Rahsia kejayaan paling mudah
Posting pada:  18 May 2010 ( 1340 kali di baca )

Razzi Armansur menulis: Memang lama benar tidak update laman web peribadi ini. Sudahlah lama, ada tambahan lagi -- lama-kelamaan makin jarang. Bimbang menjadi seperti peribahasa Red Indian, "Burung yang akan mati hanya berjalan, tidak lagi terbang." Mula-mula rancak, perlahan, makin perlahan, jarang-jarang akhirnya berhenti.

Nampaknya lebih ramai yang menyalahkan Facebook. Kononnya disebabkan Facebook, ramailah yang tidak update blog, laman web. Ramai sudah yang tidak masuk ke portal komuniti, forum dan sebagainya. Forum politik dan portal berita (yang telus) nampaknya tidak terjejas sama sekali.

Memang itulah realiti yang mesti diterima. Dengan adanya Facebook, itulah realitinya -- blog, laman web selain portal berita dan forum politik -- hanya dikunjungi oleh lalat. Bahkan lalat pun tidak mahu berkunjung. Yang empunya blog, laman web pun sudah jarang berkunjung dan update, bagaimana pula mengharapkan tetamu berkunjung? Tuan punya lebih suka kerap menggunjungi Facebook.

Itu realitinya yang mesti diterima. Jadi, meraka yang berangan-angan dibuai mimpi hendak menjadi "jutawan internet" terpaksalah menilai semula akan makna dan istilah tersebut. Bagaimana hendak menjadi 'jutawan internet' sedangkan lalat pun tidak berkunjung ke laman web atau blog. Atau pelajarilah bagaimana pengasas Facebook, Google, Yahoo, Myspace, Friendster, Twitter, Digg menjadi 'jutawan internet'. Pelajari dengan lebih dekat -- bahagian mana di dalam internet itu membolehkah mereka menjadi jutawan. Adakah jual barang, jual program merapu atau menjadi sebahagian dari internet?

Lain kali senang sahaja -- jikalau ada yang merapu mengatakan tentang 'jutawan internet' (biasanya orang yang merapu begitu sebenarnya baru kenal internet) -- tanya sahaja: "Bahagaian mana di dalam internet yang boleh menjadikan saya jutawan? Saya tidak mahu penyedap hati, motivasi, penglipur lara. Saya mahukan fakta, case study dan angka sahaja."

Lebih pelik lagi, ada pula yang menyalahkan Facebook dan laman sosial lain kerana lama tidak update laman web atau blog sendiri. Pelik? Sama seperti menyalahkan KFC menyediakan ayam goreng menyebabkan sudah tidak mahu lagi makan ayam percik. Ayam percik? Di mana hendak mendapat ayam percik yang sedap? Suatu masa dahulu, setiap ceruk menjual ayam percik, sama seperti sedikit masa dahulu hampir semua syarikat MLM menjual susu awal lembu.

Berbalik kepada topik kita pada kali ini -- apakah rahsia kejayaan yang paling mudah? Rahsianya ialah MENIRU. Itu saja. Mengapa negara Jepun maju selepas musnah? Kerana meniru. Produk dari Barat ditiru dan diperbaiki, disesuaikan dengan keperluan semasa. Contoh klasik ialah motosikal yang besar belaka dari England, menggunakan clutch ditiru menjadi motorsikal yang lebih kecil, sesuai dengan rakyat Jepun yang pada masa itu tidaklah besar dan tinggi, tanpa clutch untuk memudahkan.

Jikalau meniru itu dikatakan sebagai agak memalukan, gunakan sahaja istilah MODELING. Ia sangat mudah sekali dan boleh dilaksanakan dengan serta-merta. Ia adalah salah satu pelajaran di dalam NLP -- "Apa yang orang lain boleh melakukan, kita boleh belajar melakukan."

Suatu hari, seseorang bertanya kepada saya. Sudah tentu kena berhat-hati sebab saya akan memberikan 'consulting' dengan percuma. Setiap yang percuma memang tidak pernah dihargai.

Pertanyaannya, "Abangnya buat kek tetapi tidak sama rasanya dengan yang dia buat walaupun bahannya sama. Bagaimana?" Maksudnya, dia mahu abangnya mendapat kejayaan yang sama -- kek yang sama rasa dengan kek yang dibuatnya.

Mulut ini hendak mengeluarkan kata-kata, "Berapa sanggup kamu bayar untuk rahsia ini?," tetapi tidak tergamak kerana dia kawan sejak kecil. Sepatutnya dalam bisnes ialah, "Its only business, nothing personal." Dalam bisnes tidak ada hal-hal personal. Semuanya berasaskan bisnes sahaja.

