Kerana kualiti masih lagi percuma
Posting pada:  29 Oct 2006 ( 1159 kali di baca )

Razzi Armansur menulis: Sampai bila-bila, selagi ia masih percuma, ia tidak akan dihargai. Dengarlah sendiri bagaimana emak atau isteri anda memarahi bila anak main-main air, buang-buang air. "Ingat free ke, boleh buang-buang?" Maknanya kalau percuma memang boleh dibuang-buang, tak perlu dihargai.

Kualiti amat penting dalam apa saja bidang. Tak payah dipertikai lagi -- lebih baik jangan buat apa-apa jika tidak berniat untuk menerapkan kualiti. Sangat mudah sekali formula. Mengapa enggan menerapkan kualiti sedangkan kualiti tak payah bayar apa-apa? Itulah persoalan yang perlu disoal kepada diri sendiri. Sehari sebelum Hari Raya 2006, saya bertemu Azman Ching di Giant Shah Alam. Sembang sekejap dan menyusun rancangan ringkas untuk menubuhkan sebuah akademi. Pendidikan memang minat utama saya. Pendidikan juga minat utama kaum Cina kerana pendidikan adalah tunggak kejayaan. Azman cuma mengangguk dan meminta saya menghantar cadangan (proposal). Sebagaimana biasa, seperti tahun-tahun sebelum ini, Azman menghulurkan duit raya. Malu saya kerana dia bukan Islam tetapi mengamalkan Islam -- memberi adalah keutamaan, menerima adalah pilihan terakhir.

Dalam Islam memang lebih digalakkan memberi, mengeksport, menghulur. Beberapa rumah di Sungai Pencala dilanda banjir 4 hari sebelum Raya. Derma kilat dilancarkan. Bekasnya memang berkilat tapi isinya kosong. Orang-orang Islam yang diiktiraf jutawan amat berat sekali hendak menghulur walau RM1 sahaja, walhal hasil perolehan pampasan Pencala Link (bukan titik peluh mereka, mereka hanya menghabiskan) ada yang melebihi RM3 juta. Apalah salahnya menghulur sedikit kepada orang yang ditimpa musibah? Apalah terasanya RM50 bagi orang kaya? Apalah terasanya RM1000 bagi orang yang lepas mendapat pampasan juta-juta?

Bila orang bertanya saya, "Kamu tak menderma?" Seperti biasa saya jawab, "Saya ni layak menerima derma saja. Hehehe..." Sebab itu jugalah saya perhatikan kehidupan Azman Ching makin makmur. Itu saja rahsianya -- rahsia yang sepatutnya menjadi amalan orang Islam -- lebihkan menghulur. Jangan diikut perangai orang U*NO yang lebihkan mengaut.

Azman menegur badan saya yang semakin berisi. Memang saya sendiri merasainya. Agak pelik, mengapa bulan puasa badan makin berisi? Tak makan siang saja, malam masih lagi makan, jadi bulan puasa sebenarnya bukan bulan untuk menurunkan berat badan. Apa yang penting, sebagaimana kata bijaksana, "Hanya sahabat sejati yang akan menegur bila muka anda kotor."

Saya tak mahu melibatkan tempat lain -- tempat saya sendiri mencukupi untuk menggambarkan tempat lain. Masing-masing nak mengaut saja bukan nak menghulur. Bila Baitulmal menghulurkan zakat maka yang menerimanya adalah orang-orang kaya. Seseorang di sebelah saya berkata, "Orang tua tu, kalau tanahnya di Sungai Pencala ini dijual dia pulak sebenarnya yang layak memberikan zakat." Gambarannya: orang yang tak sepatutnya menerima tetapi kerana sikap sejak purbakala -- maka tangan pun menadah, hanya hendak menerima sahaja -- memberi pilihan terakhir.

