Kelentong Bermusim Di Malaysia
Posting pada:  18 May 2006 ( 1571 kali di baca )

Razzi Armansur menulis: Di Malaysia ini agak pelik. Gegak gempita bermusim, sekaligus, penipuan bermusim. Musim silih berganti, penipuan pun silih berganti. Sesuatu yang berkaitan dengan perubatan dan herba sentiasa bermusim gegak gempitanya, kelentongnya. Kadang-kadang kelentong suatu masa dulu tak berapa jalan, diulang tayang dikelentongkan semula seperti Susu Awal Lembu (Susu Awal Kelentong) atau nak lebih sedap dibunyikan sebagai IGG, Colostrum, Transfer Factor (Saya rasa inilah nama paling pelik ? macam transfer duit melalui Maybank).


Seingat saya, gegak gempita (termasuk sekali kelentongnya) produk herba ini dimulakan oleh orang-orang yang terlibat dalam MLM. Ini tidak memeranjatkan kerana nak mencari kaki kelentong, carilah di dalam MLM. Sebab itu jugalah lebih ramai yang rela mati dari menyertai MLM. Awal permulaan kelentong yang begitu menjadi ialah Royal Jelly. Gegak gempita segala rupa pembohongan diserapkan agar produk yang dibumbui (isk... macam bahasa sasterawan pulak...) dengan penipuan itu laris. Lama- kelamaan mula diragui -- berapa trillion ratu lebah yang diperlukan untuk menghasilkan Royal Jelly khusus untuk pasaran Malaysia sahaja. Kebanyakan Royal Jelly di Malaysia ini datangnya dari Negara China. Betapa besarnya kelentong manusia-manusia dari Negara China itu. Bahkan Cina Malaysia tidak suka dengan Cina China. Cina Malaysia menasihati supaya berhati-hati bila berurusan dengan mereka.

Khabarnya, segala rupa penyakit boleh sembuh dengan menelan Royal Jelly. Khabarnya begitulah yang digembar-gemburkan oleh pakar-pakar kelentong. Soalnya, adakah herba bersifat menyembuh atau mencegah? Dr. Ayam di dalam MLM akan mengatakan menyembuh. Namanya pun Dr. Ayam, memanglah perangainya macam ayam. Tak lama kemudian sepi pasal Royal Jelly. Muncul produk yang turun dari langit, namanya Ricau -- cecair campuran Royal Jelly dan Ginseng. Sekali lagi gegak gempita di seluruh pelusuk bumi Malaysia. Yang buta boleh celik (seakan-akan begitu) bila meminum Ricau. Memang hebat sungguh kelentong orang-orang MLM.

Senyap Ricau, muncul Cendawan yang khabarnya sesiapa yang memakannya serta-merta kencing manis sembuh, darah tinggi sembuh, jantung, malaria, untut, dan segala rupa penyakit di atas muka bumi ini boleh sembuh. Bijak atau tidak Dr. Ayam dan segala rupa kaki kelentong di dalam MLM memainkan peranan.

Cendawan menjadi sepi. Apa lagi yang muncul selepas itu? Mengkudu! Secara tiba-tiba buah zaman purba itu menjadi glamour. Sana-sini orang bercakap mengenai mengkudu atau noni. Sana-sini orang bercakap mengenai penyembuhan ajaib mengkudu. Memang ajaib sebab yang menjualnya adalah pemain silap mata. Di antara pemain silap mata itu ada yang tiba-tiba mendapat gelaran "Sir"! Wow! Punyalah hebat penangan mengkudu.

Muncul pula spirulina yang dikatakan untuk kesihatan umum tetapi dicanangkan oleh kaki kelentong yang kerjanya hanya kelentong sebagai produk yang tidak ada produk lain boleh menyainginya. Sekali lagi, apa-apa saja penyakit yang lama dan baru boleh sembuh dengan spirulina.

Selang di antaranya, muncullah kopi ginseng. Saya tak ingat mana dulu yang muncul, tetapi ia antara minuman kopi yang digembar-gemburkan sebagai ajaib atau semi-ajaib. Awal-awal kemunculannya terang-terang tertulis di pembukusnya sebagai "perasa ginseng" (maksudnya bukan ginseng, hanya perasa) tetapi dicanangkan boleh menyembuhkan keseluruhan jenis penyakit di muka bumi ini. Bodoh atau pandai? Kalau sesiapa kena tipu, yang bersalah bukanlah yang menipu tetapi yang kena tipu.

