Udang ada ekor
Posting pada:  06 Sep 2009 ( 1151 kali di baca )

Razzi Armansur menulis: Mengapa, apabila anda makan di Restoran Masakan Cina, lihat pada udangnya, sama ada udang perencah, udang masak masam manis, udang goreng salut tepung, jikalau perasan, bahagian ekor udang tidak dikopek. Ia ditinggalkan.

Setiap sesuatu bersebab, bukan saja-saja. Jikalau saja-saja, itulah ikut-ikutan namanya.

Mengapa tidak dibuang terus ekor udang itu? Mengapa ditinggalkan bahagian belakang? Hanya yang benar-benar Chef (Exec, Sous, Pastry) bahkan Kitchen Helper pun tahu. Tetapi saya tak fikir orang yang perasan Chef atau sewenang-wenangnya meletakkan perkatan Chef di depan nama tahu sebab mengapa ekor udang itu tidak dikopek atau dicabut.

Suatu masa dahulu, seorang yang mendakwa dirinya Chef dan meletakkan perkataan Chef di depan nama membebel memberitahu kononnya minyak zaitun disapu pada daging adalah untuk mengunci rempah. Itu kenyataan yang salah! Minyak zaitun disapu pada daging adalah untuk melembutkan daging di samping mengelak ia dari 'kering' apabila digoreng, roast, pan atau grill. Jadi steak tersebut masih kekal 'jus'nya. Tak ada kena-mengena dengan 'mengunci' rempah.

Jawapannya amat mudah. Bahagian ekor tidak dibuang adalah untuk mengelak udang tersebut menjadi kecut apabila digoreng atau dimasak. Tak percaya? Buat percubaan. Kopek sampai habis seekor udang dan tinggalkan ekor pada seekor lagi udang. Celupkan ke dalam air panas. Lihat hasilnya. Udang mana yang kecut dan udang mana yang tidak kecut.

Jikalau ia udang bersalut tepung, ekor udang itu menjadi tangkai untuk dicelup di dalam adunan tepung. Juga untuk memudahkan dipegang bila dimakan.

Kita cari mesejnya.

Mesejnya mudah saja. Ada orang yang melakukan sama seperti apa yang dilakukan oleh tukang masak (yang belajar) tetapi tidak tahu sebabnya. Ekor tak dibuang, tetapi tidak tahu mengapa tidak dibuang. Jawapannya amat senang, "Orang lain tak buang ekor, saya pun tak buang ekor."

Itulah nama ikut-ikutan. Kita memang suka ikut saja. Kita ini ikut-ikutan tanpa tahu mengapa kita melakukannya. Islam kita pun ikut-ikutan tanpa kita tahu mengapa kita beragama Islam. Apa istimewanya dan apa tanggung jawab sebagai seorang Islam tak pernah diambil tahu. Solat kita pun ikut-ikutan tanpa mengetahui hikmah, sebab mengapa kita solat.

Adat-adat ikut-ikutan juga sebahagiannya dijadikan hampir sebagai suruhan agama. Mesti buat seolah-olah ia wajib. Padahal ia hanya adat sahaja. Contohnya 'cukur jambul'. Pelik kan? Agaknya jikalau tanya budak sekarang, apa itu jambul, ramai yang tidak tahu. Apa perlunya cukur hanya sebahagian rambut sahaja. Kalau nak cukur, cukur sajalah kesemuanya, bukan hanya bahagian jambul sahaja. Bagaimana pula jikalau bayinya itu perempuan? Biasanya rambut berjambul (mungkin dari perkataan tersembul) dikaitkan dengan lelaki saja (dan juga Wanita UMNO).

Nak cukur apa pun cukurlah. Yang kita marah dan tidak setuju apabila ia dianggap ada kaitan dengan agama dan seolah-olah ia wajib. Adat adalah adat.

Mari kita buat andaian, mengapa agaknya hanya jambul sahaja yang digunting (bukan dicukur)? Alkisahnya, agaknya, zaman dahulu, pada malam diadakan majlis cukur jambul itu, guntingnya tumpul menyebabkan tak sempat hendak menggunting keseluruhan rambut. Sejak dari itu, ikut-ikutan, menggunting hanya sedikit rambut pada majlis yang dikatakan 'cukur jambul' itu.

