Serang balas jenama
Posting pada:  18 Jun 2006 ( 1104 kali di baca )

Razzi Armansur menulis: Siapa atau apa yang demam sebenarnya? Bola atau manusia? Atau kedua-duanya? Seluruh dunia sedang demam bola sepak. Termasuk Malaysia. Seperti wabak, sana-sini orang bercakap, bertekak, bergelumang dengan suasana mabuk bola.

Jika kita bijak, tentu kita akan mencari-cari apa kesempatan yang boleh diambil supaya mendapat faedah dari wabak bola yang sedang melanda dunia pada bulan ini, tahun ini. Agak unik bulan 06, tahun 06 menjadi 0606. Lihat pada logo Piala Dunia 06.

Bahananya memang dirasai oleh bisnes di Malaysia. Khabar mengatakan kompleks membeli-belah sudah mula surut seawal pukul 8.30 malam. Sudah tentu menjejaskan beberapa bisnes utama. Hanya yang bijak sahaja akan segera mengambil kesempatan. Adakah gerai tomyam dan mamak pandai mengambil kesempatan? Pasang skrin besar, tampal-tampal poster. Kalau nak ambil kesempatan mestilah dirancang lebih awal. Jika perlukan khidmat, panggil saja Armansur.com ? tak mahal, sederhana saja ? untuk mengambil kesempatan menggunakan kaedah linking. Apalah ada membayar RM10,000 jika boleh menghasilkan RM100,000.

Jualan kedai tomyam dan mamak nampaknya meningkat sepanjang wabak Piala Dunia ini, lebih-lebih lagi yang menyediakan skrin besar. Ini kerana menurut kaki bola -- lebih seronok melihat beramai-ramai. Anak-anak saya lebih suka ke gerai tomyam yang merimaskan itu untuk menonton bola beramai-ramai melaung-laung, memekak, walaupun di rumah boleh menonton sama ada melalui TV atau streaming. Tapi benarkah jualan meningkat kalau setakat hanya minum teh saja, tak makan. Macam mana nak jadi jutawan sebab kalau mengikut buku main agak-agak yang merosakkan, jual tomyam khabarnya boleh jadi jutawan.

Itu pun kalau kedai mamak dan gerai tomyam pandai mengambil kesempatan untuk meningkatkan jualan. Kalau tak tahu, nampaknya akan mengalami kemerosotan seperti bisnes lain.

Bagaimanapun, kalau nak ambil kesempatan semestinya dirancang dan dilaksanakan sejak beberapa bulan sebelum bulan Jun 2006. Contohnya ialah penerbitan. Banyak benar penerbitan yang berkaitan dengan Piala Dunia berada di pasaran sejak bulan Februari lagi. Kebanyakannya sangat laris. Kesempatan juga diambil oleh Penerbit buku Melayu yang terbesar di Malaysia ini, PTS. Sila ke laman web PTS untuk melihat sendiri: pts.com.my

Beberapa bulan sebelum ini saya terlihat satu iklan yang menarik sekali ? iklan ginseng ? Keletihan? Kemudian ada gambar bola yang sudah kemik. Perhatikan juga, iklan-iklan di media, hampir keseluruhannya mengambil kesempatan dengan wabak bola kini. Itulah namanya kreatif dan pandai mengambil kesempatan yang menguntungkan tetapi tidak menyusahkan orang lain. Iklan yang menmbuat saya gelak sendiri ialah iklan kacang Ngan Yin (Cap Tangan) -- orang yang sedang mengopek kacang terkedu, bila dilihat dekat rupanya dua bola sedang melompat-lompat di dalam kulit kacang yang sudah dikopek. Cerdik atau tidak?

Saya suka melihat dari sudut bisnes terutamanya branding. Saya rasa branding, rebranding amat menarik dan merupakan satu lagi bidang bisnes Armansur.com.

Sebelum meneruskan, saya ingin mengajak anda melihat, iklan Adidas di bawah ini:

Iklan Adidas Piala Dunia 06



Piala Dunia 2006 ini merupakan tuah untuk Adidas kerana diadakan di negara kelahiran Adidas sendiri. Kesempatan diambil sepenuh-penuhnya oleh Adidas untuk meletakkan setiap ruang bumi Jerman dengan Adidas, sehingga seolah-olah tidak ada jenama lain yang ada di Jerman pada masa Piala Dunia ini selain Adidas. Saingan terdekatnya, Nike seperti tidak kelihatan. Musuh ketat Adidas -- Puma juga kelahiran Jerman tenggelam sama-sekali. (Adi Dassler bersama adiknya mengasaskan Adidas, tetapi bergaduh dan berpecah, adiknya menubuhkan Puma).

