Mesej dari Kubur Kunang-Kunang
Posting pada:  29 Oct 2010 ( 1651 kali di baca )

Razzi Armansur menulis: Ada mesej yang sangat penting dari filem animasi "Graves of the Fireflies". Sangat mudah, selalu didengar tetapi dilupakan begitu sahaja.



Filem animasi dari Jepun ini dihasilkan pada tahun 1988 hasil adaptasi dari novel dengan judul yang sama. Judulnya sendiri unk, menjadikan teringin untuk menonton filem ini.

Peperangan memang membawa bencana kepada manusia. Tetapi peperangan seperti tidak dapat dielakkan, selagi manusia bernafsu. Kisah ini adalah kisah kesengsaraan peperangan dari sudut pandangan kanak-kanak. Kisah Perang Dunia Kedua dari pandangan kanak-kanak adalah hampir sama dengan filem "Empire of The Sun" yang juga dialami dalam Perang Dunia Kedua -- pendudukan Jepun di Negara China. Tempatnya berbeza, tapi sudut pandangan sama -- peperangan dari sudut pandangan kanak-kanak. Satu lagi yang sama ialah penderritaan. Filem "Graves of the Fireflies" yang berlatarbelakangkan peperangan, serangan balas Amerika kepada Jepun, juga memaparkan penderitaan akibat perang.

Serangan udara Amerika ke atas Jepun menyebabkan Seita (si Abang) dan Setsuko (si Adik Perempuan) terpisah dengan ibu mereka yang akhirnya -- ibu mereka ditemui, terkena bom, dan mati tidak lama kemudian.

Bermulalah perjalanan atau penderitaan 2 beradik ini. Dan 2 beradik ini mewakili gambaran penderitaan kanak-kanak akibat peperangan di negara Jepun dan di seluruh dunia.

Abang dan adik ini tinggal di rumah makcik mereka. Sesekali berlaku serangan penduduk kampung tersebut melarikan diri masuk ke dalam kubu (seperti gua) yang dibina berhampiran.

Menumpang di rumah orang, di mana-mana, di negara Jepun atau di Malaysia -- akhirnya sama saja. Mula-mula disukai, lama-kelamaan dibenci. Sebab itulah dalam Islam, yang dikatakan 'tetamu' hanyalah 3 hari sahaja. Selebihnya tidak lagi bertanggung jawab dan terikat melayan sebagai tetamu. Dan kita juga, apabila bertamu ke rumah saudara mara, jangan melebihi 3 hari. Jangan menyusahkan orang.

Peperangan menyebabkan kekurangan makanan, terutama nasi, makan utama rakyat Jepun. Kerana kekurangan -- harga beras melambung-lambung. Pada mulanya, harta benda ibu mereka dijual oleh makcik mereka itu untuk ditukar dengan beras. Mungkin sebagai 'bayaran' mereka menumpang. Lama-kelamaan harta benda mereka itu habis. Tidak ada harta apa yang boleh ditukar dengan beras.

Mereka berdua tidak disukai lagi dan dirasakan membebankan. Pada suatu hari si Abang bertanya tentang nasi, makciknya memarahi, "Kamu hendak makan nasi tetapi apa usaha kamu untuk mendapatkan beras?"




Dua beradik ini kerana sudah seperti 'dihalau' dari rumah makcik mereka, tinggallah di dalam kubu di kampung tersebut. Kubu tersebut berhampiran dengan sungai. Habitat kunang-kunang adalah di tepi sungai seperti di Kampung Kuantan, Jeram. Apabila malam, berkerlipanlah ribuan atau jutaan kunang-kunang di tepi sungai tersebut.

Di dalam kubu tersebut gelap. Untuk meneranginya, si Abang mendapat idea untuk mengumpulkan kunang-kunang, dibawa masuk ke dalam kubu tersebut untuk meneranginya.

Esoknya, kunang-kunang tersebut mati. Si Adik mengumpulkannya dan menguburkannya di tepi kubu tersebut. Dari situlah judul filem ini -- "Kubur Kunang-Kunang'.

Perang berterusan. Penderitaan juga berterusan. Si adik mendapat penyakit yang disebabkan oleh kekurangan zat makanan. Banyak babak menyayat hati meruntun hati penonton yang dirasakan ia diasaskan dari kisah benar. Pada satu ketika ilusi si Adik kepada makanan begitu kronik. Dia mengulum batu yang disangkanya gula-gula kesukaannya. Bahkan si Adik ini juga makan tanah kepal yang dianggap nasi kepal.

Akhirnya, si Adik tidak lagi bermaya dan mati. Si Abang meninggalkan kubu dan menuju ke bandar, akhirnya mati di bandar.



Begitulah, cerita yang sangat 'simple' dan 'biasa' tetapi begitu menusuk hati dan meninggalkan kesan di hati kita.

Mesej yang dimaksudkan tadi ialah dialog penting di dalam filem ini, "Kamu hendak makan nasi tetapi apa usaha kamu untuk mendapatkan beras?" Mudah? Memang mudah tetapi kita melanggarnya setiap hari. Kita hendak menjadi kaya tetapi tidak bertindak melaksanakan perkara yang boleh membawa kekayaan. Mengapa? Mungkin terpedaya dengan ceramah atau buku, "jutawan, jutawan..." yang khabarnya menjadi kaya itu ada jalan singkat dan tak perlu mengambil masa puluhan tahun.

Kita hendak masuk syurga tetapi apa yang kita buat untuk mengelakkan neraka dan tinggal di dalam syurga?

Kita hendak bisnes tetapi apa ilmu yang kita cari untuk dijadikan panduan bisnes? Takkanlah ceramah, buku penglipur lara, motivasi, dongeng hendak dijadikan panduan bisnes? Mengapa tidak belajar pengurusan (P.O.S.D.C) bisnes?

Jadi, setiap kali kita berkehendakkan sesuatu, ingatlah, tidak ada yang mudah, tidak ada jalan singkat, tidak ada penyedap hati dan penglipurlara. Sentiasa ingati dialog dari filem "Graves of The Fireflies" -- "Kamu hendak makan nasi tetapi apa usaha kamu untuk mendapatkan beras?"

 
The comments are owned by the poster. We aren't responsible for their content.

Mutiara Kata

Dari Abu Hurairah dari Rasulullah SAW, baginda bersabda, “Sungguh, aku telah melihat seorang laki-laki yang sedang menikmati kenikmatan di syurga disebabkan ia menyingkirkan duri yang berada di tengah jalan, yang duri itu mengganggu kaum muslimin.” (Hadis Riwayat Bukhari)

» Sabda Rasulullah s.a.w. «

Hubungi

Arkib Artikel

Penaja








Mari Menderma







Web Kegemaran

Tetamu