Di Sungai Pencala ini, bahkan sebahagian besar di Malaysia ini tidak ada lagi fakir miskin. Fakir miskin apa benda kalau di rumah ada Astro? Mungkinkah kita sudah sampai seperti di zaman Saidina Uthman -- betapa susahnya nak menghulurkan zakat fitrah kerana tidak ada lagi fakir miskin. Tapi menurut Ustaz Akhil Hayy -- "Orang miskin sengaja Allah SWT wujudkan sebagai duta kekayaan atau dugaan kepada orang kaya."

Maknanya, kalau di Malaysia ini sudah tidak ada fakir miskin, hendaklah zakat fitrah disalurkan ke negara luar seperti di Kemboja, Afrika, dan negara-negara yang ada umat Islam bertaraf fakir miskin. Dalam kes Sungai Pencala, kalau sudah tak ada fakir miskin (memang tak ada) -- zakat fitrah dihulurkan kepada mereka yang bertaraf fakir miskin di luar Sungai Pencala.

Kualiti kekal percuma. Itulah yang saya bincangkan bersama sahabat dan saudara yang datang berkunjung berhari raya.

Sahabat karib saya Albert Lim datang beraya. Sekali lagi saya malu kerana menerima sahaja. Sepatutnya menghulur bukan menerima. Setiap tahun datang membawa hamper. Walaupun hubungan bisnes sudah tidak ada tetapi hubungan persahabatan masih kekal utuh. Panjang lebar bercerita dengan Albert. Kini perniagaan beliau makin melonjak berkat sabar, tabah dan menjaga kualiti. Tumpuan Albert kini adalah menganjurkan seminar. Sudah 10 tahun beliau menjalankan usaha tersebut. Pernah tersungkur, bahkan katanya, "Pada masa itu nak pinjam RM100 pun tak ada siapa yang nak beri." Dengan sabar dan tabah beliau merangkak balik sambil sama sekali tidak lupa menerapkan kualiti dalam seminar beliau, akhirnya kini beliau kembali bertapak. Kualiti. Kalaulah seminar Albert tidak berkualiti, siapa yang hendak datang dan membayar RM800?

Bersama anak saudara saya pun berbincang mengenai kualiti. Dia bekerja sebagai jurutera di Proton, di bahagian penerimaan / pembelian. Menurutnya, vendor yang membuat bahagian-bahagian kereta Proton memang meletakkan kualiti sebagai perkara terakhir. Bahkan tidak ada bahagian QC di dalam perniagaan mereka. Ada yang hanya menjadi orang tengah -- ambil entah dari mana-mana dan bekalkan kepada Proton. Jadi, bolehkah anda meneka sekarang mengapa kualiti kereta Proton lebih rendah jika dibandingkan dengan kereta Perodua? Apakah nasib vendor sekarang ini? Nasib mereka seperti telur di hujung tanduk.

Oleh kerana jualan kereta Proton merudum dan Proton merupakan satu-satunya sumber penjualan, maka mereka pun turut merudum. Bahkan sudah banyak yang tutup. Mengapa jualan kereta Proton merudum? Kerana tidak mampu bersaing dengan kereta Jepun dan kereta luar. Mengapa tak mampu bersaing dan tak boleh dieksport? Kerana kualitinya rendah. Kenapa kualitinya rendah? Kerana pihak vendor tidak membekalkan bahagian kereta yang berkualiti. Juga kerana pihak Proton hanya main terima saja. Boomerang yang dilempar berpatah balik.

Jangan sambil lewa dengan kualiti. Tambah satu lagi -- jangan masukkan "kenal orang dalam dan ada kabel" dalam bisnes. Oleh kerana kenal orang dalam -- kualiti macam mana sekalipun atau tanpa kualiti, tetap akan diambil. Bandingkan dengan sistem pengurusan Toyota misalnya. Bagaimana mereka begitu berjaya dengan sistem JIT -- vendor dalam lingkungan 25 batu dari kilang utama -- jadi kepantasan, kelancaran dapat dipastikan. Kualiti kekal nombor 1. Sistem pengurusan JIT banyak kebaikan -- tidak banyak memakan ruang, tidak akan ada lambakan seperti kereta Proton. Amat pelik sekali sistem Proton, sudahlah tak berapa laku, tempahan pula selama 6 bulan (dulu) dan dalam masa yang sama lambakan kereta Proton mengalahkan lautan.

