Panda dan Bukit Merah
Posting pada:  12 Apr 2009 ( 1306 kali di baca )

Razzi Armansur menulis: Bukit Merah terletak di Negara China. Tercatat sejarah penting di sini. Di sini, zaman Dinasti Han, pada tahun 208 Masihi, terjadi peperangan yang dahsyat dimulai oleh Cao Cao, perdana menteri yang gila kuasa dan menjadikan Raja dinasti Han pada ketika itu sebagai boneka. Raja hanya boneka, yang berkuasa adalah Perdana Menteri.




Peperangan yang tidak perlu itu, alasannya adalah untuk memerangi pihak penderhaka. Hakikatnya adalah kerana Cao Cao tertarik dengan isteri pembesar di Bukit Merah. Cao Cao memang mempunyai sejarah menyukai dan merampas isteri orang. Dengan menawan Bukit Merah, dapatlah Cao Cao memperisterikan isteri pembesar itu.

Bala tentera Cao Cao berjumlah lebih 100,000 tentera terlatih yang pakar dalam peperangan darat dan laut. Tentera dari bahagian utara China ini akan menyerang dan menumpaskan tentera dari Selatan pimpinan Lui Bei dan Sun Quan yang hanya berjumlah 30,000 tentera sahaja. Kalau ikut hukum akal, memang tentera Selatan akan kalah kerana ia diserang, bertahan, bukannya menyerang. Memang tidak akan menyerang kerana sedar kekuatan tenteranya yang hanya 30,000 sahaja. Hanya ada satu cara sahaja iaitu menyerang balas ketika diserang – ketika tentera Cao Cao sudah menghampiri Bukit Merah.

Di sinilah, tepat apa yang disebut oleh Rasulullah, iaitu “Peperangan adalah melaksanakan tipu muslihat.” Itu saja. Setiap hari mahu atau tidak mahu, kita “berperang”. Paling tidak “berperang” dengan diri sendiri. Bahkan setiap masa, sepanjang hari kita “berperang” dengan diri sendiri. Satu bahagian jiwa atau roh kita nak ke sana, satu bahagian lagi nak ke sini. Jangan nafikan kerana ia adalah realiti. Sepanjang hari sentiasa berdialog dengan diri sendiri. Sentiasa ada suara-suara halus di dalam diri kita sama ada mengajak ke arah kebaikan, keburukan atau kedua-duanya sekali. Sebab itulah sering dikatakan, sama ada diri kita ini sahabat yang terbaik kepada diri sendiri atau musuh ketat kepada diri sendiri. Lebih mudah: Sebahagian diri kita ini kapal dan sebahagian lagi adalah air. Peribahasa Cina menyebut, “Air yang mengapungkan kapal, air juga yang menenggelamkan kapal.”

Keseluruhan kisah tersebut telah difilemkan semula menjadi filem epik yang dikatakan sebagai, “Filem Cina termahal,” dengan menelan belanja kira-kira USD $80 juta. Kalau dah John Woo yang mengarah dan menerbitkannya, nak kata apa lagi. Memang sudah tahu hasil sentuhan John Woo. Saya menunggu John Woo memfilemkan satu lagi kisah menarik, “Water Margin” epik yang berdasarkan sejarah pada zaman dinasti Song pada pertengahan abad ke 13. Nama tokoh dalam epik tersebut ialah Song Jiang yang bersama dengan 36 sahabat-sahabatnya.

Di dalam filem Red Cliff ini, jikalau diteliti memang dipaparkan beberapa strategi peperangan yang membawa kemenangan. Terjawablah soalan, “Bagaimana hendak mengalahkan pasukan 100,000 tentera dengan menggunakan tentera yang jumlahnya hanya 30% dari tentera musuh?” Selebihnya 70% adalah strategi dan taktik.

Anda perlu meluangkan masa selama 4 jam untuk menonton sambil mengambil taktik, strategi, seni peperangan yang boleh digunakan untuk kehidupan ini. Ceritanya memang panjang, tetapi di akhir 4 jam menonton, terasa seperti berharap supaya John Woo menyambung lagi cerita ini sebanyak 4 jam lagi. Kemungkinan ia akan disambung semula kerana Cao Cao tidak dibunuh pada akhir cerita sebaliknya dimalukan sahaja. Salah seorang kerabat Diraja yang sebelum ini dikuasai oleh rasa takut telah memanah rambut Cao Cao, terurailah rambut Cao Cao, kemudian ditinggalkan dengan kemusnahan dan kekalahan.

Begitulah kebijaksanaan John Woo. Pada pendapat saya, pengarah dan penerbit Malaysia memerlukan 50 tahun lagi barulah mampu untuk menghasilkan filem epik berdasarkan sejarah seperti Red Cliff, Braveheart, Pearl Harbour. Bukan menghina tetapi itulah realitinya jika melihat pada kualiti dan mentaliti filem Malaysia sekarang.

