Pengajaran Dari Petir
Posting pada:  05 Dec 2006 ( 1437 kali di baca )

Razzi Armansur menulis: Sungai Pencala di bawah bukit. Namanya Bukit Kiara. Menurut sains, kawasan bawah bukit memang selalu kena petir. Memang betul -- kilat, petir, guruh di sini memang menakutkan. Bila terkena tidak ada maaf. Rasanya belum ada manusia yang kena, tetapi yang kerap sangat terkena ialah komputer dan peralatan elektrik.

Dalam masa yang sama, yang riang ria ialah kedai membaiki elektrik, juga mereka yang memperbaiki komputer. Betul atau tidak kata peribahasa Tionghua, "Dalam setiap keadaan sama ada akan beroleh kerugian atau keuntungan"? Dulu orang kata, di sini selalu sangat kena petir sebab di sini adalah kawasan maksiat atau munafik. Mungkin betul.

Komputer saya kena sambar -- jahanam. Saya tak kisah pun kena sambar, sebab memang ia nak kena. Apa yang saya kisahkan dan kesalkan sangat ialah data-data penting di dalam komputer itu. Habis jahanam. Pengajaran pertama: Jangan sekali-kali bermain dengan "Nantilah?" Inilah sebenarnya yang dilarang dalam Islam bila hendak melakukan kebaikan. Kalau hendak melakukan keburukan memang amat digalakkan "Nantilahlah?" Kegagalan, kemiskinan, kerosakan, kebanyakannya berpunca dari "Nantilah?" itu. Data berharga, bernilai jutaan ringgit (oppsss.... rupiah) itu memang sudah sampai masanya untuk dibuat 'backup' sama ada masukkan ke dalam DVD atau external hard disk atau ke server Ukhwah.com (tumpang) atau paling senang masukkan ke dalam emel yahoo atau gmail. Tetapi, saban hari asyik berkata "Nantilah... banyak kerja ni..." Akhirnya, layak atau tidak saya menerima bahana tersebut kerana melanggar apa yang dilarang dalam Islam.

Sememangnya Islam melarang dari bertangguh perkara kebaikan. Teringat satu drama Melayu lama (drama baru membuatkan loya) di mana kisah tiga sahabat tua hendak melarikan diri dari Rumah Orang Tua. Sampai di pagar azan berkumandang. Yang Islam tadi berhenti, tak jadi nak melarikan diri. Yang India bertanya, "Kenapa?" "Dah azan, saya mesti sembahyang dulu." Si India dan Cina berkata, "Kita lari dulu, nanti boleh sembahyang." Maka orang tua Melayu itu menjawab, "Tak boleh. Sembahyang mana boleh tangguh. Sembahyang dulu baru lari." Mereka pun masuk balik ke dalam bangunan.

Jangan sekali-kali diamalkan penyakit "Nantilah" yang membawa kepada kepapaan, kerosakan, kegagalan. Sejak beberapa hari sebelum data penting itu lenyap sekelip mata, hati ini berkata-kata, "Buat 'backup' sekarang, nanti kalau dah kena, apa yang nak di'backup'? Orang kata itu adalah "gerak hati" atau "suara hati". Jadi, pengajaran kedua ialah: Percaya kepada gerak hati sendiri. Kenapa ia tidak dipercayai sedangkan ia datangnya dari hati sendiri? Pengajaran ketiga: Tolong hingga selesai dan terbaik seperi ahli Sufi. Kalau menolong hendaklah dengan ikhlas barulah menghasilkan yang terbaik.

Bagaimana hendak menerapkan ikhlas? Mudah saja -- gembira kerana dapat menolong. Ada perasaan suka kerana menolong. Farid ialah sahabat karib saya yang juga sama-sama mengasaskan Kelab Komputer dan IT suatu masa dulu (kini tapak kelab itu sudah menjadi kawasan istana Pahamin Rejab). Selama ini Farid yang membantu saya semua yang berkaitan dengan 'hardware' komputer. Saya tak berapa tahu tentang 'hardware'. Dia ada cyber cafe dan dalam masa yang sama membuat servis memperbaiki komputer.

