Sambungan Motivasi Pagi TV3
Posting pada:  03 Aug 2006 ( 1703 kali di baca )

Razzi Armansur menulis: Sehari dua ini teringat kepada sahabat lama yang dulu sentiasa bersama ke hulu hilir. Tiba-tiba semalam, semasa sedang berbincang serius dengan Presiden Ukhwah.com, ada mesej sahabat itu akan muncul dalam Motivasi Pagi TV3. Selepas itu dia telefon memberitahu, esok (hari ini) dia akan singgah ke rumah sesudah selesai sesi Motivasi Pagi di TV3.


Keterangan Gambar: Sambungan Motivasi Pagi oleh Datuk Dr. Azman Ching di gerai yang memekak di Sungai Pencala, dalam kereta dan di depan rumah


Jadi, Azman Ching menyambung sesi ceramah dia di gerai, dalam kereta dan di depan rumah saya sehingga lingkungan pukul 9.30. Pertemuan singkat sesudah hampir 2 tahun tak bertemu itu sememangnya tak cukup untuk membincangkan dengan serius perkara yang menjadi kegemaran Azman Ching dan saya iaitu pemasaran dan strategi.

Saya memberitahu -- Trump bersama beberapa lagi pemimpin perniagaan akan datang ke Malaysia. Yuran penyertaan lingkungan RM4,000.00. Azman akan pergi seminar tersebut. Kalau dia murah hati dia akan sponsor saya sekali. Inilah peluang untuk belajar. Tidak ada yang percuma di dunia ini melainkan pemberian Allah SWT seperti -- masa, nyawa, air, udara, dan sebagainya. Yang lain kena beli. Ilmu pun bukan percuma. Tapi pagi ini saya dapat menimba beberapa ilmu penting dengan percuma dari jutawan yang glamour ini.

Mula-mula diberitahu berita yang mengejutkan -- Noraini Ahmad penerbit bahagian majalah, orang yang pertama membawa Azman Ching ke kaca TV3 telah meninggal dunia dalam usia yang begitu muda. Dengan dialah kami selalu berurusan dulu semasa berusaha untuk membawa naik nama Azman Ching. Beberapa orang yang dengki bertanya kepada saya, "Ko dapat apa naikkan nama orang?" Saya bertanya kembali, "Ko pulak dapat apa kalau aku tak naikkan nama dia?" Saya dapat berbagai-bagai pengetahuan dan teknik promosi yang boleh saya aplikasikan pada masa lain. Saya membina jaringan dan saya mendapat persahabatan yang kekal sehingga bila-bila.

Suatu hari nanti, anak saya akan menyambung, berkawan baik pula dengan anak Azman Ching. Jangka pendek memanglah tak nampak apa. Nampak macam saya ini bodoh menaikkan nama orang tanpa sebarang imbuhan. Saya bukan kaki imbuhan.

Sambungan Motivasi Pagi di gerai, dalam kereta dan depan rumah berkisar kepada, "Keinginan dan Keperluan," "Strategi Laut Merah dan Biru" "Saling Melengkap". Itulah 3 isu penting yang dipadatkan dibincangkan dalam masa lebih kurang 1 jam.

Saya sangat benci dengan sembang-sembang di kedai kopi, jadi, pagi ini, saya bukan sembang-sembang tapi berbincang sesuatu yang sangat penting -- sesuatu yang mengandungi ilmu.

Antara Keinginan dan Keperluan: Kebanyakan dari kita tidak tahu membezakan antara keperluan dan keinginan. Bahkan sepanjang masa hanya mementingkan keinginan bukan keperluan. Datuk K mengahwini Siti Nurhaliza -- keinginan atau keperluan? Anda bertukar handphone baru -- keinginan atau keperluan? Azman Ching bertukar kereta Jaguar, keinginan atau keperluan? Bila keinginan telah dipenuhi apa terjadi? Bezakan pula, bila keperluan telah dipenuhi apa akan terjadi.

Bila keinginan telah dipenuhi -- ghairah, excited akan hilang dengan sendirinya. Bila keperluan telah dipenuhi ia akan kekal sebab ia adalah keperluan yang diperlukan.

