Kalau nak dapat Datuk
Posting pada:  09 Nov 2006 ( 1876 kali di baca )

Razzi Armansur menulis: Melalak. Itu saja. Melalak dengan menyanyi dua perkara berbeza. Semua orang boleh melalak, tak semua orang boleh menyanyi. Lepas melalak cari publisiti saban hari -- sampaikan masuk tandas atau buat tandas baru pun boleh dijadikan publisiti.

Melalak. Itu saja kuncinya. Melalak dan cari publisiti itu saja kunci utama untuk bergelar penyanyi hari ini. Berbeza di era tahun 70'an dan 80'an misalnya. Pada tahun tersebut memang suara diutamakan. Suara tak sedap, jangan harap boleh menjadi penyanyi. Mana ada suara lelaki yang sesedap Jamal Abdillah? Yang nak meniru ada tapi yang asli seperti suara Jamal memang sukar dicari. Yang nak meniru ialah penyanyi mee segera, menjadi penyanyi dengan ehsan sms.

Itu dari era hujung 70'an dan awal 80'an. Tak payah main undi, tak payah publisiti tiga suku, Jamal muncul menjadi penyanyi kerana suara dan sememangnya dia boleh menyanya. Uji Rashid (pernah tulis surat berkenalan masa zaman dulu... hahahaha) pun bersuara hebat. Sharifah Aini, Sanisah Huri, Datin Rafeah Buang siapa yang mampu melawan? Hanya menyebut sebahagian. Sekitar tahun 88 muncul penyanyi yang bersuara merdu Siti Fairuz (mukanya macam isteriku -- satu kaum), memang sampai sekarang pun lagunya masih berkumandang. Kualiti! Sebelum itu tahun 86, muncul Francessca Peter (pernah macam jatuh hati pada dia -- kuang, kuang, kuang...) yang bersuara lunak. Ada lagi penyanyi hari ini yang bersuara unik sepertinya?

Pilihan. Bukan main bantai semua orang boleh menyanyi. Suatu malam ketika lepak di Studio NAR bersama beberapa Rockers terkenal, sambil dengar lagu Ibnor Riza, Amir Sulaiman (jurutera suara) menerangkan, "Tahun 80'an, rakaman dibuat rangkap demi rangkap. Sebab itu mood, suara, kualitinya hebat." Amir kemudian menerangkan -- dengan kecangihan teknologi wujudlah copy & paste. Walaupun tak berapa faham sepenuhnya, selepas itu Amir menerangkan munculnya word by word pula. Senang cerita, jauh dari sistem dan cara tahun 80'an dulu. Kerana itulah lagu tahun 70'an, 80'an masih kekal sedap didengar. Sebab itu jugalah syarikat rakaman gergasi lebih gemar menbuat kompilasi lagu-lagu lama dari membuat lagu baru yang penuh dengan risiko. Lagu-lagu 70'an dan 80'an memang 'selamat' kerana sudah sedia peminatnya menanti. Sebab itu jugalah 'Nasyid Lagenda" nyanyian Akhil Hayy, terbitan Inteam Records meletup sebab mengandungi lagu-lagu nasyid lama.

Sekolah Menengah Kebangsaan Telok Datok, di Banting telah menghasilkan ramai cendekiawan termasuklah penulis kontroversi (ehem...). Dari tingkat atas Tingkatan Lima boleh melihat ke arah kantin meninjau-ninjau (walau cikgu mengajar di depan), kalau-kalau ada buah hati (biasanya dari Tingkatan 4 atau 3) lepak di kantin. Kalau ada akan cari alasan untuk ke tandas tetapi terus terbabas ke kantin.

Atau sedaya-upaya supaya dilihat oleh buah hati tingkatan empat (kelasnya tepat di bawah tingkatan 5) -- maklum saja buah hati tingkatan 4 itu bukan kita seorang yang minat -- ada berpuluh-puluh pesaing. Dari atas juga nampak pekerja kantin. Salah seorang pekerjanya bernama Malek. Senyum memanjang, tak pernah ambil peduli dengan karenah dengan murid-murid sekolah yang kebanyakannya nakal belaka. Pendek kata, ramai yang suka berkawan dengan bergurau dengan Malek, termasuk saya dan rakan-rakan. Saban hari Malek akan ke pasar di Bandar Banting dengan berbasikal untuk membeli bahan-bahan masakan kantin.

Saya teringat -- laksa di kantin tersebut memang sangat sedap. Lepas tamat persekolahan Tingkatan 5, zaman jahiliyah, lepaklah di Bandar Banting dengan aktiviti utama -- membuang masa, mengurat. Selang bebarapa lama kemudian bertemu dengan Malek semula yang sudah berubah 180 darjah. Bukan berseluar pendek mengayuh basikal tetapi sudah menjadi penyanyi. Sudah merakamkan lagu yang begitu popular dari dulu, "Cukup Sampai Di Sini." Kalau tak silap ada 3 album Malek Ridzuan. Kali terakhir bertemu Malik di depan pub di Pertama Kompleks. Dia memberitahu bahawa dia menyanyi dan bermain organ di situ. Itu bertahun-tahun dulu!

Malam kelmarin saya tertoleh ke TV. Menyanyi di TV ialah Dato' Malek Ridzuan. Memang terkejut. Suaranya masih seperti dulu. Yang mengejutkan ialah gelaran Dato' itu. Memang tak tahu bagaimana beliau mendapat gelaran Dato' itu. Mungkin beliau aktif dalam politik. Tapi beribu-ribu orang aktif berpolitik (parti cap keris bogel) tak pun mendapat gelaran Dato'. Sampai hari ini saya masih tertanya-tanya bagaimana Malek mendapat gelaran tersebut. Tapi apa nak dihairankan memang seperti satu trend pula, penyanyi (memang penyanyi bukan pelalak) mendapat gelaran Datuk atau Dato'. Menyanyi sambil gelek-gelek, lenggang-lenggok macam maknyah tahan kencing dapat Datuk. DJ Dave pun dapat Datuk. Ahmad Jais dan ramai lagi. Tak tahulah -- mungkin itu diianggap jasa. Tapi, perlukah jasa untuk mendapat Dato'? Pelakon pun ramai yang dapat Datuk. Pendek kata, artis di Malaysia ini disanjung dan dihargai. Malaysia negaraku tercinta! Kenapa penulis tak dapat Dato' pulak ni.... Sesekali menyesal juga menjadi penulis. "Kalau ku tahu, elok aku jadi pelalak sebelum ini..."

 
The comments are owned by the poster. We aren't responsible for their content.

Mutiara Kata

Jangan dibunuh angsa bertelur emas

» Kata Bijaksana «

Hubungi

Arkib Artikel

Penaja








Mari Menderma







Web Kegemaran

Tetamu