Hari yang dikaitkan dengan nasyid
Posting pada:  05 Jul 2006 ( 1183 kali di baca )

Razzi Armansur menulis: Tak tahulah, kenapa hari ini saya "dikaitkan" dengan nasyid. Rasa lucu pun ada, pelik pun ada. Pagi-pagi lagi sahabat dari Batu Pahat, Safa_Indah (Along_Safa), memberitahu pasal show kumpulan nasyid yang sudah merudum di Parit Yaani yang dihadiri kira-kira 25,000 penonton!

Wow! Hebat! Show bersama Dr. Ayam atau Dr Mee Segera, lebih tepatnya -- konon sehari motivasi kemudian petang diadakan show. Angan-anganya memang 25,000 tetapi tolong buang 000 di hujung itu -- hanya 25 orang untuk hadir "motivasi" Dr Ayam membebel. Hanya 25 orang itulah juga yang mendengar kumpulan nasyid melalak sambil menjual kelentong.

Mereka ingat orang Parit Yaani akan berduyun-duyun bertolak-tolakan nak dengar Dr Ayam menceceh mengarut bercakap angin dan nak dengar kumpulan nasyid melalak. Safa kata orang kampung mana ada duit. Saya sangkal, hari ini orang kampung lebih banyak duit dari orang Bandaraya. Habis cerita kumpulan nasyid yang sekarang promo susu awal kelentong.

Dalam pukul 3.00 saya ke Borders. Seminggu tak jengah Borders sambil membaca dengan percuma, rasanya tak sempurna hidup saya dalam seminggu itu. Saya mengambil buku DAN BROWN dan mula membaca bagaimana beliau menulis. Rupanya beliau lebih advance dari orang Islam -- bangun lebih awal dari kebanyakan orang Islam -- pukul 4.30 pagi untuk menulis. Saya orang Islam bangun pukul 6.20 pagi dan solat subuh pukul 6.25 (kategori Subuh gajah). Mula menulis lebih kurang pukul 10 pagi. Perlu hairan kalau bukan Islam lebih maju? Lepas itu saya membelek, mengimbas, membaca buku-buku yang mengandungi pedang, di tingkat atas Borders. Mata pena lebih tajam dari mata pedang. Buku-buku hebat dan luar biasa oleh Pak Sako, Rahim Kajai, Burhanuddin Helmi dan seangkatannya (ASAS 50 -- Angkatan Sasterawan 50'an). Memang inilah dia tulisan yang berupa pedang, yang memberi semangat -- sastera digunakan untuk perjuangan menuntut kemerdekaan. Hebat?

Balik, singgah sekejap di TESCO yang bersebelahan. Dalam Tesco ada manusia saya rasa paling perasan di antara pengunjung Tesco pada hari ini. Beliau adalah penyanyi (atau pelalak) utama kumpulan yang dulu agak popular dan telah ditendang dari kumpulannya. Dengan gaya orang mencari publisiti dia melilau memandang ke hulu hilir. Mungkin dalam hati si Gipang (Gila Pangkat) ini, "Ada orang tengok aku tak? Ada orang tengok aku tak?" Pura-pura pandang lain sambil meninjau kalau-kalau ada orang memandangnya. Kalau ada membaca tulisan saya, nasihat saya ikhlas: zaman kamu dah berakhir.

Dalam pada itu dalam Tesco, bertemu dengan satu lagi ketua kumpulan nasyid yang ramai-ramai: Rabbani. Orang panggil Ustaz Asri, saya panggil Wak Asri. Pelik jugak, kenapa kalau orang jawa dipanggil Wak sedangkan Wak itu panggilan hormat untuk orang yang telah berumur lingkungan 60 -- 70 tahun. Apa lagi, sepanjang pusing-pusing dan menunggu untuk membayar di kaunter bercerita panjang lebar dalam bahasa Jawa. Sengaja cakap kuat-kuat biar orang tahu bahawa kami bangga dengan kaum dan bahasa kami. Kalau orang Kelantan, Utara enggan mengubah dialek pertuturan mereka, mengapa kaum Jawa memandai hendak mengubah bahasa asal yang didengar sejak lahir?

