Wabak Dr. Ayam
Posting pada:  23 Jul 2006 ( 1145 kali di baca )

Razzi Armansur menulis: Berita ini saya ambil dari Harian Metro hari Rabu lepas, bagi membuktikan kebenaran Dr. Ayam, Dr. Mee Segera yang semakin berlambak. Bukan tujuanku untuk mengaibkan mereka tetapi cuba memberitahu lebih awal supaya tidak lebih ramai yang tertipu.

Ada beberapa orang yang rela ditipu (atau mungkin si penipu itu sendiri) marah kepada saya sebab mengutuk mereka. Sememangnya mereka boleh dikutuk kerana perbuatan menipu adalah perbuatan terkutuk.

Walaupun saya tak suka dengan Harian Metro yang lebih suka menyiarkan berita artis, tetapi adakalanya pendedahan mereka boleh dipercayai. Baru-baru ini, pendedahan mengenai "Susu Awal Lembu" telah menyebabkan jualan susu awal kelentong (tak kurang dari 50 syarikat menjualnya dengan berbagai jenama -- "same song different singer") telah mengalami kemerosotan yang mendadak. Saya percaya riwayat susu awal lembu berserta penipuan yang seakan produk tersebut turun dari langit akan berkubur segera.

Belajar dari sejarah -- suatu masa dulu kopi PERASA ginseng dihebohkan sebagai produk ajaib -- kini segala rupa kopi yang bercampur dengan yang pelik-pelik belaka termasuklah Tongkat Haji Ali -- dikatakan produk kelentong. Kopi adalah kopi. Seorang penjual ekstraks Tongkat Ali memberitrahu untuk mendapatkan ekstraks tongkat ali adalah nisbah 100:1 ? 100kg tongkat ali raw menghasilkan 1 kg ekstrak dalam bentuk cecair -- kemudian dengan kaedah sembur beku ia berubah menjadi serbuk. Bayangkan ? alangkah mahalnya tongkat ali yang ori. Beratus ringgit sebotol. Jadi, gunakan hukum akal -- jenis tongkat ali apa yang berada di dalam minuman kopi sekarang ini? Sebenarnya kandungan gula di dalam minuman tersebut yang menjadikan ghairah, bukan tongkat ali. Kementerian Kesihatan sangat marah (marah saja, tak ada tindakan) dengan herba yang dikisar kemudian diminum. Ia boleh merosakkan buah pinggang.

Sekurang-kurangnya pendedahan Harian Metro mengenai nasib malang seorang pakcik yang minum susu awal lembu, menyekat (sedikit) penipuan tersebut dari berlanjutan. Bagaimana dengan penipuan pendapatan? Ada yang khabarnya dapat puluhan ribu, walau hanya 3 bulan menjual susu awal lembu. Alangkah mudahnya hidup..... Nak dapat puluhan ribu itu berapa kontena susu awal kelentong perlu dijual? Berapa puluh ribu tajaan (aktif menjual dan menaja) yang diperlukan? Mereka ini "main bantai" sahaja -- soalan saya selama ini tak terjawab -- "Berapa trilion ekor lembu betina yang beranak diperlukan untuk menghasilkan susu awal lembu hanya untuk pasaran Malaysia?" Lembu susu di Australia tidak beranak. Ia adalah khas untuk diperah susunya. Jumlahnya? Tak mencecah puluhan juta. Lembu beranak dihasilkan melalui baka hybrid, hanya beranak sahaja. Dan lembu jantan khusus untuk disembelih. Jadi, dari mana datangnya susu awal kelentong itu? Kasihan siapa yang tertipu....

Soalan saya seterusnya pun tak terjawab, "Mengapa tiba-tiba ada Dr. di depan nama yang menjual susu awal lembu?"

Inilah berita dari Harian Metro -- semoga dapat lebih ramai yang tidak tertipu:

Quote:

Edisi Nasional: PhD cuma RM200 Oleh Ahmad Nazri Mohamad dan Syah Rul Aswari Abdullah

KUALA LUMPUR: Mereka yang gagal dalam pelajaran termasuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kini boleh menyamar memiliki gelaran Doktor Falsafah (PhD) dengan hanya membeli segulung ijazah kedoktoran universiti tempatan palsu berharga RM200.

Ijazah ekspres itu bukan saja bagi peringkat PhD, malah diploma dan ijazah kepujian boleh diperoleh dalam tempoh beberapa hari saja tanpa perlu membayar yuran pengajian beribu-ribu ringgit, mengikuti pengajian bertahun-tahun, memerah otak menduduki peperiksaan atau menyiapkan tesis. Apa yang perlu dilakukan hanya membelanjakan RM200 hingga RM1,500 melalui internet menggunakan kad kredit atau pemindahan wang ke bank secara on-line untuk membeli ijazah itu daripada pihak tertentu.

Lebih mengagumkan, ijazah itu boleh digunakan untuk mendapatkan pekerjaan kerana kebanyakan majikan lebih tertarik meneliti tahap pencapaian calon berbanding mengesahkan keaslian sijil yang dijadikan bukti pencapaian akademik.

