Bagaimana pisang boleh masuk syurga?
Posting pada:  12 Oct 2009 ( 2125 kali di baca )

Razzi Armansur menulis: Cerita ini ada kaitan dengan 'ikut-ikutan'. Apa saja usaha kita hari, janganlah hendaklah hanya ikut-ikutan. Ia mesti bersebab dan mesti bermanfaat.

Orang menjual 'gulai kawah' kita pun menjual 'gulai kawah' tanpa mengetahui apa sebenarnya gulai kawah, fungsi dan manfaatnya. Tahu apa itu kawah? Kawah adalah kuali terbesar yang digunakan untuk memasak pada majlis persediaan perkahwinan. Gulai atau masakan kari, rendang, nasi dimasak dengan menggunakan kawah tersebut. Takkanlah nak guna kuali kecil. Menggunakan kayu api (sebelum ada gas) atau sekarang ini menggunakan gas. Tapi, asal usulnya ialah menggunakan kayu api yang khabarnya memberi rasa yang berbeza (sikit).

Gulai kawah ialah gulai yang di masak dengan menggunakan kawah, tak lebih dari itu. Sama dengan 'tepung tawar' -- tepung yang dibancuh dengan air tak payah garam, gula -- tawarlah rasanya.

Jadi, gulai kawah tak ada apa istimewanya, melainkan ia gulai yang dimasak menggunakan kuali besar. Jadi, oleh kerana tak ada apa istimewa, mengapa perlu ia di'highlight'kan perkataan 'kawah' itu? Letak dalam periuk kecil, kemudian dikatakan gulai kawah. Rasanya tak ada beza dengan masakan kari lain, apa perlunya disebut sebagai 'gulai kawah'? Hanya ikut-ikutan.

Lainlah kalau memang istimewa dan rasanya berbeza seperti "Kuetiaw Taiping". Memang ia sedap dan ia adalah sebenarnya 'kuetiaw'. Original. Kuetiaw asal usulnya adalah makanan orang Cina. Keutiew original tidak menggunakan setitik air pun. Bukan seperti Char Kuetiew yang berlambak sekarang ini, yang meloyakan dengan airnya memenuhi pinggan. Bahkan apabila ditanya apa makna 'Char' melopong sahaja. Kita pula kena menerangkan, "Char adalah bahasa Cina bermaksud goreng. Yang paling terkenal ialah di Taiping dan Penang pada tahun 70-an, 80-an. Kalau di Kuala Lumpur ialah di Kompleks Makan Campbell. Sekarang dah tutup". Boleh juga memberi tazkirah sedikit, "Berjualan jangan ikut-ikutan. Kuetiaw original tak guna setitik air pun. Bahan-bahannya yang wajib ialah bawang putih, kicap pekat, kicap cair, sos tiram, minyak bijan, cili kisar, tauge, daun bawang, udang yang dikopek, tinggalkan ekornnya supaya tak kecut, bukan-saja-saja ditingalkan ekor udang itu. Nak saya tunjukkan cara menggorengnya?" Jikalau dia mengangguk, anda pun memulakan 'kelas' masakan.

"Mula-mula..." Buat seperti gaya Chef Sabri (chef betul, bukan gay yang mengaku chef hanya kerana tahu memasak dan membebel "puan, puan...") yang telah lama terkenal itu. Sekarang muncul dalam 'Spice Route' setiap Hari Isnin, pukul 7.30 malam, TV3. Seronok melihat sejarah laluan rempah ratus di Timur Tengah. Dari situ kita mengenali pelbagai rempah ratus yang dijadikan komoditi dagangan zaman silam serta laluan perdagangan yang dilalui pedagang-pedagang rempah. Barulah tahu mengapa 'kemenyan arab' begitu istimewa dan sangat mahal harganya. Barulah kita tahu, mengapa minyak wangi termahal dunia (mengandungi bahan penting -- kemenyan) berasal dari Timur Tengah.

Sambung. "Besarkan api. Mula-mula masukkan minyak sedikit sahaja sebab kuetiaw sudah berminyak, kemudian bawang putih yang telah dihancurkan atau dilumatkan. Api mesti besar. Kemudian masukkan udang. Serta merta perlahankan api, jadi udang tadi tidak terus masak betul dan bawang putih tidak hangus. Masukkan kuetiaw. Masukkan kicap cair, kicap pekat, sos tiram, cili kisar. Besarkan api serta-merta dan goreng bahan-bahan tadi tidak lebih dari 3 minit. Goreng dan gaul. Masukkan daun bawang. Kuak bahagian tepi atau tengah dan pecahkan telur. Goreng dan gaul selama seminit lagi. Akhir sekali masukkan tauge, renjiskan minyak bijan, gaul dan angkat. Jadi tauge tadi masih dalam keadaan separuh masak." Mudah saja. Tak ada pun walau setitik air. Aroma, rupa dan rasa sama seperti Kuetiaw Taiping (di tepi panggung Lido, yang menggoreng menggunakan arang, tahun-tahun 70-an, 80-an) atau sama dengan Kuetiaw Penang (di depan Hotel Bayview, sekarang), atau sama dengan Kompleks Makan Campbell tahun-tahun 80-an. Itulah sebenarnya kuetiaw original yang menyelerakan bukan yang berai-air dan membuat tekak kembang.

