Tidak mahu rugi tetapi hari-hari mencari rugi
Posting pada:  14 Dec 2010 ( 1843 kali di baca )

Razzi Armansur menulis: Tidak ada manusia waras yang hendak rugi. Jadi, kita ini bukan manusia waraslah kerana hari-hari kita menuju kerugian, mencari rugi, secara sedar atau tidak sedar.

Itu intisari ceramah penulis dan penceramah (bukan 'pakar motivasi') yang diminati ramai. Mengapa diminati ramai? Kerana apa yang keluar dari mulutnya adalah fakta, apa yang ditulis dalam buku-bukunya adalah fakta tepat hasil kajian. Melebihi segalanya mengapa ramai yang ternanti-nanti ceramah, seminar, khutbah dan buku beliau? Mudah sahaja -- kerana beliau tidak dikaitkan dengan perkataan 'motivasi' apatah lagi digelar, 'Pakar Motivasi'. Itu sebabnya beliau makin dikenali dan lebih ramai yang 'thumb-up' pada beliau, bukannya mencebik (mula-mula dulu, zaman-zaman dulu mungkin orang kagum, kni orang mencebik).

Yang paling utama, orang hendak memperoleh ilmu dari beliau -- ilmu yang boleh dilaksanakan, bukan mendengar orang menceceh, bercakap asal keluar dari mulut (konon spontan) tanpa sebarang fakta dan kajian, penuh dengan 'why' tanpa 'how' dan kemudian mendakwa diri sendiri atau digelar sebagai 'Pakar Motivasi'. Satu gelaran yang akhirnya menjahanamkan diri sendiri.

Siapakah orangnya? Lihat gambar di bawah ini pasti kenal:



Kalau tak kenal tak mengapa, kerana salah satu punca kerosakan, kedukaan hidup adalah kerana, "Hendak menjadi terkenal, hendak dikenali." Katalah -- tercapai cita-cita anda menajdi terkenal itu. Anda menceceh, cakap merapu tanpa kajian, menulis buku pun asal tertulis tanpa kajian, atau cilok sana sini -- itu tujuan anda -- suatu hari anda menjadi terkenal (atau perasan terkenal, dikenali) -- pasti selepas itu anda akan mengalami 'sindrom artis (termasuk nasyid) Malaysia yang perasan' -- suatu hari, tidak ada orang mengenali anda lagi, bagaimana? Tentulah itu mendukacitakan, kerana suatu masa dahulu anda dikenali (atau perasan dikenali). Apabila berjalan mata melilau sambil tertanya-tanya dengan penuh dukacita, "Ada orang tengok aku tak?" Itu yang diperoleh pada hujungnya kerana hendak menjadi terkenal, dikenali atau perasan selebriti. Jadi, jangan sekali-kali tergerak dalam hati hendak menjadi terkenal atau dikenali. Ia memberi impak yang amat buruk pada kehidupan. Percayalah kerana saya bercakap ini berdasarkan pergaulan saya sendiri.

Tidak mengapa jikalau tidak mengenali Dr. Danial Zainal Abidin. Beliau bukan hendak menjadi terkenal, sebaliknya beliau hendak menjadi penyampai ilmu-ilmu yang penuh fakta melalui tulisan, ceramah, khutbah, forum. Ilmu-ilmu milik Allah digali, dikaji untuk dikongsi bersama, demi untuk kebaikan manusia. Bukan hendak menjadi terkenal, sebaliknya hanya mahu menyampaikan ilmu sahaja. Itu yang tidak dikehendaki, itulah yang diperoleh. Maksudnya -- Dr. Danial menjadi terkenal kerana beliau tidak mahu terkenal.

Kalau boleh kita ambil contoh kehidupan Rasulullah. Baginda menjadi kaya-raya kerana Baginda tidak menghendaki kekayaan tersebut. Baginda menghendaki kekayaan itu bukan untuk dirinya sendiri sebaliknya untuk Islam. Hasilnya -- Baginda menjadi kaya-raya. Sesiapa yang menggambarkan Rasulullah miskin, daif boleh dianggap sebagai menghina Rasulullah. Baru-baru ini saya mendapat tahu bahawa kenderaan Rasulullah adalah yang terbaik di kalangan para sahabat. Maksudnya -- tidak menentang arus. Sahabat-sahabatnya kaya-raya, umatnya di sekelilng pada masa itu pun senang-lenang hidupnya hasil kepimpinan Baginda (Jernih di hulu, jernihlah di hilir; ikan membusuk bermula dari kepala).