Gejala pemalsuan sijil akademik dan kokurikulum institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA/IPTS) tempatan serta luar negara itu didedahkan MVD International Sdn Bhd (MVD International), syarikat yang menjalankan perkhidmatan penyiasatan dan risikan mengenai gejala berkenaan.

Pengarah Urusannya, M Venodevan, berkata kecenderungan penggunaan ijazah palsu semakin ketara sejak beberapa tahun kebelakangan ini berbanding hanya 2,000 ketika syarikat itu mula-mula menyediakan khidmat siasatan latar belakang calon temuduga. Beliau berkata, daripada 20,000 kes pemalsuan dokumen dan kelayakan diri yang disiasat MVD International di seluruh negara sejak tahun 2000, kira-kira 10 peratus membabitkan kes pemalsuan sijil akademik. "Kecenderungan penipuan sijil akademik untuk memohon kerja semakin ketara dan serius sekarang apabila siasatan kami membabitkan 800 kes dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini mendapati kira-kira 100 kes berlaku pemalsuan dan penipuan calon," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Cheras, di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata, penipuan itu membabitkan semua kaum dengan kira-kira 35 peratus daripada kes ialah wanita. Katanya, kira-kira 70 hingga 80 peratus kes pemalsuan sijil itu membabitkan graduan yang baru menamatkan pengajian di IPTA/IPTS manakala bakinya pemegang ijazah yang mahu meningkatkan taraf pendidikannya.

Mengulas punca pemalsuan itu, Venodevan berkata, kebiasaannya calon yang memalsukan ijazah mempunyai pengetahuan dalam bidang berkenaan tetapi tiada kelulusan yang cukup tinggi untuk mendapat tempat dalam sesetengah jawatan ditawarkan. "Persaingan sengit di kalangan calon dalam merebut jawatan yang ditawarkan sesebuah syarikat membuatkan calon terbabit mengambil pendekatan mudah iaitu mendapatkan sijil akademik dan kegiatan kokurikulum palsu," katanya.

Menurutnya, ada calon yang menggunakan ijazah palsu itu lolos dan diterima berkhidmat berikutan kecuaian bahagian sumber manusia di sesebuah syarikat yang tidak membuat semakan dengan institusi pengajian berkenaan. Katanya, tahap kesedaran majikan syarikat tempatan juga masih rendah berbanding syarikat asing yang beroperasi di negara ini dengan 60 peratus daripada pelanggan MVD International adalah syarikat asing. "Syarikat yang menggaji pekerja menggunakan sijil palsu itu akhirnya mengalami kerugian apabila mereka terpaksa membayar gaji yang mahal sedangkan pengetahuan pekerja terbabit adalah terhad dan tidak boleh dikembangkan untuk kemajuan syarikat," katanya.



Tapi saya rasa siapa yang membayar RM200 adalah orang yang bodoh dan layak menerima gelaran Dr. Bodoh sebab tanpa mengeluarkan RM200 pun siapa pun di Malaysia ini boleh meletakkan Dr. di depan nama. Kita semua berharap sangat, bilakah pihak kerajaan akan bertindak terhadap mereka yang sewenang-wenangnya meletakkan Dr. di depan nama.

Kita kasihan dengan Dr yang ori yang menghabiskan ratusan ribu ringgit, masa, tenaga, usia untuk belajar menuntut ilmu dan dianugerahkan Doktor (sama ada medik atau falsafah) seperti Dr. Hasan Ali, Dr. Fazilah Kamsah, Dr Hamdani Saidi (orang Sungai Lang Banting, menghabiskan usia mengkaji petroleum), dan sebagainya. Seolah-olah gelaran "Dr" itu satu gelaran yang tidak ada harga sama sekali. Dan bagi yang menerima Dr persuratan dari Universiti ternama tempatan (bukan UiTM atau Unittar), pun agak kasihan sebab anugerah tersebut seperti tidak bermakna memandangkan tidak ada undang-undang untuk menangkap dan memenjarakan segala rupa Dr. Ayam.

Contoh penerima Dr. persuratan (atau dikenali juga sebagai Dr Anugerah) ? Dr. Hamzah Dolmat (penggesek biola), Dr. Ahmad Nawab (komposer).

Dr Tipu ini berlambak-lambak di dalam MLM. Biasanya ialah pengedar dan pembekal. Pengedar meletakkan Dr. (walaupun sebelum ini jual burger) untuk menarik orang supaya menjadi tajaan. Pembekal (terutamanya produk herba) meletakkan Dr. di depan nama supaya syarikat MLM mengambil produk mereka. Kemudian mereka akan memberi ceramah tentang produk mereka dengan harapan pengedar percaya bila mereka meletakkan Dr. di depan nama. Lucu? Kita anggap lucu tetapi mereka sama sekali mereka tidak malu sebaliknya amat berbangga. Mereka boleh mengamuk kalau anda tidak memanggilnya Dr atau setakat memanggil "Encik".

