Tersilap ketuk, paku terpelanting ke muka sendiri
Posting pada:  08 Feb 2010 ( 1262 kali di baca )

Razzi Armansur menulis: PAKU yang menonjol akan diketuk. Itu hakikat sebenar berasaskan peribahasa Jepun. Lihat sekeliling kita -- hanya paku yang menonjol sahaja akan diketuk. Siapa yang pernah peduli paku yang tenggelam. Tidak ada siapa peduli. Paku yang menonjol menarik perhatian, kerana itu banyaklah tangan-tangan yang berusaha mengetuknya.

Apabila anda berjaya atau usaha anda sudah mula menampakkan sinar kejayaan, bersedialah untuk diketuk. Jadi, secara automatik ia boleh dijadikan maklum balas -- "Mengapa aku diketuk?" Kerana aku sudah berjaya, sedang menuju kejayaan atau apa yang aku usahakan ini menimbulkan kedengkian? Kalau tak berjaya, takkan orang dengki?

Jadi, jikalau ada yang mengutuk, menjatuhkan atau cuba memusnahkan, jangan menggelabah, jangan melatah. Anggap itu maklum balas -- tentu bersebab mengapa paku diketuk.

Jikalau tidak pandai mengetuk, paku itu akan terpelanting ke muka kita sendiri. Ia sama dengan usaha kita membakar rumah orang lain -- sebelum membakar rumah orang lain, selalunya kita akan terbakar terlebih dahulu. Apabila kita berusaha menenggelamkan kapal orang lain, kita mengabaikan haluan kapal kita sendiri bahkan tidak ambil tahu kebocoran pada kapal kita sendiri. Akhirnya, iamenyebabkan kapal kita tenggelam.Kita hendak mennenggelamkan kapal orang lain tetapi kapal kita pula yang tenggelam.

Yang difitnah selalunya semakin makmur, yang memfitnah pula semakin tidak tentu arah.

Contoh paling nyata di depan mata kita: Dato Seri Anwar Ibrahim sentiasa diketuk sejak tahun 1998. Kutukan dan sanjungan terhadap beliau seakan seimbang. Mengapa beliau diketuk? Jikalau beliau 'orang biasa' (paku yang tenggelam) ada sesiapa hendak mengetuknya? Agak-agaknya berapa orang sajakah yang mengetuk DSAI jikalau beliau 'orang biasa-biasa'?

Tapi beliau tenang setenang-tenangnya kerana berpegang kepada "fitnah memakan diri". Yang memfitnah akan musnah terlebih dahulu atau melarat sepanjang hayat. Paku yang diketuk terpelanting dan mengenai muka sendiri. Bagaimana kalau terkena mata dan menjadi buta?

Lain kali jikalau anda sedang mengalami kesusahan, cuba bandingkan dengan kesusahan yang dialami dengan DSAI. "Apalah sangat kesusahan ini berbanding kesusahan, malu, penindasan terhadap Dato' Seri Anwar Ibrahim sekeluarga".

Kemudian kita lihat pula negeri-negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat. Sejak menang pilihanraya ke 12, pada bulan Mac 2008, tak henti-henti sentiasa kena ketuk. Ada saja bahan untuk mengetuk.

Bulan pertama Pulau Pinang diperintah oleh DAP, mengambil alih dari GERAKAN (Parti kaum Cina), sudah ada demo, kononnya DAP menghakis ketuanan Melayu. Apa buktinya? Bukankah ia menjadi bahan gelak ketawa sedangkan tak sampai sebulan sahaja DAP memulakan tugas dan tanggung jawab mentadbir Pulau Pinang. Siapa yang mentadbir Pulau Pinang selama lebih 50 tahun kalau bukan GERAKAN dan UMNO? Jadi, siapa sebenarnya yang membangsatkan Melayu Pulau Pinang selama ini? Siapa yang menghakis ketuanan Melayu sebenarnya. Hanya yang bebal sahaja tidak boleh berfikir dan terpedaya dengan media percaya dengan 'ketukan' tersebut.

Sering kedengaran, "DAP jahat", lalu kita perlu meminta senarai, "Tolong senaraikan 10 kejahatan DAP." Dalam masa yang sama, "Tolong juga senaraikan 10 kebaikan MCA dan GERAKAN. Kalau tak cukup, campurkan sekali kebaikan MIC".

Selalunya yang berkata begitu adalah manusia spesis ayam (termasuk juga Dr. Ayam). Sering kedengaran, "Alah, dapat makan minum, kerja, anak sekolah, cukuplah... Tak payah campur hal politik." Mudah saja jawapannya, "Cuba samakan dengan kehidupan ayam, lebih kurang sama saja..."

