Nanti Apa Pulak Kata Orang
Posting pada:  17 Aug 2006 ( 1646 kali di baca )

Razzi Armansur menulis: Bulan Ogos -- bulan konvo pada kebanyakan universiti di Malaysia. Teringat konvo, teringat saya pada UM, sebab selalunya tak pernah "miss" berjalan-jalan, melihat-lihat jualan. Kadang-kadang melihat dengan penuh simpati peniaga-peniaga yang melangut barang jualannya tak laku. Banyak kenangan manis di konvo UM.


Keterangan Gambar: Sudah berpuluh tahun Abd Halim Bistamam mendidik sambil menjual risalah di tepi jalan begini. Gambaran biasa di depan Masjid India pada petang Sabtu. Peminatnya termasuklah anak saya Ezika Armansur yang berbaju kuning, mencangkung, memerhati dan belajar dengan penuh khusyuk.

Tak tahulah kenapa agaknya, pesta konvo di mana-mana pun sekarang sudah tidak meriah seperti pertengahan tahun-tahun 90'an. Di UIA pun tak meriah kalau dibandingkan zaman UIA di Petaling Jaya. Teringat masa itu ada helikopter -- sesiapa nak naik heli kena bayaran RM25, pusing-pusing kejap. Sejak setahun dua ini, di pesta konvo UM -- di lorong yang menghubungkan tapak pameran dengan kompleks Perdana Siswa, pasti ada manusia berjubah, pakai kopiah, di dadanya dilekatkan kertas, "Saya Ketua Saintis Dunia" -- berdiri, mengeluarkan peratalan (white board boleh gulung, marker, hailer, dan risalah bahan jualan). Sekejap saja dia membuat muqadimmah, berkerumunlah orang ramai di depannya, mendengar dengan penuh minat. Selepas itu mereka akan membeli jualannya. Mudah dan menarik.

Namanya -- Abd Halim Bistamam. Sudah branding sebagai "Ketua Saintis Dunia" dan bercakap mengenai otak kanan manusia. Bisnesnya -- Education. Sekolah dan ofisnya? Merata tempat. Yang tetap ialah di depan Masjid India, Wisma Yakin, Sabtu, lingkungan pukul 5 petang. Rasanya beliau tak perlu sangat promosi sekarang ini sebab beliau sudah ada brand mengajar sifir pantas, otak kanan dan menjual risalah mengenainya berharga RM5.00. Ramai yang membelinya. Itulah rezeki halal yang beliau cari selama ini untuk menyara keluarganya. Kita tak tahu, mungkin beliau tinggal di rumah banglo. Mana kita tahu. Apapun, saya anggap pekerjaan beliau adalah mulia.

Promosinya mudah saja -- menggantung kertas "Saya Ketua Saintis Dunia" di dadanya dan berjalan. Ini menimbulkan tandatanya. Kalau dalam pengiklanan ia dipanggil Teaser Ads yang diasaskan dari sifat semula jadi manusia -- sentiasa hendak ambil tahu. Tapi awas, apa yang anda tease mesti benar-benar menarik, jika tidak cara pengiklanan ini gagal. Pertama kali saya jumpa beliau di Masjid Negara, kalau tak silap pada masa itu ada pameran perubatan Islam. Tahunnya tak ingat tetapi lingkungan '95 -- '96. Kemudian sekali dua terlihat beliau di bawah pokok di lorong Masjid India.

Pada masa itu sekitar Masjid India bukan seperti hari ini. Ia bukan tumpuan manusia, sebab di masa itu tumpuan manusia ialah di depan, di jalan TAR, sampailah membawa ke Pertama Kompleks. Di sekitar Wisma Yakin pada masa itu redup dan rimbun dengan pokok-pokok dan menjadi kawasan berehat. Ada ramai pelukis yang mencari rezeki di situ, sebelum mereka berpindah ke Pasar Seni (Betul ke Pasar Seni? Seni apa yang dipasarkan? Para peniaga di situ perlu ditarbiyah sebab kebanyakannya kurang tahu dan tak mahu tahu ilmu perniagaan. Jangan nanti berterusan orang berkata, "Hmmmm Melayu... patutlah...) Kemudian sekitar era Reformasi (1998 -- 1999), sekitar depan Masjid India itu mula ramai. Ada berbagai jenis jualan dan bisnes di situ. Bisnes utama ialah servis urut kaki (refleksologi, kononnya). Berderet-deret orang menawarkan servis tersebut. Di situlah, pada tahun tersebut berkumpulnya 'Reformis' dengan satu suasana yang pasti -- isyarat dan bisik-bisik. Perkataan lazim pada masa itu ialah, "Kat mana?" dan "Ada?" Maknanya ada demo atau tak, kalau ada kat mana?

Tapi kalau kena hambat FRU atau kena tembak pemedih mata atau kena sembur asid, tak ada yang patah balik ke situ sebab kawasan situ sudah dikepong. Di situ cuma tempat penyaluran maklumat. Teringat saya, buku Ahmad Sayuti (salah seorang idola saya) -- diturunkan disitu, dengan sekelip mata buku mengenai Reformasi itu habis. Saya rasa tak kurang dari 500 naskhah.

