Cahaya apakah dari Timur itu?
Posting pada:  01 Feb 2012 ( 2235 kali di baca )

Razzi Armansur menulis: MARINI AZAHRI, sahabat karib sejak sekian lama telah memenangi hadiah pertama dalam penulisan lirik berunsur Islam. Marini memang berbakat besar dalam penulisan dan sangat rajin menambahkan ilmu teknikal penulisan, juga rajin menulis, sudah tentu semestinya sangat rajin membaca sejak dari kecil lagi. Sebagai penulis, aku memang nampak bakat besar Marini.

Cuma yang menyedihkan, karya beliau belum ada yang terletak di rak kedai buku. Puncanya? Bukan berpunca dari bakat beliau tetapi suasana industri penerbitan buku dan majalah kini yang memaksa begitu.

Apabila sesebuah syarikat penerbitan sudah besar, manuskrip yang diterima bertimbun sedangkan dalam setahun hanya mampu menerbitkan kurang dari 100 buku. Jikalau stok manuskrip sudah melebihi 1000, berapa tahunkah masa menunggu jikalau syarikat penerbitan hanya mampu meneribitkan maksimum 100 buku setahun? Bagaimana pula jikalau hanya mampu menerbitkan 10 buku setahun? Jadi, bukan salah ibu mengandung.

Sebab itulah dikatakan, bisnes penerbitan buku adalah agak 'crucial'. Yang tak faham akan menyangka -- satu buku cetak 3,000 naskhah -- senaskhah katalah RM10, sudah ada RM30,000. Kalau 10 judul, 100 judul, 1000 judul? Yang penting 'skip' atau diabaikan -- belanja percetakan (sehingga 25%), belanja pengedaran (sehingga 50%), belanja pre-press seperti cover, layout (sehingga 15% -- lebih jimat jikalau outsource), belanja promosi (sehingga 20%), belanja royalti (sehingga 13%). Di antara yang pening dan lebih memeningkan ialah masalah 'return'. Boleh pengsan jikalau retrn melebihi 50% (pekedai --> pulangkan kepada --> pengedar --> pulangkan kepada --> penerbit).

Lebih 'crucial' ialah apabila gaya pasaran buku kini yang agak trendy. Macam lagu -- ada ketikanya dangdut, rock, nasyid menguasai industri, kemudian merudum. Jikalau tidak boleh menjadi 'trend-setter', jangan cuba-cuba menjadi penerbit buku. Jikalau hanya menjadi 'follower' -- gunakan duit modal itu untuk bisnes lain apatah lagi kini, sukar sangat hendak mencari pencetak yang boleh memberi kredit. Kalau sudah 5 -- 6 tahun dalam bisnes barulah pencetak sudi memberi hutang percetakan.

Maksudnya begini -- sedang trendy novel cintan -- berduyun-duyunlah yang menerbitkan novel jiwang atau cintan itu sedangkan trend novel tersebut telah tamat. Begitu juga dengan novel cinta Islamik, apabila sedang trend -- berduyun-duyun yang menulis dan menerbitkan novel kononnya Islamik (lebih malang apabila Islamik hanya dikaitkan dengan objek -- tasbih, sejadah, surah, setting di Timur Tengah, janggut, jubah, kopiah, purdah, unta). Trend itu dah habis, sedangkan manuskrip untuk novel konon Islamik itu masih bertimbun. Begitu juga dengan buku agama -- copy paste dari internet kemudian tambah-tambah ayat Quran dan Hadis supaya 'nampak' agak Islamik, pengarangnya pula meletakkan satu atau dua 'al' di belakang nama (nasib baik bukan al-mari atau al-kohol) -- akhirnya pembaca berhenti membeli dan membaca buku seumpamanya kerana tertipu. Baik baca di internet, forum-forum diskusi.