Yang tidak boleh -- pemerintah duduk di dalam rumah ratusan juta tetapi dalam masa yang sama ada rakyat yang merempat tidak ada rumah. Paling tidak boleh -- mengaut hak rakyat untuk kekayaan sendiri.

Dikatakan, kenderaan Rasulullah adalah terbaik di kalangan para sahabat, Itu 1,500 tahun dahulu. Jikalau pada masa itu rumah Rasulullah ada talian internet, sudah tentu taliannya ialah Unifi 20 Mbps, sesudah memastikan di sekelilingnya menggunakan Unifi 20 Mbps. Kenderaan terbaik itu, setaraf dengan Lamborghini, Ferarri, Porsche pada masakini.

Mesejnya: Carilah sebanyak-banyak kekayaan dengan cara yang halal (benih halal, pokok halal, buah halal) dan gunakan kekayaan itu untuk 'membeli tiket ke syurga'. Bukan tiket untuk seorang diri sebaliknya untuk seramai mungkin. Kalau ada yang bercakap, "Orang kaya akan disoal dengan banyak di akhirat," tanyakan kembali, "Mengapa orang miskin tidak disoal dengan banyak di akhirat." Kalau ada bengong berkata, "Orang miskin tempatnya di syurga," tanyakan satu soalan amat ringkas, "Mengapa?"

Jadi, saya berpeluang mendengar ceramah secara 'live' dari penceramah dan penulis 'pujaan' saya ini. Bagi saya, ceramah selama 2 jam di Masjid Mujahiddin, Damansara Utama itu tidak mencukupi. Sepatutnya tambah lagi 2 jam.

Saya akan perturunkan sebahagian (intisari) dari ceramah Dr. Danial Zainal Abidin mengenai kecemerlangan itu.

1. Manusia memang sentiasa mahukan kecemerlangan. Setiap orang mahu yang terbaik, bukan yang lebih kurang. Itu fitrah semula jadi manusia.

2. Islam memberi kita 2 keuntungan, bukan 1 sahaja iaitu kecemerlangan di dunia dan akhirat. Bahkan, untuk menuju kecemerlangan yang dijanjikan itu sudah disediakan 'peta' khas.

3. Tidak ada orang yang mahukan kerugian tetapi itulah yang dicari setiap hari. Sesiapa pun yang mengamalkan Islam akan memperoleh keuntungan. Itu janji Allah. Tak kira, Islam atau kafir, jikalau mengamalkan ajaran Islam akan beroleh keuntungan. Bonus bagi orang Islam, jikalau mengamalkan ajaran dari al-Quran akan memperoleh 2 keuntungan amat besar -- keuntungan di atas muka bumi dan akhirat. Bukan keuntungan kecil sebaliknya keuntungan yang amat besar.

4. Peta yang dimaksudkan ialah al-Quran. Islam untuk semua, al-Quran untuk semua. Mengikuti suruhan dan larangan di dalam Quran membawa kecemerlangan hidup di dunia dan akhirat. Itu saja. 'Peta' itu akan membawa keuntungan dunia yang sangat besar dan keuntungan akhirat yang bukan sahaja besar, bahkan tidak berpenghujung. Tapi, berapa orangkah di kalangan kita yang mengejar keuntungan yang disediakan itu? Sebaliknya, berapa ramaikah di kalangan kita yang hidupnya saban hari mengejar 'kerugian' walaupun disediakan 'keuntungan' yang berlambak-lambak di depan mata. Pelik dengan diri kita ini -- banyaknya keuntungan di depan mata tetapi kerugian pula yang dicari setiap hari. Menghindari ajaran al-Quran adalah sama saja dengan mencari kerugian.

5. Contoh manusia yang memperoleh keuntungan besar di dunia, moga-moga, insyaAllah di akhirat ialah Laksamana Cheng Ho. Beliau adalah tokoh, mentor, yang boleh dijadikan teladan. Cheng Ho bukan mualaf sebagaimana yang disampaikan kepada kita. Beliau memang keturunan Islam. Datuk nenek moyangnya adalah Islam. Untungnya mereka, memeluk Islam melalui sahabat Rasulullah, Saad bin Waqas. Jadi, janganlah kita bising, "Mengkayakan Cina", "Racist" "Ketuanan Melayu" dan sebagainya -- Orang China memeluk Islam terlebih dahulu berbanding orang Melayu. Selalunya, mereka yang sibuk dengan "mengkayakan Cina" adalah manusia yang amat rendah pengetahuannya dan pemalas -- kaum Cina menjadi kaya kerana rajin (mengikuti suruhan al-Quran), mengapa pula kita nak marah dengan mereka? Mengapa tidak mencontohi mereka, bukan memarahi mereka?