Sejak dulu, jika saya ada masalah komputer, Farid yang membantu, menolong hingga selesai. Dengan saya dia tak mahu mengenakan bayaran. Saya jadi malu kerana dia tidak mahu mengambil upah. Apa yang saya kagumi ialah keikhlasan dan cara menolong beliau -- hingga selesai. Bahkan ada peringkat dia mengeluarkan duit dia sendiri untuk menolong. Sama-sama pergi ke Low Yatt mencari motherboard. Sanggup dia meluangkan masa untuk keluar ke Low Yatt yang macam pasar borong itu. Sanggup dia menggunakan kepakarannya tanpa sebarang bayaran hanya semata-mata kerana hendak menolong.

Wajah cerminan hati. Betul begitu? Sebahagiannya saja betul. Wajah Farid semasa membantu saya (sejak dari dulu) memang sentiasa riang. Dengan mudah kita boleh melihat keikhlasan seseorang melalui riak muka mereka.

Pengajaran Keempat: Sambut pelanggan dengan persepsi bahawa pelanggan itu akan kekal menjadi pelanggan tetap. Inilah salah satu rahsia kejayaan usahawan Cina. Dalam masa yang sama mesin basuh dan peti ais di rumah saya rosak, di hari yang sama dengan komputer kena sambar petir. Duit lagi..... Menurut kata mereka yang tahu, seakan mustahil peti ais atau mesin basuh kena sambar petir. Ada, tapi mungkin satu dalam sejuta. Jadi, apa puncanya? Lebihan elektrik, kemungkinan besar.

Memang sudah hendak kena, maka tak ada pilihan lain selain menghantar kepada kedai memperbaiki barangan elektrik di atas bukit sebelah Balai Islam. Kedai Cina. Tak mungkin akan saya menghantar ke kedai Melayu yang memang ada di Sungai Pencala ini kerana mereka bukan memperbaiki tetapi mencipta alasan. Janji 2 hari, tetapi akhirnya menjadi 2 minggu atau 2 bulan bahkan terbabas sampai 2 tahun. Telah tersedia alasan jika barang elektrik tersebut tak siap lagi, sebab mereka bukan memperbaiki tetapi menambah alasan.

Saya paling benci dengan istilah, "Mengayakan Cina." Ini istilah purba yang menjadi kesukaan orang-orang yang memandai. Yang peliknya, mengapa tak pernah bising, tak pernah sebut pun, "Mengayakan India atau Mamak?." Memang ramai yang membantu mengayakan Ananda Krishnan dengan berlanggan Maxis dan Astro. Tak ada yang bising pula jika kita mengayakan Jepun ? dalam rumah penuh dengan barangan elektrik Jepun. Sudahlah kita dulu dijajah, dipijak-pijak Jepun, kini kita mengayakan mereka. Kenapa hanya menyebut "Mengayakan Cina?" Saban hari kita mengayakan Mamak sedangkan kalau nak dibandingkan dengan Cina -- Mamaklah yang lebih kuat menipu. Mamaklah yang lebih kuat menggunakan sentimen Islam untuk membina kekayaan. Berapa orang sebenarnya yang ragu akan halalnya makanan di restoran Mamak? Tak ramai, sebab lebih ramai yang percaya kalau restoran Mamak adalah seratus peratus halal tanpa waswas. Kita hendak mengayakan Melayu tetapi akhirnya kita balik yang terkena.

Contohnya bila menghantar ke kedai Melayu -- kita terkena balik, dikelentong setiap hari sedangkan kita sangat memerlukan barangan kita dengan segera. Setiap kali kita cuba hendak menolong Melayu, alangkah malangnya ? kita dibalas dengan kelentong dan keburukan. Contohnya ialah mereka yang terpedaya mengundi SMS untuk Sawi. Sudahlah mengayakan Ananda Krishnan -- menaikkan Sawi pula. Bila telah naik -- saban hari kita dikelentong balik dengan cerita-cerita karut, sebab bila telah menjadi artis, adalah mustahil jika tidak kelentong dan menipu. Dunia akan segera kiamat jika artis tidak kelentong.

"Cina..." Kata mereka yang berfikiran purba. Bagi saya sangat mudah. Saya akan bertanya kembali, "Kalau Cina kenapa?" "Buat apa kayakan Cina?" "Habis kalau kayakan Cina kenapa? Kenapa kamu tak bising kayakan Mamak, India, Jepun, Orang Putih?"