'Everybody jump into the wagon' -- syarikat penerbitan tumbuh bagai cendawan lepas hujan. Syarikat penerbitan album nasyid pun turut sama menerbitkan buku kerana nasyid sudah tidak laku. Akhirnya, apakah yang akan terjadi? Lambakan! Lambakan itulah yang merosakkan jenama dan sekaligus keseluruhan industri penerbitan buku. Teori lama tepat sekali, "Yang merosakkan sesuatu adalah sesuatu itu sendiri."

Berbalik kepada sahabat kita Marini Azahri. Beliau teah menyiapkan satu kategori baru dalam penulisan novel iaitu Novel Kerjaya. Sangat menarik sekali -- bimbingan kerjaya dijadikan novel untuk bacaan remaja. Beliau menyiapkan novel kerjaya dalam bidang IT (Information Technology) sesuai dengan kelulusannya di UUM. Dari beliau, aku mengetahui apa itu ASP dan ASP.NET. Cuma, sekali lagi dengan keluhan, bilalah novel tersebut akan berada di atas rak kedai buku sedangkan ia adalah satu 'trendsetter'.

Razzi Armansur

Jadi, kemenangan dalam penulisan lirik berunsur Islamik memang telah aku duga kerana lirik tersebut ditulis berdasarkan fakta, bukan angin atau surface apatah lagi asalkan rangkap hujungnya sama bunyi. Agak lucu dalam sebuah lirik nasyid ada perkataan, "Tamsilan kendiri" bagi menyamakan bunyi 'ri' pada baris di atasnya. Asal bunyi, surface dan kelakar. Tamsilan = contoh, teladan, perbandingan. Kendiri? Ringkasan 'Kendali Diri Sendiri'. Kebetulan perkataan 'Kendiri' sedang diketengahkan ketika itu. Jadi apa makna "Tamsilan Kendiri?" -- Perbandingan kendali diri sendiri? Lucu, lucu...

Ini Emel yang diterima dari Marini, menjelaskan lirik beliau yang berjudul CAHAYA DARI TIMUR. Mengamati lirik ini memang selayaknya memenangi hadiah pertama kerana ada kajian mendalam di sebalik penulisan lirik berunsur sejarah Islam yang gemilang bermula dari Timur Tengah. Kajian dan fakta diutamakan, bukan asal bunyi dan main tulis, 'Tamsilan Kendiri':

Cahaya Dari Timur
Lirik oleh : Marini Azahri
Lagu Oleh : Hafiz Askiak (DBP)
(*Minta maaf, lagunya Copyright DBP, jadi CD yang diberikan kepada saya sudah dilock-tak dapat copy/burn/etc)


Bermula dari jazirah arab
cahaya itu muncul mengusir gelap
jahiliah disucikan rahmat
peradaban insan tidak lagi malap

Utusan Allah mendongak ke langit
merindu wahyu penawar perit
mendamba petunjuk buat ummat
lentera hidup sepanjang hayat

C/O:
Sedasawarsa Islam di Mekah
di Habsyah dan Thoif cahayanya singgah
bangkit cemerlang di mercu Madinah
gemilang Khulafah, Umaiyyah, dan Abasiyyah
melonjak terbilang sehingga ke Uthmaniyyah

Tunduknya Romawi dan Parsi
dua pertiga dunia terus ditakluki
daratan dan lautan berani diredahi
menyebar budaya Islam yang murni
gahlah Islam sehingga kini

Akidah dan syariat penjati diri
akhlak terjaga penuh suci
rahsia Islam terus dianuti
rahsia Islam terus dicintai
rahsia Islam merajai bumi...

Nota :
Cahaya bermaksud Agama Islam, dan Timur pula merujuk kepada semenanjung arab(jazirah arab) yang biasa dipanggil negara kawasan Timur tengah. Timur juga merujuk kepada suatu budaya yang baik, sebab lawannya ialah Barat, yang hari ini "budaya barat" sentiasa dirujuk kepada moral yang negatif.

Ada yang tanya saya bagaimana boleh terhasil lirik itu. Jawabnya, sebab tema pertandingan ialah "Islam Pemangkin Pembangunan Negara & Ummah." Jadi, saya memilih lirik lagu berunsur perjuangan/kehebatan Islam agar ia tidak lari dari tema yang dipertandingkan. (Kalau temanya cinta/kasih sayang, tentulah kena lebih puitis, hehe).