Laksamana Cheng Ho menjadi usahawan, menguasai pelbagai ilmu termasuk ilmu pelayaran, peperangan, bisnes kerana telah mengikuti 'peta' yang disediakan. Beliau tidak perlu bersusah-payah mencari peta sebaliknya hanya menggunakan peta paling tepat dan terbaik yang telah disediakan oleh Allah SWT sejak azali.

Namun, kembali kepada asas -- Cheng Ho tidak menghendaki kekayaan itu, namun beliau menjadi amat kaya dan kekayaan itu digunakan untuk 'membeli tiket ke syurga' (keuntungan di akhirat), bukan untuk dirinya sendiri bahkan untuk seramai mungkin.

Pendek kata, untuk menjadi kaya -- jangan jadikan kekayaan itu sebagai motif, sebaliknya, fokus hendaklah difokuskan kepada apa faedah untuk orang ramai hasil dari kekayaan itu.

3. Sejak dari sekolah rendah lagi kita diberitahu bahawa al-Quran itu mukjizat. Kita terlepas dari melihat mukjizat-mukjizat besar oleh Rasul-Rasul terdahulu. Bahkan kita terlepas dari melihat pelbagai mukjizat Rasulullah. Namun, alangkah amat beruntungnya kita -- ada mukjizat yang kekal di depan mata kita sehingga hari kiamat.

Sejak dahulu guru agama hanya memberitahu bahawa al-Quran itu mukjizat tanpa menerangkan lebih lanjut. Jikalau kita bertanya, mengapa al-Quran itu mukjizat, langsung tidak ada jawapan. Dr. Danial menerangkan mengapa dan bagaimana al-Quran itu sebagai mukjizat.

Mukjizat berasal dari perkataan 'lemah'. Mukjizat bermakna melemahkan. Secara mudah begini -- al-Quran itu sebagai pelemah, boleh melemahkan sesiapa sahaja yang menghindarinya, sebaliknya ia menguatkan sesiapa yang mengamalkan kandungannya. Semudah itu. Contoh paling besar adalah ketika al-Quran diamalkan pada zaman Rasulullah, secara mendadak ia telah melemahkan empayar Rom yang secara terang-terangan menolak al-Quran ketika dipelawa untuk mengikuti kandungan al-Quran. Contoh harian pula -- sesiapa saja, pada hari ini yang mengamalkan al-Quran akan memperoleh mukjizat -- menjadi kuat dan beroleh untung. Sesiapa yang enggan mengikuti ajaran al-Quran akan menjadi lemah. Setuju? Itulah makna mukjizat yang tidak pernah diterangkan oleh guru-guru agama yang selama ini atau mungkin hanya mengaitkan mukjizat sebagai -- bacaan al-Quran yang dibaca oleh adik Saidina Umar telah melembutkan hati Saidina Umar.

4. 'Peta' tersebut atau al-Quran adalah amat benar. Jikalau ia sudah benar, maka tidak ada lagi yang lebih benar. Kita telah diberikan 'peta' yang amat benar, mengapa masih mencari-cari 'peta' yang tidak benar dan merugikan? Surah Al- Israa, ayat 9 bermaksud, "Sesungguhnya Al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang amat betul (agama Islam)..." Sesudah itu tidak ada jalan yang lebih betul kerana ia adalah jalan yang paling betul, amat betul.

Lebih dari itu, ia jalan yang amat betul kerana ia bukan ciptaan manusia sebaliknya ia adalah ciptaan Allah. Sesungguhnya Allah sama-sekali tidak memerlukan al-Quran. Allah mencipta al-Quran untuk kita kerana Allah sifatnya Maha Penyayang tanpa mengira siapa kita -- Islam atau kafir, menurut atau menentang perintanh Allah -- semua disayangi.

5. Bagi membuktikan bahawa al-Quran itu amat betul bukan ciptaan manusia -- menurut Dr. Danial, ambil contoh mudah: Surah An-Nur ayat 40: " ...gelap-gelita di lautan yang dalam, yang diliputi oleh ombak bertindih ombak.." Apa maksud lautan dalam gelap gelita dan ombak bertindih ombak?