Saya sempat melawat-lawat tempat memperbaiki peralatan elektrik yang luas itu. Taukenya sendiri datang melayan saya dengan riang dan gembira. Saya berasa sangat gembira berurusan dengan mereka. Itulah yang perlu dipelajari. Pelanggan adalah tetamu yang mesti dilayan -- bukankah itu ajaran Islam? Tapi mengapa kedai Melayu sebahagiannya menganggap pelanggan seperti musuh. Mengapa diterbalikkan -- "Saya tidak memerlukan pelanggan sebaliknya pelanggan memerlukan saya." Persepsi inilah selalunya yang menjadi pegangan peniaga Melayu.

Ia adalah 180 darjah berbeza dengan peniaga Cina yang berpegang kepada, "Perniagaan saya diwujudkan adalah kerana pelanggan." Di pusat memperbaiki tersebut, pekerjanya memang ramai dan terlatih kerana itulah cepat siap dan "zero defect". Pelanggan dijamin berpuas hati dan akan kembali bahkan mengesyorkan kepada rakan-rakan yang lain dengan sukarela. Amat berbeza dengan kedai Melayu yang mana selalunya adalah "one man show" dan tidak cukup terlatih atau hanya sekadar tahu sedikit berasaskan "dengar-dengar". Kerana itu dua hari terbabas menjadi dua tahun. Pengajaran dari situ: ramai dan terlatih tak mencukupi. Masing-masing dengan peranannya, tidak campur tangan dengan peranan orang lain sebaliknya menumpukan kepada peranan masing-masing, itulah rahsia kejayaan pertubuhan termasuklah bisnes.

Saya pernah seketika bercampur di pejabat sebuah kumpulan nasyid yang sedang merudum. Memang agak lucu cara pengurusan mereka. Pengurus membawa filem percetakan ke pencetak sedangkan itu adalah kerja pembantu pejabat. PR (kononnya) membuang masa menulis lirik dan tidur di belakang sedangkan tugas sebenarnya ialah memperkenalkan bisnes dan kumpulan dengan lebih luas lagi. Kerani yang sepatutnya bekerja sebagai pembantu menyibuk campur tangan hal reka bentuk. Lucu? Itulah sebenarnya gambaran atau amalan sebahagian besar bisnes orang Melayu.

Satu lagi persepsi yang membezakan adalah tentang membayar gaji. Kebanyakan peniaga Melayu yang saya temui beranggapan, "Bagaimana kalau tak dapat membayar gaji?" Persepi menentukan arah -- maka kekallah dengan pekerja yang sedikit atau "one man show" -- sekaligus kekal sekadar hanya cukup makan dan tak mampu membayar zakat dalam jumlah yang besar! Amat berbeza dengan usahawan Cina yang mana persepsinya adalah berbeza, "Bagaimana supaya boleh membayar gaji yang banyak?"

Persepsi menentukan arah. Jadi sudah nampak perbezaan arah yang dituju oleh peniaga Melayu dengan usahawan Cina? Jadi, di mana salahnya kalau Cina lebih maju dan kaya? Saya melihat persamaannya di PTS. Sehingga kini pekerja PTS ada lebih kurang 50 orang. Bagi orang biasa akan melihat dari perspektif, "Bagaimana kalau tak mampu membayar gaji?" Anggaran gajinya melebihi RM300,000 sebulan. Inilah bezanya perspektif orang biasa dengan perspektif pembesar-pembesar PTS yang belajar dari usahawan dan bisnes Cina. Bila ramai pekerja yang terlatih dan produktif -- banyaklah produk yang dihasilkan. Jualan terhasil dari produk. Banyak produk bermakna banyaklah jualan. Dari jualan inilah digunakan untuk membayar 'overhead' dan untuk kemajuan. Maka ada juga yang mempertikai dengan satu soalan bengap bila telah banyak produk, "Kalau tak laku macam mana?" Bandingkan soalan itu dengan soalan dari usahawan Cina -- "Macam mana nak bagi laku?" Persepsi menentukan arah. Soalan adalah jawapan.

 
The comments are owned by the poster. We aren't responsible for their content.

Mutiara Kata

Mulut yang tertutup tidak dapat menangkap lalat

» Dari novel 'Noble House' «

Hubungi

Arkib Artikel

Penaja








Mari Menderma







Web Kegemaran

Tetamu