Keputusan Muktamad: Saya Mesti Merokok!
Posting pada:  02 Dec 2005 ( 1421 kali di baca )

Razzi Armansur menulis: Pernahkah kerajaan serius dalam menangani isu rokok? Tak pernah serius. Kerajaan lagi suka kalau lebih ramai yang merokok sebab pendapatan negara. Kekayaan yang dibina atas kemusnahan kesihatan.

Kalau serius, sangat mudah: tutup kilang rokok, haramkan import rokok, habis cerita. Tanaman tembakau di Kelantan gantikan dengan tanaman buah-buahan. Habis cerita. Tak payah membazir wang dengan pelbagai kempen karut. Siapa yang nak rokok bengkok?. Memanglah TAK NAK!

Lembaga Tembakau Negara gantikan sahaja Lembaga Buah-Buahan Negara. Mudah? Memang mudah tapi tunggu dunia kiamat barulah boleh. Seseorang memberi cadangan kepada kerajaan: "Kita buat kempen TAK NAK? Bajetnya sekian-sekian juta." Berjaya atau gagal kempen tersebut belakang kira, yang penting juta-juta itu.

Daripada mengadakan kempen tersebut lebih baik memberikan subsidi untuk sejenis koyok (patch) yang harganya mahal. Koyok ini dikatakan mampu untuk menghilangkan rasa ketagih merokok. Saya pernah bertanya, untuk satu rawatan koyok hingga selesai (3 bulan), saya perlu membelanjakan RM1,600.00. Saya berkata kepada ahli farmasi tersebut, "Lebih baik saya menghisap rokok, kalau 3 bulan menghisap rokok, belanjanya tak sampai RM500." Kalau jarum dan kondom boleh diberi secara percuma kepada penagih dadah dan pesakit AIDS (lucunya?.) mengapa tidak boleh memberikan koyok secara percuma kepada penagih rokok. Jawapannya anda telah tahu ? makin ramai penghisap rokok, makin banyak duit yang kerajaan dapat. Sebab itu setiap kali belanjawan, harga rokok akan naik. Harga arak pulak jarang naik.

Saya bertanya kepada pekedai di tempat saya ? sejak harga rokok naik, berkurangkah yang membeli? Jawapannya, "Makin bertambah." Makna di sini kenaikan harga rokok tidak memberi kesan kepada perokok sebaliknya menguntungkan kerajaan. Hatta, kalau sebatang rokok berharga RM10, pun makin ramai yang membeli. Sumber pendapatan negara!

Mari kita lihat dari sudut syarikat rokok pulak. Agenda utama syarikat rokok adalah mencari perokok baru. Sekotak dua remaja atau orang tua mencuba rokok cukuplah. Dari sekotak dua itu mendatangkan ketagih dan kekal merokok seumur hidup. Syarikat rokok tak pernah peduli dengan perokok lama sebab sekali ketagih, kekal akan merokok selamanya, sampai akhir hayat.

Tumpuannya sepanjang masa ialah perokok baru. Syarikat rokok tak hairan sama-sekali kalau ada 10 orang berhenti merokok, sebab dalam masa yang sama ada pelapis ? ada ribuan perokok baru. Satu perokok keluar dari alam rokok, 100 perokok baru masuk. Syarikat rokok senyum sokmo. Tak hairan sama sekali dengan pelbagai kempen berhenti merokok.

Saya baru saja selesai membaca buku lama Anthony Robbins. Ada satu bab yang menyebut tentang KEPUTUSAN MUKTAMAD. Bila kita membuat keputusan muktamad kita tak akan mengubahnya lagi. Kaitannya: Bila perokok baru mencuba rokok pertama, itulah keputusan muktamad yang dibuat sebelumnya.

Kerana itu bila ada remaja yang ketagih bertanya saya bagaimana cara hendak berhenti merokok, jawapan saya sangat mudah, "Jangan mulakan." Sekali dimulakan memang amat sukar untuk menghentikan. Sama seperti saya sendiri, semasa remaja dahulu, sememangnya telah membuat keputusan muktamad untuk menyedut rokok pertama. Hasil keputusan muktamad itu saya kekal sebagai perokok bertahun-tahun, 40 batang sehari, setiap hari, 365 hari setahun, bertahun-tahun. Ulamnya ialah 4 cawan besar Nescafe setiap hari. Hebat? Memang hebat. Segala rupa caffeine, TAR, racun masuk ke dalam paru-paru saya.

Tahun lepas saya berhenti merokok. Serentak berhenti minum Nescafe. Serentak mengurangkan gula dalam badan. Hebat? Memang hebat. Ramai yang mendakwa adalah sukar untuk berhenti. Memang sukar kalau sukar yang difokus. Saya memfokus kepada "boleh" bukan kepada "tak boleh." Yang penting saya telah membuat keputusan muktamad untuk berhenti merokok pada bulan puasa 2004.

Sekali saya membuat keputusan muktamad saya bersedia untuk menentang arus. Setelah berhenti dengan jayanya saya bertanya kepada sahabat-sahabat yang sealiran. Rupanya mereka tak boleh berhenti merokok disebabkan mereka sememangnya TAK MAHU berhenti. Kalau mereka memang mahu berhenti, dengan mudah mereka akan membuat keputusan muktamad untuk berhenti merokok memulakan langkah pertama untuk berhenti. Kerana tiada keputusan muktamad untuk berhenti maka memang takkan boleh berhenti.

