RM1 juta dalam masa 10 hari! Nak?
Posting pada:  14 Apr 2006 ( 1441 kali di baca )

Razzi Armansur menulis: Pagi ini tak puasa, jadi pergilah bersenam di Taman Kiara, seperti pagi-pagi lain. Puasa? Sebenarnya sejak saya berhenti merokok saya sudah berjanji, membuat keputusan muktamad, saya mesti berpuasa setiap hari Isnin dan Khamis, selagi hayat dikandung badan. Bukan puasa sunat tetapi puasa wajib qadha' puasa-puasa yang saya tinggalkan di zaman jahiliyah. Semasa merokok memang tak sanggup sebab dikuasai oleh tar, nakotin, dan ratusan racun yang masuk ke dalam paru-paru 40 kali sehari (minimum), 365 hari, sejak remaja.

Tapi pagi ini hati agak berbelah-bagi. Saya pun tak tahu kenapa. Kerana tidak ada 2 hari yang sama ? saya ambil keputusan untuk tidak berpuasa kerana keikhlasan agak berbelah-bagi. Pagi ini bersenam dengan Pengerusi Karangkraf, Haji Fickry Haji Yaacob yang saya kenali sejak 1990 di anak syarikat Karangkraf ? Mega Image. Juga kenal di Dasaran Padu Sdn Bhd --kononnya konsortium beberapa penerbit Melayu. Di Dasaran Padu di Desa Pandan inilah saya terjumpa Dr Ayam (masa itu belum letak Dr.) Dia mencebik bila saya bercakap pasal novel -- "Novel ni, susah sikitlah... entah, macam tak tahulah..." Dari buah kenal pokok. Dari tutur kata kenal keperibadian. Patutlah selepas itu dia menulis novel (Layakkah dipanggil novel?) pelik. Tup-tup tak lama selepas itu tiba-tiba ada Dr. di pangkal namanya, macam silap mata. Nasib baik masa itu tak letak Al-Haj. Lebih kurang macam seseorang di tempat saya yang meletakkan Haji di pangkal dan hujung namanya: Haji Bla Bla Bla bin Bla Bla Bla Al-Haj sampai dah tak ada tempat lagi nak letak Haji. Tak malu ke? Mestilah tak malu, sebab kalau malu takkan meletakkan Haji sampai 2 kali. Rasulullah pun pergi Haji -- tak payah pun selawat kita menyebut Haji Muhammad bin Abdullah Al-Haj.

Pada tahun tersebut juga saya banyak belajar tentang rekabentuk dan typesetting (rekaletak) dari kakitangan Karangkraf seperti Ruzaidy, Rosni, Fuzan, Jalil Ali dan lain-lain. Pada masa itu Karangkraf hanya deretan kedai di Taman Tun Dr Ismail. Di depan Karangkraf masa itu tanah lapang, laluan atau jalan pintas penduduk Sungai Pencala ke Taman Tun Dr Ismail. Kini sudah ada 4 pangsapuri mewah di depannya.


Macam pasar borong. Cuma tak ada yang menjerit, "Ikan! Ikan!" Tapi ada yang menjaja, meraung, melaung mempromosi buku @ sampah tulisan penulis yang perasan.

Sambil memijak batu (refleksologi) bersama orang besar Karangkraf itu, saya pun mula mengorek beberapa perkara mengenai penerbitan. Pertama saya bertanya berapa jumlah jualan semasa Pesta Buku di PWTC baru-baru ini. Karangkraf menyewa 30 gerai (RM120,000.00 -- lebih kurang satu gerai RM3,400.00 untuk 10 hari, RM340.00 sehari). Menurut beliau, jualan di pesta buku tahun ini ialah RM700,000.00. Tahun depan, produk bertambah dan dijangka jualannya menjadi RM1,000,000.00 (harap penulis buku-buku jutawan fantasi tahu berapa digit dan berapa jumlahnya) kerana tahun depan Pesta Buku akan berpindah semula ke dewan depan dan Karangkraf sudah menempah tempat di pintu masuk utama. Jangkaan jualan RM1 juta dalam masa 10 hari, hitung panjang RM100,000.00 sehari. Margin lingkungan 10% hingga 15% -- apa-apa perniagaan besar atau kecil memang sebanyak itu sajalah margin. Hanya yang main agak-agak saja yang mengatakan margin restoran sampai 50%.

Saingan terdekat Karangkraf iaitu Creative Enterprise dirasakan mengalami penurunan dari segi jualan. Tahun lepas rasanya sama penuh sesak dengan Karangkraf. Punca utama, tahun lepas gerai Creative berhampiran dengan gerai Karangkraf. Lepas ke Karangkraf, ke Creative atau sebaliknya. Punca kedua, tahun ini gerai Creative agak terperosok di hujung sana sebab terletak di Dewan Satu, yang berubah menjadi Dewan Dua kerana pengunjung mula masuk melalui Dewan Dua, bukan dari Dewan Satu seperti pameran Industri Asas Tani yang juga penuh sesak.

Saya terus bertanya lagi, apakah media yang menyumbang kepada jualan tertinggi. Jawapannya telah diduga -- novel jiwang dan novel tak jiwang yang membuai remaja dan orang tua. Begitulah yang saya lakukan bila ke pesta buku setiap tahun sejak anak sulung saya pandai berlari. Dulu pergi dengan anak isteri, sejak 3 -- 4 tahun lepas pergi dengan pembesar-pembesar Ukhwah.com. Saya meninjau bahan bacaan, media yang dibaca kerana dari media dan bahan bacaan kita akan mengenali keperibadian, moral, akhlak, sikap dan seterusnya suasana masa depan pembaca-pembaca, peminat-peminat tersebut.

Kalau 5 -- 6 tahun dulu buku cerita seram membanjiri dunia penerbitan sehingga habis seramnya, kita dapat menilai sendiri keperibadian bagaimanakah yang sedang dibentuk. Budaya takut sedang disemai. Sebelum itu, novel-novel porno dan semi porno membanjiri dunia penerbitan. Kita sudah boleh meneka masa depan peminat-peminat novel tersebut.

Media amat kuat pengaruhnya. Bahkan terlalu kuat. Bahkan bila Pengerusi Google ditanya, "Apakah sebenarnya jenis perniagaan anda ini?" Jawabnya, "Media". Google dibina oleh dua sahabat karib dari Russia dan Israel. Boikot? Mana yang sibuk sangat nak memboikot, mengapa masih lagi menggunakan Google?

Kerana media amat kuat pengaruhnya, teka sendiri apa impaknya jika sekarang ini pra-remaja, remaja, post-remaja meminati novel jiwang dan tak jiwang yang mengkhayalkan, penuh fantasi. Mereka inilah yang akan mencorakkan Malaysia bila melepasi zaman post-remaja (ada istilah post-remaja? Pening nanti DPB -- Dewan Perosak Bahasa).

 
The comments are owned by the poster. We aren't responsible for their content.

Mutiara Kata

Iman itu terdiri dari tujuh puluh cabang. Yang paling tinggi adalah ucapan “Laa ilaha illAllah” dan yang paling rendah adalah menyingkirkan gangguan dari jalan. (Hadis Riwayat Muslim dan Ibnu Majah)

» Sabda Rasulullah s.a.w. «

Hubungi

Arkib Artikel

Penaja








Mari Menderma







Web Kegemaran

Tetamu