Hanyut tenggelam hanya kerana tidak mahu
Posting pada:  09 Dec 2011 ( 1894 kali di baca )

Razzi Armansur menulis: Apa akan jadi, jikalau sedang hanyut dan akan tenggelam tetapi tidak berbuat apa-apa untuk menyelematkan nyawa. Hanya redha dan berkata dalam hati, "Alah, sudah ditakdirkan begini..." Itulah yang berlaku kepada sebahagian dari kita ini. Hanya berserah dan menunggu penghujung hidup.

Subuh, 29 Jun 1993, seorang penjenayah yang sangat dikehendaki kerana membunuh lebih 16 orang, kerana ketagihan menembak telah ditembak mati oleh polis di Medan Damansara, Kuala Lumpur. Dia ditembak menggunakan pistol, sama seperti dia membunuh lebih 16 orang itu, juga menggunakan pistol.

Di sini bukan hendak mengisahkan P. Kalimuthu atau Bentong Kali, penjenayah kejam yang suka menembak hanya kerana ketagih menembak dan membunuh. Bahkan sejam dua sebelum mati ditembak, sempat mengganas menembak seorang peniaga gerai yang menegurnya kencing berhampiran gerai. Apa yang hendak diceritakan ialah Bentong Kali mempunyai bannyak tatu di badannya. Pada masa itu, tatu dikaitkan dengan gangster. Salah satu tatu pada tangan Bentong Kali bertulis, "Born To Dia" -- kemungkinan tersalah eja -- "Born To Die." Ayat pada tatu itulah yang akan dikisahkan pada kali ini.

Benar sekali -- Born To Die -- kita dilahirkan untuk mati. Lebih tepat lagi, selepas kelahiran, sebenarnya kita menuju kematian. Sebaik sahaja kita dilahirkan, setiap hari kita sedang menuju garis penamat. Setuju? Bila garis penamat itu? Tidak kita tahu sama sekali. Rahsia Allah. Terlalu banyak hikmahnya mengapa ia dirahsiakan. Bayangkan sendiri apa akan terjadi kepada diri dan bumi kita itu jikalau tarikh kematian kita bukan rahsia.

Sering kita dengar hadis yang menyebut betapa bijaknya orang yang mengingati mati. Tetapi, hadis tersebut sering disalah ertikan. Ramai yang menyangka supaya, "melupakan dunia dan menumpukan akhirat." Jangan pedulikan dunia ini, sebaliknya utamakan akhirat sebab kehidupan sebenar orang Islam di akhirat, begitu kata mereka yang belajar setengah tiang.

Mereka seterusnya berfatwa, seorang-olah mengingati mati itu adalah seperti menunggu mati -- abaikan dunia ini, kerana akhirnya akan mati. Jikalau kita percaya dengan kata-kata mereka pasti akan terlepas kedua-duanya -- dunia dan akhirat.

Apabila Rasulullah s.a.w. bersabda orang yang mengingati mati adalah orang yang bijak, bermaksud:

1. Bijak memanfaatkan masa sebelum sampai saat kematian yang pasti. Apabila mengingati mati yang pasti dan tidak diketahui tarikhnya -- tentulah makin bersungguh-sungguh untuk memanfaatkan masa. Tentu tidak berani hendak membuang-buang nyawa (masa). Jikalau sampai tarikh mati, apa lagi yang boleh dimanfaatkan? Mampukah kita menyesali kerana mensia-siakan masa apabila kita berhadapan dengan 2 malaikat Nungkar dan Nangkir di dalam kubur? Mungkin ini hikmahnya Allah swt rahsiakan tarikh mati kita -- supaya kita bijak menguruskan nyawa (masa bukan emas, sebaliknya masa adalah nyawa).

2. Bijak menyediakan bekal untuk negara yang abadi dan tidak boleh berbuat apa-apa lagi. Bijak atau bodoh kita ini, jikalau kita hendak pergi ke suatu tempat (pasti) yang mana kita tidak mampu berbuat apa-apa lagi selain menerima balasan, tetapi tidak membawa apa-apa bekal, sedangkan peluang untuk menyiapkan bekalan itu tersedia di depan mata sepanjang antara kelahiran dan kematian.

3. Bijak menahan diri dari hanyut dan tenggelam. Maksudnya hanyut dan tenggelam dalam keburukan.

Lahir untuk mati bukan menunggu kematian. Untuk apa ditunggu perkara yang pasti? Sebaliknya, untuk mempersiapkan, memanfaatkan sepenuh-penuh nyawa bagi memperoleh kejayaan di dunia dan akhirat. Ada orang yang suka kegagalan? Tidak ada. Jikalau tidak ada orang yang menyukai kegagalan, mengapa tidak memanfaatkan nyawa yang diberi percuma antara kelahiran dan kematian. Itulah sahaja nyawa yang tinggal untuk mencipta kejayaan hidup di dunia. Sudah pasti itulah juga masa atau nyawa yang tinggal untuk mempersiapkan bekalan hidup di akhirat -- di negara abadi yang pasti tidak mampu berbuat apa-apa. Ibaratkan kita ini seorang petani, jikalau tidak menanam apa-apa, apakah yang boleh dipetik. Jikalau di atas muka bumi ini tidak menanam 'pokok bekalan' buah apakah yang dapat dipetik di alam akhirat?

