Suara siapakah itu?
Posting pada:  07 Jun 2010 ( 1251 kali di baca )

Razzi Armansur menulis: Membaca jambatan ilmu? Saya lebih suka kalau disebut -- Membaca adalah kehidupan. Membaca adalah menghubungkan (jambatan) kepada ilmu, Betul? Tapi bagaimana jikalau ilmu yang diperoleh dari buku itu tidak diamalkan? Ilmu adalah untuk diamalkan, bukan untuk dicari kemudian dibiarkan. Kerana itulah membaca adalah kehidupan -- memperoleh ilmu digunakan untuk menangani kehidupan.


Ilmu untuk diamalkan dan dikembangkan, disampaikan kepada orang yang memerlukan dengan syarat ia betul-betul ilmu diperoleh dari buku yang berilmu bukan buku yang ber'angin'. Buku angin tak ada ilmu. Kalau ada pun ia tidak layak disebut ilmu sebab kebanyakannya bukan fakta. Main reka-reka sahaja, lebih banyak 'mengapa' berbanding 'bagaimana'.

Jangan jadi seperti 'Pakar Motivasi' -- "Dia gini...setiap sesuatu ada ilmunya sendiri." Betul, tapi mana ilmunya? Ilmu gelak-gelak? Pandai menyebut setiap sesuatu ada ilmunya, tetapi mengapa seminarnya penuh dengan 'angin sepoi-sepoi bahasa' (mana ilmunya?) hanya mementingkan 'cara penyampaian' bukan 'kandungan penyampaian' mengikuti kata-kata purba -- 'Ia bukanlah apa yang anda sampaikan tetapi cara anda menyampaikan' sama seperti 'Bukan kamera yang penting tetapi orang yang mengambil gambar itu yang penting.' Kedua-duanya sama penting -- cerita dan cara penceritaan adalah sama penting. Penyampaian dan kandungan penyampaian adalah sama penting.

Teori saya mudah: yang merosakkan sesuatu itu adalah sesuatu itu sendiri. Setiap orang ada peranan masing-masing. Yang merosakkan dunia penulisan adalah penulis (?). Yang merosakkan dunia penerbitan buku adalah penerbit buku itu sendiri. Sama -- yang merosakkan industri nasyid adalah orang-orang yang terlibat dengan nasyid itu sendiri.

Peranan masing-masing -- ada yang layak menjadi pembaca dan ada yang layak menjadi penulis. Ada yang layak membeli, tak layak menerbitkan buku. Yang tak layak menjadi iklan kempen membaca janganlah dijadikan iklan kempen membaca. Layakkan artis dijadikan model kempen membaca? Apa kelayakan artis membolehkan dijadikan model kempen membaca? Mengapa artis? Idola? ikut-ikutan? Siapa kata?

Suara siapa dari dalam buku? Suara siapakan itu? Ini ada satu rahsia bagaimana kita boleh mendapat manfaat paling besar dari setiap pembacaan buku. Tapi ingat, ini bukan untuk buku angin tanpa fakta atau buku untuk penyedap hati, penglipura, dongeng. Ini untuk buku yang benar-benar mengandungi ilmu dan boleh digunakan ilmu tersebut untuk menangani kehidupan.

Rahsia bagaimana mendapat faedah maksimum dari pembacaan adalah mjudah sekali bahkan teramat mudah. Amalkan sahaja 3 cara mudah ini untuk memperoleh faedah maksimum dari setiap pembacaan. Ilmu ini bukan dari saya. Saya memperolehnya bertahun-tahun dahulu. Saya hanya menyampaikan sahaja kepada anda yang mahu memanfaatkan ilmu ini:

1. Setiap kali hendak membaca buku atau majalah berkualiti atau apa sahaja bahan bacaan berkualiti penuh fakta di Internet, misalnya, anggaplah diri anda sebagai 'guru'. Jikalau tidak boleh menganggap memang sukar untuk menerapkan ilmu ini. Jadi, tidak ada jalan lain selain menganggap diri anda sebagai 'guru'. Ini amat penting sekali. Sebagai guru anda akan mengajar dan menyampaikan apa yang anda peroleh dari buku atau bahan bacaan tadi kepada 'murid' anda atau orang lain. Jadi, bagaimana? Apa perasaan anda jikalau selepas selesai membaca buku tersebut anda akan mengajarkan ilmu yang anda peroleh dari buku itu kepada orang lain? Sudah tentu anda akan mengingati setiap baris perkataan dan ayat dari dalam buku tersebut. Jikalau tidak mengingati, bagaimana anda hendak mengajar 'murid' atau orang lain?

2. Sesudah itu, keluar suara dari dalam buku tersebut. Suara siapakah itu? Suara manusia berkarisma seperti Dato' Seri Anwar Ibrahim, Tuan Guru Nik Aziz, Lim Kit Siang, Raja Petra, atau siapa sahaja yang anda sukai dan berkarisma. Ibu bapa anda pun berkarisma. Bergema di telinga anda suara mereka membacakan setiap baris ayat dari dalam buku tersebut hingga selesai. Tidak kenal suara mereka? Cari di Youtube. Tonton dan dengar berkali-kali hingga bergema dan terngiang-ngiang di telinga tanpa menontonnya. Ia akan diingati sehingga bila-bila. Terdengar-dengar suara mereka. Sekarang apabila anda membaca buku atau bahan bacaan lain seolah-olah mereka tolong membacakannya, terdengar di telinga anda dan disimpan di dalam otak, kekal sehingga akhir hayat. Mudah sahaja.

3. Akhirnya, cara yang lain, jikalau mahukan ketenangan dan menyukai apa yang kita baca -- pasanglah muzik menggunakan 'earphone' atau 'headphone'. Sebagaimana kita menyukai muzik itu, begitulah kita menyukai apa yang kita baca.

Mudah sahaja bukan? Mudah, tanpa modal dan boleh dilaksanakan serta-merta. Jadi, laksanakan sekarang!

 
The comments are owned by the poster. We aren't responsible for their content.

Mutiara Kata

Kalau wang kecil tak keluar, wang besar takkan masuk

» Peribahasa Tionghua «

Hubungi

Arkib Artikel

Penaja








Mari Menderma







Web Kegemaran

Tetamu