Keajaiban Linking
Posting pada:  12 Aug 2006 ( 1256 kali di baca )

Razzi Armansur menulis: Kisah berlaku di Negara China zaman Dinasti (entah dinasti apa...). Sudah beberapa hari kuda baka baik tidak dapat dijual. Malamnya si penjual menemui 'Pakar Kuda' yang terkenal meminta pertolongan untuk menjual kuda tersebut.

Beliau hanya meminta sikit saja -- esok pagi, di tempat menjual kuda, Pakar Kuda hendaklah memeriksa kuda tersebut dari kepala ke ekor, mengangguk-angguk dan berlalu. Selang beberapa langkah Pakar Kuda tersebut diminta menoleh semula ke belakang ke arah kuda tersebut, menung seketika dan terus berlalu. Itu saja. Hanya lebih kurang 10 minit dan mendapat upah 10% dari harga kuda tersebut. Esoknya Pakar Kuda tersebut pun melakukan apa yang diminta. Dia buat-buat memeriksa kuda tersebut dengan penuh minat dan berlalu. Beberapa langkah kemudian menoleh ke belakang dan membuat gaya seperti menyesal kerana tidak dapat memiliki kuda tersebut. Dalam masa beberapa minit kemudian orang ramai berkerumun turut sama memeriksa kuda tersebut dan berebut-rebut untuk membeli dengan harga yang tinggi.

Apa moralnya? Moralnya ialah "Linking". Bila sesuatu dikaitkan dengan pakar dan kualiti, sesuatu itu secara automatik akan meningkat kualitinya. Bila sesuatu itu dikaitkan dengan keburukan secara autiomatik sesuatu itu menjadi buruk walaupun asalnya elok. Ia sama dengan cerita berjiran dengan ulama -- secara automatik harga rumah sewa naik kerana dapat berjiran dengan ulama. Bagaimana jika berjiran dengan penagih dadah atau orang MLM? Ukhwah.com dianggap pertubuhan yang berkualiti tinggi di internet dalam alam nyata kerana itu banyaklah yang mahu bekerjasama dengan Ukhwah.com kerana hendakkan "linking". Media-media utama pun kini memberi perhatian -- Presidennya beberapa kali dihubungi oleh media utama seperti Berita Harian, The Edge untuk mendapatkan interbiu.

Saya nak melanjutkan cerita kaitan atau "linking" ini. Mengapa ramai di kalangan kita yang seboleh-bolehnya tidak mahu dikaitkan dengan MLM -- sama ada syarikat MLM atau orang MLM lebih-lebih lagi yang selalu disebut "leader-leader" (Kalau saya kata bodoh nanti marah walhal sememangnya bodoh sebab mana ada perkataan "leader-leader", yang hanyalah "leaders". Perkataan "leader-leader" inilah paling kerap disebut di dalam MLM. Itu baru dari segi nahu -- dari segi kewujudannya amat pelik -- entah apalah ukuran yang mereka gunakan untuk membolehkan seseorang itu dipanggil "leader". Bagi kita, bila sebut leader terbayanglah -- Nelson Madella, Dato' Seri Anwar Ibrahim, Fidel Castro. Kalau "melompat-lompat" dari satu MLM ke satu MLM layak ke dipanggil leader? Rasanya paling tepat ialah "Leader Katak".

Gelarannya memalukan, perbuatannya memalukan -- siapakah yang mahu dikaitkan dengan "leader" dan orang MLM, syarikat MLM kecil-kecilan yang cuba ditegakkan, disokong dengan penipuan dan penglipurlara?


Semalam, Khamis, Azman Ching tak tahu entah angin apa, lepak seharian di rumah saya sambil membincangkan reka bentuk kulit buku beliau terkini, "Dari 0 Sampai Jutawan" dan juga kandungannya. Buku ini akan dijual pada malam ulangtahun CNI pada 19.8.2006 nanti.

Kesempatan saya ambil untuk meminta pendapat beliau mengenai "Link" tadi -- "Kenapa lebih ramai yang lari dan mengelak dari MLM berbanding dengan yang mengalu-alukannya? Inikah bisnes yang akan kita tinggalkan untuk generasi akan datang?" Jawapannya walaupun kurang memuaskan hati saya, tetap saya ambil untuk dimasukkan ke dalam buku baru saya nanti "BOOM MLM -- Rebranding MLM". Isi kandungannya rahsia tetapi Azman Ching sudah melihat draf kandungannya sebab memang sejak kenal 7 tahun lalu, kesukaan beliau ialah menyelongkar meja saya.