Azman Ching bertukar kepada kereta Jaguar saya rasa adalah kerana keperluan -- maklum saja dalam MLM ini, "show business" adalah amat penting. Ia keperluan kerana beliau pernah berkata dengan saya -- "Selagi tak ada rasa terpaksa, kita akan naik lemak." Keperluannya di sini ialah untuk membuang "lemak" dan membina kejayaan yang lebih besar. Ini kerana sikap semula jadi manusia (terutama kaum kita Melayu) ialah nak senang, nak cepat -- dengan bersenang-senang di rumah, sembang-sembang di kedai kopi, masuk MLM -- dengan cepat dapat hasil yang besar. Mungkin dalam cerita P. Ramlee sahaja begitu. Selagi tidak diwujudkan keadaan terpaksa (sebagaimana ikan terdampar di daratan terpaksa berusaha mati-matian untuk mencari air) -- selagi itulah hidup sentiasa susah kerana enggan berusaha tetapi hendakkan sesuatu yang senang dan cepat. Membina rasa terpaksa juga amat penting untuk kemajuan diri.

Keinginan adalah sikap semula jadi manusia -- kerana itulah jika diperhatikan, bisnes sentiasa menimbulkan keinginan manusia. Iklan direka demikian rupa hingga menimbulkan keinginan manusia -- hingga manusia lupa dengan keperluan sebaliknya hanya menumpukan kepada keinginan. Bisnes juga pandai menukar dari keinginan menjadi keperluan. Bisnes kereta, handphone, kad kredit, kedai ekor, pengedar dadah sangat pandai menukar keinginan manusia menjadi keperluan.

Laut Merah Laut Biru: Kebanyakan peniaga kecil berada di dalam Laut Merah -- berdarah kerana pertempuran, bunuh membunuh. Jika mahu memenangi pertempuran itu mestilah menyeberang ke laut biru yang tenang, damai dan menguntungkan. Untuk meninggalkan Laut Merah dan menyeberangi Laut Biru -- ada strategi kerana itu dipanggil Strategi Laut Biru.

Cuma, harapan saya -- jangan ia dicemari dengan pembohongan kerana jika tersilap langkah, promosi yang membolehkan beralih ke Laut Biru akan dicemari dengan pembohongan. Pembohongan dalam promosi tak jauh bezanya dengan kekal dalam Laut Merah. Menuju ke Laut Biru adalah dengan: 1) Penglipurlara 2) Value Added.

Sebagai contoh kita ambil nasi lemak: Katalah anda menjual nasi lemak di Taman Tun. Anda melihat keliling ada kira-kira 10 orang menjual nasi lemak di sekitar anda. Di sinilah selalunya terjadi pertempuran sengit termasuklah strategi yang paling bahaya iaitu menurunkan harga. Untuk menang, anda mestilah masuk ke ruang Laut Biru bukan menangani pertempuran di Laut Merah. Caranya ialah dengan value added -- tambah sesuatu pada nasi lemak anda supaya berbeza dari orang lain. Bukan tambah racun tetapi tambah sesuatu yang menyebabkan berlainan (bukan berbeza) dari orang lain. Katalah orang lain ayam digoreng di rumah, anda menggoreng ayam di situ juga. Kalau DBKL kacau, jangan lari, biar dia angkut minyak panas itu.

Sesudah ada kelainan (value added), anda mestilah membuat penglipurlara atau sensasi. Nasi lemak adalah nasi lemak -- bahannya kekal sama -- santan, garam, air, daun pandan. Sensasi dan penglipurlara yang menyebabkan ia laris dan ada kelainan. Tapi jangan sampai berbohong. Katalah seorang mendongak ke langit, kemudian datang seorang lagi, seorang lagi, lagi, lagi, semua orang di kawasan itu akan mendongak ke langit tak lama kemudian, walaupun orang yang pertama tadi mendongak kerana sebenarnya dia sakit leher. Apa ada dengan Nasi Lemak Antarabangsa, Nasi Lemak Tanglin, Nasi Lemak Cikgu? Tak mungkin ia menggunakan tungku emas untuk memasaknya. Puncanya ialah iklan dari mulut ke mulut. Sedap? Saya rasa ada banyak nasi lemak lain yang lebih sedap. Bezanya ialah sensasi dan penglipurlara.

Perlipurlara dan sensasi perlukan seorang, dua, tiga, berpuluh-puluh orang mendongak ke langit. Kalau anda mengupah budak-budak dan beberapa orang dewasa berkerumun di depan warung anda selama seminggu -- orang akan tertanya-tanya dan tercipta satu persepsi -- "Nasi lemak anda laris, sentiasa ramai orang, tentu sedap." Seminggu saja anda melakukan begitu sudah mencukupi. Mulut manusia tak boleh disekat, mereka akan menyebarkan "Ramainya orang, sedap sangat ke?"

