Ayat 1000 Dinar untuk Beli BRABUS
Posting pada:  11 Feb 2012 ( 8184 kali di baca )

Razzi Armansur menulis: Hendak membeli kereta Brabus? Sediakan terlebih dahulu RM60,000 yang boleh digunakan untuk membeli kereta Malaysia, tunai, sebagai deposit. Deposit 10% dari harganya RM600,000.

Baca Ayat 1000 Dinar membolehkan membeli Brabus? Tidak ada yang mustahil jikalau faham apa itu Ayat 1000 Dinar. Hanya jikalau faham. Tetapi jikalau hanya membacanya, tanpa mengamalkan apa yang dibaca, bukan dapat Brabus, tetapi tauke kedai suruh "berambus". Kalau ayat tersebut dijadikan 'tangkal' digantung dengan harapan menarik wang, kekayaan, seperti di kedai-kedai mamak yang menggantung ayat, huruf, rajah -- juga dipersilakan "berambus" masuk ke dalam neraka kerana ia adalah 'syirik'. Yang memberi kekayaan adalah Allah s.w.t. bukannya tangkal, ayat. "Tapi itu adalah usaha dan gunakan ayat-ayat al-Quran" -- kata mereka. Tak payah pusing sana, pusing sini -- kalau tak boleh, tetap tak boleh. Kalau membawa kepada syirik (ada kuasa selain Allah) tetap syirik. Tak payah pusing sana sini. Nak berusaha, ada banyak cara lain berusaha, bukan pakai tangkal.

Orang yang faham Islam tentu tahu kuasa yang sangat hebat adalah pada doa -- senjata Islam paling kuat. Kenapa pakai tangkal sedangkan ada senjata yang lebih kuat dan hebat? Susah sangatkah meminta, memohon, merayu dari Allah s.w.t? Mana lebih susah dibandingkan menggantung tangkal di atas pintu kedai. Itulah yang selalu dikata -- Islam adalah agama kefahaman dan pelaksanaan.



“Sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar(dari perkara yang menyusahkannya). Serta memberi rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (ingatlah), sesiapa yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendaki-Nya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.” (At-Talaaq: 2 --3)

Kalau digantung supaya mengingatkan kepada kalam Allah itu, sudah tentu boleh. Tengok saja, teringat betapa agungnya Allah mencipta ayat-ayat al-Quran dan supaya teringat untuk membaca dan mengamalkan apa yang dibaca, sudah tentu sekali dibolehkan. Asalkan bukan untuk tangkal dan untuk perhiasan, sudah tentu dibolehkan.

Konon dendangan sejak dahulu -- jikalau mahu limpahan rezeki, mahu kaya, bacalah ayat 1000 dinar setiap pagi. Betul begitu? Entah ajaran dari mana pun tak tahu. Zaman Rasulullah s.a.w., ramai sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w., yang kaya-raya, adakah mereka mengamalkan membaca ayat 1000 dinar ini? Zaman Rasulullah s.a.w., zaman khalifah, zaman tabii -- tidak ada "baca ayat 1000 dinar untuk tarik rezeki."

Bahkan dari mana datangnya nama 'Ayat 1000 Dinar' pun tidak diketahui. Sudah tentu bukan dari zaman Rasulullah s.a.w., zaman para sahabat, zaman khalifah, zaman tabii. Rasa-rasanya ciptaan nama 'Ayat 1000 Dinar' adalah pada zaman sekarang dan datangnya dari Indon. Doa-doa kononnya ajaib begitu banyak datang dari Indon. Kenapa? Kerana persepsi kononnya orang Indon lebih warak, lebih berilmu. Tak percaya, cubalah berdiskusi dengan orang Indon yang nampak alim (berilmu) terutama yang meletakkan beberapa 'al' di belakang nama (kalau kurang 'al' boleh syorkan al-mari dan al-kohol) -- pasti mereka cuba mengatasi, cuba merendahkan pendapat kita -- jangan sampai melebihi kepandaian mereka. Bahasa tubuh (body langguage), kata-kata mereka jelas menunjukkan mereka lebih tahu dan jangan sesekali kita memandai. Tak percaya, cubalah. Tapi sebelum itu anda mesti berilmu -- banyakkan membaca buku, melayari internet, menyertai forum dan turut sama berdiskusi, banyak mendengar ceramah agama di Youtube terutama dari Tuan Guru Nik Aziz, Harun Din, Ismail Kamus, Hassan Din (Jangan tersilap, bukan Hasan Ali), Ustaz Azhar Idrus, Dr. Danial Zainal Abidin dan lain-lain.

Kononnya juga bab-bab kebatinan, ghaib, kebal, jampi serapah, orang Indon juga lebih hebat. Sebut 'Bomoh Indon' sudah terakam imej dan persepsi hebat. Itu persepsinya. Yang tertera di depan mata, orang-orang Indon di Malaysia ini paling rajin beli nombor ekor. Realitinya, kalau benar mereka kebal, sakti, pakai jampi-jampi boleh menang -- mengapa negara mereka dijajah oleh Sepanyol, Portugis, Belanda dan Jepun (mereka menyebut "Jepang") selama beratus tahun. Mana perginya jampi-jampi, kebal, kebatinan, sakti, ghaib?