Dari segi branding memang Adidas sudah berada di dalam fikiran pengguna. Sebut saja ?bola? terbayanglah Adidas, sebut saja ?Adidas? terbayang bola. Akan tetapi, sebagaimana bisnes lain, sekiranya tidak dipertahankan akan jatuh. Paku yang menonjol akan kena ketuk. Bila anda berada di atas, ramai lagi yang lain mahu turut berada di atas. Yang nombor dua ? Nike tidak pernah duduk diam. Nike sentiasa berusaha untuk menjadi No 1. Berbagai usaha sedang dilakukan supaya Nike dikaitkan dengan bola. Apa yang Nike mahukan ialah = sebut bola terbayang Nike, sebut Nike terbayang sukan nombor satu dunia. Nike mahukan kedudukan Adidas sekarang, Berada di tempat nombor satu memang panas kerana hampir semua pesaing mahu menjadi nombor satu. Berada di tempat nombor dua pun panas kerana sentiasa aktif untuk menjadi nombor satu. Jika tak aktif, tempat tersebut akan diambil oleh yang nombor 3 dan seterusnya.

Nike berusaha untuk membudayakan kanak-kanak dan remaja supaya di dalam fikiran mereka hanya ada Nike. Dengan menggunakan pendekatan Joga Bonito, Nike sedang membudayakan kanak-kanak dan remaja.

Adidas segera menyedari dan menyerang kembali Nike agar usaha Nike terbantut. Adidas menggunakan apa yang Nike gunakan ? membudayakan kanak-kanak supaya kekal menganggap tidak ada lain yang menguasai dunia bola selain Adidas.

Dengan iklan yang begitu menyentuh perasaan, Adidas melakukan apa yang dilakukan oleh Nike -- membudayakan kanak-kanak dan remaja. Joga Bonito bermula di Brazil, di kawasan-kawasan 'slump' -- di mana dari kawasan 'slump' tersebut muncullah juara-juara dunia. Adidas melakukan apa yang dilakukan oleh Nike, dengan menggunakan iklan yang membawa mesej dan menyentuh perasaan dan lokasinya di Brazil, satu lokasi yang ditonjolkan oleh Nike untuk Joga Bonito. Tidak ada satu pun ayat, ?Belilah Adidas? atau ?Pakailah Adidas? tetapi menimbulkan keinginan untuk membeli Adidas.

Impian kanak-kanak adalah bertemu atau bermain dengan bintang-bintang besar bola sepak. Tanyalah kepada anak atau adik-adik anda. Mereka tak tahu dan tak nak ambil tahu tentang artis (terutamanya artis Malaysia yang 99.9% kaki kelentong) atau keinginan mereka untuk melihat atau bertemu artis. Tapi tanyalah, siapa bintang bola sepak (luar negara) yang ingin mereka temui. Dengan pantas mereka akan menyenaraikan.

Dalam iklan Adidas, impian kanak-kanak tercapai. Ini tentu menyentuh perasaan kanak-kanak dan menggembirakan kanak-kanak. Di dalam fikiran mereka tertanam, seandainya mereka menggunakan Adidas, mereka akan menjadi seperti bintang-bintang bola sepak. Itulah cara Adidas membudayakan, sama seperti yang dilakukan oleh Nike, cuma cara dan tekniknya berbeza.

Kanak-kanak memang suka berfantasi (orang dewasa pun ramai juga yang suka berfantasi), berangan-angan seperti dalam iklan Adidas. Inilah masanya untuk membudayakan mereka dengan Adidas, hanya nperlu menggunakan dan menyokong kesukaan kanak-kanak iaitu berangan-angan. Kita tunggu nanti, apa pula tindak balas dari Nike.

Bagaimana? Bagus atau tidak pertandingan yang sihat? Memang bagus sekali kerana dengan pertandingan yang sihat akan membawa kemajuan. Apa yang boleh kita ambil pengajaran untuk bisnes kita sendiri. Bagi yang hendak belajar akan sentiasa memerhati dan mengambil pengajaran. Bagi yang tidak mahu belajar, bila anda pertandingan, kepala hotak akan tertumpu kepada bomoh yang memangnya sejak dulu, kini dan selamanya hanya menipu dan mengenakan orang.

 
The comments are owned by the poster. We aren't responsible for their content.

Mutiara Kata

Burung yang akan mati hanya berjalan, tidak lagi terbang

» Peribahasa Red Indian «

Hubungi

Arkib Artikel

Penaja








Mari Menderma







Web Kegemaran

Tetamu