Cerita Keris Terbang
Posting pada:  14 Nov 2005 ( 1999 kali di baca )

Razzi Armansur menulis: Hari Ahad, saya gemar berjalan ke tingkat bawah Amcorp Mall, Petaling Jaya. Tengok barang-barang antik, nostalgia. Kalau berkenan akan membeli untuk kenangan. Tapi harga agak mahal, maklumlah antik. Pembuka botol F&N yang zaman dulu diikat dan digantung berdekatan peti ais besar atau pintu kedai, berharga RM10.00. Dulu mungkin 50 sen sahaja. Itulah nilainya antik.

Ada berbagai-bagai barang antik yang boleh dilihat-lihat kalau rajin merayau dan mempunyai masa yang banyak, sambil sesekali kedengaran lagu pop yehyeh dari pemain piring hitam yang juga popular di tahun-tahun 60?an dan 70?an. Peniaga-peniaga di situ juga nampaknya peramah dan sedia untuk menerangkan kalau kita bertanya.

Beberapa minggu lepas, saya bersama anak-anak saya ke situ dengan tujuan untuk memperkenalkan beberapa barang lama yang tak pernah mereka tahu dan tengok sebelum ini. Tiba di gerai yang menjual keris, anak saya Edika Armansur mencabut dari sarungnya dan buat-buat nak menikam adiknya, Ezika Armansur. Gelak-gelak. Kalau di zaman dulu mungkin dah kena pelempang sebab keris di zaman dulu dianggap sakti. Edika bertanya saya, "Dengan keris macam ini ke Bah nak lawan Portugis?" Saya diam seketika. Apa nak jawab? Akhirnya saya hanya mengangguk. Memang keris itulah yang digunakan untuk menentang Portugis, Belanda, British, Jepun, Siam, yang datang dengan senjata serba canggih. Saya berharap anak saya tak akan bertanya pasal "sakti". Konon ceritanya keris-keris ini boleh terbang, sakti dan berbagai lagi cerita karut penglipurlara, tapi mengapa boleh dijajah selama 400 tahun? Begitu juga di Indonesia. Khabarnya pendekar, bomoh mereka hebat belaka ? dari tangan mereka keluar laser macam Ultraman. Khabarnya begitulah. Cerita kartunnya begitulah. Kalau benar begitu, mengapa boleh dijajah oleh Belanda selama 400 tahun? Tak bolehkah laser saja kapal Belanda? Ke mana perginya bomoh-bomoh handalan yang khabarnya boleh hilang dari pandangan, keris-keris boleh berterbangan di udara? Keranda boleh terbang, minum air sakti boleh kebal? Pakar-pakar santau yang boleh ?santau angin? atau ?santau secara online?? Kenapa pula Semenanjung Emas, Tanah Melayu, Malaya, berturut-turut kena takluk?

Kalau setahun dua tak mengapa, mungkin masa itu tak cukup kemenyan sebab kemenyan pun komoditi yang berharga. Tapi kalau dah sampai beratus tahun kena jajah, bukankah itu cerita kartun semata-mata. Mana perginya Puteri Gunung Ledang ke, orang bunian ke, Radin Galoh, Radin Galah ke? Wali Songo ke?.

Siapa yang membuat cerita tersebut agaknya. Saya rasa orang gila. Yang bercerita kurang siuman, yang percaya pun orang kurang akal. Kalau benar manusia boleh sakti begitu, nampaknya Rasulullah SAW tak payah keluar berperang. Kalau ada manusia yang boleh membuat keris terbang, tak payahlah Rasulullah menghayun pedang! Rasulullah pun terpaksa keluar berperang, memandai pulak bomoh buat cerita dari rumah sahaja boleh membunuh orang di seberang sana. Bunuh secara online.

Ingin saya memaksa bomoh tersebut santaukan (bunuh secara online) pemimpin Israel, tentera Israel, pemimpin Amerika, askar Amerika, tentera Thailand yang bunuh ratusan umat Islam. Boleh? Dalam cerita kartun memang boleh, tak ada masalah. Di alam nyata, kalau percaya memanglah mengizinkan diri ditipu. Ditipu oleh bomoh penipu.

Baru-baru ini bila saya berkata begitu, seseorang menentang, "Kamu tak tahu, zaman Jepun dulu bom jatuh jadi nangka." Sudah millenium pun otak masih karat. Saya balas kembali, "Agaknya bomoh itu salah baca atau mungkin bomoh amatur. Zaman itu sangat perlukan beras, kenapa pula cuma nangka, kenapa tak beras, senjata api, duit Jepun?."

Suatu malam di studio rakaman NAR Records bersama artis nasyid. Dia menceritakan pasal santau. Katanya telah keluar jarum, benang, kaca, dan entah apa-apa lagi. Saya berkata, "Kalau ikut hukum akal, kamu dah mati kalau benda-benda itu berada dalam badan." Dia diam sahaja. Saya menambah, "Bosanlah, dari dulu asyik jarum, benang, kaca. Lain kali cuba minta pada bomoh tersebut supaya keluarkan emas, duit, handphone ke, kasut mahal ke?. Bosanlah? atau kurang-kurangnya jarum yang elok sikit, dari dulu asyik jarum karat saja?"

Dalam dunia artis, lebih-lebih lagi artis nasyid, "kena santau" menjadi kebanggaan. Tak pernah kena santau tapi itulah yang diwarwarkan. Pelik atau tidak, benda karut begitu diwarwarkan, dihebohkan di media-media dan dipercayai oleh pembaca-pembaca atau peminat yang sealiran? Konon kalau disantau itu menunjukkan mereka popular sebab itu ada yang dengki dan menyantau. Lucunya?.

 
The comments are owned by the poster. We aren't responsible for their content.

Mutiara Kata

Untuk apa kapal dibina kalau bukan untuk meneroka lautan?

» Kata Bijaksana «

Hubungi

Arkib Artikel

Penaja








Mari Menderma







Web Kegemaran

Tetamu