Sebentar di Petronas, besar pengajarannya
Posting pada:  31 Oct 2006 ( 1053 kali di baca )

Razzi Armansur menulis: Persaingan antara stesen minyak memang sengit sejak sekian lama. Margin jual minyak ini kecil saja, dikawal oleh kerajaan. Yang untung pihak tertentu bila minyak naik. Naik 10 sen sahaja dah dapat untung berjuta-juta. Sudahlah naik dengan banyak, kemudian mencabar kebijaksanaan rakyat sebab rakyat dianggap bebal.

"Ini kenaikan terakhir pada tahun ini." Apa bezanya menaikkan serentak, 30 sen (kali terakhir, kononnya) dengan kenaikan 10 sen sebanyak 3 kali dalam setahun? Tahun ini? Tahun depan akan naik lagi? Siapa yang cuba hendak dibebalkan? Selepas itu untuk melupakan (sambil membebalkan), disogok dengan hiburan setiap hari. Muka depan akhbar-akhbar (yang juga bebal) menyiarkan kisah artis. Lupalah kisah kenaikan harga minyak yang menyebabkan segala rupa benda di bumi Malaysia ini naik.

Harga minyak dunia naik. Demikian kata sebahagian rakyat yang telah berjaya dibebalkan. Yang bijak akan membandingkan dengan negara jiran, "Thailand bukan pengeluar minyak tetapi mengapa minyak tak naik? Sudahlah tak naik, tol pun tak ada."

Sekarang ini harga minyak dunia turun, mengapa harga minyak Malaysia tak turun? Pelik? Apa peliknya, bukankah itu memang budaya kita. Hari ini belanjawan, esok barang yang naik (selalunya rokok) akan segera naik sedangkan itu belanjawan tahun depan. Yang sepatutnya turun amat liat untuk turun sehinggalah beberapa tahun akan datang. Pelik? Tak ada apa yang pelik bila ia telah lali.

Saban tahun, iklan Petronas menarik minat ramai. Kreativiti Yasmin Ahmad tidak boleh dipertikai lagi. Iklannya mengandungi mesej (selalunya berkaitan dengan isu semasa). Cuma tahun ini, sampai sekarang masih tak faham lagi apa mesej untuk iklan Raya Petronas, tahun 2006. Mungkin Yasmin Ahmad sudah kering idea kerana iklan Raya pada tahun ini tidak menusuk ke hati bagai selalunya. Mungkin kerana agak kecewa sebab dikritik habis kerana filem Gubra. Saya tak tahu sebab tak menonton cerita Melayu sebab rugi amat besar jika menontonnya. Bagi saya cara mengkritik filem tersebut menggunakan bahasa puitis oleh seorang novelis, adalah melucukan. Tak payahlah berpuitis -- direct to the point -- sebab sekarang bukan zaman puitis lagi.

Petang ini, semasa singgah di stesen Petronas -- saya mendapat mesej dari iklan tersebut. Cuma andaian dan pendapat saya sahaja. Dan saya optimis dengan pendapat saya. Iklan itu mengisahkan seorang ayah yang sudah uzur tidak disenangi oleh menantunya, tetapi kasih sayang antara ayah dengan anak perempuan kekal. Banyak karenahnya, maklum sudah tua, uzur dan sakit. Sampaikan orang tua ini diasingkan (jasanya dilupakan) supaya tidak mengganggu ketenteraman hidup si menantu.

Sudah nampak mesejnya? Pendapat saya, iklan Petronas kali ini ada kaitan dengan perbalahan antara Mahathir vs Paklah. Nilai sendiri. Hanya secara kebetulan -- Mahathir adalah pengerusi Petronas.

---------

Persaingan amat penting dalam bisnes. Kerana persaingan yang sengit, stesen minyak makin maju. Sekarang jika diperhatikan, minyak menjadi sampingan -- singgah di stesen minyak bukan semestinya hendak mengisi minyak tetapi hendak membeli produk lain. Dan dalam masa yang sama, mengisi minyak menyebabkan tergerak hendak masuk ke kedai-kedai di stesen minyak tersebut. Itulah persaingan yang sihat. Tak payah pakai bomoh, tapi pakai otak. Yang suka main bomoh hanya manusia tolol (artis, peniaga kecil, ahli politik).

Semasa singgah di stesen minyak Petronas Sungai Pencala, petang ini, saya hampir mengesahkan pekerjanya memang terlatih. Terlatih dengan satu tujuan -- mengekalkan pelanggan -- gali telaga sebelum kehausan ? suatu hari nanti jika di sebelahnya dibuka stesen minyak baru (penanding) ? pelanggan kekal masuk ke stesen minyak sekarang.

Mencari pelanggan dan mengekalkan pelanggan lebih penting dari promosi yang menelan belanja besar. Bila anda berjaya mengekalkan pelanggan misalnya si bapa -- anda pasti akan mampu mengekalkan sekeluarga sebagai pelanggan. Contohnya: saya gembira bergunting di kedai Mat Zain di Bukit Lanjan. Sentiasa suka bergunting di situ -- sudah tentu kedua-dua anak saya pun menjadi pelanggan tetap kedai gunting tersebut.

Seorang anak kecil merengek melihat belon yang bergantungan di stesen Petronas. Si ibu memberitahu, "Anak saya memang tak boleh tengok belon." Pekerja di situ senyum dan mengambil belon kemudian keluar berjalan menuju ke pam angin untuk mengepam belon. Sesudah itu diserahkan kepada anak kecil itu. Harga belon = 10 sen. Berapa yang akan diperolehi oleh stesen minyak tersebut untuk tahun-tahun akan datang dari ibu dan keluarga ibu tersebut? Sampailah anak kecil tadi membesar dan ada kenderaan sendiri, berapa yang akan diperolehi dengan bermodalkan senyum, berjalan sekejap ke pengepam dan belon yang berharga 10 sen sekali sahaja itu?

Itulah pentingnya latihan untuk pekerja. Fokus kini adalah untuk mengekalkan pelanggan hingga ke anak cucu untuk apa saja bisnes -- dari kedai gunting, kedai buku hinggalah kepada stesen minyak. Dari penerbitan buku hinggalah kepada IT. Dari kedai runcit hinggalah ke hypermarket. Dari hotel hinggalah ke kedai telefon. Gali telaga sebelum kehausan.

 
The comments are owned by the poster. We aren't responsible for their content.

Mutiara Kata

Ubah kesengsaraan jadi kekuatan

» Dari filem New Police Story «

Hubungi

Arkib Artikel

Penaja








Mari Menderma







Web Kegemaran

Tetamu