Satu lagi perkataan popular pada masa itu ialah, "Rasional" "Kita kena rasional." Saya suka mempersendakan, "Rasional itu apa? Beras Nasional ke?" Bila ditanya kembali, "Apa itu rasional dan macam mana nak rasional?" -- dibelit-belit, membuktikan dia hanya dengar-dengar sahaja dan ikut-ikutan. Little knowledge is dangerous. Dan pada era tersebut, saya mendapat ilham menulis buku (nipis saja, buku saya paling nipis) ? "Dalam Kesempitan Ada Kesempatan" -- yang terus diulang cetak sehingga kini.

Masa berlalu, sekitar Wisma Confidence makin berubah. Selepas dari itu ramainya orang berjualan di tepi-tepi itu. Jalan masih boleh dilalui tetapi sangat sempit. Macam-macam yang dijual termasuklah bahan kelentong ubat-ubat seks. Teringat saya, pada masa itu saya tergelak secara spontan bila ada orang Indon menjual ubat -- menurutnya ubat hebat. Katanya, "Untuk anak-anak muda yang suka berdepan dengan komputer, banyak virus-virus komputer nanti masuk ke dalam badan..." Siapalah yang tak gelak mendengar kata-kata bahlul penjual ubat yang motifnya hanya nak menipu dan memperbodohkan orang.

Saya tak ingat, tapi seingat saya pada tahun 2004 mulalah terbina bangunan kontroversi di lorong tersebut menempatkan penjual dan peniaga yang rasanya hanya 10% sahaja Melayu. Yang 90% menggunakan loghat yang pelik -- pendatang Indon. Kalau Chow Kit sudah dikuasai 99.99% oleh Indon dan sudah menjadi Jakarta, giliran Jalan Masjid India pula. Apa khabar DBKL?

Pada masa itulah juga, pada masa sekitar Wisma Confidence masih rimbun, redup dan dijadikan tempat bersantai, Ketua Saintis Dunia ini mula memperkenalkan produknya -- pendidikan. Beliau tak pernah berputus asa. Di depan mata kita sendiri nampak -- salah satu cara berjaya dalam apa saja bidang semestinya bidang itu hendaklah bidang yang mulia -- jangan sekali-kali putus asa. Saya ramai bergaul dengan peniaga-peniaga kecil-kecilan, dan pernah berjualan di pasar pagi Pendamaran, Klang. Ada antaranya yang menyamakan hari ini dengan esok -- hari ini tak balik modal esok pun dianggap begitu.

Jangan putus asa dan ia hendaklah bidang yang mulia -- hati jadi tenang, yakin dan bersemangat untuk meneruskan sebab tahu apa yang dilakukan adalah bidang yang mulia. Apa saja bidang adalah mulia asalkan jangan dicemari dengan pembohongan. Bila sesuatu bidang diselang-selikan dengan pembohongan untuk melariskan jualan, ia dikira perbuatan yang keji. Sentiasa ada balasan untuk setiap perbuatan keji.

Pengemis mulia? Pengemis adalah bidang yang keji terutama yang pengemis di dalam kawasan Masjid India -- sihat walafiat, tak ada cacat cela, boleh bekerja dengan cemerlang tetapi menadah tangan. Yang buta menjual tisu dan sebagainya? Itu bukan mengemis, itu menjual produk. Begitu juga dengan manusia istimewa berkerusi roda di tangga LRT Masjid Jamek yang melaung-laung, "Kerepek! Kerepek!" itu pun adalah insan mulia.

Bidang Ketua Saintis Dunia ini sejuta kali lebih mulia dari orang yang memberitahu cara-cara untuk menjadi jutawan melalui internet. Kasihan, ramai yang bercita-cita menjadi jutawan tetapi dibohongi -- konon boleh menjadi jutawan melalui internet. Saya tak nak cakap banyak dan taknak ulangi lagi kata-kata -- hanya boleh menjadi jutawan jika menjadi sebahagian dari internet seperti MSN, Google, Jobstreets dan sebagainya. Saya cuma nak Case study. Seminar bisnes mesti ada case study -- buktikan, melalui case study (dengan kira-kira sekali) syarikat atau rakyat Malaysia yang telah menjadi jutawan melalui internet. Itu saja yang saya nak. Jangan ambil Amazon, ambil dalam negara.

Bukan saya seorang tetapi mereka yang telah mengenali internet sejak 90'an. Internet masuk ke Malaysia pada tahun 1990, mula kedengaran pada tahun 1991, ISPnya ialah JARING. Seingat saya netter telah menubuhkan persatuan dinamakan JARINGAN memohon mengurangkan rate surfing. Orang yang menipu masyarakat konon boleh menjadi jutawan melalui internet tersebut tahukah apa itu ISP? Berapa ISP di Malaysia sekarang ini? Di mana datacenter yang digemari oleh syarikat hosting dan mengapa? Di mana nak dapatkan skrip? Apa platform atau OS terbaik untuk server dan mengapa? Kalau ini semua tak nak diambil tahu, macamana nak bagi ceramah cara-cara menjadi jutawan melalui internet sedangkan ia penting kerana berkait rapat dengan internet. Case study. Kalau nak pandai dalam bisnes kena pelajari Case Study.

