Dari telinga turun ke jari
Posting pada:  05 Dec 2006 ( 1237 kali di baca )

Razzi Armansur menulis: Teknik ini sudah ramai yang tahu, cuma sekadar mengingatkan sahaja terutama untuk penulis yang mahu menghasilkan "masterpiece" bukan yang "asal siap". Ramai yang mengamalkan teknik ini tanpa menyedari. Mereka mencari-cari sebab-musabab ? macam mana saya boleh menulis sebaik ini? Seolah-olah tidak percaya diri sendiri sebenarnya pernah menghasilkan tulisan yang sangat menarik.

Apa punca dan rahsianya? Langkah pertama yang paling utama dan penting sekali ialah arah, atau persepsi kerana persepsi menentukan arah. Apa "mindset" (set minda? Macam kelakar saja bunyinya) anda untuk buku atau tulisan anda. Ini sangat penting sekali kerana mustahil anda akan ke utara jika mindset anda ke selatan. Mustahil anda akan menghasilkan tulisan yang terbaik jika mindset anda, "Ala lebih kurang sudahlah..."

Menulis adalah seperti bertukang. Mungkin betul sebab secara istilahnya ialah "Tukang tulis". Khabarnya kalau yang berkaitan dengan "Tukang" susah nak kaya. Macam tak betul saja... Tak betul untuk tukang tulis tapi betul untuk tukang yang lain. Tukang kayu = rumah sendiri tak pernah siap atau senget beberapa darjah sebab asyik menyiapkan rumah orang lain. Tukang kasut = berpuluh tahun masih di kaki lima walau selayaknya sudah mempunyai kedai kasut. Tukang jahit = berpuluh tahun masih begitu -- suka goyang kaki. Tukang bebel atau tukang karut di syarikat MLM (kononnya trainer) = makin mengarut sebab makin tak tahu malu meletakkan berbagai jenis gelaran di depan nama. Bahkan ada yang entah nak dikata muka apa -- mungkin lebih dari muka tembok, gelaran Dr. disulam pada baju. Tak tahulah sama ada kita ini nak muntah atau nak pengsan melihatnya.

Menulis adalah seperti bertukang dan kerja-kerja lain yang perlukan seni dan teknologi. Ada seni dan teknologinya sendiri dalam penulisan. Bukan main hentam. 'Mindset'nya mudah, "Saya sedang menghasilkan masterpiece' -- serentak dengan itu gunakan kaedah NLP -- sudah boleh nampak gambaran buku yang dihasilkan -- dekat dengan mata, berwarna-warni, ada bunyi-bunyi kuat memberikan tahniah dan sokongan kepada buku tersebut, serta-merta dapat merasai kegembiraan yang luar biasa. Dalam sehari, lakukan berkali-kali.

Ramai penulis yang menggunakan kaedah tersebut tanpa menyedari. Jika misalnya anda bertanya kepada Sidney Sheldon, Al-Ries, Jack Trout, Mitch Albom, Puan Ainon Mohd, apakah strategi yang mereka gunakan untuk menulis buku -- lebih kurang jawapannya adalah sama -- Visual, Auditory, Kinesthetic. Menggambarkan atau tergambar buku yang telah siap walaupun belum bermula menulis. Serentak dengan itu terdengar suara memuji-muji dan mengucapkan tahniah atas kejayaan buku tersebut. Kedua-dua visual dan auditory tadi menghasilkan kinesthetic -- perasaan yang sangat gembira. Bila jari mula diletakkan di keyboard -- segalanya berjalan lancar dan natural. Sekali lagi gunakan slogan Nike -- "Just Do It!" Letakkan jari dan taip huruf pertama, perkataan pertama, ayat pertama dan perenggan pertama, muka surat pertama. Barulah akan ada "magnet" untuk menghasilkan muka surat seterusnya.

Apa yang hendak ditulis? Ada beberapa orang termasuk anak saya yang telah saya tunjukkan teknik PATAH MUNTAH SUAMI BERISTERI LIMA. Di lain masa akan saya terangkan. Saya mahu menjadi seperti Canselor Universiti PTS, Puan Ainon Mohd. yang tidak pernah sekali pun kedekut ilmu.

Saya suka bertanya kepada beberapa orang yang bercita-cita hendak menulis tetapi tak pernah pun memulakan. Mereka sendiri tak tahu menjawab sebab mengapa tidak memulakan. Takkan ada penghujung jika tidak ada permulaan. Apa punca yang menghalang? Tak ada jawapan. Cuma kebanyakan mereka mengatakan, "Tak tahu di mana nak bermula." Di mana nak bermula? Mulakan saja, lakukan saja seperti slogan Nike -- itulah jawapan kepada "Di mana nak bermula?"

Lagi satu, mereka menggambarkan kesusahan yang bakal ditempuhi jika menulis. Motivasi yang terbalik hanya menghasilkan kegagalan. Motivasi terbaik adalah berganjak dari keburukan kepada kebaikan -- ada kebaikan besar yang menjadi motif di depan sana, barulah mampu meletakkan jari di keyboard dan mula menulis. Terbalikkan -- dari keburukan sekarang jika tidak mula menulis berganjak ke arah kebaikan besar yang menunggu jika mula menulis sekarang!

