3 Pesta Dalam Sebulan
Posting pada:  24 Oct 2006 ( 1145 kali di baca )

Razzi Armansur menulis: Sudah berakhir Ramadan. Bagaimana kualiti puasa kita? Berapa agaknya markah yang nak kita beri kepada puasa kita, kalau markah penuh ialah 10? Yang pasti puasa di Malaysia ini memang hanya menuju kepada makanan. Ada siapa yang hendak mempertikaikan? Kenapa tiba-tiba ada Bazaar Ramadan. Kenapa tiba-tiba ada makanan yang pelik-pelik belaka. Pendek kata soalannya tetap: "Mengapa bulan puasa mesti dikaitkan dengan pesta makanan?"

Inilah dia suasana puasa di Malaysia:

Pesta Makanan. Akhbar yang nak mengampu Islam Hadhari pun seperti biasa membelit -- katanya, "Bazaar Ramadan wujudkan peluang perniagaan kepada umat Islam." Pandai atau tak membelit? Isunya ialah puasa dikaitkan dengan makanan dan pembaziran, kenapa dibelit kepada peluang perniagaan. Peluang perniagaan apa kalau hanya setahun sekali berjualan. Adakah ia layak disebut perniagaan atau berjualan?

Wartawan-wartawan ini perlu ditarbiyah sikit. Semasa kes Syarifah Aini vs Siti Nurhaliza dulu, ada lelaki yang kena tangkap kemudian ada beberapa komputer di rumahnya. Yang peliknya, komputer itu diangkut, kemudian wartawan menambah, "didapati ada beberapa komputer di rumahnya dipercayai digunakan untuk menulis emel." Kelakar. Baru-baru ini ada serbuan di utara, budak UUM jual VCD palsu melalui internet. Punya bangang wartawan, main tembak, "Dipercayai telah mengaut jutaan ringgit dengan menjual VCD palsu melalui internet." Hakikatnya kalau dia boleh menjual RM100 sebulan pun dah merupakan satu keajaiban.

Lepas terawih, sekali 'ter'lepak dengan sahabat yang pernah berpuasa di Mekah. Katanya, di sana suasananya amat berbeza. Di Malaysia mengejar makanan, di sana terkejar-kejar mengejar peluang untuk beribadat.

Semoga makin berubah hendaknya suasana puasa di Malaysia ini. Moga makin ada kesedaran supaya puasa di Malaysia kembali semula seperti tahun-tahun dahulu, sebelum wujudnya Bazaar Ramadan.

Bukan saya iri hati tapi sakit mata bila melihat anak-anak yatim di Pinggir Taman Tun Dr Ismail ini setiap petang berbuka puasa di hotel. Sekali lagi, mengapa mesti dikaitkan dengan makanan? Begitukah cara hendak mendidik anak (termasuk anak yatim)? Satu risalah dari JIM telah menyedarkan saya, betapa selama ini kita membazir dan saban hari mencurahkan garam ke dalam laut. Risalah JIM itu, agak terlambat sampai ke masjid-masjid. Semoga tahun depan akan tersedar dan melaksanakan saranan JIM itu.

Kita perhatikan cara membuang garam ke laut -- adanya majlis buka puasa di masjid (bahkan setiap masjid di KL ini) setiap petang. Perlukah itu? Contohnya di Masjid Sungai Pencala ini sejak bertahun-tahun ada majlis berbuka puasa dengan bajetnya RM400 setiap petang dari mereka yang menderma. Untuk apa? Sedangkan di rumah masing-masing boleh berbuka puasa. Yang saya lihat, Indon yang menunggu makan free di masjid. Ramai yang meragui sama ada puasa atau tidak. Selepas berbuka (atau makan free) sepatutnya solat Maghrib berjemaah. Yang peliknya, ramai yang lesap selepas makan. Bukankah bajet RM400 itu sebaiknya disalurkan kepada mereka yang sangat memerlukan makanan untuk berbuka puasa. Rasanya di Malaysia tidak ada yang memerlukan makanan di masjid sebab masing-masing berbuka puasa di rumah atau hotel. Itulah maksudnya mencurah sekilo garam ke dalam laut, setiap petang selama 30 hari.