Ketua Saintis dunia juga menepati "Law Of Branding" ciptaan Al Ries dan Laura Ries yang menyebut pasal "Narrowing" -- mendalam bukan melebar. Sejak tahun 90'an lagi Ketua Saintis Dunia menumpukan kepada satu produk sahaja -- mendalam bukan melebar. Kerana itu beliau berjaya mendapat brand.

Sifir 9 ini salah satu yang diajar. Menurut beliau, cara biasa ialah menghafal, cara penggunaan otak kanan adalah seperti berikut:

Tuliskan 0 hingga 9 sebaris, kemudian dibawahnya terbalik 9 hingga 0:

0 1 2 3 4 5 6 7 8 9
9 8 7 6 5 4 3 2 1 0

Itulah jawapan sifir 9. Baca dengan menurun. 9 x 1 = 09, 9 x 2 = 18, 9 x 3 = 27 dan seterusnya...

Saya sesungguhnya lebih mengkagumi keyakinan diri Encik Halim Ketua Saitis Dunia ini. Kalau saya diupah RM100 kemudian disuruh melekatkan tanda SAYA KETUA SAINTIS DUNIA dan mula berceramah, saya lebih selesa menolak. Bagaimana dengan anda? Saya rasa, ada 3 perkara penting yang menjadikan beliau begitu yakin dan mungkin kita boleh belajar darinya:

1. Peduli apa
2. Tak mati pun
3. Alah bisa tegal biasa

Mari kita lihat secara kontras untuk "Peduli apa!" -- sebenarnya hampir seluruh kehidupan kita ini selalu sangat dibawah 'arahan' dan 'sudut pandangan' orang lain -- kenalan dan juga orang-orang yang tak dikenali. Lalu, dengan mudah kita mengeluarkan dan akur dengan kata-kata atau andaian, "Nanti apa pulak kata orang..." Soalnya mengapa lebih mementingkan apa kata orang? Di mana kata kita? Sejak bila hidup kita ini diurus oleh pandangan dan kata-kata orang. Bukankah mereka mempunyai kehidupajn yang perlu diurus dan tak pernah selesai mengurus tetapi mengapa mempunyai masa untuk mengurus hidup kita melalui kata-kata dan pandangan? Atau benarkah mereka berkata-kata? Atau hanya anggapan kita sendiri? Atau sekadar bayangan? Alangkah bodohnya hidup kita ini jika diurus oleh bayangan, "Nanti apa kata orang" sedangkan orang tak pernah pun kata apa. Kalau nak ikutkan 'bayangan' 'perasaan' takkan hendak Encik Halim melekatkan Saya Ketua Saintis Dunia di dadanya. Nanti apa yang akan terjadi? Kalau begitu kita tak ada bezanya dengan bomoh temberang yang boleh tahu apa akan terjadi. Kita tak tahu sama sekali apa akan terjadi.

Kenapa, kalau benar boleh meramal, ramalkan sahaja yang baik-baik. Lepas ni pasti jadi jutawan (bukan jutawan internet)! Untuk mengatasinya, lakukan seperti Ketua Saintis Dunia -- "Tak mati pun..." Kalau sesuatu itu tak boleh membawa maut -- lakukan saja. Kalau tahu jadi mat rempit boleh membawa maut, jangan lakukan.

Dan seterusnya, Alah bisa tegal biasa -- ringkasnya ialah lali. Jika sesuatu itu dilakukan berulang-ulang ia menjadi lali -- ada orang kata selama 21 kali, 21 hari. Mungkin betul. Bila telah lali, ia tak terasa apa. Anak yang selalu kena sebat, sudah lali dengan sebatan dan tidak terasa apa. Cikgu yang biasa menampar anak murid sudah tidak terasa apa bila menampar anak murid -- akhirnya nanti terpaksa 'makan angin' sebab duit gaji habis untuk membayar saman. Tapi ingat, setiap pekerjaan ada kali pertamanya. Pada kali pertama (sebelum menjadi lali) -- perlu menyebut berulang-ulang kali "Tak mati pun..."

Sekian, ceramah saya pada kali ini. Jika Encik Halim menjual risalah dengan harga RM5, berapa saya nak charge anda yang membaca tulisan saya ini? Hehehe...

 
The comments are owned by the poster. We aren't responsible for their content.

Mutiara Kata

Barangsiapa yang menghilangkan satu kesusahan dunia dari seorang mukmin, maka Allah akan menghilangkan darinya satu kesusahan di hari kiamat. Barangsiapa meringankan orang yang sedang kesulitan, maka Allah akan meringankannya dari (kesulitan) dunia dan akhirat. Barangsiapa yang menutupi (kejelekan) seorang muslim, maka Allah akan menutupi (kejelekannya) di dunia dan akhirat. Dan Allah akan menolong hamba selama dia mahu menolong saudaranya.

» Hadis Riwayat: Muslim «

Hubungi

Arkib Artikel

Penaja








Mari Menderma







Web Kegemaran

Tetamu