Bagaimana pula dengan kenduri tahlil atau kenduri arwah dengan susunan, 3 hari, 7 hari, 40 hari, 100 hari, 1000 hari. Selalunya dalam masyarakat Jawa ada susunan begitu. Tak tahu pula adakah sistem susunan hari tersebut masih diamalkan. Ia jelas sekali ikut-ikutan, tanpa mengetahui sebab musabab perlu mengadakan kenduri seumpamanya. Adakah ia suruhan agama? Ia adalah adat ikut-ikutan semata-mata. Mari kita buat andaian: Zaman dahulu, entah bagaimana, selepas 3 hari kematian, keluarga tersebut mempunyai lebihan wang, mengadakan kenduri arwah. Kemudian, selepas 7 hari mendapat wang entah dari mana, digunakan untuk mengadakan kenduri arwah. Begitu juga dengan hari ke 40 dan seterusnya. Ia terjadi secara tak sengaja tetapi orang menganggapnya ia adalah ajaran agama -- buat kenduri arwah mengikut urutan 3, 7, 40, 100, 1000 hari. Sampai hari ini ia menjadi ikut-ikutan.

Kata Ustaz Ismail Kamus, "Tepung tawar. Tepung dibancuh dengan air, tak letak gula atau garam, tepung tawarlah ia." Itu sebenarnya tepung tawar. Tak tahu pula apa motifnya ditepek di tapak tangan pengantin atau objek-objek lain. Sampai kini tidak diketahui akan motifnya dan khasiatnya, sampai diadakan "Majlis Menepung Tawar". Lucu? Memang lucu sebab beria-ia melakukan perkara yang tak berfaedah, tak ada motif. Ikut-ikutan semata-mata.

Mari buat andaian mengapa diadakan acara menepek tepung yang dicairkan di tapak tangan pengantin? Suatu masa dulu, sedang pengantin bersanding, seseorang yang sedang membancuh tepung di dapur tergesa-gesa berlari-lari ke ruang depan untuk melihat pengantin yang sedang bersanding. Entah bagaimana, dia tersandung dan tertiarap di depan pengantin. Jarinya yang masih melekat sisa-sisa tepung yang dibancuh terkena jari pengantin menyebabkan sisa tepung itu tercalit di jari pengantin.

Itulah asal ususlnya "Menepung tawar". Tak sengaja, tetapi tak lama kemudian ia menjadi ikut-ikutan sampailah hari ini.

Mengapa pulut perlu diwarnakan kuning? Apa salahnya kalau pulut itu kekal berwarna asal -- putih. Kadang-kadang seolah-olah satu kemestian pula pulut itu mesti diwarnakan kuning? Apa perlunya dan mengapa warna kuning, bukan warna lain, jikalau ia perlu diwarnakan? Tak lain tak bukan ia adalah ikut-ikutan semata-mata. Suatu masa duhulu, seseorang sedang memasak pulut, tertumpahlah serbuk kunyit ke dalam pulut yang sedang dimasak, berubah pulut yang kebiasannya putih menjadi kuning. Ia menjadi lebih cantik kerana berlainan dari warna kebiasan. Sejak dari hari itu, peristiwa tidak sengaja tertumpah serbuk kunyit ke dalam masakan pulut menjadikan warna pulut menjadi kuning itu menjadi ikut-ikutan. Bagaimana agaknya, jikalau pada masa itu tertumpah sirap ke dalam pulut? Jadilah ia 'pulut merah' dan menjadi ikut-ikutan sampailah ke hari ini.

Begitulah, kebanyakan dari kita ini melakukan sesuatu hanya kerana ikut-ikutan, tanpa mengetahui sebab-musabab dan motifnya. Apabila ditanya, jawapannya mudah, "Tak tahu... Sebab orang lain pun buat begitu..."

Orang yang berusaha melakukan dengan terbaik supaya mendapat hasil terbaik sentiasa memikirkan sebab dan motif apabila melakukan sesuatu. Contohnya puasa. Mengapa perlu berpuasa? Sebab Allah SWT suruh. Sebab di sebalik puasa itu Allah kurniakan pelbagai ganjaran yang amat besar, terang atau tersembunyi. Motifnya? Sebab menunaikan suruhan Allah dan tanggung jawab kita memenuhi Rukun Islam. Juga kerana Allah tidak memerlukan kita sebaliknya kita memerlukan Allah SWT. Ia bukan ikut-ikutan sebaliknya melakukan sesuatu yang bersebab dan ada motifnya.

 
The comments are owned by the poster. We aren't responsible for their content.

Mutiara Kata

Barangsiapa yang menghilangkan satu kesusahan dunia dari seorang mukmin, maka Allah akan menghilangkan darinya satu kesusahan di hari kiamat. Barangsiapa meringankan orang yang sedang kesulitan, maka Allah akan meringankannya dari (kesulitan) dunia dan akhirat. Barangsiapa yang menutupi (kejelekan) seorang muslim, maka Allah akan menutupi (kejelekannya) di dunia dan akhirat. Dan Allah akan menolong hamba selama dia mahu menolong saudaranya.

» Hadis Riwayat: Muslim «

Hubungi

Arkib Artikel

Penaja








Mari Menderma







Web Kegemaran

Tetamu