Bukan begitu Dalam Kesempitan Ada Kesempatan
Posting pada:  07 Aug 2009 ( 1463 kali di baca )

Razzi Armansur menulis: Besar bezanya antara, "Dalam Kesempitan Ada Kesempatan" dengan "Mencari Kesempatan Dalam Kesempitan."

"Dalam Kesempatan Ada Kesempitan" adalah buku yang saya tulis pada tahun 1998, ketika negara dilanda masalah ekonomi yang kritikal. Pada masa itu nama yang paling popular ialah George Soros. Kasihan, diri sendiri yang tidak tahu mentadbir sistem kewangan, George Soros dijadikan kambing hitam. Namun buku itu bukan untuk masa itu sahaja kerana apa saja kesempitan sentiasa terjadi sepanjang hayat. Kita mesti mencari kesempatan yang tersedia di dalam kesempitan.

Apabila dilanda kesempitan, jangan gelabah sebaliknya dengan penuh kepastian dan keyakinan percaya ada tersedia kesempatan di sebalik kesempitan itu. Bukan duduk diam-diam dan kesempatan itu datang depan mata, sebaliknya berusaha membuka mata, telinga, mulut (untuk bertanya bukan menunjuk pandai) mencari kesempatan yang tersedia. Tiada? Mustahil, kerana kesempatan datang bersama dengan kesempitan. Kesempitan tidak datang sendirian sebaliknya datang bersama dengan kesempatan, sebagaimana Allah SWT menurunkan penyakit bersama penawarnya, masalah bersama penyelesaiannya.

Tidak nampak kesempatan? Mengapa tidak nampak? Hanya ada satu sebab sahaja iaitu tersilap fokus. Kebanyakan dari kita kerap memfokus kepada yang tidak kita kehendaki. Hukum fokus pasti terjadi, "Kita mendapat apa yang menjadi fokus" sekalipun ia adalah, "apa yang tidak dikehendaki." Kita berterusan mendapat kesempitan kerana memikirkan dan memfokus kepada kesempitan, bukan kasempatan.

Sepanjang hayat kita, diri kita, keluarga kita, negara kita akan sentiasa dilanda kesempitan. Banyak jenis kesempitan. Jangan susah hati kerana sentiasa tersedia kesempatan bersama kesempitan sebagaimana kata peribahasa Cina, "Hujan ribut puting beliung melanda, matahari tetap berada di tempatnya."

Mencari kesempatan dalam kesempitan pula telah anda saksikan setiap hari di dalam media, jikalau anda lebih percaya dan masih membeli, menonton media perdana yang semakin hari semakin dibenci. Lihatlah bagaimana orang yang kita percayai mengatakan keadaan "terkawal" di kala begitu kritikal sekali Selsema Babi melanda negara dan dunia. Itulah yang dinamakan mencari kesempatan dalam kesempitan -- mencari publisiti semasa kesempitan. Lebih sakit hati kita apabila hanya istilah yang diutamakan -- Selsema Babi ditukar menjadi H1N1. Adakah masalah dapat diatasi dengan menukar istilah tersebut? Seolah-olah istilah lebih utama dari mencari jalan menyelesaian.

Lebih melucukan lagi apabila "orang-orang MLM" dan syarikat MLM mula mencari "kesempatan dalam kesempitan." Dalam kita sedang berusaha membawa MLM kepada satu tingkat yang lebih tinggi dan dihormati sebagaimana industri insurans, yang suatu masa dulu dipandang rendah dan hina kini berada di tempat yang tinggi, masih lagi ramai yang merosakkan industri MLM. Orang-orang MLM ini sama ada memandai sendiri atau mendapat info dari syarikat MLM yang menyebarkan penawar karut untuk Selsema Babi.

Kembali kepada asas. Asas utama ialah MLM adalah bisnes. Menjalankan bisnes mestilah dengan ilmu dan fakta, bukan dongeng dan penglipurlara. Namun, percayalah, terlalu banyak dongeng dan penglipurlara di dalam MLM. Kerana itulah amat sukar mencari orang yang hormat dan percaya dengan industri ini. Melebih-lebih dan penglipurlara menjadi mainan. Sehingga habisnya generasi "kaki dongeng" ini, munculnya warga MLM baru yang berilmu dan melaksanakan ilmu, barulah MLM kembali dihormati.

Dengan munculnya generasi baru yang faham asas MLM barulah orang mula menghormati industri MLM. Asasnya adalah mudah: MLM adalah sistem pemasaran. Pemasaran ada dalam bisnes. Maka MLM adalah bisnes dan sistem pemasaran yang mesti diuruskan dengan menggunakan kaedah pengurusan standard: POSDC (Planning, Organizing, Staffing, Directing, Controlling).