Saya membawakan kisah Amway (untuk mengorek terus pengetahuan dan pengalaman beliau mengenai MLM untuk dimasukkan ke dalam BOOM MLM) dan juga teori kajian saya TOP 10 syarikat MLM di Malaysia yang mampu bertahan walaupun terkena taufan Katrina adalah syarikat MLM yang berasaskan produk yang sudah setua sejarah. Bukan berasaskan pelan pemasaran dan penglipurlara. Contohnya Amway -- mengapa sudah 30 tahun ia di bumi Malaysia dan terus kekal No.1, walaupun saban hari dikutuk dikata sebagai syarikat MLM nenek dan pelan pemasaran yoyo yang tidak pernah berubah sejak 1947. Walaupun produknya mahal dan melampui batas mahalnya, tetap orang membelinya. Mengapa usahawan mereka begitu setia walaupun pendapatan mereka tidak banyak? Apa rahsianya? Mengapa jika dikaitkan dengan Amway, mereka begitu berbangga? Inilah yang akan saya kaji dan dimasukkan ke dalam BOOM MLM.

Saya ingin melihat kontrasnya pula -- mengapa, bila "leader-leader katak" tadi dikaitkan dengan satu-satu syarikat MLM yang baru -- syarikat MLM yang diasaskan dengan penglipurlara itu akan segera bungkus? Mengapa? "Leader-leader katak" ini ada membawa "suwey" ke? Pendek kata, di mana ada "leader-leader katak" di situlah akan ada suasana gila. Sekejap saja "leader-leader katak" ini memalu kompang, riuh rendah gegak gempita penglipurlara dan kelentong, beratus ribu atau juta ringgit berjalan dari mulut ke mulut tetapi tidak pernah pun dilihat secara fizikal. Selesai itu semua, "leader-leader katak" ini akan melompat sebagaimana habitat katak, mencari tempat baru untuk memukul kompang. Sudah 2 -- 3 syarikat MLM yang saya perhatikan dan perlu 2 -- 3 syarikat lagi untuk mengesahkan kebenarannya.

Yang terbaru ialah syarikat MLM di Wisma Zelan yang saya percaya 100% syarikat tersebut diasaskan dan diberi bantuan sepenuhnya oleh penglipurlara dan kelentong yang terlampau. Mula-mula dulu, memang gegak gempita riuh rendah -- penglipurlara dan kelentong menjadi -- ramailah "leader-leader katak" berhimpun memalu kompang. Lama-kelamaan hanya lalat yang datang. Kadang sehari suntuk saya di situ tidak ada satu produk pun yang keluar melalui pintu walaupun khabarnya jualan bulanan mencecah juta. EXIM -- Export dan Import -- kalau tak ada yang dieksport, apa yang hendak diimport? Kalau produk tak "eksport" melalui pintu, pendapatan apa yang hendak di"import" melalui pintu? Kalau Pengurus pemasaran syarikat (gelinya jawatan.... kononnya) tak tahu berapa sebenarnya margin perniagaan, apa sebenarnya asas pemasaran, branding, publisiti, macam mana nak mengimport pendapatan. Kalau hanya lalat yang datang ke pejabat, siapa yang hendak diperbodohkan konon jualannya juta-juta? Yang lebih pelik, mengapa "leader-leader katak" ini tidak berani memalu kompang menyanyi macam kumpulan Rufaqa' di syarikat-syarikat MLM yang saya kategoirikan sebagai TOP 10 tadi? Pernah dengan pasal "leader-leader katak" memekak memanggil hujan di Amway, Cosway, CNI, Shaklee, HPA, Elken, Hai-O dan sebagainya.

Pendapat saya mudah -- syarikat MLM TOP 10 itu bukan habitat mereka.

----------------

Hari ini pula selepas keluar dari masjid Sungai Pencala bertemulah satu personaliti yang pernah saya temui di syarikat MLM di Wisma Zelan dulu. Sama ada dia yang menipu dirinya sebagai Prof. Dr. atau syarikat MLM di Wiswa Zelan itu yang memukul kompang menampalkan pangkat Prof. Dr. pada personaliti tersebut. Saya rasa kedua-duanya saling bekerjasama memalu kompang. Sejak dulu lagi saya tahu dia kaki kelentong besar sebab bila saya soal, banyak sangat belitnya. Kononnya Prof. Dr. tetapi kenapa sengkek sangat -- jalan kaki. Takkan tak mampu nak beli kereta atau motosikal.