Sebagai perkongsian, saya tafsirkan setiap rangkap lirik tersebut, yang setiapnya mengandungi kronologi sejarah Kerajaan Islam dan juga hikmah yang tinggi. Semoga ia menjadi pembakar semangat kawan-kawan dalam perjuangan menjadi ummat Muhammad yang terbaik. Umat Islam harus cemerlang, hari ini mesti jadi lebih baik, dari semalam....Semoga ALlah menilai usaha kita yang sedikit ini. Sekian. Assalamualaikum :)



Rangkap 1:
Bermula dari jazirah arab
cahaya itu muncul mengusir gelap
jahiliah disucikan rahmat
peradaban insan tidak lagi malap



Tafsiran : Islam mula-mula diturunkan di semenanjung arab(mekah)/jazirah arab melalui wahyu (Surah Al-Alaq) yang Allah turunkan kepada Nabi Muhammad. Sebelum turunnya wahyu pertama pada 17 @ 16 ramadhan 610M, masyarakat arab berada dalam kegelapan moral dan akhlak yang dipanggil sebagai zaman jahiliah/tidak kenal tuhan yang sebenar. Turunnya Islam merupakan satu rahmat yang besar dari Allah, kerana ia membawa satu cahaya kepada peradaban manusia di seluruh dunia agar menjadi lebih bertaqwa dan maju dalam segenap bidang kehidupan.


Rangkap 2 :
Utusan Allah mendongak ke langit
merindu wahyu penawar perit
mendamba petunjuk buat ummat
lentera hidup sepanjang hayat


Tafsiran : Selepas mendapat wahyu, Nabi Muhammad mula melaksanakan dakwah secara rahsia dan kemudian baru secara terang-terangan. 10 tahun pertama dakwah baginda merakam keperitan yang bukan kecil, kerana selama dakwah fasa Mekah, pengikut baginda tidak ramai dan kaum quraisy pula menentang dan menyeksa mereka secara fizikal dan rohani(pernah dengar kisah Sumaiyyah / Bilal Bin Rabah yang disiksa kerana mempertahankan akidah?).

Dalam buku-buku sirah juga ada diceritakan baginda sentiasa mendongak kepala ke langit, tanda ternanti-nanti bilakah wahyu yang seterusnya akan turun kerana dengan wahyu tersebutlah hati baginda yang perit terubat, seterusnya dapat dikhabar kepada ummatnya yang turut sama berkorban jiwa dan harta demi menyebarkan Islam.

Rangkap 3(Chorus) :
Sedasawarsa Islam di Mekah
Di habsyah dan Thaif cahayanya singgah
bangkit cemerlang di mercu Madinah
gemilang Khulafah, Umaiyyah, dan Abasiyyah
melonjak terbilang sehingga ke Uthmaniyyah


Tafsiran:

Sedasawarsa Islam di Mekah

Di habsyah dan Thaif cahayanya singgah :
Sedekad/10 tahun Islam bertapak dan cuba disebarkan oleh rasulullah di Mekah. Dalam pada itu, baginda cuba menyebarkan Islam kepada penduduk Thaif dan Habsyah namun mendapat ancaman kaum kafir quraisy. (Baginda juga mula menghantar beberapa sahabat ke Madinah bagi berdakwah.)

Bangkit cemerlang di mercu Madinah:
Selepas 10 tahun di Mekah, baginda pun berhijrah ke Madinah(peristiwa Hijrah/1 Muharram/622M) dan di Madinah, baginda disambut dengan baik dan di situlah Islam mula berkembang dan tersebar sehingga akhirnya selepas beberapa siri peperangan dan perjanjian dengan penduduk Quraisy, Mekah juga akhirnya tunduk di bawah pemerintahan Islam. Waktu itu pemerintahan Islam berpusat di Madinah dan nabi sebagai Perdana Menteri (sambil terus berdakwah menyebar Islam).