Kopi ginseng mengalami nasib yang sama dengan yang lain. Senyap sunyi selepas riuh rendah dengan kebisingan kelentong. Mengapa? Sebab pakar-pakar kelentong sibuk mencari objek lain untuk dijadikan bahan kelentong. Begitulah juga dengan nasib malang tongkat ali dan kacip fatimah. Bising, riuh rendah dan sentiasa dikaitkan dengan seks. Penipu, pembohong, kaki kelentong menjadikan tongkat ali dan kacip fatimah sebagai mangsa kelentong mereka. Tongkat ali juga dikaitkan dengan artis yang juga kaki kelentong. Jadi, kelentong berganda.

Entah dari mana, datang minyak kelapa dara. Ini kelentong dan bahang kelentongnya hanya sekejap saja. Pendek umur. Hanya sempat menaburkan kelentong biasa -- namakan saja apa jenis penyakit kronik di muka bumi ini (termasuk HIV dan AIDS) boleh sembuh dengan minyak kelapa. Minyak kelapa yang tidak ada kaitan apa-apa dengan biotech tiba-tiba dikaitkan dengan biotech dan di'biotech'kan untuk menambahkan gah kelentong.

Setahu saya, minyak kelapa dara kesemuanya diimport dari Filipina. Ia menggunakan cold process dan tak ada kaitan sama sekali dengan biotech. Kalau pasal kelapa, tidak ada negara lain di muka bumi ini sehebat Filipina dalam memaksimumkan penggunaan pokok kelapa dan buah kelapa. Sebab itu di Filipina, batang pokok kelapa diawet dan dijadikan tiang elektrik.

Tanyalah pada kaki kelentong yang lengkap dengan Dr. Ayam itu makna dan mengapa dipanggil "kelapa dara" ? pasti anda akan mendengar jawapan berbeza.

Muncul pula susu awal lembu. Ia telah muncul 6 tahun lalu tapi paluan canang, gong, kompangnya tak cukup kuat. Kini datang semula dengan segala rupa paluan genderang perang, gong, canang, nasyid Hadhari meramaikan dan meriahkan kelentong Susu Awal Lembu. Mengapa ia pembohongan, penipuan, kelentong? Mari kita teliti betul-betul:

1. Ia adalah cecair jernih yang keluar ketika lembu melahirkan anak. Ini adalah cecair pertama sebelum susu. Sebab itu ia tidak disebut sebagai "milk". Kuantitinya sangat sedikit. Jadi, saya tak akan bercakap tentang bilion tetapi trilion (seribu billion). Berapa trilion ekor lembu yang BERANAK diperlukan untuk menghasilkan susu awal lembu hanya untuk pasaran Malaysia? Berapa million pula jumlah lembu di muka bumi ini? Setuju? Ada bantahan?

2. Kalau pun ada susu awal lembu dalam susu yang digembar-gemburkan sebagai susu ajaib, berapa banyak kandungannya? Pernahkah dituliskan berapa peratus kandungannya? Adakah 100 peratus? Jika ada 1% sahaja, bermakna yang 99% itu apa? Kalau yang lain adalah susu tepung biasa, kenapa harganya melampui batas? Kalau setakat mahukan campuran begitu mengandungi sebahagian kecil cecair susu awal lembu, susu Fernlef sudah mencukupi. Dan Fernleaf tidak pernah kelentong.

3. Pernah diadakan "clinical test" di Malaysia? Jadi, apa sebenarnya kandungan yang digembar-gemburkan sebagai susu awal lembu itu? Benarkah ia susu? Clinical test tersebut, untuk dipercayai mestilah dari Universiti ternama di Malaysia.

4. Sudahkah diadakan "clinical test" apa khasiat sebenar susu yang diwarwarkan sebagai ajaib itu? Sekali lagi mesti dari Universiti ternama di Malaysia. Pecahan kandungan seperti Vitamin, Mineral, Protin, Kabohidrat, Jumlah tenaga dan sebagainya, pernahkah ia tertulis dengan tepat pada pembungkus susu tersebut? Rasanya tidak ada dan memang tidak akan ada.