Sekarang mari kita mencari strategi dan taktik peperangan yang dipaparkan dalam Red Cliff 1 dan Red Cliff 2, bagi digunakan dalam kehidupan harian.

1. Bahayanya perasan. Bahayanya pujian. Jangan diambil ringan tentang perkara ini. Takutlah apabila dipuji-puji sebagaimana lirik lagu Rafeah Buang, “Mati semut kerana gula bukan kerana masamnya cuka.” Jikalau kita mula perasan, hasil dari pujian-pujian atau semula jadi perasan, kita akan menganggap diri kita hebat. Apabila menganggap diri kita hebat, kita akan lalai. Dalam filem, “Sayang Salmah” ada dialog, “Jangan kita lalai, nanti kena salai.” Memang benar sekali. Kuasa Cao Cao makin besar, beberapa peperangan besar telah dimenangi menyebabkan dia ‘over confident’.

2. Berhati-hatilah, apabila terlalu banyak pujian dan amat kurang kritikan, bukanlah perkara yang baik. Bahkan ada setengah pihak yang mencucuk seupaya kita menjadi ‘terapung-apung’ dan ‘melayang-layang’ perasan dengan pujian. Sudah tentu menjadi lali. Apabila lali amat senang kita ditumbangkan. Sesungguhnya kemenangan dan kejayaan yang bertalu-talu itu banyak kebaikannya dan sudah pasti terselit keburukan apabila kemenangan itu menjadikan kita perasan atau menganggap diri sudah hebat.

3. Sesungguhnya setiap sesuatu ada lawannya, selain ada persamaannya. Apabila berasa diri sudah hebat, tinggi, berkuasa (hasil pujian dan kemenangan, kejayaan yang berturut-turut) tentulah lawannya ialah: mula memandang rendah kepada keupayaan orang lain. Dalam filem Red Cliff ini, Cao Cao memandang rendah kepada lawan. Salah satu rahsia seni peperangan Sun Tzu ialah, “Jangan sekali-kali memandang rendah kepada lawan.”

4. Dalam apa saja yang dilakukan, pasukan amat penting sekali. Tidak ada kejayaan tanpa pasukan yang kuat dan betul. Kerana menyedari tentera pihak Selatan sedikit, mereka membentuk pasukan bersekutu, bergabung dengan beberapa negeri yang menjadi musuh Cao Cao. Logo Malaysia pun memaparkan, “Bersekutu Bertambah Mutu.” Bersatu, kerjasama, berpasukan, itulah langkah kemenangan. Tetapi ingat, cara paling senang untuk gagal dalam berpasukan ialah: Perpecahan dalaman. Bersekutu bertambah mutu; berpecah bertambah susah. Boleh gunakan istilah begitu?

5. Lagi mengenai kekuatan dalaman. Penyakit dari dalam, perpecahan dari dalam adalah cara paling mudah untuk musnah. Sebagai contohnya, tentera Cao Cao telah mengalami wabak yang membunuh ratusan tenteranya. Mayat itu sepatutnya ditanam atau dibakar bagi mengelak dari merebaknya wabak tersebut. Cao Cau telah menghanyutkan wabak tersebut ke arah tentera bersekutu. Apa terjadi? Tentera bersekutu telah dijangkiti wabak tersebut kerana menyentuh mayat-mayat tersebut. Akhirnya ramailah tentera bersekutu yang terkena wabak tersebut. Dengan serta-merta ia diatasi kerana wabak tersebut akan merebak dan menyebabkan ‘kerosakan’ dalaman.

6. Kepentingan ‘konsultan’ jangan sekali-kali dipandang rendah. Namun jangan sekali-kali, diulang sekali lagi, jangan sekali-kali tersilap memilih konsultan. Lihat dulu ‘track record’ nya. Tak mungkin orang yang perasan dirinya ‘pakar’ diambil menjadi konsultan. Pihak Selatan telah menggunakan ‘pakar strategi’ yang sememangnya terpelajar dan berpengalaman. Dikatakan, tanpa pakar strategi tersebut, dengan mudah tentera Cao Cao menawan Bukit Merah.

7. Setiap sesuatu di sekeliling kita ini ada gunanya dan bersebab. Dengan menggunakan segala sumber yang ada di sekeliling kita ini, selalunya kita akan berjaya dalam bidang kita. Sebagai contohnya: Semasa hendak melaksanakan tipu helah mendapatkan 100,000 anak panah, pakar strategi telah menggunakan kelebihan kabus di Sungai Yang Tze, pangkalan tentera Cao Cao. Di dalam kabus, gendang perang dipalu dari atas sampan. Pihak tentera menyangka telah diserang. Pasukan pemanah melepaskan anak panah ke arah gendang perang. Mereka hendak memanah musuh tetapi sebenarnya adalah memanah puluhan sampan yang dibungkus dengan jerami kering. Puluhan ribu bahkan lebih 100,000 anak panah melekat pada jerami tersebut. Pihak tentera Cao Cao tidak tahu kerana berkabus. Mereka hanya berpandukan gendang perang. Salah sebuah sampan sengaja dihanyutkan sampai kepada Cao Cao. Sudah tentu Cao Cao naik berang dan mengarahkan panglima yang pakar dalam peperangan laut itu dipancung serta-merta.

