Berjiran dengan jutawan
Posting pada:  16 Apr 2009 ( 1739 kali di baca )

Razzi Armansur menulis: Perkara biasa? Berjiran dengan jutawan memang perkara biasa dan juga bukan biasa. Dalam Islam, yang dikatakan jiran itu adalah 40 buah rumah sekeliling. Dalam 40 buah rumah itu selalunya ada seorang yang menonjol. Mungkin jutawan. Mungkin kaya (belum jutawan). Bahkan dalam kelompok masyarakat yang miskin pasti ada satu atau dua orang yang miskin. Dikatakan dalam setiap 100 orang ada 5 orang yang kaya atau jutawan (harta melebihi RM2 -- RM5 juta dengan liabiliti kurang dari 50%).

Mengapa begitu? Kerana "Dunia ini penuh wang." Di mana ada manusia di situ ada wang. Yang bijak akan memperolehi wang tersebut dan menjadikan dirinya lebih kaya dari orang lain.

Jikalau anda tinggal di Tropicana, Kajang Country Height, Damansara Country Height, Kelab Golf Shah Alam, Sri Hartamas, Taman Tun, Sungai Pencala, Janda Baik, adalah perkara biasa berjiran dengan jutawan.

Bagi saya, perkara biasa saya berjiran dengan jutawan. Jikalau rumah mereka berharga RM3 -- RM5 juta, nilailah sendiri berapa nilai harta mereka.

Mereka ini benar-benar jutawan, bukan perasan jutawan atau yang galak menyebut jutawan tetapi apa makna jutawan pun tidak tahu.

Seseorang di dalam MLM (yang selalunya begitu galak dan lantang menyebut jutawan) berkata, "Ada duit banyak, kereta besar, jutawanlah." Tidak hairanlah mengapa perkataan "jutawan" paling kerap, paling kuat kedengaran di dalam MLM selain dalam internet. Sesungguh MLM adalah sistem bisnes yang murni tetapi dicemari oleh makhluk perosak yang tidak henti-henti merosakkan industri ini. Yang peliknya, makin dirosakkan makin maju. Namun mesti ingat, yang maju ke depan adalah syarikat MLM yang asli dan tergolong dalam TOP 10. Syarikat MLM TOP 10 inilah yang semakin maju di zaman kegawatan ekonomi seperti sekarang ini. Apa dia MLM TOP 10? Ia adalah syarikat A sehingga Z: Dari Amway hinggalah Zhulian.

Setiap kali saya mengeluarkan teori, pasti saya akan mencari kebenarannya, atau memastikan kebenarannya sebelum mengeluarkan teori tersebut. Sehingga hari ini, Alhamdulillah sentiasa betul: Orang yang benar-benar jutawan tidak pernah kedengaran sekelumit pun perkataan jutawan dari mulutnya; orang yang begitu jauh dari jutawan memang selalu bising mendakwa atau ada orang lain tolong mendakwa dirinya jutawan.

Mengapa tiba-tiba saya bercerita tentang jutawan hari ini? Kerana Mbakyu Ainon Mohd, Canselor Universiti PTS mengulas buku baru yang boleh dibeli pada Pesta Buku 2009 ini. Dalam ulasannya, Mbakyu menyebut nama saya:

Duit: Makin Sedikit, Makin Banyak yang Cuba Ditunjukkan

Kata penulis fiksyen bisnes yang terkenal, Razzi Armansur, lebih kurang begini: "Kereta besar, ekszosnya senyap. Kereta kecil, bunyi ekszosnya kuat."

Demikianlah juga dengan wang. Apabila akaun bank kita kecil, kita banyak membeli simbol-simbol pemilikan wang yang besar.

Buku terbaru PTS yang akan dapat dibeli pada Pesta Buku ini, menceritakan sebaliknya: Individu-individu yang nampaknya macam orang biasa-biasa tetapi sebenarnya adalah jutawan senyap (yang betul-betul jutawan senyap).

Artikel asal di sini

Betul begitu? Memang betul. Yang ada sikit akan menunjuk banyak, yang ada banyak diam-diam. Yang tahu sedikit akan berkata banyak. Sebelum itu, saya perhatikan, rekabentuk kulit buku PTS kini makin memberangsangkan dan menimbulkan keinginan hendak membeli. Saya tidak tahu siapa designer PTS kini selain: Hisyam, Iwan, Wanzu yang dahulu rapat. Iwan pula telah berkahwin dengan Faraliza yang saya jadikan model iklan buku-buku saya di laman web saya ini.

Agak pilu juga, buku saya tidak ada di gerai PTS pada tahun ini kerana memberi ruang kepada buku-buku baru. Kita manusia ini, jangan hanya memikirkan diri sendiri. Fikirkan juga keperluan orang lain. Mereka lebih memerlukan ruang untuk mempamer dan menjual buku mereka berbanding saya kerana saya telah diberi peluang selama beberapa tahun. Bahkan sejak tahun 90-an, sudah ada satu dua judul buku saya dalam setiap Pesta Buku. Kebanyakannya buku MLM dipamerkan dan dijual oleh pengedar.

Buku baru, TAHUKAH ANDA JIRAN ANDA SEORANG JUTAWAN? ini memang menarik sekali judulnya. Saya percaya, dengan judul dan cover buku ini, ia boleh ke tengah dan pergi jauh. Cuma kita belum tahu lagi kandungan buku ini. Bagaimana pun, untuk pengetahuan anda, bukan mudah untuk melepasi standard PTS, lebih-lebih lagi pada zaman gawat begini. Hanya yang benar-benar boleh ke tengah sahaja yang akan diiterbitkan. Jadi buku ini telah pun melepasi standard yang ditetapkan. Jika tidak masakan ia boleh terbit di kala kebanyakan syarikat penerbitan mengurangkan atau memberhentikan penerbitan. Jangan terperanjat jikalau dikatakan jumlah syarikat penerbitan yang tutup pun banyak. Yang nyawa-nyawa ikan pun makin bertambah jumlahnya.

