Apabila melebih-lebih itulah cara menutupi kekurangan
Posting pada:  23 Nov 2009 ( 1242 kali di baca )

Razzi Armansur menulis: Ini pendapat saya sendiri dan tak semestinya betul: "Setiap sesuatu itu dirosakkan oleh sesuatu itu sendiri." Contohnya, nasyid kononnya untuk berdakwah. Pada mulanya benar, berdakwah dan cuba untuk mengalihkan minat dari muzik melalaikan kepada muzik yang mendidik. Akhirnya, lalai ke mana, mendidik ke mana, yang ada adalah untuk duit. Duit didahulukan, dakwah dikemudiankan.

Jadi, siapakah yang merosakkan industri nasyid? Orang-orang yang berada di dalam nasyid itu sendiri. Muncullah 'kapitalis' di dalam industri nasyid (kemunculannya adalah sejak fenomena pertama nasyid pada petengahan tahun 90-an), melanggar apa saja syarat nasyid asalkan dapat duit. Lahirlah kaki kelentong, kaki 'boast' dalam nasyid merosakkan industri nasyid. Tak sepatutnya mereka kelentong dan bercakaran memburuk-burukkan, jatuh menjatuhkan sesama sendiri kerana mereka dikatakan rapat dengan agam Islam.

Yang merosakkan sesuatu adalah sesuatu itu sendiri. Orang Islam jugalah yang berusaha merosakkan Islam. Musuh Islam berpeluk tubuh dengan riangnya. Lihat sendiri, kebanyakan yang yang anti-Islam, Free Thinker adalah orang Islam sendiri.

Politik pun begitu. Politik itu bersih, suci murni, tetapi yang merosakkan politik adalah orang politik sendiri.

Kita lihat pula persamaanya: yang merosakkan MLM adalah orang MLM sendiri. Terbukti sudah, apabila menyebut MLM lebih ramai yang mencebik, lari, mengelak berbanding mengalu-alukan. Sedih? Memang sedih sebab ia adalah sesuatu yang murni tetapi telah dirosakkan oleh orang-orang MLM sendiri -- sama ada oleh pelaku MLM (yang perasan sebagai usahawan MLM) atau syarikat MLM sendiri. Pada satu peringkat terbinalah kata-kata yang amat memilukan, "Jangan percaya dengann janji orang MLM." Bimbang pula dalam masa terdekat kedengaran, "Kalau jumpa orang MLM dengan ular, pukul orang MLM itu dulu." Kenapa sebab, belit orang MLM lebih dahsyat dari belitan ular. Kelentong orang MLM lebih dahsyat dari kelentong ular. Kedekutnya orang MLM lebih dahsyat dari kedekutnya ular.

Mengapa begitu? Puncanya adalah salah persepsi. Apa saja bisnes yang memberi bonus dikatakan sebagai MLM. Apa saja program yang merosak dikatakan sebagai MLM menyebabkan MLM mendapat nama buruk. Mulut dan persepsi menyumbang kepada kerosakan MLM.

Punca kerosakan itu agak besar tetapi ada yang lebih utama merosakkan industri MLM. Siapa? Orang-orang MLM sendiri dan syarikat MLM (hatta yang besar dan tersenarai).

Puncanya adalah tidak berpijak di bumi nyata. Tidak tahu asas MLM. Yang tahu hanya satu -- MLM adalah duit. Duit dikejar dalam MLM akhirnya duit entah ke mana, yang diperoleh nama busuk. Yang diperoleh ialah sumbangan untuk 'merosakkan' industri MLM.