Saya tahu dia tinggal di Sungai Pencala. Di depan masjid tadi pun sempat juga dia kelentong, "Rumah kat sebelah mana?" Dia belit, "Sebenarnya rumah saya di Damansara Height." Tengoklah -- dengan saya pun nak kelentong. Taknak sebut pulak rumah di Sungai Kayu Ara atau Bukit Lanjan? Damansara Height? Wow!!!!! Yang mana? berhampiran Plaza Damansara? Dekat rumah Dato Seri Anwar? Agaknya tak muat Masjid Umar Al Khatab sebab itulah dia sembahyang di Sungai Pencala.

Inilah orang-orang MLM -- kelentong dah macam gosok gigi. Kelentong diteruskan lagi konon ceritanya dia bekerja di kajian sains SIRIM. Pelik bin lucu, Masjid Shah Alam perlu diperbesarkan sebab seorang pekerja SIRIM terpaksa sembahyang di Sungai Pencala. Naik apa pergi kerja di Shah Alam itu sebab tak ada bas dari Sungai Pencala atau Taman Tun terus ke Shah Alam. Ke Putrajaya memang ada. Satu cara ialah -- naik teksi ke Kelana Jaya atau Taman Bahagia, ambil LRT ke KL Sentral, naik Komuter ke Shah Alam. Atau ambil teksi direct dari Sungai Pencala ke Shah Alam (RM25 hingga RM30 -- jadi RM60 pergi dan balik). Kalau nak jimat -- jalan kaki sambil beriadah.

Tak cukup lagi, sebab ADA kelentong berikutnya. Saya akan sentiasa menganggap kelentong dan memperbodohkan jika soalan saya tidak dijawab, "Berapa trilion ekor lembu beranak yang diperlukan untuk menghasilkan susu awal lembu bagi pasaran Malaysia sahaja? Berapa billion ekor lembu baka di muka bumi ini?" Saya bukan bercakap mengenai juta dan billion (seribu juta) tetapi trilion (seribu billion).

"Saya guna lembu tempatan" Katanya dengan selamba. Dia benar-benar menghina kewibawaan saya. Adakah saya ini pada pandangannya manusia yang boleh dikelentong? Mungkin benar menurut pandangannya kerana dia menemui saya pertama kali di kalangan kaki kelentong semasa majlis di syarikat MLM penglipurlara di Wisma Zelan itu. Jadi, saya dianggap sama saja dengan "leader-leader katak" yang kaki kelentong dan mudah dikelentong. "Saya ada 300 ekor lembu di Kelantan, saya gunakan lembu local untuk susu awal lembu." Katanya. Ya Allah.... Tolonglah ampuni aku....

Dulu pernah beritahu saya bahawa dialah pemborong madu lebah terbesar di Malaysia ini. Elok kalau dia ambil lebah banyak-banyak, carilah di mana-mana, masukkan ke dalam mulut supaya berhenti berbohong. Tanpa disedari dia telah menambahkan lagi bilangan kelentong di dalam MLM dan dalam masa yang sama akan menambahkan lagi kata, "Patutlah... dia kan orang MLM."

Saya bertanya kepada anak saya, "Kenapa Abah kata dia menipu?" Anak saya menjawab, "Sebab matanya pandang lain dan anggota badannya tak boleh diam semasa bercakap." Itu yang saya ajar anak saya untuk mengesan pembohongan. Garu sana, garu sini, melilau sana, melilau sini, suara bergetar, gelabah dan macam tergesa-gesa -- sangat mudah nak mengesan pembohongan.

Linking atau kaitan -- ingatlah sabda Rasulullah SAW, "Kalau hendak mengenali keperibadian seseorang lihatlah sahabat-sahabatnya." Juga jangan lupa Kata Bijaksana, "Dengan siapa anda bergaul, itulah gambaran masa depan anda."

 
The comments are owned by the poster. We aren't responsible for their content.

Mutiara Kata

Musuh kepada musuhku adalah kawanku

» Dari filem 'Alien vs Predator' «

Hubungi

Arkib Artikel

Penaja








Mari Menderma







Web Kegemaran

Tetamu