8. Satu lagi menggunakan sumber yang sedia ada ialah ketika hendak membakar kapal-kapal perang Cao Cao bersama tenteranya sekali. Pihak Selatan menunggu angin yang sesuai untuk membakar kapal. Jikalau tidak, kerana tiupan angin, api itu akan membakar kapal sendiri.

9. Tipu helah diteruskan. Khabar disampaikan oleh perisik bahawa tentera bersekutu Selatan telah berpecah. Ia sengaja dilakukan sebagai tipu helah. Cao Cao semakin angkuh dan ‘over confident’ dapat menumpaskan tentera bersekutu Selatan. Padahal ia adalah tipu helah semata-mata.

10. Dalam seni peperangan Sun Tzu juga menyebut, “Serang ketika tidak disangka akan diserang.” Ini dilaksanakan oleh Pasukan Bersekutu dengan menyerang ‘sebelum tiba masanya’. Cao Cao dan panglima tentera menggelabah. Apabila menggelabah, pasti hilang pertimbangan.

Begitulah sebahagian dari pengajaran yang diperoleh dari filem Red Cliff. Jikalau anda mahukan pengajaran yang lebih lagi, tontonlah filem ini hingga selesai, selama 4 jam. Tetapi ingat, jangan menonton seperti orang lain kerana ini bukan filem hiburan sebaliknya adalah filem pendidikan.

-------



Satu lagi filem yang berlatarkan budaya Negara China ialah filem animasi penuh pengajaran, Kung Fu Panda. Memang menarik sekali filem yang sangat simple tetapi penuh dengan pendidikan ini. Alkisahnya di dalam cerita ini mengisahkan seekor Panda anak kepada penjual mi (pelik pula bagaimana angsa boleh menjadi ayah Panda) mempunyai keinginan luar biasa untuk menjadi pendekar kung fu.

Memandang kepada fizikalnya yang gemuk buncit memang agak mustahil Panda boleh menjadi pendekar kung fu. Tetapi Panda memikirkan boleh atau ‘set boleh’. Sesungguhnya apabila kita ‘set fizikal dan mental’ kepada boleh, jalan di depan terbuka luas. Jalan yang tertutup kerana ditutupi oleh ‘tidak boleh’ selama ini akan terbuka luas. Bahkan amat luas. Kegelapan akan berubah menjadi cahaya kesan dari ‘set boleh’.

Kerana percaya dan yakin boleh, tanpa memandang bagaimana keadaan fizikalnya, akhirnya Panda berjaya berguru dengan Mahaguru Kung Fu. Bermula dari situ, dari sehari ke sehari, Panda menjuruskan dirinya untuk menjadi Pendekar Kung Fu dan berbakti kepada masyarakat.

Dengan berbekalkan kepercayaan, ‘set boleh’ dan determination akhirnya Panda menjadi Pendekar Kung Fu. Dia juga pandai menggunakan kekurangan dirinya menjadi kelebihan. Contohnya, perutnya yang buncit digunakan sebagai senjata untuk ‘menendang’ musuh. Idaman setiap pendekar di negeri tersebut ialah memperoleh gulungan kertas yang tergantung di siling. Menjadi rahsia sejak sekian lama, apakah kandungan mantera yang tertulis di dalam gulungan tersebut. Khabarnya sesiapa yang memperoleh gulungan tersebut akan mendapat kekuatan luar biasa.

Suatu hari Panda telah berjaya mendapatkan gulungan tersebut. Tahu apa di dalamnya? Kosong! Hanya ada kertas kilat yang membalikkan wajah sendiri seperti cermin.

Fahamlah Panda bahawa sebenarnya, kekuatan sebenarnya ada di dalam diri sendiri. Itulah rahsia gulungan itu selama ini. Diri sendiri sebenarnya mempunyai kekuatan yang luar biasa. Kalau di dalam diri mempunyai kekuatan luar biasa, mengapa mencari kekuatan tersebut di luar diri? Memang telah tersedia kekuatan dalam diri sejak lahir, cuma ia tidak digunakan. Mengapa tidak digunakan? Kerana tidak tahu kewujudannya kerana sejak lahir hanya mencari kekurangan diri sendiri bukan kekuatan diri sendiri.

 
The comments are owned by the poster. We aren't responsible for their content.

Mutiara Kata

Apabila lampu sedang bergemerlapan, perangkap sedang dipasang. Kalau ia sukar dipercayai, sememangnya ia sukat dipercayai.

» Dari buku 'Hendak Susah Ataupun Senang' «

Hubungi

Arkib Artikel

Penaja








Mari Menderma







Web Kegemaran

Tetamu