Mesej Dalam Botol Nescafe
Posting pada:  08 Jan 2006 ( 1359 kali di baca )

Razzi Armansur menulis: Nescafe adalah Nescafe dan ia jenama kopi yang telah berusia melebihi 100 tahun. Tapi apa mesej yang ingin disampaikan dari sebotol Nescafe?

Masih ingat The Apperantice? Saya rasa perlu lebih banyak rancangan seperti itu untuk mendidik rakyat Malaysia menjadi bijak dalam perniagaan. Supaya lebih ramai usahawan Islam di muka bumi Malaysia. Bukan memperbanyakkan drama dan rancangan-rancangan karut yang hanya merosakkan pemikiran rakyat Malaysia. Bila kita tengok rancangan hiburan di Malaysia ini kita akan berkata, "Patutlah, Malaysia semakin mundur, remaja semakin rosak, rakyat makin bodoh," sebab diperbodohkan oleh rancangan-rancangan yang memperbodohkan rakyat Malaysia. Contoh drama yang memperbodohkan penonton: Chatting menggunakan Word bukan YM, IM atau IRC; beli saham kena pergi ke Bursa Saham; tengah hari buta panas terik pakai kot. Banyak urusan-urusan bisnes di dalam drama tempatan yang menyimpang jauh dari hakikat sebenar. Yang wajib, mesti ada dalam drama: hujan dan kubur.

Rancangan ilmu, rancangan agama dipersingkatkan dan dikurangkan. Kalau ada pun rancangan agama, ia mesti mengampu kerajaan. Kalau teguran agak panas sikit, penceramah akan kena gam. Datuk Dr. Harun Din menegur, "Dulu Mahsuri sumpah tujuh keturunan, sekarang Langkawi hujan arak," terus kena gam.

Melihat rancangan agama memang tak akan dapat ilmu, sebaliknya hanya menyakitkan hati sahaja. Adakalanya mereka sendiri pun tak betul, bagaimana hendak membetulkan orang lain?

Berbalik kepada The Apperantice -- rancangan yang paling banyak ditiru di Malaysia. Secara tiba-tiba perkataan Realiti TV berlegar di Malaysia walaupun ramai yang tak faham apa itu Realiti TV. Entah apa-apa rancangan tiba-tiba akan disebut "satu rancangan Realiti TV." Lucu? apa yang lucu sebab memang itulah tabiat Malaysia. Suka sangat meniru. Tak pernah kreatif. Agak pelik dan sangat pelik bila RTM yang sudah berusia 50 tahun itu sentiasa meniru dan berada di belakang TV3, NTV7. Memang RTM tak tahu malu sejak dulu, kini dan selamanya.

Tapi benarkah bidang keusahawanan digalakkan di Malaysia? Rasaya tidak sama sekali. Hanya sekadar melepaskan batuk di tangga sahaja dan bukan teratas kedudukannya. Contohnya: murid-murid PMR yang tidak mendapat keputusan cemerlang PMR bolehlah masuk ke kelas perdagangan yang mana jelas menunjukkan bahawa perdagangan / keusahawanan / pekerjaan para Nabi ini letaknya di bawah. Sepatutnya untuk memasuki kelas perdagangan hendak sekurang-kurangnya mendapat 5A. Barulah sejak mula lagi perdagangan / keusahawanan dijadikan keutamaan.

Pernah menghadiri seminar keusahawanan? Menjijikkan dan penuh dengan penglipur lara. Hanya menaikkan semangat (atau selalu disebut sebagai "motivasi") tidak ada teknikal. Tak ada walau satu ilmu perniagaan pun yang diperolehi. Lucu. Saya ingatkan boleh mendapat ilmu seperti menghadiri seminar Al-Ries dan Jack Trout.