Soalannya ialah -- mengapa perlu dilainkan? Lihatlah orang-orang atau pelaku MLM sendiri. Mengapa perlu seolah-olah MLM itu adalah lain dari yang lain? Dari segi berpakaian sampailah kepada sebutan 'jutawan' yang tidak pernah lekang dari mulut, pelaku (tidak layak disebut 'usahawan') adalah lain dan cuba dilainkan. Apa fungsinya bergambar dengan kereta kalau bukan untuk menunjukkan bahawa MLM itu lain? Mereka lupa dengan peribahasa, "Tong kosong kuat bunyinya" dan "Apabila melebih-lebih itulah cara menutupi kekurangan." Apa fungsinya bergambar sambil menunjukkan 'thumb up'? Tidak ada cara posing lain? Kalau 'thumb up' yang selalu dijaja, benarlah sedang menutupi 'thumb down'. Kita lihatlah, tidak ada usahawan bisnes lain yang bergambar posing sebelah kereta sambil menunjukkan kehebatan perolehan melainkan di dalam MLM sahaja. Tauke KFC, McD, berjuta-juta kali lebih jutawan tapi tidak pernah posing sambil menunjuk 'thumb up', sebelah kereta sambil memberitahu umum peroleha, rumahnya, pendapatannya. Bukankah itu membuktikan 'Apabila melebih-lebih, itulah cara menutupi kekurangan'. Tauke-tauke bisnes sebenar tidak pernah melebih-lebih.

Cara berpakaian pelaku MLM pun pelik dan dilainkan. Adakalanya kelakar dan seperti tidak kena sama sekali. Yang lelaki apabila memakai kot dan tali leher seperti ada yang tak kena dan pelik sangat kelihatannya. Bahkan sesekali kelihatan sepert badut. Bandingkan dengan tauke perniagaan sebenar apabila berpakaian. Yang perempuan pula pelik amat tudungnya. Kita tak tahu tudung apa yang dipakai itu kemudian dibawah dagu ada benda tergantung-gantung. Bandingkan dengan tokoh korporat wanita yang betul. Pakaiannya 'simple' dan kena. Tudungnya pun simple, tak ada benda tergantung-gantung di bawah dagu. Melebih-lebih adalah untuk menutupi kekurangan. Tudung dan pakaian wanita ternama seperti Dr. Wan Azizah Ismail juga amat simple. Yang pasti tidak melebih-lebih dengan meletakkan benda pelik ddigantung di bawah dagu pada tudung yang pelik fesyennya.

Pernahkah anda melihat cetakan nama, "Dr. Wan Azizah" pada tag nama Dr. Wan Azizah Ismail, wanita ternama itu? Atau "Dr. Mahathir" pada tag nama Dr. Mahathir? Tidak pernah. Ini membuktikan tong kosong kuat bunyinya apabila anda terlihat orang yang beria-ia meletakkan Dr. di depan namanya. Di luar MLM atau di dalam MLM, sah, orang yang melebih-lebih, beria-ia meletakkan Dr. di depan adalah Dr. Ayam! Di dalam MLM, gelaran Dr., Professor, bahkan Datuk dan Sir adalah terlalu lumrah, sama seperti lumrahnya pendatang haram di Chow Kit. Geli, pelik, lucu melihatnya.

Yang peliknya di dalam MLM sudah seperti dunia artis. Ada diploma dicanang sampai ke hujung dunia. Mempunyai ijazah dicanang sampai bergegar bumi ini. Tidakkah mereka tahu, masuk universiti sekarang ini, adalah formaliti sahaja? Lepas SPM, masuk universiti. Tak payah susah payah, tak payah ada "seminar motivasi" sebab memang hanya seperti sambungan SPM sahaja. Mengapa? Kerana pendidikan dijadikan bisnes. Banyak sangat universiti dan kolej universiti di Malaysia ini. Jadi anda boleh tahu serendah mana tahap pemikiran kalau mempunyai diploma atau ijazah dicanang dan digegar oleh diri sendiri atau oleh pihak syarikat.

Soalnya, mengapa dilainkan? Perlukah bersusah payah meletakkan Dr. di depan nama? Tidakkah sedar selagi meletakkan Dr. di depan nama, jikalau ia Dr. Ayam, akan dianggap membohong? Tidakkah tahu membohong ityu berdosa dan sepanjang masa meletakkan Dr. di depan nama bermakna berdosa sepanjang masa?

