Tahu Sedikit Adalah Bahaya
Posting pada:  29 Oct 2006 ( 1078 kali di baca )

Razzi Armansur menulis: Penghujung puasa 2006, rumah saya ada mengalami masalah elektrik. Selalunya akan panggil anak buah saya untuk memperbaiki, tetapi dia sangat sibuk dengan kerja-kerja elektrik di Klang. Lalu seseorang yang mendakwa tahu tentang elektrik memperbaikinya.

Saya memerhatikan dengan rasa pelik dan bimbang. "Hendak mengenali keperibadaian seseorang, lihatnya hasil pekerjaannya." Memang sah, dia tak tahu apa-apa pasal elektrik --hanya setakat dengar-dengar dan lihat-lihat sahaja. Hasil kerjanya ?asal siap? dan menyakitkan mata.

Kalau misalnya saya tanya berapa 'ohm' rintangan elektrik untuk arus ulang-alik dalam ruimah, pasti dia akan nganga dan mula mereka sendiri jawapan. Tahu sedikit adalah merbahaya. Merbahaya pada saya sekeluarga -- boleh menyebabkan litar pintas, terbakar rumah saya. Little knowledge is dangerous. Berguru kepalang ajar, bagai bunga kembang tak jadi.

Tepat sekali, sehari sebelum Raya, anak buah saya datang memeriksa semula dengan membawa peralatan. Dia lulusan BMI (UniKL) dalam bidang elektrik. Maksudnya betapa bahayanya, hasil pekerjaan orang yang tahu sikit-sikit berasaskan dengar-dengar dan lihat-lihat. Peluang belajar di Malaysia ini sentiasa terbuka luas. Latihan amat penting. Tidak ada manusia yang boleh berjaya jika enggan belajar. Sekiranya malas nak belajar akan menepati kata-kata Isaac Newton, "Little knowledge is dangerous" -- merosakkan dan membahayakan diri sendiri. Kalau setakat diri sendiri yang rosak dan jahanam tak mengapa tetapi mengakibatkan orang lain. Contoh yang paling dekat untuk saya ialah penulisan buku. Banyak buku yang merosak di pasaran akibat dari orang yang enggan belajar. Hasil tulisan orang yang tahu sedikit berdasarkan dengar-dengar dan lihat-lihat sahaja -- tidak mahu mendalami, belajar hingga selesai. Tahu sedikit adalah merbahaya -- tepat sekali ia membahayakan pembaca.

Penulisan seperti berceramah. Ada dua elemen paling penting iaitu 1) Kandungan ceramah 2) Cara berceramah. Ada seorang penceramah Cina dari Singapura, salah 100 peratus. Katanya, "Bukan penting apa yang nak diperkatakan, yang penting cara mengatakan." Sebab itu kebanyakan penceramah di Malaysia dan Singapura bila berceramah hanya mementingkan angin, gelak-gelak, penglipur lara -- sebab mengutamakan cara penyampaian bukan kandungan ceramah. Kedua-duanya amat penting -- cara penyampaian dan kandungan ceramah. Cara penulisan sama penting dengan isi penulisan. Cara penulisan diutamakan bagi memastikan pembaca tak bosan membaca hingga selesai. Ingat, pembaca mengeluarkan wang untuk membeli buku, jadi pastikan pembaca mendapat pulangan setimpal (atau lebih) dari buku yang dibeli. Kalau baca tak selesai, penulis gagal dalam cara penulisan. Dia perlu belajar lagi. Dia perlu mengamalkan 'modeling' membaca buku-buku best-seller. Dia juga perlu hadir kursus penulisan di untuk belajar lagi.


Itu cara penulisan untuk memastikan pembaca membaca perenggan pertama hingga ayat terakhir dalam buku. Kandungan penulisan juga penting, sangat penting, sama penting dengan cara penulisan. Rajin membaca tidak mencukupi untuk mendapat bahan penulisan. Kena rajin bertanya, rajin merantau, rajin bergaul, rajin melayari internet, rajin berforum. Untuk menulis "Digital Fotress", Dan Brown, penulis best-seller, telah menghabiskan banyak masa untuk berforum di internet kerana beliau ingin mendapatkan istilah-istilah, fungsi elektronik, matematik dan sains.