Berbalik kepada 'Ayat 1000 Dinar' yang mana namanya direka oleh siapa pun tidak diketahui asal usulnya -- memang ia boleh mendatangkan rezeki jikalau membacanya setiap hari. Di sinilah letaknya salah faham tentang "rezeki". Rezeki sentiasa dikaitkan dengan wang. Itu silapnya. Yang dikatakan rezeki ialah semua kebaikan dari Allah s.w.t. Membaca ayat ini akan memperoleh kebaikan dari Allah, itu salah satu rezeki. Memperoleh pahala juga rezeki sangat besar. Memperoleh kebaikan di dunia dan akhirat (berkat mengamalkan membaca ayat-ayat al-Quran termasuk 'Ayat 1000 Dinar') juga dianggap rezeki. Ketenangan hati berkat membaca al-Quran, juga rezeki yang sangat besar. Kesejahteraan keluarga dan kehidupan berkat membaca dan mengamalkan al-Quran adalah rezeki yang sangat besar.Tetapi, membaca 'Ayat 1000 Dinar' dengan harapan duit datang adalah mengarut sama-sekali. Ustaz Azhar Idrus kata, "Ini bodoh!" Duduk di pangkal pokok membaca ayat ini kemudian berharap ada rezeki (dalam bentuk wang) datang, adalah kerja mengarut. Wang hanya boleh diperoleh dengan kerja dan berdoa.

Jadi, bagaimana sebenarnya 'Ayat 1000 Dinar' itu boleh mendatangkan rezeki dalam bentuk wang dan lain-lain rezeki yang sangat berharga? Maka, di sini datanglah asas utama Islam iaitu Islam adalah agama kefahaman dan pelaksanaan. Faham kemudian laksana. Faham dengan sebenar-benarnya ayat yang dikatakan 'Ayat 1000 Dinar' (kenapa tak letak 'Ayat Sejuta Dinar' -- sikit sangat 1000 itu) kemudian melaksanakan. Itu saja -- faham dan laksana, barulah dikatakan 'Ayat 1000 Dinar' mendatangkan rezeki kewangan, kekayaan, kejayaan hidup. Ingat, baca sahaja tidak mencukupi sebaliknya hendaklah dilaksanakan. Ayat al-Quran diturunkan bukan hanya untuk dibaca, bahkan untuk dibaca, difahami dan dilaksanakan.

Fahami permulaan 'Ayat 1000 Dinar' itu -- "Sesiapa yang bertaqwa kepada Allah...," itulah sebenarnya yang mendatangkan rezeki (selalunya dalam bentuk kewangan dan rezeki-rezeki lain). Bertaqwa kepada Allah s.w.t. yang dapat melepaskan diri dari kesusahan, dan mendatangkan rezeki dari sumber yang tidak disangka-sangka. Bukan hanya membaca ayat itu sebaliknya melaksanakan dan mengamalkan apa yang telah dibaca. Bertaqwa kepada Allah sesudah memahami (sesudah membaca) bahawa taqwa antara lain membolehkan bebas dari kesempitan dan mendatangkan rezeki dari sumber yang tidak disangka-sangka.

Apa itu taqwa sebenarnya? Ramai orang kata taqwa itu takut. Ada betulnya taqwa itu ialah 'takut pada balasan Allah'. Selain itu taqwa juga adalah 'mengerjakan SEMUA suruhan Allah dengan sehabis daya dan menjauhi SEMUA larangan Allah dengan sehabis daya'. Bukan sebahagian atau sikit-sikit tetapi SEMUA. Bukan 'asalkan buat' atau 'jangan tidak' tetapi sehabis daya.

Seseorang mengatakan, "Taqwa itu ibarat jalan yang penuh berduri dan kita berjalan di atas jalan itu dengan berkaki ayam" -- bagaimana? Adakah main langgar atau sangat berhati-hati?

Ustaz Azhar Idrus memberikan contoh mudah -- seseorang yang tahu pekerjaannya adalah haram (contohnya, bekerja di kilang arak), tersedar dan berhenti semata-mata kerana taqwa, dijamin Allah akan menggantikan dengan pekerjaan lain yang halal. Itu yang dimaksudkan sumber yang tidak disangka-sangka. Takut balasan Allah kerana melakukan pekerjaan yang haram, berhenti, tanpa perlu risau sebab Allah akan menggantikan dengan sumber kewangan lain yang lebih baik. Yakin dan optimis dengan janji Allah.

Bagaimana jikalau sekarang ini melakukan pekerjaaan yang halal? Teruskan dan sentiasa bertaqwa, insyaAllah, akan mendapat lebih banyak rezeki dan keberkatan. Ini janji Allah s.w.t. bukan janji manusia.


 
The comments are owned by the poster. We aren't responsible for their content.

Mutiara Kata

Sebaik-baik manusia ialah manusia yang dapat memberi manfaat kepada manusia lain

» Hadis riwayat Al-Qudhi «

Hubungi

Arkib Artikel

Penaja








Mari Menderma







Web Kegemaran

Tetamu