Rugi jikalau tidak belajar strategi peperangan
Posting pada:  01 May 2013 ( 1844 kali di baca )

Razzi Armansur menulis: Rugi sesiapa yang tidak mahu belajar seni dan strategi peperangan yang sedang dilaksanakan di depan mata sekarang ini. Dari seni peperangan itu bolehlah diaplikasikan dalam kehidupan dan bisnes. Bukankah kehidupan dan bisnes itu adalah 'peperangan' -- penuh dengan persaingan untuk menang?

Pada 5.5.13 ini akan ada 'peperangan' besar iaitu pilihanraya paling sengit dalam sejarah Malaysia. Ramai menyangka pilihanraya 1999 itulah paling sengit, rupanya pilihanraya ke 13, pada 5.5.2013 ini berganda-ganda lebih sengit dari tahun 1999. Mengapa? Kerana tsunami politik pada tahun 2008 dijangka akan berterusan berganda-ganda.

Sebab itulah, dalam sejarah pilihanraya Malaysia, belum pernah ada calon BEBAS (calon tidak ada mazhab) seramai pilihanraya ke 13 ini.

Mengkucar-kacirkan pertahanan adalah salah satu taktik peperangan. Pihak Pakatan Rakyat telah menggegar Sabah dan Sarawak bagi mengelirukan Puak Dacing. Disangka oleh Puak Dacing bahawa Sabah dan Sarawak (yang dianggap sebagai kawasan selamat) akan tergugat. Bergegas Puak Dacing mempertahankan Sabah dan Sarawak. Namun sudah terlambat. Pihak Pakatan Rakyat sudah lama membuat 'serangan secara senyap'.

Apabila kita leka, dalam zon peperangan, kelekaan itu menjadi bahaya yang besar. Jentera-jentera diarahkan ke Sabah dan Sarawak untuk menangkis serangan Pakatan Rakyat. Namun sudah terlambat. Itu kuncinya -- sudah terlambat kerana kelekaan selama ini -- kerana menyangka berada dalam 'zon selamat'. Dalam peperangan, tidak ada zon selamat. Bahkan bukan dalam peperangan pun, tidak ada zon selamat.

Bagaimana harapan Pakatan Rakyat di Sabah dan Sarawak? Walaupun misalnya ditakdirkan tidak menang tetapi ia terlalu menggugat. Perhatikan juga, apakah tumpuan utama Pakatan Rakyat sekarang? Parlimen!! Yang paling penting adalah memenangi kerusi Parlimen. Tumpuan di Sabah dan Sarawak bahkan di seluruh Malaysia adalah terhadap kerusi Parlimen sambil meningkatkan serangan dan pertahanan di DUN. Perhatikan!

Mengapa? Keutamaan sekarang adalah menguasai Putrajaya atau pentadbiran Malaysia. Kerusi Parlimen yang menentukan penguasaan pentadbiran Malaysia. Kerusi DUN menentukan pentadbiran negeri. Pelan B: kalau, sesudah berusaha mati-matian, akhirnya kerusi DUN tumpas tetapi kerusi Parlimen menang -- bagaimana? Tumpas negeri dapat Malaysia!

Balik semula kepada kelekaan. Punca leka adalah selesa dan terlebih yakin. Punca leka adalah yakin dengan istilah 'stabil' sedangkan dalam dunia ini tidak ada yang 'stabil'. Kerana percaya telah selesa dan stabil maka menjadi leka, berhenti. Dunia bergerak ke depan, yang berhenti akan tinggal di belakang.

Perhatikan dengan dekat. Di Malaysia ini, mana satu negerikah yang dikatakan kawasan selamat, dan selesa bagi Puak Dacing? Johor! Johor dikatakan 'Kelantan' bagi PAS oleh Puak Dacing. Mereka mengatakan 'Mustahil' Johor boleh tergugat sedangkan tidak ada satu pun yang mustahil di atas muka bumi ini.

Atas kepercayaan itu, Johor tidak diusik kerana 'tidak perlu risau' -- kubu terkuat, lebih kuat dari Sabah dan Sarawak.

Apabila tumpuan ditumpukan kepada Sabah dan Sarawak, setelah risikan teliti dilakukan, Pakatan Rakyat menyerang Johor. Sesuatu yang tidak pernah terfikir selama ini!