Itulah juga yang JIM anjurkan supaya bajet buka puasa itu dibawa ke tempat yang sangat memerlukan seperti di Kemboja dan Selatan Thai. Di sana menurut JIM, mereka sangat memerlukan makanan untuk berbuka puasa. Menderma biar kena tempatnya, jika tidak, ibarat mencurahkan garam ke dalam laut. Kalau tidak, jadi seperti Robin Hood -- niatnya bagus, caranya tak bagus, sampaikah matlamatnya? Di Balai Islam atau Masjid Al-Gufran di Pinggir Taman Tun Dr Ismail pula bajetnya RM1,900 setiap hari, walau makanannya macam makanan musafir. Saya rasa inilah masjid yang paling banyak membazir -- ada aircon. Bukan tak boleh, tetapi ada tempat lain yang lebih memerlukan, berbanding bermewah-mewah begitu. Di Kemboja terkial-kial hendak mendapatkan dana membina masjid, di sini bermewah-mewah dengan memasang aircon. Kemudian seperti di Baitul Maqdis pula, ada dua jaga Nepal mengawal. Bukan satu, tapi dua. Apa yang hendak dikawal? Bukankah itu satu lagi pembaziran? Memang agak pelik pentadbiran masjid tersebut. Bila meletakkan yang bukan ahli pada tempatnya, tunggulah kehancuran. Biasa mendengar hadis begitu?

Inilah masalahnya di Malaysia ini -- masjid dan surau dipolitikkan. Memang semakin pelik bila badan-badan agama seperti jakim, jawi, rumi, ahmad jais ada kaitan dengan parti politik.

Pesta makanan dah berakhir. Kita bermewah-mewah dan membazirkan makanan setiap petang sedang di satu tempat lain, umat Islam seakan rela untuk mengutip makanan yang kita buang yang dibeli atas sebab nafsu membeli, bukan keperluan.

Pesta kedua ialah Pesta Membeli: yang selalunya terjadi semasa transit antara Pesta Makanan dengan Hari Raya. Berduyun-duyunlah dari segenap pelusuk membeli-belah untuk Hari Raya. Ada tak ada mesti ada duit untuk memenuhi nafsu membeli. Masa ini tidak dapat membezakan antara kemahuan dengan keperluan.

Pesta ketiga pula terjadi semasa berduyun-duyun balik ke kampung dan balik bandar selepas balik kampung. Sejak dahulu lagi sudah 'branding' sebagai Pesta Kematian: Statistik kematian akibat kemalangan jalan raya makin meningkat. Apa puncanya? Ada yang cuba mencari punca? Orang yang gila publisiti tak pernah mencari punca sebaliknya mencari kesempatan konon nak membantu mengurangkan kemalangan dan jenayah. Makin meningkat bukan makin berkurang.

Apa puncanya? Bagi pendapat saya puncanya ialah tak sabar dan nak menayang. Tak sabar nak sampai rumah nak menayang kereta yang seperti sarkis -- ekzos boleh masuk ular sawa, sport rim, dan entah apa-apa lagi. Tak sabar nak menayang kerendahan IQ di kampung halaman. Kalau nak mati, matilah seorang akibat tak sabar dan menayang itu. Masalahnya, akibat tak sabar dan menayang itu orang yang tak bersalah turut sama mati.

Tiga pesta besar berlaku dalam masa sebulan di negaraku tercinta. Sejenak menung -- rasanya tidak ada negara di dunia ini yang mengadakan 3 pesta besar dalam masa sebulan seperti itu selain di negaraku tercinta Malaysia.

 
The comments are owned by the poster. We aren't responsible for their content.

Mutiara Kata

Kita akan 'melekat' kepada apa yang menjadi fokus

» Dari filem 'Kung Fu Panda' «

Hubungi

Arkib Artikel

Penaja








Mari Menderma







Web Kegemaran

Tetamu