Kena Tipu Lagi...
Posting pada:  15 Sep 2009 ( 2129 kali di baca )

Razzi Armansur menulis: Sudahlah kena tipu, dipersalahkan pula. Itulah kata peribahasa India, "Jikalau seseorang kena tipu yang bersalah bukan yang menipu." Jadi, jangan bising, jikalau kena tipu, sebaliknya terima hakikat bahawa diri sendiri yang bersalah membenarkan ditipu kerana itu sentiasa ada yang menipu.

Hari ini, bahkan sepanjang bulan Ramadhan ini, sana-sini ada "SALE". Perhatikan betul-betul, benarkah ia "SALE" atau tipu? Jangan salahkan sesiapa pun jikalau ia adalah "SALE TIPU" atau "SALE HELAH".

Pada hari Sabtu atau Ahad sepanjang Ramadan ini, jikalau pergi ke Jalan Tuanku Abd Rahman, terutamanya depan Sogo, ibarat yang paling sesuai ialah, "Kuak orang nampak jalan" -- begitulah ramainya manusia di sekitar jalan tersebut. Mengalahkan zaman Reformasi yang penuh sesak dengan manusia berdemo (aku tak pernah ketinggalan) pada hari Sabtu sekitar September tahun 1998 hingga 1999.

"Macam semut," itulah juga istilah yang paling sesuai. Alangkah ramainya manusia berpusu-pusu membeli tanpa ingat apa selain memenuhi nafsu "membeli".

Kesempatan saya ambil untuk mendidik anak bongsu saya dengan bertanya, "Apa mesejnya?"

"Pembeli semuanya orang Melayu."

"Hampir tepat. Penjualnya?" Saya bertanya kembali.

"Bukan Melayu." Jawabnya.

"Jadi, siapa kayakan siapa?" Saya bertanya.

Untuk lebih tepat saya menerangkan kepada anak saya. Semoga suatu hari kelak dia menjadi usahawan sebagaimana itulah impian saya. Minatnya sukan, jadi selalu saya galakkan supaya dia menjalankan bisnes yang berkaitan dengan sukan.

"Nampak tak bangunan G.S. Gill itu?" Tanya saya dari tingkap tingkat 7 Bangunan Sogo. "Siapa G.S. Gill? Dia Benggali yang sangat kaya. Bahkan tak tahu kenapa peratusan Benggali kaya memang tinggi. Mereka pandai berjimat-cermat. Kamu pandai berjimat tak? Kalau jumpa game lumba kereta di Arked boleh tak tahan diri dari membeli token dan bermain game kereta?"

"G.S. Gill ada kaitan dengan minat Ezik," kata saya. "Beliau pengimport Adidas. Bisnesnya sejak berpuluh tahun dahulu hanya satu saja iaitu sukan, peralatan sukan."

"Biasa tengok al-Ikhsan?" Saya bertanya lagi. Memang itulah kedai sukan kesukaannya. Semasa di Langkawi, Ezika dan abangnya, Edika menghabiskan masa lebih 2 jam di kedai al-Ikhsan. Tak membeli, hanya sekadar melihat-lihat.

"Umurnya muda lagi, tapi sudah ada lebih kurang 30 cawangan kedai al-Ikhsan di seluruh Malaysia. Pakcik Faris di PTS bagitahu abah, rahsia kejayaan dia satu saja, setiap pagi sebelum pergi kerja mesti cium tangan ibu dia minta restu dan doa ibu."

Seterusnya saya memberitahu bahawa 99.9% pembeli dari sekitar Maju Junction hinggalah ke Dataran Merdeka adalah orang Melayu. Dan jangan lupa, penjual, peniaga di sepanjang jalan itu 99.9% bukan orang Melayu. "Nampak tak?" Saya bertanya. Anak saya mengangguk. "Ia sudah berlaku sejak puluhan tahun bahkan sejak wujudnya Jalan Tuanku Abd Rahman ini. Nampak tak apa kesannya pada masa sekarang dan akan datang?"

Kembali kepada "SALE HELAH" atau "SALE TIPU" yang giat dijalankan setiap tahun, setiap kali perayaan terutama perayaan orang Melayu di kawasan orang Melayu menjadi pembeli utama (sehingga mencapai 99.9 peratus). Asasnya: Tidak ada penjual yang hendak rugi, sebagaimana selalu kedengaran, "Siapa yang hendak rugi?" Cara helah dijalankan: Katalah harga asal barang tersebut RM10, dinaikkan menjadi RM20 kemudian diberi potongan 50% (ditulis dengan sebesar mungkin), ia akan kembali kepada harga asal RM10. Itulah helah yang digunakan bertahun-tahun. Siapa yang tertipu? Yang tertipu hanya melihat kepada angka diskaun yang ada kalanya sehingga 70%! Jikalau digunakan hukum akal, bolehkah sesuatu barang itu diberi potongan sehingga 50% -- 70%? Apa yang tinggal? Pembuat memberi lingkungan 50% kepada pengedar. Selepas itu pengedar memberi lingkungan 25% hingga 30% kepada peruncit secara 'consignment'. Jadi kalau peruncit pula memberi diskaun sehingga 50% kepada pengguna, apa yang tinggal? Terpaksa "makan pokok"!

Siapa yang nak rugi? Itulah yang mesti diingat setiap kali terlihat perkataan "SALE" sehingga 70% itu. Jikalau bukan helah, ia adalah stok lama yang sememangnya hendak dilupuskan.

Tak percaya? Percayalah. Jikalau rajin, sebulan sebelum puasa, lain kali, perhatikan betul-betul harga sesuatu barang. Catat jika perlu, kemudian lihat semula harganya semasa bulan puasa, sepanjang diadakan "SALE" yang hebat-hebat belaka itu. Perhatiukan juga pelekat tanda harga yang kelihatan baru, menandakan baru sahaja diubah dan dilekatkan harga baru.

Siapa yang nak rugi... Sepatutnya diubah menjadi, "Siapa yang nak ditipu..."

 
The comments are owned by the poster. We aren't responsible for their content.

Mutiara Kata

Barang siapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarah pun, niscaya dia akan melihat (balasan) nya. Dan barang siapa yang mengerjakan kejahatan seberat zarah pun, nescaya dia akan melihat (balasan) nya pula. (Az-Zalzalah : 7 -- 8)

» Firman Allah «

Hubungi

Arkib Artikel

Penaja








Mari Menderma







Web Kegemaran

Tetamu