Jadi, cerita "pisang masuk syurga" ini pun ada kaitan dengan perangai sebahagian besar manusia -- "ikut-ikutan" tanpa mengetahui, sebab, kegunaan dan motif.

Kisahnya diceritakan pada ceramah agama di masjid yang saya dengar dan ceramah agama Ustaz Ismail Kamus yang diceritakan oleh sahabat saya. Saya akan gabungkan kedua-duanya.

"Asyik pisang, pisang, pisang." Kata penceramah itu. "Itulah saja yang dibawa ke masjid sejak dahulu kala. Macamlah tak ada buah lain yang boleh dibawa ke masjid. Kejap lagi semasa makan pisang kita dongak ke pokok, sama pula kita dengan makhluk suka pisang, pun sedang makan pisang." Hadirin gelak. "Pisang, pisang, pisang... cubalah bawa buah lain. Kenapa nak samakan kesukaan jemaah Jumaat sama dengan kesukaan yang di atas pokok itu? Pisang, pisang, pisang... Hanya ada buah pisang sajakah di Malaysia ini?"

"Ada pula kisahnya, orang itu beli pisang satu tandan, hantar pisang ke beranda masjid, dia pula berlalu. Semata-mata nak hantar pisang saja. Nanti dia masuk neraka tak solat Jumaat, yang pisang pula masuk syurga." Hadirin gelak lagi.

Dari ceramah Ustaz Ismail Kamus pula, menurut sahabat saya begini, "Orang Melayu ini, pisang, pisang, pisang. Hari Jumaat dah macam tradisi pula sedekah pisang. Pisang, pisang, pisang. Cubalah anggur ke, limau sunkist, epal ke... Ini tak, pisang, pisang, pisang. Memang orang Melayu suka mempertahankan 'kepisangan'. Pisang, pisang, pisang..."

"Tengok orang Cina letak buah yang mahal pada tokong dia. Epal, limau Sunkist, anggur, pears. Pisang pun ada. Tapi oleh kerana di kampung-kampung orang Melayu suka curi buah-buahan di tokong itu, sekarang ganti dengan buah-buahan plastik saja. Tuhan dia boleh ditipu pakai buah plastik."

Mari kita cari punca mengapa orang Melayu suka sangat membawa pisang ke masjid sebagai sedekah. Mengapa sejak berpuluh tahun enggan menukar sedekah lain selain pisang. Seolah-olah hanya pisang sahaja sedekah yang diterima Allah. Seolah-olah selain dari pisang tak boleh, tak afdal.

Ikut-ikutan sahaja, tanpa mengetahui sebab, motif dan faedah. Pada zaman dahulu, ada sebuah masjid di dalam kebun pisang. Atau, masjid itu dikelilingi kebun pisang. Pemilik kebun tersebut, tidak sempat pulang ke rumah yang agak jauh dari kebunnya. Pisang yang dipetik pada pagi itu dibawa ke masjid dietakkan di tepi tangga masjid. Jikalau ditinggalkan di kebun, monyet akan kenduri. Bahkan yang masak pada pokok pun kebayakannya dimakan monyet apatah lagi yang sudah siap dipetik dan dilonggokkan.

Zaman dahulu, masjid guna kolam. Jadi jikalau anda menganggap pekebun itu sembahyang Jumaat dengan pakaian kotor, adalah salah. Pekebun itu mandi-manda dan membersihkan dirinya, mandi air kolam, kemudian menyalin pakaian sembahyang.

Begitulah yang dilakukan setiap minggu bertahun-tahun. Pisang diletakkan di tepi tangga masjid untuk mengelak dimakan oleh monyet-monyet. Setiap minggu juga pekebun tersebut akan memberi sedekah beberapa sisir pisang.

Itulah asal mulanya (agaknya) mengapa sampai sekarang asyik pisang, pisang, pisang, bukan buah-buahan lain, dijadikan sedekah. Bayangkan, jikalau masa itu masjid itu di kelilingi kebun epal, tentu sampai sekarang orang membawa epal ke masjid sebagai sedekah, sebab ia adalah ikut-ikutan. Maka akan kedengaranlah agaknya, "Asyik epal, epal, epal.... Orang Melayu ini mempertahankan 'keepalannya'..."

Begitulah. Hidup jangan hanya ikut-ikutan. Setiap apa yang kita lakukan mestilah bersebab, ada motif, ada faedah, manfaat. Bukan ikut-ikutan.

 
The comments are owned by the poster. We aren't responsible for their content.

Mutiara Kata

Kata purba: 'Yang penting orangnya bukan alatnya' Salah! Kesemuanya penting -- orangnya, alatnya, kemahirannya.

» Razzi Armansur «

Hubungi

Arkib Artikel

Penaja








Mari Menderma







Web Kegemaran

Tetamu