Malam pula kumpulan Inteam berkunjung ke rumah sekembalinya mereka dari studio. Bila bertemu mereka, apa lagi, lebih banyak lawak dari serius. Tetapi selang di antaranya berbincang serius mengenai bisnes dan pelbagai perancangan bersama. Seronok berbincang dengan orang yang bijak.

Sebelum itu, pada sebelah petang sesuatu yang melucukan terjadi. Sedang saya melayari Ukhwah.com ada orang menelefon saya, "Ini Tun Dr. Kang Razzi Armansur?" Saya nak tergelak. Mula katanya dari Johor, di pengakhiran katanya dari OSK Berhad. Katanya "Fulltime Remeiser" -- saya tak tahu adanya "Part-time Remeiser." "Encik ini Tun betul ke?" Hahahaha.... saya tergelak besar. Ada juga orang yang bertanya begitu. "Kalau betul kenapa, kalau tak betul kenapa?" "Tun biasanya banyak duit nak ajak melabur saham." Muahahahaha.... Si pemanggil tanya lagi, "Yang Dr. tu Dr. betul ke?" Sekali lagi saya nak tergelak. "Itu Dr Tipu." Saya pasti si pemanggil ini mendapat nama saya dari e-mel saya. Cuma pelik dari mana dia mendapat nombor telefon saya? Header emel saya memangnya "Tun Dr. Kang Razzi Armansur." Sengaja saya buat begitu untuk menyindir segala rupa Dr. Ayam, Dr. Mee Segera, dan Datuk Kicap dan sebagainya yang begitu banyak di dalam MLM dan seorang dua di dalam dunia penulisan -- merosakkan masyarakat dengan tulisan yang tak betul.

Bila agaknya kerajaan hendak membuat undang-undang supaya tak sewenang-wenangnya manusia-manusia kelakar meletakkan Dr. di depan nama. Macam silap mata -- lepas SPM terus dapat Dr. Alangkan, belajar optometrist selama 4 tahun (selalunya berakhir dengan membuka kedai cermin mata ? salah satu syarat untuk bekerja dan membuka kedai cermin mata) pun tak boleh di panggil Dr., inikan pula belajar secara online (atau tak payah belajar langsung), atau belajar homeopati selama 6 bulan, atau belajar tentang mandi bunga, mandi ais, tiba-tiba dapat Dr. di depan nama. Selepas itu kalau kurang gah, letak "Sir" di depan Dr. Tak cukup panjang, letak, "Prof."

Seminggu dua ini saya akan ke Arkib Negara untuk meneliti microfilem. Kalau rakyat Malaysia sekarang ini mendapat "Sir" ia akan dipaparkan di muka depan akhbar, melainkan "Sir" dapat dari Chow Kit atau Kampung Kerinchi atau Rawang (dekat Rufaqa').

Kawan saya meletakkan Tan Sri Dato' Prof. Dr. Blablabla... di hadapan namanya, tetapi hanya pada header e-mel, sebagai gurauan. Dia orang yang berpendidikan tentulah malu hendak meletakkan yang bukan-bukan di depan nama. "Tong yang berisi tak berbunyi" bila diketuk.

Selang di antaranya, sebelah petang, saya melayari Ukhwah.com lagi. Terbaca posting bagaimana susahnya nak buat program berunsur Islam di IPT. Ada yang mengesyorkan supaya tak payah guna nama Islam (misalnya, "Seminar Kecemerlangan Siswa") tetapi di dalamnya selitkan Islam. Kalau terus-terang meletakkan Islam, contohnya, "Islam Untuk Cemerlang" sudah tentu HEP akan tolak mentah-mentah. Kiranya, kena menyorok-nyorok seperti seolah-olah Islam baru sahaja diperkenalkan di dunia ini.

