Kajian terkini: Bumi ini leper
Posting pada:  05 Dec 2006 ( 1476 kali di baca )

Razzi Armansur menulis: Tengahari tadi Azman Ching, ikon industri MLM menelefon saya. Batuk-batuk. Dalam batuk-batuk sempat dia bercerita tentang, "Pendidikan seumur hidup." Tahun depan genaplah 10 tahun saya bersahabat dengan Azman Ching.


Keterangan gambar: Atas kiri: Seandainya anda seorang yang terkenal, kaya dan menjadi ikon, sanggupkah anda melakukan begini? Atas kanan: Bersama Rudy S, sahabat wartawan. Bawah: Gan Ah Seng, penceramah terkenal: "Tahu saja tak cukup kalau tidak ada tindakan!"

Saya suka bersahabat dengannya, walaupun kadang-kadang lama menyepi. Dia seorang yang suka merendah diri walaupun sangat kaya dan telah menjadi ikon dalam industri MLM. Kalau ada yang melebih-lebih tentang dirinya -- nampak berlagak dengan rumah yang bernilai RM3.5 juta, keretanya, bangunannya adalah semata-mata untuk imej bisnesnya bukan untuk berlagak.
Pendiriannya juga tegas di sebalik sikapnya yang pemurah. Pemurah wang dan pemurah ilmu. Tegas digambarkan begini: "Man, pinjam aku dalam RM100,000 nak buat bisnes." Dia menjawab, "Aku sendiri pun susah payah, kau senang-senang nak pinjam. Kau kena susah-payah dulu baru boleh dapat duit banyak tu." Kemudian dia menambah, "Tunggu aku jadi menteri ke, timbalan menteri ke, ketua bahagian ke, nanti aku bagi projek best..." Orang nak sekarang, bukan nak akan datang. Azman juga memberitahu, hujung Januari 2007 ini beliau akan bergabung dengan Gan Ah Seng dalam satu seminar. Agak singkat sahaja Azman bercerita tentang kaedah "Pendidiikan Seumur Hidup," sebab dia sudah batuk-batuk dan telinga saya tak tahan mendengar batuknya yang teruk itu. Terasa sangat peritnya kerana saya pernah mengalaminya baru-baru ini.

Pendidikan seumur hidup sudah terlalu kerap kita dengar dan sudah tidak dipedulikan. ia sebenarnya adalah ajaran Islam yang diabaikan oleh orang Islam. Oleh kerana orang Islam mengabaikannya, tidak menghendakinya, ilmu tersebut pergi kepada bukan Islam. Dalam Islam selalu disebut, "Tempoh belajar tiada had, bermula dari dalam rahim hingga ke liang lahad." Hampir semua orang tahu tetapi bak kata Gan Ah Seng, "Tahu tak cukup kalau tak ada tindakan." Kalau tanya pengemis akan rahsia bagaimana menjadi kaya dengan mudah pengemis akan menjawab, "Oooo.... Itu saya tahu... kita mesti rajin, sabar, gigih..." Tahu tak cukup jika tidak ada tindakan. Pengemis menjadi pengemis kerana hanya sekadar tahu sahaja, tidak melaksanakan apa yang diketahui.

Apa yang menghalang dari belajar seumur hidup? Itu soalannya. Apa yang menyebabkan enggan terus belajar menggunakan kesemua pancaindera? Mata, telinga, hidung, mulut (hanya untuk bertanya, bukan untuk memandai), tangan, kaki, otak dan sebagainya. apa yang menghalang? Ego? Mungkin sekali. Bangsa Melayu (Islam terutamanya) akan terus maju ke depan jika menjadikan belajar sebagai amalan seumur hidup. Kaum Cina telah lama maju di depan kerana mengamalkan "pendidikan sepanjang hayat".