Bahagi 10 itulah formula melebih-lebih yang digunakan di dalam MLM. Mudah sekali membuktikan "Apabila melebih-lebih, itulah cara menutupi kekurangan." Apabila orang MLM mengatakan, "Pendapatannya 10,000 sebulan" anda hendaklah membahagi dengan 10 atau 20. Pendapatan sebenar adalah kurang dari RM1,000. Jutawan apa benda, pendapatan 5 angka apa benda jikalau nak belanja secawan teh pun keberatan amat. Lebih kurang sudah seperti artis dan artis nasyid -- perlu dibelanja, bukan membelanja. Atau dianggap sumbangan peminat. Atau hendak mengaut percuma sahaja.

Yang peliknya, berposing dengan kereta dan menunjukkan kehebatan perolehan hanya ada di dalam MLM. Seolah-olah tidak ada bisnes lain di dunia ini yang boleh mendatangkan perolehan selain MLM. Maka keluarlah berbagai-bagai istilah, kononnya bisnes lain itu adalah bisnes konvensyenel. Istilah itu dicipta supaya MLM itu seolah-olah bisnes lain. Mengapa perlu dilainkan sedangkan, hakikatnya ia adalah bisnes pengedaran. Sama saja dengan bisnes lain.

Berpijak di bumi nyata. MLM adalah bisnes pengedaran. Tak perlu hendak mencipta kelainan yang pelik-pelik belaka supaya dapat menutupi kekurangan. MLM adalah bisnes pengedaran bukan pertunjukan sarkis. Tak perlukan "tong kosong" dan "show business" di dalam MLM. Yang benar tetap benar. Mungkin dongeng dan penglipurlara boleh menutupi hakikat. Tapi sampai bila? Selagi meneruskan sikap melebih-lebih dan MLM dilainkan, selagi itulah kita menjadi penyumbang kepada kerosakan MLM. Selagi itulah kita menambah kebencian masyarakat kepada MLM.

Tak perlu lari dari hakikat sebenar -- MLM adalah bisnes pengedaran. Ia sama seperti bisnes pengedaran lain -- menyampaikan produk dari pengeluar ke tangan pengguna. Semakin banyak yang kita edarkan semakin tinggi level perolehan bonus kita. Untuk menyampaikan sebanyak mungkin produk ke tangan pengguna sudah tentulah tidak boleh dilakukan seorang diri. Di sinilah datangnya 'menaja'. Mereka yang ditaja mendapat bahagian masing-masing hasil usaha mereka. Itu saja, tak lebih dari itu. MLM adalah bisnes pengedaran produk. Bolehkah menjadi kaya dan jutawan? Bahkan bukan dalam MLM, apa saja bisnes, termasuk bisnes pengedaran produk boleh menjadikan anda kaya dan jutawan. Tapi bukan sekelip mata, bukan melalui dongeng dan penglipur lara sebaliknya melalui pengurusan dan usaha gigih dengan matlamat utama supaya produk sampai sebanyak mungkin ke tangan pengguna, berulang-ulang. Itu hakikatnya dan itulah berpijak di bumi nyata.

Jadi, dari situ, perlukah ia 'dilainkan'? Perlukah ia ditambah dongeng, penglipurlara, dharab 10, Dr., Datuk, Sir, benda pelik tergantung-gantung bawah dagu, tudung pelik, pakai baju dan tali leher warna yang kelakar, posing tepi kereta, menunjuk perolehan, menunjuk tanda 'thumb up' semasa bergambar?

Semakin melebih-lebih seseorang itu, sebenarnya, di sebaliknya, bertimbun-timbun kekurangan yang perlu ditutupi.

 
The comments are owned by the poster. We aren't responsible for their content.

Mutiara Kata

Kalau wang kecil tak keluar, wang besar takkan masuk

» Peribahasa Tionghua «

Hubungi

Arkib Artikel

Penaja








Mari Menderma







Web Kegemaran

Tetamu