Semasa meraikan konvo Presiden Ukhwah.com di UM, terlihatlah kain rentang, "Persatuan Buddha mengalu-alukan..." Kain rentang itu diangkat tinggi menggunakan galah. Juga kelihatan seperti kain rentang "Persatuan Hindu..." Yang memang tidak ada dan tidak mungkin dibenarkan oleh pihak HEP mana-mana universiti di bumi Malaysia ini, hatta UIA ialah sesuatu yang berkaitan dengan "Islam". Di UM misalnya, untuk acara yang berkaitan dengan Islam sangat dilarang, tetapi untuk yang tidak ada kaitan dengan Islam amat digalakkan. Kalau dah UM, Universiti paling ternama itu dipersusahkan atau lebih tepat tidak dibenarkan -- bagaimana dengan universiti yang tidak ternama seperti ITM? Di ITM, pendidikan Islam dikurangkan jumlah jam dan dalam masa yang terdekat ini akan dihapuskan (saya pasti dengan ramalan saya ini). Tudung labuh, tudung litup sangat tidak dibenarkan. Tudung Hadhari, tudung ikat ke belakang macam Amalina atau tak payah bertudung langsung amat-amat digalakkan. Pakai T-Shirt dan jeans ketat, sambil bertudung ikat ke belakang sangat digalakkan dan hampir dimestikan. Satu "branding" sedang dibina -- supaya Islam itu dianggap kemunduran. Islam agama yang mesti dijauhi dan sesiapa yang mendekatinya akan dianggap mundur, kampungan. Tak percaya? Tolonglah percaya.

Branding supaya menjauhi ajaran Islam ini memang sudah ada sejak kita kecil-kecil lagi. Masih ingat buku Darjah 1 atau 2 yang menceritakan tentang Ali, Tong Seng, Ramasami? Ali akan bangun pagi, gosok gigi, mandi, memakai baju sekolah, bersarapan dan akhirnya berjalan kaki ke sekolah bersama Tong Seng dan Ramasami. Solatnya? Di mana solatnya? The damage has been done! Warisan demi warisan, kini semakin giat usaha-usaha supaya Islam dijauhi. Yang sangat menyedihkan anda dan saya ialah ? usaha ini dijalankan oleh orang Islam sendiri termasuklah agensi seperti Jakim, IKIM, Jawi, Rumi, Jais, Ahmad Jais dan sebagainya. Contohnya IFC sendiri disokong dengan kuatnya oleh orang Islam sendiri -- si ayam betina yang berkokok.

Di bumi Malaysia ini jika ia berkaitan dengan Islam akan sedaya-upaya dihalang. Jika yang berkaitan dengan maksiat seperti Jom Heboh, Citrawarna, Akademi Fantasial, Sawi, konsert, memang sangat digalakkan. Cubalah buat program yang Islamik, kalau dibolehkan anda dikira manusa sangat bertuah! Di Selangor sendiri, Tuan Guru Nik Aziz memberi ceramah agama, tanpa menyebut setitik pun pasal politik, dengan serta-merta Tuan Guru diharamkan berceramah di mana-mana masjid atau surau di bumi Selangor bahkan rasanya mana-mana bumi selain bumi Kelantan.

Cuba kalau buat program berunsur mungkar dan maksiat di Shah Alam misalnya -- dengan serta-merta akan mendapat kelulusan! Di bumi Islam, di negara yang diwarwarkan sebagai negara Islam, kemudian ada tambahan Hadhari di hujung Islam, program Islam tidak dibenarkan atau tidak berapa dibenarkan. Kita orang Islam terpaksa menyorok-nyorok untuk menyelitkan program Islam di negara Islam. Lebih kurang menyorok-nyorok kalau hendak bercakap di dalam rumah sendiri. Maka relakslah musuh-musuh Islam yang nyata seperti Nasrani, Yahudi, Kafir (yang disebut dalam Al-Quran) sebab tugas untuk mengganggu-gugat Islam, melalaikan, melakukan "branding" Islam itu ganas dan mundur sudah diambilalih oleh musuh Islam yang tidak nyata iaitu orang Islam sendiri (Islam baka atau yang pernah mengucap). Ada kalanya saya tertanya-tanya -- di mana saya ini? Di Turki atau di Malaysia? Nak kata Malaysia pun boleh, nak kata Turki pun boleh

 
The comments are owned by the poster. We aren't responsible for their content.

Mutiara Kata

Kita akan 'melekat' kepada apa yang menjadi fokus

» Dari filem 'Kung Fu Panda' «

Hubungi

Arkib Artikel

Penaja








Mari Menderma







Web Kegemaran

Tetamu