Ingat, DAP dan PAS sudah 50 tahun berpolitik -- sudah masak dengan strategi. PKR sudah 14 tahun berpolitik namun Dato' Seri Anwar sudah berpuluh tahun berpolitik. Ingat juga, mereka unrest, tak pernah berhenti berjuang, tak pernah duduk selesa sejak berlaku reformasi tahun 1998! Jadi, adakah mereka menyerang Johor tanpa sebarang perkiraan, taktik dan strategi?

Ingatlah, apabila kita berada dalam keselesaan, kita akan terlupa sama sekali pertahanan. Dengan mudah sekali, Pakatan Rakyat menyerang Johor kerana tidak ada pertahanan. Ini menjadikan keadaan terus berkecamuk! Pertahanan mereka (kalau ada sedikit) terus lumpuh! Serangan dilakukan setiap malam membawa persepsi ke seluruh Malaysia -- Johor telah lumpuh! Pakatan Rakyat sudah 'menang'.

Mesej telah dihantar ke seluruh Malaysia -- "Tidak ada lagi kubu kuat dan simpanan tetap BN di Malaysia". Orang-orang atas pagar melihat ini dan menjadikan mereka menyertai yang 'kuat' dan meninggalkan yang 'lemah'. Serangan pertama kepada Sabah dan Sarawak sudah mencipta impak besar -- "Habislah BN kali ini". Serangan ke atas Johor memberikan impak berganda-ganda -- "Kalaulah kubu paling kuat BN pun sudah tembus dan mula runtuh, apalah nasib BN selepas ini?" Serangan demi serangan dilakukan setiap malam melalui ceramah. Gambar-gambar perbandingan ceramah Pakatan Rakyat yang dihadiri puluhan ribu manusia dibandingkan dengan ceramah Barisan Nasional yang dihadiri 'lebih banyak kerusi dari manusia' disiarkan berterusan melalui media sosial sambil memperoleh terlalu banyak 'share'.

Mesej itu tersiar di seluruh negara. Yang penting di sini ialah mesej, persepsi dan impak. Mesej itu lebih ditakuti dari berita pendaratan tentera Jepun di Kota Bharu pada 8 Disember 1941. Mesej itu terus melemahkan pertahanan (jikalau masih ada) dan mengkucar-kacirkan keadaan tanpa sempat menyusun apa-apa strategi dan pertahanan semula.

Gegaran penawanan Sabah, Sarawak dan Johor adalah mustahil tidak dirasai oleh Cap Dacing. Mustahil tidak ada apa-apa impak yang menguntungkan Pakatan Rakyat. Belum pun gegaran itu reda, Husam Musa atas tiket PAS menyerang simbol pemerintahan dan pentadbiran Malaysia -- Putrajaya! Bayangkanlah apa yang bergolak di dalam diri anda sekarang jika anda ini Najib, Rosmah atau Mahathir. Bayangkan sekali ketakutan yang sedang dialami sekarang berdasarkan "Setiap kebaikan dan kejahatan masa lalu pasti akan ada balasan pada masa akan datang."

Agak musykil, mengapa Melaka 'tak berapa diserang' oleh Pakatan Rakyat, sebaliknya lebih menumpukan jiran-jirannya iaitu Negeri Sembilan dan Johor? Mudah sahaja -- apabila jiran-jiran sebelah rumah anda diserang, adakah anda merasa selesa? Apabila di negeri-negeri jiran Puak Dacing kelihatan semakin lemah (melalui persepsi) adakah penyokong di Negeri Melaka tidak terasa apa-apa dan tidak ada keinginan untuk meninggalkan yang lemah dan menyertai yang kuat? Di Negeri Melaka dan negeri-negeri lain tercipta persepsi, "Buat apa kita nak sokong yang lemah dan sudah yakin akan kalah?" Perhatikan.