"Tapi saya membaca setiap hari. Membaca surat khabar." Akhbar Malaysia terutamanya akhbar Melayu adalah penyebab utama kaum Melayu bangsaku makin mundur. Dalam akhbar tidak ada lain selain mengampu parti U*NO dan BN. Berita yang sepatutnya A hingga Z dipotong menjadi A hingga C sahaja kerana jika disampaikan semua tidak menguntungkan parti. Kalau ada berita mengenai pembangkang atau tidak menguntungkan U*NO atau BN akan dibelit, belit sehingga nampak sangat keburukan pembangkang. Sesekali bila kita teringin hendak membaca rencana nampak sangat artikel tersebut bukan berdasarkan kajian sebaliknya hanya main agak-agak, main dengar-dengar sahaja, rekaan akal wartawan. Faktanya jauh meleset.

Azman tidak hanya bercakap. Beliau melaburkan wang yang banyak untuk membeli ilmu -- buku-buku baru dari Taiwan. Saya pernah bersama beliau berbelanja buku. Dalam sekelip mata beliau menghabiskan RM400 untuk membeli buku yang kemudian akan dibaca, dihabiskan dengan segera. Selepas itu diamalkan dan disampaikan semula kepada orang ramai. Kerana itu beliau lebih dulu tahu dan lebih dulu mengamalkan dan lebih dulu maju ke depan. Contohnya, saya baru saja mendengar tentang "Strategi Laut Biru" tetapi beliau telah lebih dulu mengamalkan sesudah membaca terjemahannya dalam bahasa Cina. Azman kemudian mengajar saya bagaimana cara untuk menyeberang dari laut merah yang berdarah menuju ke laut biru yang tenang menguntungkan.

Tadi semasa menelefon, Azman juga menyebut tentang "The World Is Flat" -- bumi ini leper bukan bulat sebagaimana sepatutnya. Buku tersebut telah saya lihat dipamerkan di MPH One Utama dan dikategorikan sebagai "world betseller". Rupanya Azman telah lebih dulu membaca terjemahannya dalam bahasa Cina dan telah pun mengamalkannya. Orang Melayu? Akan segera membaca jika ia adalah hiburan. Pasaran untuk buku ilmiah mungkin kurang, kerana itu ia tidak segera diterjemahkan kepada Bahasa Melayu sebagaimana pantasnya terjemahan buku ilmiah di Indonesia dan Thailand.

Saya bertanya, "Apa dia The World Is Flat itu?" Azman kemudian menerangkan -- ia adalah anologi untuk globalisasi. Masih ingat lagi bagaimana gegak gempitanya globalisasi yang kita dengar baru-baru ini, kemudian senyap sebab yang menyebutnya (menteri) hanya menjadikan perkataan globalisasi itu sebagai bahan publisiti sebagaimana dulu suka sangat menyebut "anjakan paradigma" untuk bahan publisiti tanpa ada tindakan! Bukan globalisasi itu yang dimaksudkan. Itu globalisasi untuk bahan publisiti menteri.

The World Is Flat adalah sama rata. Peluang dan persaingan yang kini sama rata. Kalau dulu seolah-olah ada blok-blok yang tidak terjangkau, kini melalui berbagai-bagai teknologi, cara dan politik, peluang dan persaingannya sama rata.

Azman seterusnya menerangkan dengan memberikan contoh. Kalau dulu, anak taknak makan, ibu akan menyebut, "Makanlah, untung kita masih boleh makan, kat Afghanistan, Palestin, ramai yang tak dapat makan." Seolah-olah bumi ini tak rata, ada bahagian yang mewah dengan makanan dan ada bahagian lagi tak ada makanan. Menurut Azman lagi, kini sudah berubah, sudah rata atau sama rata terutama dari segi persaingan. Kata ibu kepada anak sudah berubah, "Kalau kamu tak majukan diri, tak berada di depan, peluang pekerjaan akan diambil oleh orang-orang yang sebaya dengan kamu dari Pakistan, India, Afghanistan..." Bagaimana mengatasi persaingan akibat bumi yang sudah rata? Azman sekali lagi megesyorkan "Pendidikan sepanjang hayat."


 
The comments are owned by the poster. We aren't responsible for their content.

Mutiara Kata

Lebih banyak yang dilihat dan didengar, lebih banyak yang akan dibeli

» Seminar Perniagaan «

Hubungi

Arkib Artikel

Penaja








Mari Menderma







Web Kegemaran

Tetamu