Antara kelahiran dengan kematian, di tengah-tengahnya ialah peluang untuk mencipta 2 kejayaan. Semua orang memperoleh peluang yang sama. Tidak ada pilihan lain selain mesti melaksanakan dan mencapai 2 kejayaan itu:

1. Mencipta kejayaan hidup di muka bumi ini. Jangan diabaikan, jangan sesekali cuba mengabaikan. Adalah sia-sia belaka Allah menyediakan kelengkapan yang paling lengkap di sekeliling kita ini jikalau tidak kita gunakan dan manfaatkan untuk mencipta kejayaan demi kejayaan. Jangan memandai -- tidak ada satu larangan pun dari Allah swt yang melarang kita dari menjadi sangat kaya dan sangat berjaya. Tidak dilarang asalkan memastikan benih-pokok-buah yang betul -- benihnya elok, pokoknya elok dan menghasilkan buah yang elok.

2. Serentak dengan itu, setiap hari mencipta kejayaan yang akan dinikmati selepas kematian. Namun, kerana Allah swt amat menyayangi kita, maka apabila kita berusaha mencipta kejayaan sebagai bekalan di akhirat, impak kejayaan itu bukan sahaja diperoleh di akhirat, bahkan di atas muka bumi ini pun sudah merasai impak kejayaan tersebut. Senang cerita -- apabila kita menyiapkan bekalan akhirat, mencipta kejayaan untuk dinikmati di alam akhirat, kita mendapat kedua-duanya serentak -- belum sampai di akhirat kita dah dapat merasai nikmat bekalan yang dikhaskan untuk akhirat itu.

3. Setiap hari, bukan sekali-sekala berusaha membina kejayaan hidup di atas muka bumi ini dan bekalan untuk untuk kejayaan hidup di alam akhirat.

4. Jangan, jangan, jangan sesekali berkata -- "Muda lagi, banyak masa akan datang..." Jangan berkata begitu kerana kita bukan Allah yang Maha mengetahui apa yang berlaku di hadapan. Umur adalah teka-teki, rahsia dan hak Allah. Mereka yang panjang umur akan berpeluang berbuat kebaikan dan kejahatan yang banyak, mereka yang pendek umur pula kurang kebaikan dan kurang kejahatan. Adil?











Jangan sekali-kali beranggapan, masa kita cukup. Tidak, kita tidak pernah kecukupan masa kerana semakin hari, masa semakin singkat tetapi dalam masa yang sama terlalu banyak yang hendak dilakukan. Masa memang amat singkat. Terasa seperti baru semalam kita mengiringi jenazah sahabat karib kita untuk disemadikan di sempadan alam dunia dan akhirat, tetapi sebenarnya sudah 5 tahun berlalu.

Oleh kerana masa begitu singkat, kita semestinya berusaha untuk memanfaatkan masa atau nyawa kita dengan sepenuh-penuhnya -- antara kelahiran dan kematian itu:

1. Fokus. Maksud fokus lebih kurang begini -- Kita menuju ke Banting dari Kuala Lumpur. Adakah kita akan sampai ke Banting tepat pada masanya jikalau kita singgah di Putrajaya atau Dengkil, lepak-lepak. Kalau lalu Klang -- adakah akan sampai tepat masanya jikalau singgah dulu di Shah Alam, Klang, Sijangkang. Usaha anda membina kejayaan dan menyediakan bekalan perlukan fokus. Jikalau tidak, tanpa fokus, mustahil dapat membina kejayaan hidup di dunia dan akhirat, kerana kita tidak kecukupan masa.

2. Jangan sesekali menterbalikkan keutamaan atau mengamalkan, "Meremehkan yang utama dan mengutamakan yang remeh." Inilah bahaya yang paling bahaya penyebab utama kegagalan di dunia dan akhirat.

3. Hanya menumpukan kepada kebaikan. Tidak ada lain tujuan kita hidup di muka bumi ini melainkan untuk berbuat kebaikan, setiap hari, sepanjang hayat di antara kelahiran dan kematian. Dari pagi hingga malam, hanya memikirkan, mencari dan berbuat kebaikan.

 
The comments are owned by the poster. We aren't responsible for their content.

Mutiara Kata

Paku yang menonjol akan diketuk

» Peribahasa Jepun «

Hubungi

Arkib Artikel

Penaja








Mari Menderma







Web Kegemaran

Tetamu