Dalam The Apperantice banyak sekali yang saya pelajari tentang ilmu perniagaan. Antaranya ialah MESEJ. "Apa mesej yang hendak disampaikan." Bila peserta mendapat tugasan untuk membuat iklan, misalnya iklan PEPSI, peserta akan ditanya, "Apa mesej yang hendak disampaikan." Inilah yang mesti dipelajari jika serius hendak menjadi usahawan. Saya cuba bawakan "MESEJ" ke dalam sebuah syarikat jualan langsung yang hendak meningkatkan jualan. Bagi saya mudah teorinya dan agak sukar pelaksanaannya. Mesti dilaksanakan, walau susah macam mana sekalipun, jika tidak jualan akan terus merudum.

Langkah pertama ialah mengenali penghujungnya: Berapa jumlah jualan yang dikehendaki. Pertengahannya (berapa jumlah jualan yang dikehendaki) dan akhirnya Pangkal (apa yang hendak dibuat supaya mencapai penghujung). Produk mesti ditambah supaya jadi tarikan untuk menyertai dan membeli. Sebelum itu apa "MESEJ" yang hendak disampaikan oleh syarikat tersebut supaya orang ramai datang menyertai dan membeli. Penyelesaian akhirnya diperolehi hanya tinggal pelaksanaan. Tapi biasalah, manusia bukankah hanya suka bercakap.

Sudah berlalu zaman "Belilah.. Datanglah beramai-ramai...." Itu iklan sarkis atau funfair. Sekarang zaman "Mesej". Apa mesej yang hendak disampaikan. Apa yang diperolehi berasaskan "Penglihatan, Pendengaran, Perasaan" bila membeli produk.

Suka dengan iklan Petronas karya Yasmin Ahmad setiap menjelang hari perayaan? Saya paling suka terutama dengan iklan "Janda Anak 7" dan "Deepavali" (tak ingat tajuknya tapi kisah anak muda keturunan India di Bangsar cakap slang Negro, stail ala Negro dan Hip-Hop tiba-tiba di khalayak ramai neneknya datang melaung memanggil namanya dalam bahasa Tamil). Anda suka? Ada tak menyebut perkataan "Belilah minyak Petronas"? Yang ada hanya "mesej". Apa yang hendak disampaikan dalam iklan ala mini drama tersebut? Mesej kedamaian? Mesej kehebatan? Yang pasti ia menyentuh perasaan. Bila lalu di stesen minyak Petronas perasaan itu akan timbul dan singgah di stesen tersebut.

Apa mesej yang hendak disampaikan dari sebotol Nescafe. Dulu iklannya berunsur "sedap". Nescafe itu sedap dan menyegarkan (saya dah lupa rasa Nescafe sebab sudah berhenti minum. Kalau dulu, sehari sekurang-kurangnya 5 cawan besar -- pekat dan pahit). Memandangkan dah ramai pesaing, Nestle mesti memikirkan satu cara lain. Caranya ialah menyampaikan "Mesej". Pernah melihat iklan terbaru Nescafe? Bagi saya ialah: Mesejnya ialah "Kejayaan." Sesiapa yang meminum Nescafe akan berjaya! Dan Nescafe mestilah dijadikan sebagai pembuka hari. Sebelah pagi, permulaannya mestilah Nescafe. Walaupun cara ini salah dalam Islam (dalam Islam digalakkan minum air kosong, fiber, buah-buahan sebagai pembuka hari), tetapi cara pengiklanannya betul. Tak menyebut pun, "Minumlah Nescafe."

Sebagai tambahan, pernahkah anda mendengar lagi lagu yang berada dalam carta melebihi 50 tahun -- "Minum Milo anda jadi sihat dan kuat!" Rasanya sudah tak ada lagi, sebaliknya sama seperti Nescafe -- mesej yang hendak disampaikan ialah "Kejayaan" -- minum milo beroleh kecergasan dan berjaya dalam apa saja bidang. Kalau Nestle boleh melakukannya, apa yang usahawan boleh pelajari darinya?

 
The comments are owned by the poster. We aren't responsible for their content.

Mutiara Kata

Walau sebaik mana seseorang itu, pasti ada yang membencinya. Walau sejahat mana seseorang itu, pasti ada yang menyukainya.

» Kata Bijaksana «

Hubungi

Arkib Artikel

Penaja








Mari Menderma







Web Kegemaran

Tetamu