Dalam buku saya berjudul "Susah & Senang" ada saya tuliskan -- "Orang yang tahu sikit akan memberitahu banyak" (seangkatan dengan tong kosong kuat bunyinya) -- saya bawakan contoh -- kebanyakan kereta yang dimodified di jalan raya (sampai ekzosnya boleh dilalui ular sawa dengan begitu mudah) -- adalah kereta-kereta murah dan mereka yang rendah pendidikan. Pernah melihat kereta Porsche, BMW, Mercedes, Daimler, Ferrari, Lamboghini dimodified? Berpuluh kali telah saya katakan, Dr Ayam akan bermati-matian meletakkan "Dr." di depan nama (sebagaimana kereta yang murah akan dimodified), dan "Dr. Ori" pula akan menjadi sebaliknya -- mati-matian (dengan segan silu) seperti enggan diletakkan Dr. di depan namanya (sama seperti kereta mahal yang tak perlu modified).

Penyakit meletakkan Dr. di depan nama telah lama menular ke dalam dunia penulisan. Tulis buku angin dan merapu, menipu masyarakat konon jual air tepi jalan boleh jadi jutawan, pun meletakkan Dr di depan nama. Apa motifnya?

Tolonglah... saya sama sekali tidak menghina atau merendah-rendahkan mereka yang berjualan itu sebaliknya saya tabik hormat kepada mereka yang mencari rezeki halal itu. Yang saya meluat dan benci adalah orang yang menulis tanpa fakta yang sahih. Atas fakta apa? Atau atas dasar main agak-agak? Siapa sebenarnya yang hendak ditipu? Alangkah kasihannya orang yang terpedaya.

Artikel mengenai "usahawan internet" ada berjuta-juta di internet. Taip saja, "Make money internet" "internet business" dan seumpamanya di GOOGLE. Anda akan menemui berjuta-juta laman yang memberikan anda artikel percuma. Artikel ini boleh anda kumpulkan, dijadikan buku dan dijual kononnya memberitahu masyarakat cara-cara menjadi jutawan melalui internet. Atau supaya orang ramai boleh menganggap begitu. Cuma masyarakat sekarang bukannya bodoh -- mereka hendakkan bukti dan case study tempatan.

Janganlah "Amazon.com" atau "bn.com". Itu luar negara. Nak yang dalam negara. Tunjukkan kepada saya satu sahaja syarikat dalam negara yang menjual melalui internet dan boleh menjadi jutawan. Itu saja.

Hanya menjadi SEBAHAGIAN dari internet sahaja boleh menjadi jutawan seperti MSN, Google, Yahoo, Jobstreet (lahir di Penang, pun belum lagi menjadi jutawan, sebab baru saja disenaraikan di MASDAQ), Ipxcess.com (yang mengajar saya tentang domain dan hosting -- pun belum lagi menjadi jutawan walaupun sudah menjadi sebahagian internet sejak 1996), Fivio.com (jual webhosting dan domain, lagi 10 tahun insyaAllah) dan beberapa lagi yang menjadi sebahagian dari internet tetapi belum pun menjadi jutawan.

Mungkinkah ini wabak? Mengapa kerajaan tidak bertindak? Penyakit ini sudah menular ke dunia artis yang sememangnya bergelumang dengan kelentong. Hairan? Seorang penyanyi (?) -- tiba-tiba meletakkan Dr. di depan namanya. Bayangkan betapa rendahnya IQ sebahagian artis Malaysia -- ada Diploma pun digembar-gemburkan sedangkan di luar sana ada beratus ribu yang mempunyai Ijazah, Master, PhD pun senyap. Kalaulah tahu nilai Diploma itu lebih kurang SPM, tentulah malu nak sebut "mempunyai Diploma". Sedangkan yang ada ijazah dari Universiti ternama pun malu nak sebut, inikan pula Diploma.

Dalam Harian Metro juga terlihat senarai pencapaian penyanyi (?) tersebut yang konon pendidikannya -- SPM dan tiba-tiba sarjana dan PhD dari "Neverheard University". Mana Ijazah? Mana Master? Kenapa tiba-tiba lepas SPM boleh meloncat ke PhD? "Universiti Moyangku" ke? Yang peliknya kenapa bukan Universiti tempatan yang berpuluh-puluh itu? Rupanya "University Online" -- Ya Rabbi... setiap hari dalam emel anda dan saya ada tawaran memasuki Universiti Online.

Pun dikira bodoh juga kalau membayar untuk universiti online itu sebab tanpa bayar satu sen pun boleh meletakkan Dr di depan nama. Selagi belum ada tindakan kerajaan (kalau pun ada tindakan) selagi itulah wabak ini akan terus menular!

 
The comments are owned by the poster. We aren't responsible for their content.

Mutiara Kata

Orang yang bijak akan menjadikan cemuhan sebagai perangsang. Orang yang malang akan menjadikan cemuhan sebagai penamat

» Razzi Armansur «

Hubungi

Arkib Artikel

Penaja








Mari Menderma







Web Kegemaran

Tetamu