Dari telinga turun ke jari. Bagaimana? Tulisan anda semakin laju semakin sedap dibaca jika semasa menulis anda diiringi dengan suatu emosi yang menggembirakan. Emosi ini berbeza untuk setiap manusia. Ada orang yang mendengar cerita sedih, membaca cerita sedih, emosinya menjadi gembira, ada yang tidak takut bahkan mencari-cari takut bila membaca cerita hantu. Bagi saya, emosi saya terangsang dan menjadi gembira bila mendengar lagu lama. Bila mendengar lagu baru, tiba-tiba saya loya dan kadang terpaksa dikejarkan ke hospital kerana penyakit loya.

Bagi saya kategori lama ialah lagu-lagu zaman Francessca Peter, Siti Fairuz, Azlina Aziz, The Steps, di tahun 80'an. Pendek kata penyanyi yang menyanyi kerana suara dan kebolehan menyanyi, bukan kerana publisiti atau undian SMS. Kadang terbabas kepada penyanyi 60'an dan 70'an seperti Sanisah Huri, Uji Rashid, Datin Rafeah Buang. Yang menjadi kebencian saya dan ramai yang lain ialah bila lagu lama dinyanyikan semula oleh penyanyi baru tanpa memberitahu bahawa itu adalah lagu lama yang pernah dinyanyikan oleh penyanyi sekian, sekian, hingga menyebabkan generasi baru tertipu kerana penyanyi baru itu mengaku seolah-olah ia adalah lagunya. Contohnya lagu J.Mizan "Hari ini dan semalam" dinyanyikan semula oleh kumpulan rock entah dari mana seolah-olah mengaku lagu tersebut adalah lagu asal kumpulan tersebut.

Bila saya menulis, saya akan mengenakan headphone dan mendengar lagu-lagu dari tahun 80'an. Emosi saya menjadi sangat gembira menjadikan jari saya mengetuk keybord dengan laju. Idea mengalir dari kepala otak terus kepada jari. Seingat saya, semasa menulis buku Kampung Kaya, saya mendengar lagu Sanisah Huri berkali-kali tanpa henti. Buku itu ditulis dalam masa 2 minggu sahaja. Seperti tadi juga, ramai yang telah menggunakan teknik tersebut tanpa disedari. Mungkin tidak menggunakan headphone, mungkin juga bukan lagu lama, tetapi konsepnya masih sama -- auditory atau visual yang boleh memberikan emosi gembira untuk mengalirkan idea dari otak kepada jari.

Kepada yang belum menggunakan teknik ini, anda boleh memulakan sekarang dan lihat, rasai sendiri kesannya. Buat masa ini saya sedang menulis buku dan sedang menggunakan teknik tersebut. Buat masa ini lagu yang menggembirakn saya ialah lagu dari Kumpulan The Steps, "Sekian Lama Aku Merinduimu". Agak jiwang sikit.

Quote:

Sekian Lama Aku Merinduimu

Telah lama ku merindu berita oh darimu
Namun mengapa kau menyepikan diri
Sehingga ku ternanti

Terhapuskah cinta kita
Setelah berjauhan kasih
Usah biarkan ku tertunggu-tunggu
Menganggu fikiranku

Sekian lama aku merinduimu
Sekian lama ku menanti
Hanya wajahmu bermain di mataku
Dan aku masih setia

Hatiku tertanya
Adakah engkau sudah
mempunyai teman yang baru

Hatiku tertanya-tanya
Adakah engkau sudah
melupakan diri ini

Kian lama ku merindu
padamu kekasihku
Namun mengapa kau mendiamkan diri
Resahnya dihatiku




Lagu ini ada kenangannya. Lagu ini kalau tak silap, komposernya anak Ahmad Nawab dan liriknya oleh Juwie Auwww... Penyanyai utamanya ialah Idzhar yang meninggal dunia di Kulim pada tahun 2004 kerana demam campak.

Kenangannya: Video klip lagu ini dibuat di Tanjung Karang. Idzhar menyanyi di sawah dan diperhatikan oleh perempuan di balik tingkap rumah. Perempuan itu ialah Veronica Nunis. Pernah berkawan dengan Veronica yang juga penyanyi kecil-kecilan di zamannya.

Veronica dan famili tinggal di Jalan Bachang. Saya tak tahu, rasanya tak ada lagi Jalan Bachang itu, yakni, kalau tak silap jalan nak masuk ke Kampung Kasipillay, kawasan setinggan tertua (80 tahun) di Kuala Lumpur yang kini tinggal sejarah bila tinggal 4 rumah setinggan sahaja yang baru-baru ini telah terbakar atau dibakar.

 
The comments are owned by the poster. We aren't responsible for their content.

Mutiara Kata

Dalam satu-satu masa, sama ada kita sedang membuat duit atau membelanjakan duit.

» Razzi Armansur «

Hubungi

Arkib Artikel

Penaja








Mari Menderma







Web Kegemaran

Tetamu