Semasa al-Quran diturunkan, kajian menunjukkan bahawa Rasulullah tidak pernah melalui jalan laut apatah lagi menyelam di laut dalam. Dakwaan al-Quran itu ciptaan Rasulullah adalah tidak benar kerana Rasulullah tidak pernah menyelam di lautan dalam dan tidak melihat ombak bertindih ombak.

Yang kita lihat hanyalah ombak di permukaan, terutama pada peristiiwa Tsunami tahun 2004. Menurut 'pakar ombak' -- paling tinggi ombak Tsunami ialah 50 meter. Di Malaysia dan Acheh, tingginya 15 meter. Pada abad ke 21 ini, 'pakar ombak' telah mengesahkan adanya ombak yang besar, tinggi, di lautan dalam. Ketinggian ombak tersebut boleh mencecah 200 meter! Itulah yang dimaksudkan -- ombak bertindih ombak -- ada ombak lain di lautan dalam yang gelap. Ia hanya diketahui pada abad ke 21 ini, sedangkan sebenarnya ia telah termaktub di dalam al-Quran sejak azali. Jadi, adakah al-Quran itu ciptaan manusia?

Masihkah kita mencari-cari peluang untuk mempertikaikan kebenaran al-Quran sedangkan ia adalah 'amat betul' dan tidak ada yang lebih betul darinya -- mengandungi fakta-fakta zaman lalu, zaman Rasulullah dan zaman akan datang (termasuk zaman sekarang ini). Apa saja yang akan terjadi pada masa akan datang telah termaktub di dalam al-Quran. Jikalau al-Quran itu tidak benar (anggapan salah satu bekas pemimpin di Malaysia ini), bagaimana termaktub kisah-kisah yang benar seperti 'ombak bertindih ombak' tadi.

6. Bagaimana untuk memperoleh jalan yang amat betul itu? adakah dengan hanya membaca al-Quran sahaja sebagaimana pelajar-pelajar Tahfiz. Memang bagus tahfiz itu, cuma, ia lebih bagus lagi, 1000 kali lebih bagus selepas menghafaz diketahui makna dan tafsir apa yang dihafaz. Ia menjadi berganda-ganda kebaikannya jikalau diamalkan apa yang dihafaz, diditafsir, diketahui maksud, makna, mesej yang terkandung. Dan akhirnya, ketiga-tiganya -- dihafaz, ditafsir, diketahui mesejnya, diamalkan akan menjadi berjuta-juta kali lebih bagus jikalau dikembangkan lagi, disampaikan kepada seramai mungkin manusia. Syurga itu amat luas, tidak bertepi, janganlah hendaknya berangan-angan hendak masuk syurga seorang diri. Kita mahu mengikuti jejak (sunah) Rasulullah yang tidak pernah mementingkan dan mengutamakan diri sendiri. Sehingga nafas terakhir, masih mementingkan umatnya, "Umatku... Umatku.. Umatku..."

Jadi bagi memperoleh keuntungan paling maksimum, hendaklah kita sentiasa, "Membaca, Mengkaji, Mengamalkan, Menyebarkan" kandungan al-Quran. Bagaimana kita boleh tahu kandungan al-Quran jikalau kita tidak membacanya? Bagaimana kita boleh memperoleh ilmu dan pelbagai fakta, jikalau tidak mengkajinya? Kita mensia-siakan ilmu dan fakta yang diperoleh dengan susah-payah jikalau tidak diamalkan. Matlamat kita tidak akan tercapai jikalau tidak mengamalkan setiap hari apa yang telah dikaji dari al-Quran. Pokok besar subur tetapi tidak berbuah. Akhirnya, masyarakat, suasana tidak akan menjadi Islam jikalau apa yang kita peroleh dan diamalkan itu tidak disampaikan kepada seramai mungkin manusia.

Keempat-empatnya, MEMBACA, MENGKAJI, MENGAMALKAN, MENYEBARKAN, jikalau dilaksanakan setiap hari, sebagaimana yang dijanjikan Allah (janji Allah, bukan janji orang MLM), kita dan masyarakat keliling akan menjadi masyarakat yang cemerlang!

 
The comments are owned by the poster. We aren't responsible for their content.

Mutiara Kata

Walau ribut dan taufan melanda, matahari masih kekal di tempatnya

» Dari filem 'Ah Long Pte Ltd' «

Hubungi

Arkib Artikel

Penaja








Mari Menderma







Web Kegemaran

Tetamu