"Berkerumun" itu bukan menipu, tetapi taktik. Jual nasi lemak seperti perang -- kena ada taktik. Rasulullah mengarahkan meletakkan dan menggantung api supaya bila malam, tentera Islam kelihatan ramai. Satu lagi cara ialah dengan, "Cepat habis". Ini boleh dijadikan sambungan kepada "berkerumun" tadi. Jangan buat banyak, supaya cepat habis. Mesej akan segera tersebar, "Ramai yang beli." Mengapa cepat habis, sebab ramai yang beli, mengapa ramai yang beli sebab sedap. Menipu? Bukan menipu tapi taktik. Apapun, buat yang terbaik. Memang orang ramai boleh datang berebut-rebut, tetapi bagaimana jika ia tidak seperti yang gembar-gemburkan walaupun memang tepat -- tekak manusia berbeza. Yang sedap bagi Si A, belum tentu sedap bagi Si B.

Jangan itu dijadikan bahan untuk helah. Yang penting sekali -- buat sebaik mungkin sesedap mungkin. Belajar lagi. Taktik ini telah lama digunakan oleh Kopitiam. Kalau anda membuka warung, untungnya kecil sahaja dan tak mungkin anda boleh menjual kopi sehingga RM2 atau RM3. Tetapi di Kopitiam yang di kompleks seperti di One Utama (Kluang Stesen), atau di Tesco (Old Kopitiam), dengan selamba orang boleh membayar -- sekali duduk lebih dari RM10. Rasa? Kopi adalah kopi dan rasanya memang kopi. Roti bakar adalah roti bakar dan rasanya adalah roti bakar. Yang membezakannya ialah "penglipurlara." Yang menyebabkan saya terpedaya ialah "penglipurlara" -- setelah itu saya taubat tak akan masuk kali ke kedai ala-ala kedai kopi lama itu. Kopi di rumah saya lebih sedap. Kopi keluaran Fama lebih sedap. Roti bakar kedai Ho Bee di Banting lebih sedap.

Penglipurlara yang menjadikan ia sedap. Sejak sekian lama -- "Sedap, sedap, sedap..." telah ditanam di fikiran orang ramai menyebabkan berpusu-pusu sanggup membayar lebih di Kopitiam ala-ala kedai lama di kompleks. Penglipurlaranya sudah streotaip: "Resepi nenek moyang turun temurun dijaga rapi, hanya diketahui oleh anak sulung, kopi disangan (roasted) menggunakan kayu api pada api yang dikawal, dengan teliti sehingga rasa dan kesegarannya terpelihara." Kopi adalah kopi. Kalau di Malaysia ini biasanya kopi Arabica yang diimport dari Indon atau Afrika.

Kopi adalah kopi -- yang membezakannya ialah penglipurlara -- memukau kata-kata tertentu dimasukkan ke dalam otak manusia. Begitu juga dengan nasi ayam, kuih pau -- tempat lain lebih sedap tetapi oleh kerana tidak ada penglipurlara, maka yang di kompleks, yang lebih mahal diserbu.

Saling Melengkapi: Tidak ada manusia yang sempurna di muka bumi ini sejak zaman Adam hingga kiamat. Ada kelebihan dan ada kelemahan, ada kekurangan. Sebab itu jugalah ada SWOT. Hampir semua orang tahu SWOT tetapi sekadar tahu tak mencukupi. Kalau tanya pengemis pun dia akan menjawab, "Ohhh saya tahu kalau nak kaya kena rajin, jangan putus asa." (seperti kata Gan Ah Seng)

SW yang pertama adalah Strengh and Weaknes. Kekuatan dan Kelemahan. Kelemahan mesti dilengkapi dengan Kekuatan. Manusia saling memerlukan, saling melengkapi. Jika misalnya anda lemah dalam satu-satu bidang mestilah mengambil rakan kongsi yang kuat dalam bidang tersebut. Itulah "Kerjasama" -- berusaha bersama untuk kejayaan bersama. Katalah anda lemah dalam bidang pemasaran tetapi mahir dalam pembuatan -- anda perlu mencari pelengkap -- mencari orang yang mahir dalam bidang pemasaran. Sudah pasti yang mahir dalam pemasaran itu belum tentu mahir dalam pembuatan kerana setiap manusia ada kelemahan dan ada kekuatan.

----------------

Sambungan Motivasi Pagi sudah selesai. InsyaAllah, dalam masa terdekat ini ada sesuatu yang akan dilakukan kembali bersama Azman Ching.

 
The comments are owned by the poster. We aren't responsible for their content.

Mutiara Kata

Hina besi kerana karat, hina kucing kerana kurap, hina manusia kerana melarat

» Peribahasa Melayu «

Hubungi

Arkib Artikel

Penaja








Mari Menderma







Web Kegemaran

Tetamu