8 jam menebang pokok
Posting pada:  26 Aug 2009 ( 1241 kali di baca )

Razzi Armansur menulis: Siapa di antara kita yang mampu dan pernah menebang pokok selama 8 jam tanpa henti? Bukan menggunakan gergaji mesin tetapi menggunakan cara lama, cara tradisi -- kapak. Pasti tidak mampu. Kalau pun mampu pasti akan gagal menebang kerana keletihan dan kapak yang tumpul.


Orang dahulu sebenarnya bijak belaka. Kebijaksanaan mereka terhasil dengan belajar dari keadaan sekeliling dan pengalaman. Dunia ini pentas -- kita sentiasa berdiri di atas pentas dan di bawah pentas sebagai pelakon dan penonton. Setiap sesuatu hatta benda yang paling kecil pun ada gunanya. Kita belajar dari keadaan dan kejadian sekeliling. Hasil belajar dari keadaan sekeliling dan pengalaman itulah terhasil peribahasa, "Jikalau anda menebang pokok selama 8 jam, anda mestilah mengasah kapak selama 6 jam."

Kita menggunakan 'kapak' setiap hari kerana kita 'menebang' pokok setiap hari. Begitu kiasannya. Realitinya: kita bekerja setiap hari, tapi adakah kita sentiasa berilmu untuk dilaksanakan bagi memperbaiki kerja kita? Dunia bergerak pantas, jikalau kita tidak sentiasa 'mengasah kapak' pasti akan ketinggalan ke belakang, matlamat kita untuk menghasilkan kerja terbaik tidak akan tercapai.

Apatah lagi jikalau anda di dalam bisnes. Pasti sepanjang masa anda perlukan ilmu pengetahuan, maklumat yang disimpulkan sebagai 'mengasah kapak' memandaikan diri. Jika tidak diasah, kapak akan tumpul dan tidak boleh lagi digunakan un tuk menebang pokok. Menebang pokok adalah pekerjaan kita dan periuk nasi kita. Bagaimana akan mampu melaksanakan pekerjaan kita jikalau kita tidak berilmu dan melaksanakan ilmu tersebut. Bagaimana kita akan berjaya maju ke depan seandainya kita tidak melaksanakan ilmu yang diperoleh? Bagaimana kita akan melaksanakannya sedangkan tidak ada ilmu yang diperoleh? Bagaimana hendak memperoleh sedangkan begitu malas hendak 'mengasah kapak'? Hanya hendakkan kapak yang tajam tetapi malas mengasahnya. Hanya hendak menuai hasil tetapi enggan menanam.

Bisnes adalah berpijak di bumi nyata. Bumi ini berpusing, kerana itulah perlu 'sentiasa mengasah kapak'. Kerana bumi ini berpusing laju, maka kita akan segera ketinggalan. Mengasah kapak adalah memastikan supaya kita tidak ketinggalan dan dapat memenuhi kehendak semasa.

Itu jikalau mengangap bisnes itu berpijak di bumi nyata. Jikalau menganggap bisnes sebagai penglipurlara, dongeng -- buat itu jadi jutawan, buat ini jadi jutawan sekelip mata, tak payahlah 'mengasah kapak' hanya perlu mengasah angan-angan.

Bagaimana contoh 'menebang pokok' selama 8 jam menggunakan kapak yang tumpul'? Katalah anda seorang Doktor. Doktor perubatan betul bukan Dr. Ayam atau Dr. yang main letak saja di depan nama sambil membodohkan diri sendiri dan orang ramai. Oleh kerana anda enggan 'mengasah kapak' maka cara perubatan anda sudah ketinggalan zaman. Sepanjang tempoh anda disahkan menjadi doktor sudah ada beratus penyakit atau virus baru seperti SARS, Selsema Babi, Nipah, dan entah apa-apa lagi. Bagaimana akan anda merawat pesakit yang terkena jangkitan penyakit dan virus baru itu sedangkan ia tidak wujud pada masa anda disahkan menajdi doktor? Melainkan, selama ini anda sentiasa 'mengasah kapak' barulah anda tahu dengan tepat cara merawat pesakit yang dijangkiti virus dan penyakit baru itu.

Anda memerlukan kapak yang tajam, walau apa pun alasan anda. Ia tidak automatik tajam. Anda perlu menggunakan tenaga kinetik untuk mengasah kapak. Malas? Banyak alasan? Tumpullah kapak tersebut. Tumpulnya kapak bermakna akan 'tumpul' kerja anda. Sebagaimana setiap hari badan kita memerlukan makanan, maka setiap hari jugalah pekerjaan kita memerlukan ilmu. Jangan menganggap diri sudah pandai kerana ia menjadikan kita beku, enggan mengasah kapak.

Dalam mengisi otak kita dengan ilmu, pastikan bahawa ilmu itu memang ilmu yang betul diperoleh dari sumber yang tepat. Kita tidak mahukan penglipur lara. Kita mahukan ilmu yang berasaskan fakta, barulah ia boleh digunakan untuk 'menebang pokok'.

Perhatikan juga -- sesungguhnya masa yang digunakan untuk mengasah kapak lebih lama dari masa yang digunakan untuk menebang pokok. Menebang pokok hanya 2 jam sahaja tetapi mengasah kapak memerlukan masa selama 6 jam. Sesungguhnya -- ilmu yang perlu dipelajari memang terlalu banyak berbanding pekerjaan yang hendak dilaksanakan.

 
The comments are owned by the poster. We aren't responsible for their content.

Mutiara Kata

Anda memperolehi apa yang difokus. Bila anda memfokus pada masalah anda akan memperolehi masalah yang lebih besar. Fokus pada penyelesaian!

» Razzi Armansur «

Hubungi

Arkib Artikel

Penaja








Mari Menderma







Web Kegemaran

Tetamu