Jadi, pada pendapat saya, buku ini adalah buku ditulis berasaskan fakta. Jikalau bukan berasaskan fakta tak mungkin akan diterbitkan. Sememangnya begitulah, untuk menjadi jutawan mesti berpijak di bumi nyata bukan berdasarkan penglipurlara, dongeng, motivasi dan semangat. Mesti ada fakta dan figure.

Kita jadikan PTS sebagai contoh mudah. Jikalau ikut kepada penglipurlara: PTS menerbitkan kira-kira 30 -- 50 judul setiap tahun. Atau lebih, tapi kita ambil angka yang kecil. Satu buku hitung panjang harganya RM20. Katalah setahun dapat menjual 500,000 naskhah, maka jualannya, hitung panjang setahun RM10 juta. Wah! juta-juta. Mbakyu Ainon Mohd. sekeluarga, setiap tahun menjadi jutawan kalau begitu.

Jikalau berpijak di bumi nyata, dan faham kira-kira ia menjadi begini: pengedar sudah mengambil separuh, sekurang-kurangnya. Pencetak mengambil 20%, hutang bank, overhead (termasuk gaji 60 orang staff PTS), royalti penulis, cukai, elaun pengarah, dan berbagai-bagai lagi perbelanjaan yang mesti ditanggung setiap bulan. Jadi, berapa yang tinggal dari jualan RM10 juta itu? Berapa pula perlu dijadikan reserve untuk modal pusingan? Belum lagi pengedar yang seliat tangkai jering nak membayar. Kalau cek itu 90 hari, jangan tak tahu tiba-tiba berubah menjadi 120 hari. Jangan tidak tahu perkataan lazim dalam industri ini: "Tauke tak ada". Belum lagi 'return' yang melambak. Jadi, berapa sebenarnya yang tinggal sesudah ditolak perbelanjaan. Berpijak di bumi nyata ada kira-kira yang sangat mudah: Ada masuk dan pasti ada keluar. Sebab itulah jangan terkejut jikalau mendengar jumlah kegagalan peniaga Melayu yang tidak pernah menurun sebaliknya semakin meningkat. Salah satu puncanya tidak ada kira-kira dan berasaskan penglipurlara. Duit perolehan dan perbelanjaan bergumpal di dalam pouch di pinggang. Disangka pula semua perolehan itu untung.

Hakikatnya, yang tinggal itulah untung PTS. Namun jangan lupa ada untung bersih dan ada untung sebelum cukai. Jadi siapa yang jutawan? Syarikat yang jutawan. Lembaga pengarah juga boleh menjadi jutawan melalui elaun (gaji) dan pemilikan saham. Mengatasi segalanya, tidak ada istilah "Jutawan Segera".

Berpijak di bumi nyata kerana menjadi jutawan bukan berasaskan penglipurlara, dongeng, motivasi dan semangat.

Kalau nak juga mendengar penglipurlara bagaimana penjual epal menjadi jutawan, ikuti kisah benar ini:

"Saya seorang yang miskin dan telah beberapa tahun kehilangan kerja. Saya membuat apa saja kerja untuk menyambung nyawa dan menyara keluarga. Wang perolehan saya kumpulkan, jika sempat saya kumpulkan.

"Suatu hari, saya terfikir untuk berniaga. Secara tiba-tiba datang idea untuk menjual epal. Saya mengira wang simpanan saya. Ia mencukupi untuk membeli 20 biji epal dari pemborong.

"Kemudian saya menghadap buah epal itu setiap hari, menunggu pembeli. Jikalau tidak ada pelanggan saya akan menyusun buah epal tersebut secantik mungkin dan menggosok buah epal tersebut sehingga cantik, berkilat dan menarik pembeli. Itulah rutin saya setiap hari. Sesudah habis 20 biji epal, dengan keuntungan dan modal asal, saya membeli 40 biji epal dan menjualnya. Begitulah yang saya lalukan, berulang sehingga saya menjadi jutawan." Jutawan epal tadi menamatkan cerita.

"Oh... dengan menjual epal, menggandakan jumlah jualan berterusan akhirnya kamu menjadi jutawan." Tanya orang yang mendengar.

"Eh, jadi kamu sangka saya menjadi jutawan dengan menjual epal 20 biji, meningkat menjadi 40 biji, 60 biji, 80 biji? Gunakanlah hukum akal, bolehkah saya menjadi jutawan dengan menjual epal begitu, sedangkan mempunyai ladang epal pun mengambil masa puluhan tahun untuk menjadi jutawan. Pada suatu hari sedang saya menggosok epal jualan sehingga cantik berkilat, seseorang mendekati saya dan menghulurkan surat. Saya buka surat itu dan membacanya dengan rasa tidak percaya sehingga surat itu hampir terlepas. Pakcik saya yang jutawan dan tidak pernah saya dengar khabarnya sejak sekian lama telah meninggal dunia dan mewariskan RM10 juta kepada saya kerana pakcik saya itu tidak mempunyai waris. Sayalah satu-satunya waris pakcik saya itu. Sekarang sudah faham bagaimana saya menjadi jutawan selepas menjual epal?"

 
The comments are owned by the poster. We aren't responsible for their content.

Mutiara Kata

Bertindak seperti seorang yang berkeyakinan, anda akan memperolehi keyakinan

» Razzi Armansur «

Hubungi

Arkib Artikel

Penaja








Mari Menderma







Web Kegemaran

Tetamu