Saya menyuruh abangnya berdiri di tepi beliau semasa membuat kek. Perhatikan dengan tepat cara berdiri atau cara duduk. Jangan ambil ringan. Selepas itu, catatkan setiap masa yang diambil. Berapa lama jerang air panas, berapa lama tepung diadun hendaklah tepat 100 peratus. Urutannya juga mesti tepat 100 peratus -- apa yang dimasukkan dahulu. Tepung, air, susu, cokelat, minyak jagung, gula, air panas menggelegak, mana yang dimasukkan lebih dahulu dan berapa lama renggangnya. Antara satu bahan dengan satu bahan yang lain berapa lama selang di antaranya. Ini penting sekali.

Kalau diikut cara modeling atau meniru begitu saya memberitahu, "Walaupun tidak 100 peratus tetapi 99 peratus rasa kek tersebut adalah sama."

Namun oleh kerana ia percuma, saya ragu-ragu sama ada teknik modeling tersebut dilaksanakan atau diabaikan.

Sekarang saya akan memberikan teknik yang sama untuk anda yang mahu memukau apabila berucap di khalayak ramai. Sangat mudah sekali dengan menggunakan teknik modeling.

Mula-mula cari seorang yang benar-benar anda minati. Cara beliau berucap memang memukau bukan sahaja anda bahkan orang ramai. Cara berucap memukau, kandungan ucapan juga penuh dengan fakta dan memukau.

Buat masa ini, bagi saya belum ada yang boleh mengungguli Dato' Seri Anwar Ibrahim dari segi ucapan beliau. Setuju? Lihatlah sendiri betapa ramainya manusia yang sanggup berdiri menunggu beliau berucap walaupun dalam hujan lebat. Tidak hebatkah begitu?

Seorang lagi yang hampir sama dengan cara DSAI berucap ialah Azmin Ali. Hampir sama -- gaya, intonasi, fakta yang diucapkan. Ia terjadi secara natural kerana sudah berpuluh tahun Azmin Ali rapat dengan DSAI. Perhatikan juga mereka yang rapat dengan DSAI (termasuk yang mendapat gelaran "kotak") -- hampir sama gaya, intonasi, fakta yang diucapkan. Ini membuktikan, teknik modeling memang menjadi, walaupun mereka tidak menyedari bahawa merska sebenarnya melakukan modeling. Setuju?

Jadi, inilah langkah yang perlu diambil untuk modeling cara DSAI atau Azmin Ali berucap:

1. Lihat dan dengar cara mereka berucap, berulang-ulang sehingga kalau boleh lebih 100 kali.

2. Di mana? Cari di Youtube. Berlambak ucapan DSAI, Azmin Ali atau Anthony Robbins.

3. Sesudah berulang-ulang mendengarnya, sehingga hampir hafal, ikuti mereka bercakap iaitu dengan hanya kumat kamit seolah-olah bukan DSAI, Azmin Ali yang berucap -- anda yang sedang berucap.

4. Dalam masa yang sama, semasa kumat-kamit mengikuti intonasi itu ikuti sekali gerak tangan (jika ada), lenggok badan dan kepala (jika ada).

5. Sesudah beberapa kali melakukannya (lebih banyak lebih bagus), matikan suara. Sekarang anda berucap pula, bersuara, (bukan kumat kamit) mengikut kumat kamit (tanpa suara) DSAI atau Azmin Ali. Ikuti sekali lenggok badan, kepala, tangan (jika ada). Anda sedang meniru atau modeling. Lakukan berulang-ulang kali.

6. Akhirnya, anda berdiri berucap sambil membayangkan lautan manusia di depan anda. Minta seseorang merakamkan vidoe anda berucap itu.

7. Buat penilaian -- lihat video itu. Anda akan mendapati walau pun tidak 100 peratus sama dengan intonasi, gaya, fakta, keberanian, semangat DSAI, Azmin Ali, Anthony Robbins, anda boleh mendapat sekurang-kurangnya 90 peratus persamaan. Dengan lebih kerap melakukan latiuhan ini, peluang untuk menjadi 100 peratus memang tersedia.

Jadi, begitulah sebenarnya cara yang sangat mudah dan kita telah pun melakukan modeling dalam berbagai-bagai hal tanpa kita sendiri menyedari. Meniru atau modeling adalah cara paling mudah untuk melaksanakan, "Jikalau orang lain boleh melakukan, kita boleh belajar melakukannya."

 
The comments are owned by the poster. We aren't responsible for their content.

Mutiara Kata

Barang siapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarah pun, niscaya dia akan melihat (balasan) nya. Dan barang siapa yang mengerjakan kejahatan seberat zarah pun, nescaya dia akan melihat (balasan) nya pula. (Az-Zalzalah : 7 -- 8)

» Firman Allah «

Hubungi

Arkib Artikel

Penaja








Mari Menderma







Web Kegemaran

Tetamu