Tapi mana duitnya?
Posting pada:  27 Jan 2011 ( 1588 kali di baca )

Razzi Armansur menulis: Setiap kali anda hendak memulakan bisnes atau projek baru, soalan yang paling utama di tanya ialah, "Mana duitnya, mana modalnya." Selepas itu, juga amat penting ialah, "Siapa team kita?"

Kedua-duanya amat penting sekali. Bahkan tanpanya, tidak akan ada bisnes atau projek baru. Setiap usaha perlukan wang modal dan team untuk bekerjasama menjayakannya.

Cukuplah sudah terpedaya dengan dongeng dan penglipurlara -- "Modal wang adalah perkara kedua." Ayat itu tergantung di situ tanpa memberitahu dengan tepat apa pula "perkara pertama". Ada 'pakar motivasi' menyambung mengatakan "kemahuan adalah modal utama." Atau lebih tepat lagi kemahuan itu dijadikan modal bisnes. Bolehkah? Mari cari di keliling kita, untuk membuktikan, tunjukkan walau hanya satu sahaja bisnes yang menggunakan 'kemahuan' sebagai modal utama. Pusing, belit-belit ke mana sekalipun, modal utama tetap wang. Bahkan jikalau betul "kemahuan" itu modal utama -- ia adalah kemahuan jitu yang akan digunakan untuk memperoleh modal wang. Kemahaun dijurus ke arah mendapatkan modal kewangan. Jadi, kekal utama -- wang adalah modal wang paling utama dalam bisnes.

Sebagai penyedap hati atau di langit sana, atau penglipurlara tahun-tahun 80-an mungkin boleh diterima -- wang bukan modal utama. Atau mungkin di langit sana -- di alam angan-angan, wang bukan modal utama.

Tetapi, di alam nyata, alam bisnes, berpijak di bumi nyata -- tanpa modal wang dan team -- tiada bisnes. Itulah bahayanya mendengar dan percaya dengan orang yang tidak tahu tentang bisnes tetapi perasan dan memberi 'ceramah' tentang bisnes. Bisnes tidak boleh dikaitkan dengan 'motivasi'. Bisnes adalah bisnes yang mesti dikaitkan dengan Pengurusan.

Bagaimana Rasulullah belajar dan menjalankan bisnes? Adakah dengan berasaskan 'motivasi' atau pengurusan? Dari siapa Baginda belajar bisnes? Adakah dari orang yang tidak tahu apa-apa tentang pengurusan bisnes tetapi perasan serba tahu tentang bisnes? Rasulullah belajar dari mereka yang memang masak tentang pengurusan bisnes. Bahkan Rasulullah sendiri adalah keturunan bangsawan dan usahawan. Datuk Baginda menguasai bekalan air di Mekah ketika itu. Menguasai telaga bekalan air di Mekah ibarat pada hari ini adalah menguasai telaga minyak. Kaya atau miskin?

Jadi sesiapa yang menggambarkan Rasulullah itu miskin, daif, atau memiskinkan diri, boleh dianggap sebagai menghina Rasulullah. Pelik amat, mengapa lebih suka dan selesa menggambarkan Rasulullah itu miskin, daif, papa kedana atau memiskinkan diri? Seolah-olah kaya itu amat dilarang dan miskin itu adalah syarat dan sifat wajib Rasul.

Jikalau masih tidak percaya bahawa modal wang dan team adalah keutamaan paling utama, tontonlah filem "The Social Network." Seandainya, tidak ada team yang kukuh, Facebook.com tidak akan wujud. Seandainya tauke Paypal tidak meghulurkan modal permulaan (tukarannya ialah saham yang sangat besar) -- Facebook wujud tetapi tidak sebesar sekarang ini. Dikatakan kini Facebook adalah 'negara' ke 3 paling ramai penduduk (500 juta), selepas China dan India.

Seandainya Mark Zuckerberg tidak 'kowtim' dengan Sean Parker, pengasas Napster, kemungkinan besar Facebook tidak sebesar hari ini. Sean Parker yang membawa Mark dan cadangan kepada tauke Paypal.

Begitulah pentingnya modal wang dan team. Cukuplah selama ini dipedaya dengann penglipurlara dan dongeng -- sekali anda sudah mantap memulakan bisnes atau projek, fokus anda hendaklah ditujukan kepada modal wang dan team.

Jangan sampai salah memilih team. Ini yang selalunya terjadi -- kita terpedaya. Konon serba tahu tetapi melopong. Konon serba tahu pasal 'network' 'security' 'script' 'programming' dan hal-hal penting yang berkaitan dengan internet tetapi dibelit kepada 'motivasi' atau berfikir positif.

Ikut cara P. Ramlee. Mengapa kualiti filem P. Ramlee sukar ditandingi? P. Ramlee berhati-hati dalam memilih team. Beliau memilih watak berdasarkan skrip, bukan berdasarkan kronisme. Walaupun sahabat yang paling rapat, jikalau wataknya tidak sesuai untuk filem tersebut, beliau akan berkata dengan tegas, "Minta maaf, tidak ada watak yang sesuai untuk anda dalam filem ini."

Team yang betul-betul belum tentu membawa kejayaan apatah lagi jikalau team yang tidak betul. Lihatlah kepada pasukan bola sepak (yang tidak ada campur tangan politik dan kronisme) -- bagaimana team yang tepat akhirnya boleh membawa kejayaan. Jikalau ada campur tangan dan kronisme, pemain yang berbakat besar dan berkebolehan dijadikan pemain simpanan; yang berbakat striker dijadikan pertahanan. Hancur.

Jangan sesekali ada niat hendak membolot apabila bercakap tentang bisnes atau projek. Sejarah membuktikan, jangankan melaksanakan, berniat pun boleh meruntuhkan apa yang akan diusahakan. Allah mencipta manusia bukan untuk tamak dan membolot sebaliknya untuk bekerjasama, saling memberi dan menerima antara satu sama lain.

Tidak ada seorang pun yang akan berjaya dalam hidup ini jikalau berniat hendak membolot. Tidak ada. Kalau pun, kalau, kalau, kalau berjaya -- kejayaan itu akhirnya memakan diri, membunuh dan meruntuhkan apa yang dibina selama ini.

Kerana itulah -- team adalah utama sama utama dengan modal wang. Kerana itulah juga, serta-merta fikiran dihalakan kepada "modal dan team" sebaik sahaja terpancar bisnes atau projek di fikiran. Orang yang menempa kejayaan akan bertanya, "Berapa dan bagaimana cara kita memperoleh modal? Siapa team kita?" Orang yang selamanya gagal fikirannya terus dhalakan kepada, "Berapa aku dapat?"

Orang yang bijak percaya kepentingan dan keutamaan modal wang. Sebaliknya orang yang tidak pernah memikirkan kepentingan modal wang dan team akan terus tenggelam dalam penglipurlara, penyedap hati.

 
The comments are owned by the poster. We aren't responsible for their content.

Mutiara Kata

Jangan dibunuh angsa bertelur emas

» Kata Bijaksana «

Hubungi

Arkib Artikel

Penaja








Mari Menderma







Web Kegemaran

Tetamu