Jika kandungan penulisan main agak-agak, akhirnya diri sendiri yang malu. Nama akan menjadi busuk untuk tahun-tahun akan datang. Belajarlah. Nak bersampan biar tahu mendayung. Datanglah ke kursus mingguan PTS. Percuma. Mungkin kerana percuma ia tidak dihargai. Pernah syorkan kepada Arief supaya berbayar biar dihargai kerana ada yang telah berpuluh kali menghadiri kursus tapi masih lagi tidak mampu menghasilkan seperenggan buku. Mungkin kalau berbayar akan berbeza -- dihargai dan berasa rugi jika tidak menghasilkan buku.

PTS tidak terdesak dengan mengadakan kursus penulisan sebaliknya supaya penulis yang bernaung di bawah label PTS berkualiti dan menepati standard PTS. Supaya tidak tergolong dalam "Tahu sedikit adalah merbahaya." Biar tahu hingga selesai. Supaya buku terbitan PTS tidak hanya berasaskan dengar-dengar sahaja. Kalau terdesak, terbitkan saja manuskrip yang diterima setiap hari. Berlambak manuskrip yang diterima. Juga supaya standard dan kualiti kekal -- tidak menerbitkan buku angin.

Pembeli hendakkan ilmu bukan angin. Supaya terhindar dari menerbitkan buku Dr. Ayam (PTS telah mengesan 2 Dr Ayam yang cuba-cuba mengendeng di PTS). Jangan jadi seperti industri MLM sekarang ini. Rosak kerana ada yang merosakkan. Rosak kerana ramainya yang "tahu sedikit" di dalam MLM. Untuk menggambarkan kerosakannya dan kisah "tahu sedikit" -- tanyalah kepada mereka yang terlibat di dalam MLM -- "Apa elemen penting dalam pemasaran?" (MLM adalah sistem pemasaran). Pasti tidak akan terjawab. Sebab itulah hendak mencari orang yang berjaya di dalam MLM seperti mencari gagak putih di kalangan gagak hitam. Hendak mencari jutawan di dalam MLM seperti mencari gagak belang-belang di kalangan gagak putih. Hendak mencari penipu, kaki kelentong, kaki lembik, kaki spring, leader katak dalam MLM adalah seperti mencari mencari gagak hitam di kalangan gagak hitam juga.

Maksud saya -- betapa pentingnya latihan di dalam MLM. Itu yang saya perjuangkan sejak dahulu. Sebelum dan semasa menyertai MLM mestilah berilmu, ada latihan khusus. Latihan amat penting. Hendak jadi cikgu masuk maktab atau universiti dulu. Hendak kerja kilang belajar mengendalikan mesin terlebih dulu. Masuk MLM tiba-tiba jadi pandai -- tiba-tiba meletakkan segala rupa Dr. Prof. Sir di depan nama. MLM adalah sistem pemasaran jadi latihan hendaklah ditekankan tentang pemasaran. Tentang bagaimana cara memasarkan produk. Bukan panggil Fadzillah Kamsah menyampaikan penglipur lara. Bukan kursus tiga hari tapi dalam kursus hanya ada penglipur lara, semangat, pijak-pijak badan, aura taik, menangis dan sebagainya. Tak perlu apa yang disebut "Seminar Motivasi". Yang utama sekali ialah pengetahuan tentang pemasaran, bagaimana memasarkan produk. Mana ada pijak-pijak badan dalam modul pemasaran? Di mana nak letakkan penglipur lara dalam modul pemasaran? Tahu sedikit adalah bahaya. Jadi, jangan bertangguh untuk tahu banyak atau tahu benar-benar tahu.

 
The comments are owned by the poster. We aren't responsible for their content.

Mutiara Kata

Jangan merungut bila gelap, pasang lampu teranglah ia

» Peribahasa Jawa «

Hubungi

Arkib Artikel

Penaja








Mari Menderma







Web Kegemaran

Tetamu