Seorang dua bertanya bagaimana saya berhenti merokok kerana ia dianggap sebagai mustahil. Saya menggunakan teknik "Kalau." Di bulan puasa, saya boleh tahan tanpa merokok selama 14 jam. Tahan tak tahan, ketagih tak ketagih, mesti kena tahan, mesti kena puasa. Wajib. Tiba masa berbuka, kebebasan untuk merokok semula terbuka. Inilah ujian untuk saya. Selepas berbuka saya teringin atau ketagih hendak merokok. Berkata saya dengan penuh padu, "Kalau saya boleh tahan selama 14 jam, apa kata saya tahan lagi sejam sahaja. Hanya sejam sahaja. Lepas sejam saya akan hisap rokok."

Selepas sejam, saya teringin nak merokok, berkata saya dengan padu, "Kalau saya boleh tahan sejam lalu, apa kata kalau saya tahan sejam saja lagi. Lepas tu nanti saya hisap rokok." Saya berjaya mengatasi ketagihan selama 2 jam. Begitulah saya tarik dan "berkalau-kalau" sehingga balik dari terawih dan seterusnya hinggalah tengah malam baru saya merokok. Buat pertama kali saya merasakan rokok itu pahit dan meloyakan. Bermakna sehari itu saya sudah berjaya mengurangkan 39 batang rokok.

Rokok dalam kotak tinggal 5 sahaja. Rokok itu saya beli sehari sebelum puasa. Saya telah membuat keputusan muktamad untuk tidak membeli rokok sampai akhir hayat saya. Jadi rokok itu saya habiskan dalam masa 5 hari. Hari-hari berikutnya terus saya gunakan teknik "Kalau". Keinginan merokok masih ada lagi, cuma ketagihan yang semakin berkurang.

Bila teringin merokok, sebulan dua kemudian, saya gunakan teknik "Kalau" lagi. "Kalau saya boleh tahan selama 60 hari, tentu saya tahan sehari sahaja lagi. Esok saya akan hisap rokok." Esoknya, saya lakukan cara yang sama.

Seterusnya, saya beritahu rakan-rakan bahawa saya telah berhenti merokok. Ada yang mengucapkan tahniah, ada yang mencebik. Tujuan saya memberitahu adalah supaya saya malu kalau saya mula menghisap balik. Jadi untuk mengelakkan malu, saya tak akan menghisap rokok balik.

Saya dah kata tadi, bahawa saya menentang arus bila memberitahu ramai bahawa saya berhenti merokok. Tiba-tiba ramai yang menjadi doktor memberitahu keburukan JIKA berhenti merokok, bukan kebaikan yang diperolehi. Tiba-tiba ramai yang menjadi penasihat menasihati agar saya melupakan hasrat untuk terus berhenti merokok sepanjang hayat. Ada yang mengesyorkan supaya berhenti berperingkat-peringkat. Saya rasa ini paling karut. Doktor yang tak pernah merokok atau yang merokok saja yang mengesyorkan begitu.

Bagi saya cara yang paling betul ialah berhenti serta-merta. Belum ada dalam sejarah orang yang berjaya berhenti merokok bila berhenti berperingkat-peringkat. Belum ada. Tetapi ramai yang berjaya kekal berhenti merokok bila berhenti secara serta-merta.

Ada pula yang menakutkan, mengatakan, "Kalau berhenti merokok, nanti kalau hisap balik, jumlahnya berganda." Jawapan saya mudah saya, "Jangan hisap balik." Pendek kata, melalui kata-kata tersebut dapat saya simpulkan bahawa manusia lebih memfokus kepada masalah, bukan kepada penyelesaian. Manusia lebih bimbang sesuatu yang buruk akan berlaku berbanding kegembiraan bakal diperolehi jika sesuatu yang baik akan terjadi. Mereka dengan mudah boleh tahu akibat, kesengsaraan, ketagihan, tidak tahan, meradang, jika berhenti merokok. Sedangkan itu semua belum tentu terjadi jika berhenti merokok. Mereka bimbang tidak mampu mengatasi semua itu jika berhenti merokok, sedangkan apa yang dibimbangkan itu belum tentu terjadi. Seandainya lebih memfokus kepada kegembiraan, kemerdekaan, keseronokan, nikmat, hasil dari berhenti merokok, sudah tentu ramai yang telah berhenti merokok.

Masing-masing hendak menjadi ahli nujum, boleh meramal apa yang akan terjadi pada hari esok dan akan datang. Kalau nak berhenti merokok, buat keputusan muktamad sekarang!

 
The comments are owned by the poster. We aren't responsible for their content.

Mutiara Kata

Jika kamu berbuat baik (bererti) kamu berbuat baik bagi dirimu sendiri dan jika kamu berbuat jahat maka kejahatan itu bagi dirimu sendiri. (Al-Isra : 7)

» Firman Allah «

Hubungi

Arkib Artikel

Penaja








Mari Menderma







Web Kegemaran

Tetamu