Selesa dengan sesuatu keadaan menyebabkan sesuatu pertubuhan itu enggan berubah. Contoh paling nyata, cara Puak Dacing berceramah adalah cara purba yang telah beberapa kali digunakan dahulu dengan jayanya. Dulu ya, memang berjaya. Sebelum adanya sosial media dan media baru, semasa 100 peratus bergantung kepada media arus perdana (surat khabar, TV, radio kawalan Puak Dacing), tapi kini mustahil cara itu berjaya. Caranya mudah: menghentam pihak lawan dengan hamburan fitnah dan tuduhan-tuduhan palsu. Kesannya: melantun, memakan diri, sebagaimana telah dipastikan bahawa, "Fitnah adalah memakan diri. Yang difitnah semakin makmur, yang memfitnah semakin tersungkur." "Sekiranya berusaha menenggelamkan kapal orang, kapal sendiri akan tenggelam terlebih dahulu."

Keuntungan besar bagi pihak Pakatan Rakyat -- pengundi-pengundi atas pagar sedang menyaksikan dan menilai sendiri sambil menentukan plilihan mereka. Itulah salah satu maksud 'fitnah memakan diri'.

Berbeza sekali dengan kempen Pakatan Rakyat. Perhatikan bagaimana mereka menekankan, 'Faedah, faedah, faedah' dalam manifesto dan ceramah mereka. Setiap manusia sekarang mementingkan diri sendiri terlebih dahulu. Mereka sentiasa, "What in it for me?" "Apa yang akan aku dapat kalau memilih kamu?" Ini yang sangat ditekankan dalam ceramah Pakatan Rakyat -- "Apa yang akan mereka peroleh sekiranya UBAH dan memilih Pakatan Rakyat untuk menjadi pentadbir negara." Mereka tidak atau sangat kurang menghentam lawan kerana mereka tahu itu adalah kaedah zaman purba, bukan cara generasi media sosial dan pengundi-pengundi baru, sambil berhati-hati supaya tidak terjadi, "Fitnah memakan diri".

Pakatan Rakyat terlebih dahulu menyelami apa masalah sebenar kebanyakan rakyat Malaysia yang berpendapatan sederhana dan rendah. Masalah utama ialah: perbelanjaan melebihi pendapatan. Mengapa? Kerana kenaikan harga barangan keperluan yang mendadak, tidak diperlukan dan tanpa kawalan. Puncanya adalah kenaikan harga minyak. Naik sahaja minyak, elektrik pun naik, segala benda bahkan yang tidak ada kena-mengena akan naik serta-merta. Apa sebab minyak naik sedangkan kita adalah pengeluar minyak? Itulah yang dijelaskan dalam ceramah Pakatan Rakyat. Bukan propaganda tetapi fakta. Propaganda dan asal keluar dari mulut, tipu, kelentong tidak boleh digunakan lagi kerana zaman ini adalah zaman sosial media -- lebih ramai yang cerdik berbanding yang bodoh dan 'yesman'.

Dengan turunnya harga minyak, ia lebih memudahkan untuk penurunan harga barang keperluan. Sebab itulah setiap kali ceramah Pakatan Rakyat, tak henti-henti menjanjikan penurunan harga minyak di samping pelupusan beban-beban yang tidak diperlukan seperti tol, hutang ptptn, pendidikan percuma, penurunan harga kereta dan motorsikal. Bukan cakap kosong tetapi telah dibuat kajian mendalam dan sememangnya ia boleh dilaksanakan dengan jayanya.

Apakah hasil dari strategi peperangan ini? Hasilnya hanya akan diketahui sehari selepas hari mengundi PRU13 -- 05. 05. 13. Kita merancang, Allah pun merancang. Sesunguhnya perancangan Allah adalah yang terbaik dan tepat.

 
The comments are owned by the poster. We aren't responsible for their content.

Mutiara Kata

Barangsiapa yang menghilangkan satu kesusahan dunia dari seorang mukmin, maka Allah akan menghilangkan darinya satu kesusahan di hari kiamat. Barangsiapa meringankan orang yang sedang kesulitan, maka Allah akan meringankannya dari (kesulitan) dunia dan akhirat. Barangsiapa yang menutupi (kejelekan) seorang muslim, maka Allah akan menutupi (kejelekannya) di dunia dan akhirat. Dan Allah akan menolong hamba selama dia mahu menolong saudaranya.

» Hadis Riwayat: Muslim «

Hubungi

Arkib Artikel

Penaja








Mari Menderma







Web Kegemaran

Tetamu