5. Testimoni yang melampau menandakan "Tong kosong kuat bunyinya". Hakikat sebenar, Fernleaf yang susunya memang benar mengandungi colostrum atau susu awal lembu tidak pernah memberi testimonial yang pelik-pelik belaka.

6. Kalau benar ia adalah susu awal lembu, khasiatnya hanya satu saja iaitu untuk IMUNISASI. Tanyalah mana-mana doktor medik (yang betul) di dunia ini. Jadi, penipuan atau kelentongkah ia jika diwarwarkan dengan segala rupa testimonial bahawa ia boleh menyembuhkan segala rupa penyakit kronik (sampai tak muat tempat)? Kalau benar ada susu awal lembu, ia bukan bersifat menyembuh sebaliknya hanya bersifat mencegah (imunisasi).

7. Ada tanda halal? Walaupun tanda halal di Malaysia ini boleh dibuat main-main (sebab JAKIM pun macam main-main), tetapi sekurang-kurangnya ada tanda halal.

8. Ini yang penting sekali: mengapa dengan serta-merta masing-masing meletakkan gelaran Dr. di depan nama. Perhatikan kebanyakan yang membekal susu awal lembu (kelentong) secara automatik meletakkan DR di depan nama. Siapa beri pangkat Dr? Lembu yang beri atau memang sebodoh lembu? Yang percaya pun lebih bodoh dari lembu. Tak mungkin sama sekali Doktor Medik akan menjual susu awal lembu. Begitu juga dengan Doktor Falsafah yang berhempas-pulas mendapatkan PhD selama antara 5 -- 10 tahun dengan perbelanjaan boleh mencecah ratusan ribu ringgit. Semalam jual burger, hari ini ada Dr. di depan namanya. Pelik? Itulah perangai orang yang jual susu awal lembu dan herba-herba lain. Kata mereka ? kononnya mereka telah belajar homeopati layak meletakkan Dr. di depan nama. Siapa punya polisi membenarkan begitu? Untuk pengetahuan segala rupa Dr. Ayam, Dr. Silap mata, Dr. Mee Segera di luar sana, belajar homeopati tidak boleh digelar Dr. dan tidak boleh meletakkan Dr. di depan nama. Bahkan tidak boleh dipanggil Doktor.

Kini, orang makin sedar selama ini dikelentong oleh susu awal kelentong. Kerana masyarakat ramai makin sedar dan era susu awal kelentong makin merudum, mereka yang menjual makin malu dan menukar strategi tanpa menyebut "awal lembu" hanya menyebut "susu" sahaja. Sama ada malu atau menukar strategi belum dipastikan. Sebagai contoh, kumpulan nasyid yang sudah melepasi 'tarikh luput' -- yang terpedaya dan memasarkan susu awal kelentong hanya menyebut, "Kami menjual susu."

Apa agaknya produk selepas ini yang akan dijadikan kelentong besar-besaran? Kita tunggu. Pasti ada. Asal sahaja "claim"nya melangit, segala rupa penyakit boleh sembuh secepat kilat, asal saja ia menyebut "menyembuh" bukannya "merawat", asal saja ia bersifat menyembuh bukan sebagai pencegahan, ia adalah penipuan, kelentong, gegak gempita. Tindakan herba adalah lambat dan bersifat pencegahan. Kalau tak percaya, tanyalah kepada Doktor Medik yang tersipu-sipu bila dipanggil "Dr." dan kalau boleh mengelak untuk meletakkan "Dr" di depan nama. Jangan tanya Dr. Ayam, Dr. Mee Segera, atau yang belajar homeopati tetapi meletakkan "Dr" di depan nama dan masam muka, merajuk jika tidak dipanggil "Doktor".

Begitulah. Kata orang, kalau seseorang kena kelentong, yang bersalah bukan yang kelentong tetapi yang kena kelentong. Kalau anda yang percaya dan terkena kelentong, maka adalah yang bersalah. Mengapa tidak boleh berniaga dengan jujur? Bukankah perniagaan itu pekerjaan para Nabi?

 
The comments are owned by the poster. We aren't responsible for their content.

Mutiara Kata

Tidak ada sahabat yang setia melainkan kepentingan yang berpanjangan

» Kata Bijaksana «

Hubungi

Arkib Artikel

Penaja








Mari Menderma







Web Kegemaran

Tetamu