Sampah pun percuma...
Posting pada:  26 Dec 2009 ( 1575 kali di baca )

Razzi Armansur menulis: Di depan Maybank Taman Tun Dr. Ismail, ada sekumpulan remaja mempromosikan wireless broadband Celcom, "Modem percuma, Encik.." Saya menyampuk, "Apa yang percuma? Semua kena bayar. Hujan dan air mata yang percuma." Remaja itu menjawab, "Sampah pun percuma, Encik..." Betul juga

Bolehkah dikatakan, yang percuma itu setaraf dengan sampah? Memang boleh jikalau ia dari manusia. Jikalau ia dari Allah SWT, ia adalah harta. Masa, nyawa, umur yang membentuk kehidupan kita percuma percuma tetapi bersyarat. Dibekalkan secara percuma tetapi dipersoalkan di akhirat kelak. Jadi jangan memandai mengatakan hanya orang kaya sahaja yang akan dipersoal tentang harta, di akhirat kelak. Orang kaya, orang miskin semuanya dibekalkan harta yang amat berharga -- masa, nyawa, umur.

Lain kali, jangan sesekali memberi sesuatu yang percuma. Jangan! Kecuali diminta. Setiap sesuatu ada harganya tersendiri. Jangan semudah itu memberikan sesuatu yang berharga kecuali dibayar.

Memang ada yang percuma dan ada yang berbayar. Yang percuma, kekal percuma. Yang berbayar kekal berbayar. Seandainya, anda sewenang-wenangnya memberikan sesuatu yang sepatutnya berbayar tetapi anda memberikannya secara percuma, akhirnya anda yang akan kecewa. Orang akan memandang rendah pada kita bahkan sama taraf dengan 'percuma ' (sampah).

Bagaimana jikalau diminta? Lihat siapa yang meminta. Jikalau yang meminta itu sememangnya tidak mampu berilah secara percuma. Namun jangan sekali-kali memandai-mandai membuka mulut memberi (idea, pendapat) dengan percuma tanpa diminta walaupun dia tidak mampu. Akhirnya anda menjadi tidak dihormati. Akhirnya, anda yang sakit hati apabila idea tersebut telah dilaksanakan tanpa menyebut setitik pun, idea tersebut datangnya dari anda.

Kalau konsultan dibayar ribu-ribu untuk idea yang boleh dijayakan, mengapa kita sewenang-wenangnya memberikan idea yang sama (bahkan lebih baik) dengan percuma.

Sememangnya mampu bayar dan tahu ia berbayar tetapi mengapa hendakkan dengan percuma? Menular penyakit artis (termasuk artis nasyid) yang mahukan percuma, dianggap 'sumbangan peminat'?

Persoalan utama: Mengapa tidak mahu membayar? Tidak lain adalah kerana kita memberikan percuma. Lain kali tanya, "Berapa kamu sanggup bayar?" Selagi tidak ditanya berapa sanggup bayar atau kita menetapkan bayaran untuk kaunseling dan konsultan atau sekadar idea, selagi itulah selamanya akan dianggap sebagai percuma sahaja. Lebih sakit hati, apabila idea kita itu dilaksanakan dan menjadikan orang tersebut kaya-raya dan anda ditinggalkan begitu sahaja. Lebih, lebih, lebih menyakitkan hati, dia kata, itu idea dia.

Alkisah, pada suatu hari mulut gatal saya mengeluarkan idea bernas, "Saya nak buat Mastery University -- seminar kejayaan, bla, bla, bla... ada 8 orang, bla, bla, bla... seorang bercakap mengenai kemahiran dia, bla, bla, bla... Macam yang Alberti Lim bekas majikan saya buat sudah berbelas tahun.... bla, bla, bla... " Senyap. Beberapa bulan kemudian idea itu ditiru dan dilaksanakan bersama kawan-kawannya yang satu fikrah (menjadi jutawan berdasarkan motivasi, fantasi, penglipur lara, berfikir positif, dalam kotak, luar kotak, penyedap hati).

Kisah kedua, pada manusia yang sama, entah kenapa saya gatal mulut memberitahu akan mengadakan seminar berdasarkan buku saya, "Apa yang Diajar di Akademi Jutawan" -- saya membentangkan idea-idea. Beberapa bulan kemudian dia ambil idea tersebut dan mengadakan seminar yang sama, ada bunyi-bunyi jutawan, tetapi jutawan berasaskan penglipur lara, penyedap hati, berfikir positif, hype. Pasti tidak akan ada fakta, berpijak di bumi nyata, angka, case study, inflasi dan sebagainya.

Siapakah yang salah? Saya yang bersalah kerana memberikan idea saya dengan percuma, sedangkan yang percuma, jikalau sesama manusia, sama tahap dengan sampah. Saya menjadi sampah kerana memberi idea, pendapat dan teknik dengan percuma.

Jangan fikir kita akan berjasa besar jikalau kita telah memberikan idea berharga kita. Itu anggapan paling bodoh, kerana tak mungkin kita akan dihargai. Kerana selepas itu dia akan mengatakn bahawa itu adalah ideanya sendiri, bukan dari kita, bukan dari orang lain. Soalnya, dia mampu membayar tetapi mengapa kita memberikannya dengan percuma? Lainlah jikalau dia tidak mampu, miskin, memerlukan idea dan pendapat, lalu kita dengan niat hendak membantu mencurahkan idea kita dengan harapan dapat mengubah kehidupannya. Itu tak mengapa. Kalau pun tidak dihargai tidak mengapa sekurang-kurangnya idea dan pendapat kita itu telah berjaya mengubah kehidupannya, jikalau idea kita itu dilaksanakan.

Orang kata, berhati-hatilah jikalau berjanji dengan 'orang MLM' lebih-lebih lagi yang menjadikan jutawan sebagai 'hiasan mulut'. Maka dengarlah akan kata-kata orang yang sememangnya berdasarkan pengalaman itu.

Pengalaman saya bersama 'orang MLM'? Ada berbagai-bagai. Namun lebih banyak pilu dari senyum. Bukan untuk membesarkan diri, tetapi pernah saya menaikkan nama beberapa orang di dalam MLM. Pada masa itu seorang kawan menegur, "Apa kau dapat?" Apa yang saya dapat? Hanya janji palsu. Kononnya saya boleh sama-sama 'cari makan' adalah dongeng semata-mata. Apa yang saya dapat? Saya dapat sampah sebab sentiasa memberi idea percuma padanya.

Lain kali, jikalau ada 'orang MLM' atau bukan orang MLM berjanji, berhati-hatilah. Janji paling mudah dilafazkan, paling sukar ditunaikan.

Yang layak menerima idea, pendapat, panduan, cara, teknik percuma adalah orang yang tidak mampu tetapi amat memerlukan. Itupun jikalau kita diminta memberi bukan memandai memberi. Jikalau kita memberi idea, panduan, cara dengan percuma kepada yang mampu, percayalah, kita akan menjadi sampah akhirnya.

 
The comments are owned by the poster. We aren't responsible for their content.

Mutiara Kata

Tuntutlah ilmu sebanyak yang mungkin kerana ia akan menjagamu dan membuatmu cemerlang di dunia dan di akhirat, di samping ianya menjadi amalan para Nabi, Rasul dan orang-orang yang soleh.

» Imam Syafie «

Hubungi

Arkib Artikel

Penaja








Mari Menderma







Web Kegemaran

Tetamu