Selagi belum berkembang atau membiak "generasi baru" warga MLM yang berilmu bisnes, selagi itulah amat sukar melihat orang yang benar-benar berjaya di dalam MLM, hatta di dalam syarikat MLM yang "Top 10" (A hingga Z = Amway hingga Zhulian). Yang senang dilihat ialah yang "perasan berjaya" dan "kelihatan berjaya". Yang "Realiti berjaya" boleh dikira dengan jari. Yang "perasan berjaya, kelihatan berjaya" bagai mencari gagak hitam di kalangan gagak hitam.

Sebagai tambahan ialah, "Kosmetik Berjaya." Mekap atau kosmestik sama ada oleh syarikat MLM atau diri sendiri dengan tujuan untuk menarik minat orang ramai. Secara mudah "tak ada apa-apa" dimekap supaya kelihatan "paling berjaya." Dibina cerita sebelum ini gagal, sesudah menyertai syarikat MLM tersebut, sekelip mata berjaya. Senang cerita umpama belon, naik ke atas tetapi isinya kosong. Kita tidak tahu, bilakah "kosmetik, perasan dan kelihatan" itu akan segera terhapus. Selagi belum terhapus, selagi itulah industri MLM makin dihindari.

Setiap bisnes mesti ada produk atau servis. Bisnes mesti dijalankan dengan fakta dan berpijak di bumi nyata, bukan dengan dongeng dan penglipurlara. Produk juga mestilah memberi faedah kepada orang ramai. Tidak melebih-lebih, tidak berasaskan dongeng atau produk yang baru jatuh dari langit. Dua perkara utama dalam bisnes dan produk ialah, "Case studies" dan "Clinical studies". Mana "case studies" membuktikan kejayaan seseorang itu menjalankan bisnes MLM? Mana "clinical studies" membuktikan produk tersebut boleh menahan Selsema Babi atau apa selsema sekalipun.

Maka, di saat wabak Selsema Babi makin kritikal, ramai "orang MLM" yang mencari kesempatan dalam kesempitan:

1. Kata mereka, "Herba ini mengubat Selsema Babi."
2. Ambil "Susu awal lembu" untuk menahan Selsema Babi.
3. Minyak kelapa dara ini penawar Selsema Babi.
4. Spirulina ini berkeupayaan menyembuhkan Selsema Babi bahkan apa saja penyakit.
5. Lagi? Macam-macam lagi yang kedengaran berkaitan dengan produk kesihatan.

Cakaplah apa saja, apa saja boleh dicakap tidak ada larangan. Tetapi mesti ingat, cakap mesti berlandaskan fakta bukan main sedap mulut dan mencari kesempatan dalam kesempitan. Kalau orang tersebut bercakap pada saya, amat mudah -- saya akan bertanya kembali:

1. Di mana belajar? Mengubat atau merawat? Herba, ubat-ubatan atau apa saja hanya bertaraf merawat, bukan menyembuh atau mengubat.

2. Orang yang dijangkiti Selsema Babi, kebanyakannya adalah mereka yang berpenyakit jantung, lemah buah pinggang, asma, diabetes dan sebagainya. Fakta ini seperti disembunyikan dan kita hendaklah membuat kajian sendiri. Bahagian mana dalam herba tersebut yang boleh menahan Selsema Babi dari menjangkiti?

3. Orang yang lemah antibodinya juga mudah dijangkiti Selsema Babi. Antibiotik dikatakan penyelesaian paling pantas untuk menangkis Selsema Babi. Tidak ada jaminan, tapi kita wajib berusaha. Bolehkah saya melihat 'clinical studies' membuktikan herba ini mengandungi antibiotik asli atau menguatkan antibodi?

4. Kalau benar herba atau susu itu boleh MEMBINA antibodi dan immune system, ia bukan sekelip mata. Antibodi dan immune system bukan terbina sekelip mata sebaliknya mengambil masa bertahun. Jadi, mengapa membuat gambaran bahawa herba tersebut boleh member penyelesaian serta-merta?


Begitulah pentingnya ilmu pengetahuan dalam menjalankan bisnes dan memasarkan produk. Jangan memandai, jangan terlebih pandai, jangan menghiburkan dengan dongeng dan fakta. Ingat dua perkara ini: "Clinical Studies" dan "Case Studies". Bisnes dan produk adalah fakta dan mesti berpijak di bumi nyata.

 
The comments are owned by the poster. We aren't responsible for their content.

Mutiara Kata

Jangan dibunuh angsa bertelur emas

» Kata Bijaksana «

Hubungi

Arkib Artikel

Penaja








Mari Menderma







Web Kegemaran

Tetamu