Gemilang Khulafah, Umaiyyah dan Abasiyyah:
Selepas kewafatan nabi, pentadbiran diserahkan secara syura kepada Sistem Khalifah (Abu Bakar-Umar-Usman-Ali). Setiap khalifah merakam peranan yang besar dalam sejarah. Abu Bakar penentang golonggan murtad yang kembali kepada kafir selepas nabi wafat. Umar meluaskan wilayah Islam dan membangunkan Baitulmal serta kemajuan2 lain. Usman juga meluaskan wilayah dan meneruskan pembangunan yang dibuat Umar. Cuma Khalifah Ali tidak sempat meluaskan banyak wilayah kerana zamannya adalah zaman fitnah besar umat Islam (fitnah alkubra)kerana berlaku khilaf antara beliau dan Muawiyah Bin Abu Sufyan(gabenor Syia).

Selepas sistem Khalifah berakhir, pentadbiran Islam mula dipegang secara Dinasti (warisan) oleh Bani Umaiyyah (Muawiyah Bin Abu Sufyyan)/Kerajaan Umaiyyah/Umawi dan seterusnya diganti oleh Bani Abas (keturunan rasulullah)/Kerajaan Abasiyyah/Abasiyy. Ketika inilah Islam semakin berkembang sehingga jajahan takluknya memasuki benua Eropah yang waktu itu umat Eropah masih dalam kegelapan dan mundur berbanding umat Islam. Beberapa jajahan takluk Empayar Rom dan Empayar Parsi, dua kuasa terkuat dunia waktu itu juga berjaya diambil alih oleh ummat Islam. Di bawah Kerajaan Umaiyyah dan Abasiyyahlah lahirnya Ibnu Sina, Al-Razi, Alkhwarizmi dan tokoh-tokoh sains/astronomi/botani/optik Islam yang lain.

Malangnya, pada tahun 1258M, tentera Monggol yang dipimpin oleh Hulagu Khan(cucu Genghis Khan) berjaya meruntuhkan Kerajaan Bani Abasiyyah yang berpusat di Baghdad. Namun, Barat/Eropah terhutang budi yang bukan sedikit kepada tamadun Islam kerana sebelum itu banyak buku-buku (spt buku perubatan Al Qanun fi Altib karangan Ibn Sina) telah diterjemahkan ke bahasa latin dan menjadi rujukan bangsa eropah berkurun lamanya. Dari kitab-kitab itulah ummat eropah mencipta kemajuan di wilayah mereka.

Melonjak terbilang sehingga ke Uthmaniyyah :

Tafsiran : Selepas runtuhnya Kerajaan Abasiyyah, dunia Islam yang melalui zaman kegelapan bangkit lagi melalui kegemilangan Kerajaan Turki Uthmaniyyah yang berpusat di turki. Kerajaan Uthmaniyyah adalah kerajaan yang paling lama memerintah iaitu lebih kurang 600 tahun. Kejayaan terbesar ialah melalui kepimpinan Sultan Muhammad AL-fateh yang berjaya menakluk Konstantinople(Istanbul) yang menjadi idaman setiap bangsa dan membebaskan rakyat Rom dari kezaliman askar kristian sekaligus merealisasikan hadis nabi yang nabi ucapkan ketika perang Khandak(beratus tahun sebelum Muhammad Al-Fateh lahir) - "Konstantinople itu akan ditawan. Rajanya adalah sebaik raja, dan tenteranya adalah sebaik tentera. "

Kawan-kawan, waktu nabi mengucapkan hadis itu, menawan konstantinople adalah sangat mustahil, seperti ibarat Malaysia akan mengalahkan Amerika kerana Empayar Rom adalah kuasa besar dunia waktu itu, selain daripada Empayar Parsi, berbanding Kerajaan Islam Madinah. Tapi kerana keyakinan dan keimanan yang kuat kepada nabi, ramai panglima Islam cuba merealisasikan hadis nabi itu namun gagal, sehinggalah Al-Fateh berjaya menakluknya pada 1453M.