Sistem Toyota ini ditiru oleh MEC. Masih ingat MEC yang tinggal kenangan itu? NEC adalah singkatan Nippon Electrical Company yang sudah berusia 100 tahun. MEC singkatan untuk Malaysian Electrical Company yang pendek umur. NEC tak ada politik dan kenal orang dalam, kabel. MEC penuh dengan segala rupa kabel, politik dan orang dalam. Kalaulah tak bergayutan kabel dan monyet-monyet tentu sekali, dalam masa 50 tahun lagi ia akan menjadi jenama yang unggul. Tapi, adakah mereka hanya memikirkan 5 bulan atau jangka panjang 50 tahun? Dah jadi arwah akibat pengurusan yang tidak berkualiti bahkan penubuhan MEC itu pun bukan atas dasar kualiti. Atas dasar apa jika begitu cepat ditutup? Bukan tak ada pasaran. Modalnya pun bukan main mewah. Mengapa ia telah menjadi arwah?

Satu lagi perbincangan menarik adalah antara saya dengan adik ipar saya Dr. Wan Zayana. Baru lepas dapat Dr setelah bertungkus-lumus selama 3 -- tahun di Australia terpaksa berpisah dengan keluarga, berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Australia, macam dari Sungai Pencala ke KL-Sentral. Beruntung dia sebab setengah orang mengambil masa hampir 10 tahun untuk mendapatkan PhD (bukan sepenuh masa). Mengenangkan betapa susahnya untuk mendapatkan Dr, bermula dari ijazah, Master, PhD, tidakkah anda meradang melihat penulis, artis, orang-orang MLM yang sesedapnya meletakkan Dr. di depan nama.

Teori saya benar belaka. Dari pokok kenal buah. Dan teori seterusnya, "Yang benar-benar Dr. enggan dipanggil Dr dan tersipu-sipu berbanding dengan Dr. Ayam yang setolol keldai." Zayana kata, dia malu dan tak mahu diletakkan Dr. pada name tag. Begitu juga Dr Nik Yusri (menantu Tuan Guru Nik Aziz) yang mengucap bila dipanggil Dr. Walaupun beliau mendapat anugerah "Wanita Asia Pacific pertama mendapat PhD dalam bidang reka bentuk industri," sedikit pun tidak berbangga kerana tujuannya adalah untuk mendapatkan ilmu bukan gelaran. Untuk kepuasan diri bukan untuk gelaran Dr.

Beliau kini menjadi pensyarah dan menceritakan bagaimana akan gagal konon Malaysia boleh dijadikan hub pendidikan. Ia cuma modal publisiti sahaja kerana sememangnya mutu pendidikan kita kurang berkualiti. Sejak mula lagi dicemari dengan penyakit, "Kabel, orang dalam." Penyakit sejak berzaman yang merosakkan dan tidak ada sebarang usaha untuk membenteras.

Semasa menginterbiu pelajar baru, katanya, kalau ada 1000 pelajar baru, kira-kira 400 adalah pelajar yang tak layak masuk U. Masuk U kerana kabel, bukan kerana layak. Yang layak ditendang digantikan dengan pelajar 'berkabel'. Jadi kalau permulaan sudah begitu, pelajar yang tidak layak, dijadikan layak, kualiti apakah yang akan terapkan? Masuk U bukan kerana nak ilmu, bukan kerana layak tetapi kerana "kabel dan orang dalam." Akibatnya? Inikah "modal insan" yang dihebohkan selama ini? Fikirkanlah.

Begitulah secebis kisah di Hari Raya yang dimanfaatkan dengan perbincangan mengenai kualiti.

 
The comments are owned by the poster. We aren't responsible for their content.

Mutiara Kata

Bahkan orang yang menyimpan penawar racun tak berani nak cuba minum racun.

» Razzi Armansur «

Hubungi

Arkib Artikel

Penaja








Mari Menderma







Web Kegemaran

Tetamu