Begitu juga negeri-negeri Pakatan Rakyat lain. Sentiasa diketuk tanpa henti. Apa mesejnya? Mudah sahaja -- kerana kejayaan. Dan kejayaan negeri Pakatan Rakyat tak mungkin akan disiarkan dalam media arus perdana. Berbeza jikalau ada keburukan yang paling remeh, pasti akan segera diperbesar-besarkan. Tetapi jikalau kebaikan, sudah pasti dicari juga keburukan yang amat remeh di dalam kebaikan itu untuk diperbesar-besarkan dan dicanang, kononnya supaya kebaikan tersebut tenggelam. Kononnya supaya ada persepsi pemerintahan Pakatan Rakyat menyusahkan. Mana satu yang menyusahkan? BN yang memerintah lebih 50 tahun atau Pakatan Rakyat yang baru 2 tahun?

Malang, seribu kali malang -- cara begitu sudah ketinggalan zaman. Kalau tahun 80-an, mungkin boleh lagi. Tapi hari ini sudah 10 tahun melepasi millineum, paku yang diketuk terpelanting semula ke muka yang mengetuknya. Diakui, akibat menyiarkan berita yang tidak telus dan sentiasa berat sebelah memberi keuntungan sebelah pihak sahaja, jualan akhbar-akhbar (kecuali Harakah yang sentiasa disekat) semakin menurun dan merudum sejak 10 tahun lalu. Itulah contoh tepat bagaimana paku terpelanting ke muka orang yang mengetuknya. Apa-apa kejahatan yang kita lakukan, pasti akan datang kembali kepada kita dalam apa saja bentuk, sama ada lambat atau cepat. Sebab itu ingin diingatkan kata-kata Ustaz Samsuri, "Kita hidup di dunia ini satu saja tujuan kita iaitu hendak berbuat kebaikan. Lain kita tak mahu selain berbuat kebaikan."

Jadi, berkesankah ketukan yang bertalu-talu itu? Paku sudah terpelanting ke muka orang yang mengetuk, tentulah tidak berkesan. Jikalau benar sebagaimana yang dikata, "Yang mengetuk semakin sengsara, yang diketuk semakin makmur," maka rakyat semakin berfikir sebab kini hanya sebahagian kecil saja rakyat yang bebal tidak tahu dan tidak mahu membezakan yang betul atau yang salah. Majoriti rakyat kini beralih kepada media internet termasuk laman sosial sesudah tidak membeli lagi surat khabar. Kalau surat khabar telus dan tidak berat sebelah, tidak ada sebab mengapa rakyat tidak mahu membeli surat khabar lagi. Pasti cetakan akhbar makin meningkat.

Berita yang dipaparkan di internet lebih pantas, tepat dan telus. Ia percuma. Kerana berita yang disiarkan dalam akhbar selalunya tidak tepat dan menjaga kepentingan pihak tertentu, sudah pasti lama-kelamaan pembaca merasa ditipu dan beralih kepada berita yang lebih tepat (walaupun tidak 100% tepat tetapi lebih baik dari 5% -- 10% tepat sahaja). Terbukalah mata dan pemikiran,"Ohhh... begini sebenarnya...." Paku terpelanting lagi pada yang mengetuknya. Pusing-pusing bagaimana sekalipun, kejahatan tetap akan kembali kepada yang memlakukannya sebagaimana kebaikan pasti akan kembali kepada yang melakukan dan menyebarkannya.

Lihat sendiri kebaikan yang diperoleh di Negeri Selangor akibat sentiasa diketuk. Salah satu kebaikannya ialah: Selangor kini, sejak pemerintahan Pakatan Rakyat adalah negeri yang paling bersih dan 100% bebas rasuah. Mengapa? kerana SPRM memantau 24 jam sehari. Kalau ada rasuah (?) walau sekelumit sekalipun pasti SPRM akan bertindak serta-merta. Jadi, tidak akan ada sesiapa pun di kalangan pemimpin Pakatan Rakyat di Negeri Selangor yang berani memberi atau / dan menerima rasuah. Kerana itulah dikatakan Selangor bebas rasuah. "Yang diketuk bertambah makmur, yang mengetuk semakin menggelabah."

Jadi, kesimpulannya dalam hidup kita ini ada 2 'ketuk': Kita sebagai paku akan diketuk atau kita mengetuk paku. Kedua-duanya ada kebaikan dan keburukan. Allah SWT mengurniakan otak kepada manusia untuk digunakan habis-habisan, bukan untuk perhiasan.

 
The comments are owned by the poster. We aren't responsible for their content.

Mutiara Kata

Kita adalah bangsa yang hina tetapi dimuliakan oleh Allah kerana Islam. Jika kita meninggalkan Islam, maka kita akan kembali hina.

» Saidina Umar Al-Khattab «

Hubungi

Arkib Artikel

Penaja








Mari Menderma







Web Kegemaran

Tetamu