Kehebatan Al-Fateh diperkatakan oleh seluruh sarjana sejarah termasuk sarjana barat melalui ungkapan berikut " Tidak pernah kami dengar atau lihat hal seajaib ini. Muhammad Alfateh telah menukar daratan menjadi lautan dan melayarkan kapalnya di puncak gunung, bukannya di ombak lautan. Muhammad Alfateh dengan usahanya telah mengatasi usaha Alaxender The Great" - Al-fateh menakluk Konstantinople melalui strategi perang yang hebat-geografi, sains, sejarah, kejuruteraan, matematik, ilmu cuaca dan sebagainya(rujuk buku Kuasa Kepimpinan Al-Fateh terbitan PTS kalau nak tahu lebih lanjut- buku ini sesuai sebagai motivasi pekerja di pejabat)

***Malangnya selepas itu Turki jatuh ke tangan tokoh jahat Mustapha Kamal Attaturk yang telah memodenisasikan Turki sehingga syariat Islam mula luput di Turki atas jasa beliau(ada berpendapat Kamal ialah agen Yahudi) ..dan hari ini..Turki bukan lagi menjadi kuasa dihormati seperti zaman Alfateh dahulu

Rangkap 4:
Tunduknya Romawi dan Parsi
Dua pertiga dunia terus ditakluki
Daratan dan lautan berani diredahi
menyebar budaya Islam yang murni
gahlah Islam sehingga kini


Tafsiran : Empayar Rom dan Empayar Parsi adalah dua kerajaan klasik yang menjadi legenda dalam sejarah tamadun dunia. Mereka kuat dan sering berbalah merebut wilayah. Dan kejayaan Kerajaan Islam menjadikan wilayah-wilayah Rom dan Parsi tunduk kepada kekuasaan Islam (dua pertiga dunia) waktu kegemilangannya adalah kejayaan yang sangat gilang-gemilang.

Umat Islam waktu itu berani meredah lautan dan daratan demi menyebar agama Islam yang suci.

Dan sehingga kini, lihatlah walaupun Islam diperangi dan ditanggapi dengan gelaran "terrorist", tapi Islam masih ada sehingga hari ini kerana ia bukan agama ciptaan manusia tetapi datang daripada Allah yang maha kuasa. Sudah pasti Allah memelihara agamaNya dan kita sebagai hamba lebih-lebih lagi perlu memelihara Islam dengan segenap jiwa.


Rangkap akhir:
Akidah dan syariat penjati diri
akhlak terjaga penuh suci
rahsia Islam terus dianuti
rahsia Islam terus dicintai
rahsia Islam merajai bumi



Tafsiran : Rasanya tak perlu ditafsirkan, tentu semua dah faham apa rahsia umat Islam zaman dahulu berjaya sehingga begitu gilang-gemilang. Ya, dua asas dalam agama yang perlu kita pegang kukuh: AKIDAH(IMAN) dan SYARIAT(HUKUM/UNDANG2 ISLAM).

Sultan Muhammad Alfateh sejak akil balighnya tidak pernah meninggalkan solat fardhu, sunat tahajjud, dan sunat rawatib. Tenteranya juga tidak pernah meninggalkan solat fardhu. Itu belum disebut Salahuddin Al-Ayubi, Tariq Bin Ziyad, Khalid Al-walid. Kenalkah anak-anak kita dengan mereka?

Subhanallah ...SIAPA KITA HENDAK DIBANDINGKAN DENGAN MEREKA.

Wallahua'lam :)

"Keredhaan Allah Adalah Kejayaan Yang Paling Besar"

http://srikandijilbab.blogspot.com

 
The comments are owned by the poster. We aren't responsible for their content.

Mutiara Kata

Apabila anda telah tenggelam ke dasar lautan, apakah pilihan anda selain naik semula ke permukaan?

» Abang Pattihi Abang Samsudin (1956 -- 2006) «

Hubungi

Arkib Artikel

Penaja








Mari Menderma







Web Kegemaran

Tetamu