anda boleh membuat 'Anchoring' sendiri. Bila memuncak, lakukan sesuatu seperti tepuk tangan, picit pergelangan tangan, tepuk meja, melaung atau apa saja yang anda suka. Boleh?

Ulangi lagi proses tadi, kenang dengan dekat semangat masa lalu melalui penglihatan, pendengarn dan perasaan. Sudah dekat? Dekatkan lagi. Sudah besar? Besarkan lagi. Bila perasaan memuncak, lakukan 'Anchoring' yang sama seperti tadi. Lagi, lagi, ulangi lagi sehingga sekurang-kurangnya 10 kali. Sekarang anda sudah ada 'Anchor'. Bila-bila masa bila anda jatuhkan anchor (sauh), kapal akan berlabuh. Bila semangat anda menurun, keberanian anda berkurang, mudah saja, serta-merta lakukan 'Anchoring'. Apa 'Anchor' anda tadi? Bertepuk tangan? Tepuk tangan anda, serta-merta semangat, keberanian dan kekuatan anda memuncak sama seperti yang pernah anda alami masa lalu. Tak percaya? Suka hati, nak percaya atau tak.

Anda boleh melakukannya sekarang. Mana-mana yang pernah saya 'kaunseling' (kononnya) begitu mengakui hebatnya kesan dari melakukan 'Anchoring'. Mereka akan kekal melakukannya seumur hidup, demikian kata mereka. Jika ada cara yang lebih mudah, mengapa menyusahkan diri?

Cara kedua ialah dengan memasukkan diri anda ke dalam hero pujaan anda. Siapa hero pujaan anda? James Bond? Batman? Superman? Spiderman? Tarzan, Jackie Chan? Cara ini agak memakan masa. Anda memerlukan masa untuk menonton filem hero pujaan anda itu. Bagaimanapun, anda boleh memilih adegan-adegan tertentu (biasanya yang lasak) di dalam filem tersebut. Contohnya, dalam Casino Royale, babak permulaan mengejar pembuat bom di bangunan yang sedang dibina hingga sampai ke kedutaan itu menyukakan anda, maka tonton saja bab itu. Atau mungkin semasa kejar-mengejar dengan lori tangki membawa minyak di lapangan terbang untuk menyelamatkan prototaip kapal terbang dari dibom.

Caranya mudah saja: tonton sambil memasukkan diri anda ke dalam hero anda. Rasai sama apa yang dirasai oleh hero. Melompat dari tempat tinggi? Bayangkan itu adalah anda. Memandu kereta Audi sport dengan laju? Itu adalah anda. Melompat dari bangunan ke bangunan dengan bantuan sawang? Itu adalah anda. Terjun dari bangunan yang begitu tinggi terus masuk ke dalam Bat Mobile, pun anda juga. Itu saja yang diperlukan. Dalam masa yang sangat singkat -- semangat, keberanian anda akan meningkat dengan memuncak. Bahkan jika terlalu kerap melakukannya -- tak lama kemudian, cara dan gaya pun akan sama dengan hero pujaan anda.

 
The comments are owned by the poster. We aren't responsible for their content.

Mutiara Kata

Nak cari jalan pastikan destinasinya terlebih dahulu

» Kata Bijaksana «

Hubungi

Arkib Artikel

Penaja








Mari Menderma







Web Kegemaran

Tetamu